JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



08 Ogos 2017

CATATAN CIKGU ZUL : KUTULIS SURAT INI UNTUK RAKAN-RAKAN GURUKU




Rakan-rakan guru yang disayangi,

Tatkala orang lain sudah lena beradu melayan mimpi-mimpi indah di tilam empuk sambil menahan sejuk yang nyaman dan tenteram, saya tahu ramai lagi dalam kalangan kita yang masih membaca karangan-karangan pelajar sambil memberikan markah dan membetulkan silap dan salah. Saya juga tahu masih ramai dalam kalangan kita yang melupakan pelukkan nikmat isteri atau suami tercinta kerana terpaksa menyaipkan pelbagai tugas atas nama “Saya yang menurut perintah”. Saya terlalu tahu, ribuan guru terpaksa bersekang mata sehingga terlupa mengucapkan selamat malam kepada anak tercinta kerana berkorban masa berfikir dan menyediakan pelbagai bahan untuk mengajar pada hari esok yang bakal tiba. Sudah-sudahlah rakan-rakanku, pergilah beradu dan lelapkan mata sehingga terlena. Kita harus fikirkan kesihatan diri kerana apabila kita sakit, mereka yang mengarahkan kita bekerja itu tidak akan menjaga dan merasai deritanya kita yang menanggung kesakitan. Kemungkinan kita akan dimarahi kerana lama tidak datang ke sekolah kerana membebankan mereka mengatur jadual “sit-in”. Kemungkinan juga kita akan disumpah seranah oleh kawan-kawan seperahu yang terpaksa masuk menggantikan kita buat sementara waktu. Lihatlah situasi yang terjadi sejak belakangan ini, semakin ramai dalam kalangan rakan-rakan kita yang menemui ajal pada usia muda. Ajal yang menjemput mungkin takdir Ilahi. Akan tetapi, kes yang berlaku di Mukah, Sarawak baru-baru ini wajar diteliti oleh pelbagai pihak dengan penuh kesedaran dan keinsafan. 

Pemergian mereka tidak ada sesiapa pun peduli. Pihak pentadbir cuma sibuk mencari pengganti agar masalah segera diatasi. Yang menangisi dan merasai kehilangan kita hanyalah anak-anak dan isteri atau suami yang amat menyayangi kita. Pihak yang memaksa kita bekerja sehingga kesihatan kita terabai, mungkin cuma datang menghantar derma konon-kononnya terlalu kasihkan kita, tetapi disebalik itu merekalah yang meragut nyawa kita tanpa belas kasihan semasa hayat kita bersama mereka. Benar memang benar, tugas mengajar, menyemak, dan menyediakan alat-alat mengajar itu tugas hakiki seorang guru seperti kita. Akan tetapi, tugas-tugas lain yang terpikul di bahu tidak tertanggung rasanya untuk dilunaskan. Zaman teknologi yang kian canggih mungkin menguntungkan orang di jabatan lain tetapi menyeksa jiwa raga kita semua kerana dipaksa mengisi data dan menyempurnakan kursus-kursus dalam talian seperti BOSOT, FROG, dan i-Think sehingga kita rasa teramat geram. Masalah talian yang ibarat siput babi menjadikan kita semua rasa dikhianati. Kita terpaksa bangun pukul 2:00 pagi semata-mata untuk melayari internet. Kita kurang tidur disebabkan terpaksa mengisi data-data yang perlu disempurnakan dengan segera  atas arahan mereka yang berpangkat dan berkuasa ke atas kita.

Rakan-rakan guru yang dihormati,

Orang kata kita cikgu ini banyak cuti. Betulkah kita banyak cuti? Sebenarnya waktu cuti kita dicuri oleh tugas-tugas hakiki yang terpaksa kita selesaikan. Saya sendiri merasakan waktu cuti saya selalu dihabiskan untuk menyemak kertas-kertas peperiksaan ujian penggal yang bukannya sedikit. Memang benar saya bercuti daripada pergi ke sekolah. Memang benar saya bercuti kerana tidak berhadapan dengan pelajar di dalam kelas. Akan tetapi, dirumah saya berhempas pulas mengejar tarikh akhir memasukkan markah pelajar ke dalam sistem dalam talian. Cuti seminggu bagaikan sehari kerana terperuk di rumah demi menyempurnakan tugas-tugas yang perlu dilangsaikan. Akan tetapi, yang tahu cuma anak-anak kita dan isteri atau suami kita. Yang lain selalu menyelar kerjaya kita seolah-olah mereka pernah merasai hidup seperti kita. Waktu cuti kita kadang-kadang habis kerana terpaksa menghantar pelajar mengikuti sesebuah pertandingan atau terpaksa menyertai perkhemahan kokurikulum. Waktu cuti kita mungkin habis kerana perlu menghadiri bengkel atau ceramah anjuran pelbagai pihak. Waktu cuti kita mungkin habis disebabkan arahan pihak atasan supaya kita siapkan pelbagai fail dan membuat pelbagai dokumentasi demi menaikkan imej dan nama sekolah dalam pelbagai pertandingan dan anugerah. Jika pentadbir kita gila nama, maka kitalah yang terpaksa menjadi mangsa kerana terpaksa menyiapkan pelbagai persiapan dan sistem pemfailan. Tugas kita tidak pernah selesai, acara-acara yang perlu diraikan di peringkat sekolah memerlukan kita untuk menjadi MC, mengatur kerusi, menghias pentas dan sebagainya sehingga ke malam hari.

Susah kita hanya kita yang tahu. Orang tidak nampak apabila seawal 5 pagi kita sudah membuka mata. Masa kerja kita bermula seawal 6:30 pagi. Apabila kita masuk sahaja ke kawasan sekolah maka tugas kitapun bermula. Kita terpaksa berhadapan dengan pelajar-papelajar yang mempunyai masalah disiplin. Kita terpaksa memanggil ibu bapa apabila pelajar sakit dan menunggu sehingga mereka datang. Kerja pembersihan kelas kita terpaksa tangani sehingga kita tidak tahu yang mana satu harus didahulukan. Semua perkara kita harus ambil tahu. Jika pelajar pengsan akibat tidak makan. Kita terpaksa belikan makanan. Orang awam tidak tahu berapa banyakkah duit yang kita keluarkan demi membantu pelajar-pelajar kita sebab jiwa kita jiwa guru. Semua pengorbaban itu kita tidak canang-canangkan kerana saya tahu golongan guru ini jiwanya amat kental dan sabar. Selagi masih mampu bekerja mereka akan terus bekerja. Bukan sedikit dalam kalangan kita terutamanya guru wanita yang bekerja sambil menahan air mata akibat sikap segelintir pelajar yang kurang rasa hormat terhadap mereka. Bukan sedikit dalam kalangan kita yang dimarah dan diancam pada setiap hari akibat mengajar pelajar di kelas yang memang tidak masuk ajar. Kertas latihan yang kita fotostat guna sendiri dijadikan alat membuat kraftangan oleh golongan yang culas dan langsung tidak menghargai semua usaha kita. Mereka lipat kertas tersebut sehingga menjadi tumbuh-tumbuhan, kapal terbang, burung, dan sebagainya. Hancur luluh hati kita. Usaha kita tidak dihargai oleh anak-anak yang tidak sedar diri dan tidak tahu betapa pentingnya ilmu untuk mengubah hidup.

Rakan-rakan guru yang dikasihi,

Ada kalanya kita pening memikirkan sikap dan pandangan orang sekeliling. Masyarakat selalu menyerang guru dengan pelbagai cara yang tidak diketahui apakah tujuan dan objektifnya.  Karenah ibu bapa yang memandai-mandai mengata itu dan ini terhadap profesion kita jangan difikirkan sangat. Kutukan dan cacian masyarakat yang kian membarah terhadap kerjaya kita biarkanlah terdampar di pantai degil sehingga berbau dan berulat. Tugas kita cuma menyampaikan ilmu. Jangan dimarah anak-anak itu jika perangainya biadap. Jangan dimarah anak-anak itu jika mereka malas belajar. Jangan dimarah anak-anak itu jika mereka tidur di dalam kelas. Lihatlah pengalaman kawan-kawan kita, apabila kita memarahi, kita akan menjadi mangsa pembohongan mereka apabila bercerita kepada ibu bapa mereka.Kita mungkin rotan sekali di tapak tangan tetapi mereka mungkin tambah lagi jumlah sehingga menjadi 10 kali. Ibu bapa mereka ghairah menjaja cerita di media sehingga terlupa pada bakti yang dicurahkan kepada anak-anak mereka. Rasa membuak-buak untuk menyaman guru menyebabkan mereka alpa jasa dan bakti kita dalam mendidik dan mengasuh anak-anak mereka. Benar memang benar, tugas kita dibayar gaji yang diterima pada setiap bulan tetapi itu bukanlah alasan untuk menjaja aib dan khliaf kita yang belum terbukti betul pada realitinya.

Semakin hari semakin ramai dalam kalangan kita yang mengundur diri dari profesion mulia ini dengan mengambil keputusan bersara awal. Istilah keramat “bersara awal” sentiasa menjadi bahan perbualan antara kita. Kita bukan takut berhadapan dengan realiti tetapi kita kecewa. Rasa kecewa itu ibarat sembilu yang menusuk jantung pengorbanan kita sehingga membawa kesakitan yang tidak tertahan. Kita ada persatuan yang menjadi saluran untuk bersuara dan menyampaikan hasrat hati kita tetapi suara itu tidak terlalu kuat dan hebat untuk membela nasib kita terutama dalam soal-soal berkaitan dengan beban tugas guru. Semakin banyak dasar, semakin kerap pemimpin bertukar, semakin banyak beban yang terpaksa kita galas. Lantaran itu, kita berlalu pergi dengan berat hati memutuskan ikatan perkahwinan dengan profesion yang amat kita minati ini. Orang akan berkata semua kerjaya ada cabaran dan rintangannya. Orang akan berkata semua kerjaya ada masalah dan pancarobanya. Orang akan berkata kita ini terlalu dibelai dan dimanja sehingga dijentik sedikit kita melenting. Akan tetapi, golongan yang berkata itu mungkin hanya melihat luaran kita yang tampak indah, bersih, dan kemas sesedap mata memandang. Mereka tidak masuk ke jiwa dan nurani kita yang berkecamuk dengan pelbagai rasa bersalah untuk menyiapkan itu dan ini atas arahan orang yang berkuasa ke atas kita. Semakin ramai ilmuan yang kita hasilkan semakin banyak mata yang akan melihat silap kita dan menghentam kerjaya kita. Itulah hakikat yang tidak boleh kita kikis dan tepis. Profesion kita tidak lagi dipandang mulia oleh anak-anak bangsa yang kita didik dan asuh sehingga mempu menakluki duniawi.

Rakan-rakan seperjuanganku,

Sebelum saya noktahkan warkah ikhlas dari hati ini, saya ingin menyeru agar kita terus setia menabur bakti kepada bangsa dan pertiwi. Jika bukan kita yang memulakan, negara yang dicintai ini akan hancur musnah kerana semua golongan yang berjaya pada hari ini, kitalah yang menjana dan menempanya. Kita suburkan hati mereka yang kering kontang dengan renjisan ilmu sehingga tanah itu menjadi subur dan mengeluarkan hasil yang amat membanggakan negara bangsa. Securam manapun jalan yang dilalui kita harus juga melaluinya dengan berhati-hati kerana tugas kita sungguh murni dan sungguh suci. Sepahit manapun hempedu cabaran yang didepani, kita harus juga mendepaninya dengan tabah san sabar kerana tugas kita ini sungguh mulia untuk memajukan bangsa dan negara. Jangan sesekali kita menyerah kalah kerana kita merupakan warga terpilih untuk berbakti menggunakan laluan ini. Nikmati hari-hari kita yang sarat mengundan beban dengan senyuman manis yang bisa mencairkan hati sesiapa sahaja yang memandang. Kita mungkin tidak dianugerahkan dengan pingat yang membawa gelaran Datuk atau Tan Sri seperti artis-artis popular (Yang terlalu banyak jasa kepada negara) di duniawi tetapi insyallah kita dijanjikan pahala berganda sebagai bekalan di akhirat. Jangan sedih-sedih. Jangan merintih-rintih. Jangan mengganggap diri disisih. Selagi kita bersatu kita akan terus kuat dan gagah menghadapi segalanya. Yang penting, jangan benci kepada kerjaya kita. Sayangilah profesion mulia ini kerana profesion ini tidak pernah bersalah terhadap sesiapa. Yang salahnya manusia yang mencipta pelbagai peraturan dan dasar-dasar sehingga melemahkan semangat kita. Akan tetapi, siapakah kita yang boleh menyalahkan mereka?

Catatan Pendidik Bangsa
Zulkarnain Farihin
Sibu Sarawak

Tiada ulasan: