Dalam hidup ini kalau
terlalu takut untuk mencuba untuk hidup di dunia baharu, kita akan terus
terkurung di kandang ketakutan yang menyeksa hati dan perasaan kita. Jangan
membuat keputusan dengan hanya bersandarkan kata-kata orang sekeliling. Kita
ada hati maka tanyalah hati kita. Apabila kita selalu dengar kata hati, kita
akan temui jalan penyudah yang membahagiakan. Setelah hati menjawab, pejamkan
mata, tanyalah pada ibu dan ayah kita. Jiwa dan keberkatan mereka sentiasa
bertapak kukuh di setiap titisan darah yang mengalir di seluruh tubuh kita
walaupun mereka telah lama meninggalkan kita. Setelah itu, buat perancangan dan
uruskan dengan teliti melalui jalan yang betul dan direstui. Serahkan semuanya
pada Allah. Allah pasti akan membukakan jalan yang mudah dan senang untuk kita
yang selalu berusaha.
Yakinlah pada diri sendiri. Jika
kita tidak yakin pada diri sendiri, kita akan selalu lemah dan goyah dalam
membuat keputusan. Perkara yang kecil dan mudah akan menjadi susah jika kita
asyik diamuk resah dan sukar untuk membuat keputusan. Ingatlah, keputusan yang
terbaik itu datang daripada diri kita sendiri, bukannya daripada orang lain.
Jika kita terlalu bergantung harap kepada orang lain, kita selalu menjadi
mangsa keadaan sehingga kita acapkali berhadapan dengan kegagalan yang
berterusan. Oleh itu, hormatilah diri kita. Jangan sesekali hilang kasih sayang
terhadap diri sendiri kerana orang yang tidak menyayangi dirinya sendiri akan
sering kecundang dalam apa jua bentuk perjuangan. Haluan hidup kita hanya kita
yang menentukan haluannya bukan orang lain. Nakhoda yang terbaik ialah diri
kita sendiri kerana kita tahu ke mana arah hendak dituju. Sekiranya gagal, kita
akan puas kerana penyebab kepada kegagalan itu ialah diri kita sendiri. Kita
tidak perlu menyalahkan orang lain atas kegagalan itu. Kita terus bertindak
dengan pantas membaiki kelemahan diri untuk terus mara ke hadapan.
Mengapakah kita terlalu
takut kepada manusia?
Kita takut terlalu takut
kepada manusia kerana kita lupa pada Tuhan Yang Maha Esa. Oleh sebab itu, kita
selalu salah dalam membuat keputusan. Dalam dunia pendidikan, jangan fikir soal
popular. Ada apa pada nama dan pencapaian? Kecemerlangan anak-anak didik
merupakan kejayaan yang diharapkan tetapi jika mereka gagal juga dalam
perjuangan, kegagalan itu bukanlah sesuatu yang kita doa-doakan. Yang
dipentingkan soal kesejahteraan diri sambil melaksanakan tugas dengan ikhlas
dan amanah setimpal dengan upah yang kita peroleh. Jika kita pandai menari di
pentas opera hidup yang berceracak dengan duri uji, kita tidak akan kehilangan
nikmat untuk berjaya walau di mana sahaja kita berada. Dalam setiap keputusan,
kita jangan terlalu banyak bertanya kepada orang yang tidak tahu atau penakut
seperti kita. Tanyalah pada hati yang berani dan Allah Yang Maha mengetahui.
Kita akan dapat jawapan yang terbaik untuk diri kita.
Motivasi daripada:
Cikgu Zulkarnain
Farihin
Sibu Sarawak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan