Senario yang dipandang sebaik sahaja
pelajar-pelajar lepasan SPM menerima slip keputusan amat indah. Yang berjaya
akan melonjak keriangan, bibirnya tidak henti-henti mengukir senyuman
sehinggakan orang yang tidak mengenalinya pun akan mendekati untuk mengucapkan
syabas dan tahniah. Guru-guru yang mengajarnya tanpa diminta pun turut
mendampingi kerana kejayaannya membantu mengharumkan nama sekolah dan
membuktikan usaha mereka selama ini membuahkan hasil yang membanggakan. Orang
yang paling gembira ialah kedua-dua ibu bapa yang melahirkan, membesarkan, dan
menjaganya hingga dewasa. Sesungguhnya, anak merupakan pelaburan bagi setiap
ayah dan ibu. Bagi yang gagal pula, senario yang berbeza akan dilihat. Mereka
kelihatan seolah-olah menahan tangisan dan didada berombak rasa kesal kerana
tidak menggunakan peluang dengan sebaik-baiknya. Bibir mereka tetap mengukir
senyuman tawar dan hambar. Hati dan jiwa mereka rapuh dan goyah. Masa depan
dilihat gelap dan kelam. Benarkah begitu?
Ingatlah, ketika satu pintu
kebahagiaan tertutup, ada lagi pintu yang lain dibukakan untuk kita. Akan tetapi,
kita sering kali terpaku terlalu lama pada pintu yang tertutup sehingga tidak
melihat pintu lain yang dibukakan untuk kita. Tuhan telah menentukan perjalanan
hidup setiap insan. Mungkin laluan hidup kita bukan di laluan akademik kerana
ada laluan lain yang sesuai buat kita.
MENANGISI KEGAGALAN
Jangan menangis. Simpan air mata itu
untuk meraikan kejayaan yang bakal dikecapi pada masa hadapan. Jadikan
kegagalan itu sebagai pembakar semangat untuk membuka lembaran baharu dalam
hidup anda. Tuhan tidak akan biarkan kita gagal selama-lamanya dalam hidup ini
andai kita berusaha untuk membaiki diri demi menjadi orang yang berjaya. Bumi
ini amat luas untuk kita meraih rezeki. Kegagalan itu biarlah jadi sejarah.
Gantungkan slip kegagalan itu di dinding hati supaya apabila kita melihatnya
kita akan jadi lebih bersemangat untuk mengejar impian. Jika kita gagal
disebabkan sikap nakal dan degil serta sering ponteng sekolah, janganlah
disesali lagi. Kita harus mengakui itu kesilapan disebabkan ketidakmatangan
kita dalam berfikir. Yang penting, kita tahu itu salah dan berjanji kita tidak
akan lakukan kesalahan sebegitu lagi. Kita telah merasai sakitnya gagal.
Janganlah sampai pisang berbuah dua kali. Sesungguhnya, seseorang manusia harus
cukup rendah hati untuk mengakui kesilapannya, cukup bijak untuk mengambil
manfaat daripada kegagalannya dan cukup berani untuk membetulkan kesilapannya.
Lihatlah manusia yang berjaya di
sekeliling kita. Mereka juga gagal dalam SPM. Namun begitu, mereka mampu
mengubah hidup kerana peritnya menderitai barah kegagalan amat pedih dan
menyakitkan. Tidak ada sesiapapun yang mengundang kegagalan untuk bertamu dalam
hidup mereka. Kegagalan itu datang tanpa dikhabarkan alamat dan arah jalan menuju
kepada diri seseorang. Khilaf kita pelbagai bentuk dan rupa. Adakalanya kerana
terlalu terpengaruh dengan kawan dan kalah dengan hasutan nafsu kita jadi
haru-biru semasa zaman sekolah. Orang sibuk belajar kita sibuk bercinta
seolah-olah perempuan dan lelaki di sekeliling kita akan pupus selepas habis
SPM nanti. Orang sibuk belajar kita sibuk tidur di dalam kelas sehingga meja
pun reput dibasahi air liur kita. Orang sibuk belajar kita sibuk melakukan
masalah disiplin dan melawan guru sebab hendak tunjuk kepada semua orang bahawa
kita kuat seperti Captian Amerika. Setelah gagal dalam SPM baru padan
muka! Akan tetapi, kesilapan-kesilapan kita yang lalu itu biarkan menjadi debu
untuk diterbangkan ke langit biru. Lihat ke hadapan, mulakan perjalanan dengan
harapan. Percayalah, Tuhan akan bukakan jalan untuk kita.
KISAH KAWAN SAYA
GAGAL SPM TETAPI BERJAYA
Saya ada seorang kawan yang gagal
dalam SPM. Kami memang rapat semasa zaman persekolahan sehingga orang
menganggap kami adik beradik. Ibu bapanya menganggap saya seperti anaknya
sendiri. Apabila cuti sekolah, saya selalu balik ke kampungnya sehinggakan
perbelanjaan persekolahan saya pun ditanggung oleh keluarganya. Semasa
keputusan SPM diumumkan, saya lulus dengan cemerlang. Kawan saya pula hanya
mendapat pangkat tiga. Dia tidak layak meneruskan alam persekolahan. Akan tetapi,
dia tidak menyesali kegagalannya. Hubungan kami terputus selepas saya
melanjutkan pelajaran. Masa terus berlalu. Selepas 25 tahun tidak bertemu,
disebabkan kemajuan teknologi, pada suatu hari saya menerima pesanan WhatsApp
daripada nombor yang tidak dikenali. Rupa-rupanya, mesej yang saya terima itu
adalah daripada orang yang paling saya rindui selama ini. Apabila kami
berjumpa, kami bercerita dari pagi hingga ke lewat malam sehingga isterinya
terbiar tidur sendirian. Kini, dia mampu memiliki rumah sendiri dan kereta
sendiri. Hidupnya bahagia bersama isterinya yang jelita dan anak-anaknya yang
cerdik. Itulah namanya kebahagiaan. Walaupun hanya menjadi pekebun lada, dia
berjaya membina kehidupannya. Dia juga memiliki lading kelapa sawit yang luas
serta kolam ikan tilapia yang menjanjikan ribuan duit pada setiap bulan. Hidupnya
amat sempurna malahan lebih sempurna daripada saya. Dia sengaja tidak
menghubungi saya untuk bertanya khabar kerana dia tahu saya tidak akan gagal
dan laluan masa depan saya sudah terjamin. Apabila dia menceritakan rasa malu
apabila selalu diperli dan disindir oleh ibu bapanya kerana gagal dalam SPM
saya rasa amat sebak dan terharu. Kegagalan itu bukan dia yang minta. Dia rajin
belajar. Dia baik semasa di sekolah. Dia sentiasa bertanya apabila tidak faham
akan sesuatu. Akan tetapi, inilah hakikat segelintir ibu bapa yang terlalu
mengharapkan anak-anak mereka berjaya dalam bidang akademik sehingga mereka
buta untuk melihat laluan lain untuk anak mereka. Bukan semua orang dilahirkan
untuk cemerlang dalam bidang akademik. Tiada hinanya orang yang bekerja sendiri
jika dibandingkan dengan orang yang makan gaji dengan kerajaan mahupun swasta. Setiap
orang harus ada perancangan hidup yang tersusun dan teratur. Jangan ingat orang
yang berjaya dalam bidang akademik, berjawatan tinggi, dan bergaji sehingga
enam angka sebulan tiada masalah. Semua orang akan menghadapi masalah dalam
hidup jika gagal merancang.
Seorang lagi kawan, kini menjadi
pengusaha roti kerana kegigihannya dalam membina hidup selepas gagal dalam SPM.
Semasa zaman sekolah, dia amat nakal dan boleh dikategorikan sebagai “jahat”.
Dialah kaki ponteng dan suka melawan guru sehinggakan hendak duduk di
sebelahnya pun rasa benci. Walau bagaimanapun, dia ini suka berkawan dengan
saya. Saya tidak tahu mengapa? Jika saya sakit, dia akan bantu ambilkan makanan
dan bawa ke asrama. Dia akan bagi saya makan. Sesekali, ada juga saya ikut dia
ponteng sekolah. Saya rasa amat selesa untuk berkawan dengan dia. Dalam kelas,
dia selalu meniru semua kerja rumah yang saya buat. Namun begitu, satu sahaja
sikap dia yang saya tidak berkenan ialah dia akan melawan apabila ditegur oleh
guru. Kata-kata yang keluar dari mulutnya memang menyakitkan sehinggakan guru
hilang sabar. Saya masih ingat, semasa keputusan SPM diumumkan, dia gagal. Yang
lulus cuma subjek Bahasa Melayu, Sejarah, dan Matematik. Yang lain semua gagal.
Dia dekati saya dan ucapkan tahniah. Dia nasihati saya jangan main-main masa
belajar di Tingkatan Enam. Dia mahu saya jadi guru. Saya tanya dia, selepas ini
dia akan buat apa? Dia suruh saya jangan risau akan dirinya. Dia akan kerja
kontrak di Bintulu. Setelah 25 tahun, kami berjumpa dalam Group WhatsApp.
Kini, dia memiliki sebuah kedai roti. Hidupnya amat bahagia dan sejahtera. Saya
kagum dengan cara dia mengatur kehidupannya. Anak-anaknya semua comel dan bijak
semasa di sekolah. Dalam usia yang masih dalam lingkungan 40-an, dia sudah
mampu memiliki apa yang orang lain miliki. Itulah kejayaan sebenar seorang
insan yang gagal dalam SPM.
Masa depan yang cerah akan muncul daripada
kegagalan masa lalu yang telah dilupakan. Kita tidak akan dapat melangkah
dengan baik ke hadapan jika kita tidak melupakan kegagalan lalu dan rasa sakit
hati akibat kegagalan itu. Jadikannya sebagai sumber kekuatan untuk kita
membuat lantunan demi mencapai kejayaan.
Bumi ini amat luas untuk orang yang
tidak kenal makna putus asa. Orang yang gagal dalam SPM harus bersikap positif
untuk melihat masa hadapan dan mencari jalan yang sesuai untuk memulakan
langkah baharu. Jangan memerap di dalam bilik, tidur dan makan sahaja!
Bangkitlah dan keluarlah dari kepompong malas dan lesu itu. Jika malas itu
punca kita gagal maka nyahkan sifat mala situ dari diri kita. Sifat malas itu
bukan warisan atau keturunan tetapi nafsu, andai dilayan boleh menyebabkan kita
karam dalam pelayaran menuju masa hadapan yang masih jauh. Akan tetapi, kawan
saya yang seorang lagi ini lain nasibnya. Dia gagal SPM bukan disebabkan dia
malas. Dia amatlah rajin sehingga kerajinannya menjadi bualan guru dan
rakan-rakan di sekolah. Masa itu kami sekolah di asrama kerana kami semuanya
berasal dari pedalaman. Kawan saya ini, hidupnya sentiasa belajar dan belajar
sahaja. Jika api asrama sudah dipadamkan, dia akan belajar menggunakan lilin.
Dia memang rajin. Saya jadi takut dan serba salah apabila melihat tabiatnya
itu. Yang menghairankan, apabila keputusan peperiksaan diumumkan, dia tetap
mendapat tempat tercorot. Buku laporannya banyak tulisan merah. Dia selalu
meminta petua daripada saya tentang cara mengingat fakta penting. Akan tetapi,
saya tidak dapat membantunya pada masa itu. Semasa keputusan SPM diumumkan,
nasibnya amat malang. Dia gagal dalam subjek Bahasa Melayu. Gagal subjek Bahasa
Melayu bermakna dia tidak layak mendapat sijil SPM. Aduh, kasihannya! Orang
yang rajin sepertinya tidak sepatutnya mendapat keputusan seteruk itu. Kami
semua amat bersimpati. Walau bagaimanapun, baru-baru ini kami berhubung
menggunakan Facebook. Saya tidak mengenalinya. Dia menghantar mesej untuk
bertanya khabar. Kami berjumpa di sebuah restauran di Sibu. Kawan saya ini
merupakan seorang kontraktor. Sekali lagi saya kagum dengan mereka yang gagal
dalam SPM tetapi mampu berdiri gagah malahan lebih gagah daripada orang yang
memiliki ijazah seperti saya.
HIDUP INI PERJUANGAN
Kita mesti berani menerima kegagalan
kerana dari kegagalan itu kita akan sedar bahawa laluan untuk menjadi orang
yang berjaya itu bukan mudah. Dalam hidup, ada masanya kita lebih banyak
mendapatkan apa yang tidak kita inginkan. Ketika kita mendapatkan apa yang kita
inginkan, akhirnya kita tahu bahawa yang kita inginkan itu kadang-kadang tidak
dapat membuat hidup kita menjadi lebih bahagia. Sikap kita yang paling utama.
Jika kita sentiasa bersikap positif maka laluan kita untuk mara ke hadapan akan
dipermudah dan dilimpahi rahmat Tuhan Yang Maha Esa. Jika kita bersikap negatif,
laluan hidup kita akan kusut dan penuh ranjau duri sehingga menyebabkan kita
terluka sampai parah membusung nanah. Semua ini kita yang tentukannya, bukan
orang lain. Guru dan ibu bapa hanya hadir sementara disisi kita dengan
kata-kata nasihat dan amanat, jika kita tidak pedulikan kata-kata mereka,
haluan hidup kita tidak akan kemana jua, kita akan karam di lautan persaingan
yang semakin sempit dan sengit. Orang lain mungkin boleh membantu menghulurkan
tangan untuk menarik kita naik ke atas andai kita terjatuh ke dalam gaung yang
dalam, tetapi setelah kita sampai di atas, kitalah yang akan menentukan arah
yang hendak dituju. Jika kita hanya mengharapkan diri untuk disuap dan
dimandikan, selama-lamanya kita akan hidup dihempap batu kegagalan sehingga
patah tulang-tulang perjuangan kita.
Kesedaran diri itu penting. Jika kita hidup hanya sekadar mampu memandu kereta Proton Saga. Jangan ghairah membeli kereta Land Cruser. Bulan pertama dan bulan kedua kita mungkin mampu membayar ansuran bulanan. Bulan seterusnya kita mungkin tak makan dibuatnya. Harga insuran dan tayar sahaja pun mencecah ribuan ringgit. Orang tak pandang apa jenis kereta yang kita pakai. Orang pandang usaha kita untuk melepaskan diri daripada kegagalan itu.
Laluan hidup selepas gagal SPM pun
terbuka luas seperti mereka yang lulus dengan cemerlang dalam SPM. Laluan itu
mungkin berbeza tetapi jumlahnya sama dan setara. Kerajaan berlaku adil kepada
kedua-dua belah pihak baik yang gagal mahupun yang berjaya. Yang gagal
disediakan dengan pelbagai institut kemahiran dalam pelbagai bidang. Ruang
pekerjaan terbuka luas untuk mereka. Jangan ingat orang yang kerja di salon
pendapatannya kurang daripada seorang guru yang mengajar di sekolah. Selagi
manusia ada rambut, selagi itulah khidmat mereka diperlukan. Jika seorang
pelanggan dikenakan bayaran sebanyak RM10.00, bayangkan pendapatannya jika dia
hanya mengunting rambut 20 orang pelanggan sehari. Begitu juga dengan mekanik
kereta dan motosikal, tukang jahit, pembuat roti, chef, dan pelayan tetamu di
hotel-hotel. Mereka semua dilahirkan dari pelbagai institut kemahiran yang ada
di Malaysia. Kadang-kadang kita lihat orang yang menjual sayur di pasar tamu
itu hina tetapi kita tidak pernah ambil tahu pendapatan bulanan yang mereka
dapat daripada hasil jualan mereka. Jika kita tahu, mungkin air yang diminum
pun boleh tersembur keluar dari mulut kita. Itulah keajaiban dunia. Kejayaan
itu bukan hanya diperoleh daripada segulung ijazah semata-mata.
Catatan
Pendidik Bangsa
Cikgu
Zulkarnain Farihin
1 ulasan:
Terima kasih diatas penulisan yang memberi semangat. Allahuakbar..Disaat mencari sesuatu kekuatan...
Catat Ulasan