Penulis: Dr
Iskandar Hasan Tan Abdullah
Sumber :
Berita Harian Online
Tarikh : 13
Mac 2015 (Jumaat)
Apabila
sesebuah negara semakin pesat membangun, populasinya semakin meningkat. Ini
menyebabkan kadar permintaan terhadap sesuatu keperluan adalah tinggi. Gaya
hidup manusia yang mahukan kehidupan lebih baik seperti rumah, bekalan elektrik
dan air, kereta dan lain-lain menyebabkan permintaan terhadap sumber semula
jadi semakin meningkat. Pengurusan sumber semula jadi yang tidak terancang
seperti pembalakan tidak terkawal, penerokaan tanah secara berleluasa,
pelepasan gas karbon dioksida ke atmosfera, pembuangan sisa pepejal dan
sebagainya menyebabkan pencemaran. Jika pengurusan sumber semula jadi ini tidak
diuruskan dengan baik, ia turut menjejaskan kualiti hidup manusia dan alam
sekitar. Justeru, masyarakat dunia kini menghadapi dua cabaran utama, iaitu isu
perubahan iklim dan keselamatan tenaga. Kedua-dua isu ini harus ditangani
secara kolektif dan efektif. Satu pendekatan yang kritis amatlah penting.
Berdasarkan
keperluan ini, teknologi hijau menjadi portfolio Kementerian Tenaga, Teknologi
Hijau dan Air, (KeTHHA) yang ditubuhkan pada 9 April 2009. Teknologi hijau
mempunyai peranan strategik yang lebih jauh daripada setakat mencapai autonomi
tenaga dan menangani perubahan cuaca. Teknologi hijau turut membantu
pembangunan masyarakat berilmu yang mendorong ke arah mempraktikkan tenaga
lestari dan cara hidup lebih baik. Kita boleh hidup lebih lestari jika kita
menjadi seorang yang lebih celik alam sekitar, belajar daripada alam semula
jadi, hidup dengan lebih sederhana dan menjadi rakyat yang aktif dalam membangunkan
alam sekitar. Teknologi hijau adalah pembangunan dan aplikasi produk, peralatan
serta sistem untuk memulihara alam sekitar dan sumber semula jadi, dan
meminimumkan kesan negatif daripada aktiviti manusia.
Teknologi
hijau merujuk produk, peralatan atau sistem yang memenuhi kriteria seperti
meminimumkan degradasi kualiti persekitaran, mempunyai pembebasan gas rumah
hijau yang rendah atau sifar, selamat untuk digunakan dan menyediakan
persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan, menjimatkan tenaga dan
sumber asli dan menggalakkan sumber yang boleh diperbaharui. Ia adalah
teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia
ada. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber
seperti tenaga, air dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu
produk.
Dasar
Teknologi Hijau
Dasar
Teknologi Hijau Negara (DTHN) dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak pada Julai 2009 dan menekankan aspek pemacuan pertumbuhan ekonomi negara
dan pembangunan mapan. Pembangunan mapan hendaklah memenuhi keperluan
masyarakat masa kini tanpa mengabaikan keperluan generasi akan datang. Ia
adalah berasaskan empat tunggak iaitu tenaga, alam sekitar, ekonomi dan sosial.
Dari aspek tenaga, teknologi hijau mencari kaedah untuk mengurangkan penggunaan
tenaga dan pada masa sama mempromosikan kecekapan guna tenaga. Dari aspek alam
sekitar, kesan kepada alam sekitar dapat diminimumkan dan dipelihara. Dari
aspek ekonomi, teknologi hijau meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui
penggunaan teknologi. Dari segi sosial pula, kualiti hidup rakyat dapat
dipertingkatkan. Seperti kita semua sedia maklum, pemanasan global dikaitkan
dengan kenaikan suhu dunia. Dunia dikatakan semakin hari semakin panas. Kenaikan
elemen suhu di seluruh dunia ini berkait rapat dengan aktiviti manusia yang
mengganggu keseimbangan sistem bumi khususnya sistem atmosfera.
Fenomena
pemanasan global
Dari sudut
imbangan haba, fenomena pemanasan global memberi makna wujudnya
ketidakseimbangan dalam bajet haba. Input haba diterima oleh sistem bumi
berlebihan berbanding outputnya. Justeru, kenaikan suhu pada semua skala sama
ada mikro atau makro. Mengikut Profesor James G Titus dari Agensi Perlindungan
Alam Sekitar Amerika Syarikat: 'Terdapat peningkatan suhu dunia antara 0.4
hingga 0.5 darjah Celsius pada setiap lima tahun bermula pada tahun 1952.
Dianggarkan antara tahun 1990 hingga 2025 suhu dunia akan meningkat antara 0.8
hingga 3.6 darjah Celsius.' Pemanasan global terjadi melalui dua mekanisme
penting iaitu melalui kesan rumah hijau dan juga penipisan lapisan ozon.
Walaupun terdapat punca semulajadi, tetapi aktiviti manusia lebih banyak
menyumbang terhadap kedua-dua mekanisme di atas. Kesan rumah hijau banyak
disumbangkan oleh gas karbon dioksida.
Lantaran itu
penekanan terhadap 'teknologi hijau' adalah alternatif tepat dalam menangani
masalah kesan rumah hijau ini selaras dengan agenda utama kerajaan seluruh
dunia pada masa kini yang memberi keutamaan kepada isu alam sekitar khususnya
fenomena perubahan cuaca. Kita sebagai penduduk dunia perlu bertanggungjawab
untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjadikan dunia ini tempat yang
lebih baik. Seperti yang kita tahu, teknologi hijau adalah aplikasi sains alam
sekitar untuk memulihara sumber dan alam semula jadi bagi menangani impak
negatif aktiviti manusia seperti pengeluaran asap hitam yang membahayakan oleh
kilang, penggunaan bahan bakar kenderaan bermotor, pemusnahan alam semula jadi,
pencemaran sungai, pelepasan karbon ke udara dan sebagainya. Teknologi hijau
adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding teknologi sedia
ada.
Untuk
menggalakkan pembangunan aktiviti teknologi hijau, kerajaan telah menyediakan
insentif berikut:
1) Dalam
Bajet 2010 memperuntukkan RM1.5 billion sebagai pinjaman mudah kepada pengeluar
serta pengguna Teknologi Hijau di seluruh Negara melalui Skim Pembiayaan
Teknologi Hijau (GTFS);
2) Pemilik
bangunan yang memperoleh sijil Indeks Bangunan Hijau (GBI) mulai 24 Oktober
2009 hingga 31 Disember 2014 diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan
perbelanjaan modal tambahan bagi memperoleh sijil berkenaan;
3) Pembeli
rumah yang memperoleh sijil GBI daripada pemaju hartanah diberi pengecualian
duti setem ke atas surat cara pindah milik; dan
4) Jumlah
pengecualian adalah bersamaan dengan kos tambahan bagi memperoleh sijil
berkenaan. Pengecualian ini adalah layak bagi pembeli yang menyempurnakan
perjanjian jual beli mulai 24 Oktober 2009 hingga 31 Disember 2014.
Umumnya,
teknologi hijau memfokuskan kepada empat kebaikan. Dari aspek tenaga, teknologi
hijau diharapkan dapat membantu mencari ketidakbergantungan tenaga dan
mempromosikan kecekapan tenaga negara. Teknologi hijau merangkumi sumber tenaga
seperti angin, air, solar, hibrid dan lain-lain yang bersumberkan alam semula
jadi. Teknologi hijau terbukti lebih cekap kerana ia boleh menjana tenaga dalam
pelbagai keadaan dengan kos murah, selamat dan mesra pengguna. Ini dapat
dibuktikan melalui pengalaman dan amalan di negara maju yang telah membangunkan
industri ini sejak sekian lama. Teknologi hijau dapat membantu memulihara dan
meminimumkan kesan buruk kepada alam sekitar. Pencemaran udara, air, bunyi dan
sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat jika dibiarkan berterusan.
Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar
adalah minimum. Ia dapat meningkatkan dan melindungi ekosistem dan kepelbagaian
hidup, meningkatkan kualiti udara dan air, mengurangkan pembuangan bahan
tercemar dan melindungi sumber semula jadi.
Dari aspek
ekonomi, teknologi ini mampu meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui
penggunaan teknologi dan meningkatkan kualiti hidup untuk semua kehidupan
manusia dan biodiversiti umumnya. Teknologi hijau mempunyai potensi besar dalam
memacu pembangunan negara. Ia dapat membantu mengurangkan kos operasi,
meningkatkan nilai aset dan keuntungan. Teknologi ini juga dapat meningkatkan
produktiviti dan kepuasan pekerja. Industri yang menggunakan atau membangunkan
produk berhubung teknologi hijau dapat menyediakan peluang pekerjaan untuk
masyarakat tempatan. Prestasi kitar hidup ekonomi juga dapat dioptimumkan. Kita
boleh juga meneroka peluang mengeksport produk 'hijau' yang telah kita
hasilkan. Pasaran untuk teknologi dan produk hijau amat besar, khususnya dalam
sektor tenaga boleh diperbaharui. Contohnya, industri solar photovoltaic telah
dikenal pasti sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru untuk Malaysia.
Dari segi
komuniti, teknologi hijau dapat meningkatkan kualiti udara, terma dan bunyi
persekitaran. Contoh, penggunaan kereta enjin hibrid. Hal ini dapat
meningkatkan keselesaan dan kesihatan penghuni bandar, mengurangkan masalah
infrastruktur tempatan dan meningkatkan kualiti hidup. Antara bangunan hijau di
Malaysia ialah Pusat Tenaga Malaysia (PTM), iaitu bangunan hijau berkonsepkan
bangunan tenaga rendah dan mesra alam, selain dilengkapi sistem building
integrated photovoltaic (BIPV) yang mesra alam kerana tidak mencemar selain
mengurangkan penggunaan tenaga daripada sumber bahan api fosil. Tonggak utama
DTHN meliputi tenaga, alam sekitar, ekonomi dan sosial. Walau bagaimanapun,
kesungguhan kerajaan menggerakkan pembangunan dan penggunaan teknologi hijau
tidak akan menghasilkan impak yang diharapkan tanpa bantuan dan kesedaran
rakyat. Berikutan itu, dana sebanyak RM20 juta diperuntukkan kerajaan untuk
memperhebat aktiviti kesedaran rakyat mengenai perlunya menghijaukan
persekitaran dan mengamalkan budaya hidup yang mesra alam. Ini selaras dengan
strategi pelaksanaan DTHN iaitu mempertingkat promosi dan kesedaran awam
mengenai teknologi hijau dan kepenggunaannya.
Langkah
kerajaan memajukan teknologi hijau
Usaha ini
juga sejajar dengan keputusan mewujudkan dana berjumlah RM1.5 bilion dalam
memajukan pembekalan dan penggunaan teknologi hijau. Melalui dana ini, syarikat
pengeluar dan pengguna teknologi hijau dapat membuat pinjaman untuk membiayai
aktiviti yang menyokong pertumbuhan industri teknologi hijau. Pinjaman maksimum
untuk syarikat pengeluar sehingga RM50 juta dan syarikat pengguna sehingga RM10
juta membuktikan bahawa kerajaan benar-benar komited memajukan industri ini. Kerajaan
turut menanggung dua peratus daripada jumlah kadar faedah pinjaman tersebut
dengan nisbah jaminan 60 peratus dan institusi perbankan 40 peratus. Permohonan
pinjaman pula boleh dibuat melalui Pusat Teknologi Hijau Negara. Skim ini yang
berkuat kuasa pada 1 Januari 2010 memberikan faedah kepada lebih daripada 140
syarikat. Beberapa langkah diambil memperkukuh struktur pelaksanaan dan
pembangunan teknologi hijau serta mengantarabangsakan potensi penggunaannya.
Misalnya,
dalam Bajet 2010 kerajaan menstrukturkan semula Pusat Tenaga Malaysia menjadi
Pusat Teknologi Hijau Negara. Pusat ini bertanggungjawab sepenuhnya dalam
menyediakan pelan tindakan pembangunan teknologi hijau dan berperanan sebagai
agensi yang menetapkan piawaian dan mempromosi teknologi hijau. Strategi
mewujudkan persekitaran kondusif bagi pembangunan teknologi hijau juga penting.
Strategi ini pastinya tidak berjaya dilaksanakan tanpa instrumen ekonomi yang
inovatif. Strategi ini juga sukar dilaksanakan tanpa sebarang dana untuk
menggalakkan usaha merancakkan promosi terutama untuk menarik pelaburan
langsung asing dalam industri teknologi hijau dan merangsang pelaburan langsung
domestik industri tempatan.
Strategi
mewujudkan persekitaran kondusif ini penting dalam usaha menjadikan Malaysia
pangkalan teknologi hijau serantau khususnya bagi tenaga yang boleh
diperbaharui seperti teknologi solar fotovoltanik. Begitu juga galakan fiskal
dan peruntukan bajet diperlukan untuk melaksanakan program latihan dan
pendidikan bagi merangsang pembangunan modal insan dalam industri teknologi
hijau. Selain itu, dana juga diperlukan bagi menyediakan bantuan kewangan dan
insentif untuk menggalakkan pelajar di institusi pengajian tinggi memilih
bidang pengajian yang berkaitan dengan teknologi hijau. Kejayaan DTHN turut
dipengaruhi ketelusan dan kecekapan pentadbiran dan pengurusan pelaksanaan.
Sehubungan itu, strategi membabitkan langkah memperkukuh rangka kerja pada
peringkat institusi seperti kementerian, agensi, sektor swasta, dan pihak yang
berkepentingan.
Untuk
menjayakan strategi ini, kerajaan menubuhkan Majlis Teknologi Hijau yang
bertujuan memastikan penyelarasan pada peringkat tertinggi bagi
mengimplementasikan dasar yang cekap. Majlis ini dipengerusikan Perdana Menteri
dan Timbalan Perdana Menteri secara bergilir-gilir. Kementerian Tenaga,
Teknologi Hijau dan Air pula memainkan peranan utama menyelaras dan mempermudah
peranan semua pihak berkepentingan demi kejayaan pelaksanaan teknologi hijau. Aplikasi
Teknologi Hijau adalah selaras dengan konsep pembangunan mapan yang mana
pembangunan dilaksanakan perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan
keperluan generasi masa depan. Sehubungan itu, kita bertanggungjawab memastikan
generasi akan datang dapat sekurang-kurangnya menikmati kualiti kehidupan yang
kita peroleh sekarang atau kualiti lebih baik dari sekarang.
1 ulasan:
Cikgu, Apakah kaitan teknologi hijau dengan bangunan hijau?
Catat Ulasan