Ali
Sastroamijoyo pernah berkata keinginan belajar adalah benih kemajuan, tetapi
keinginan belajar sahaja tanpa tenaga membangun adalah seumpama baling-baling,
tiada mempunyai kemudi. Maknanya, jika kita ingin meneruskan pelajaran ke
peringkat yang lebih tinggi selepas SPM, kita harus sedar bahawa jalan itu semakin
sukar dan berliku. Semua tahap pembelajaran, bukan Tingkatan 6 sahaja, tahap
kesukarannya adalah sama. Pembelajaran di Tingkatan 6 berasaskan corak STPM
Baharu amatlah menguntungkan pelajar. Pensyarah-pensyarah Tingkatan 6 di
seluruh negara sentiasa aktif memainkan peranan untuk membantu pelajar
mendapatkan keputusan yang terbaik. Merekalah ibu, merekalah ayah, merekalah
abang, merekalah kakak yang mendidik dan menasihati tanpa mengira waktu.
Kegagalan pelajar merupakan perkara yang amat merisaukan mereka. Oleh itu,
mereka sanggup mengadakan kelas tambahan dan melaksanakan penambahbaikan Kerja
Kursus dengan tujuan keputusan STPM pelajar-pelajar mereka cemerlang di
penghujung Penggal 3.
Sebenarnya,
jika pelajar-pelajar yang belajar di Tingkatan 6 bersikap rajin dan tekun dalam
masa setahun setengah, insyallah keputusan STPM mereka akan cemerlang malahan
mungkin mereka akan mendapat keputusan yang di luar jangkaan iaitu mendapat
semua A dalam semua subjek! Hal ini bukanlah mustahil kerana bimbingan guru
amat padu dan jitu. Situasi ini tidak boleh dijumpai di mana-mana kolej mahupun
universiti. Kegagalan seseorang sebenarnya berpunca daripada sikap malas dan
cuai yang sukar dikikis daripada diri mereka. Atas alasan itu, golongan ini
mengambil jalan mudah dengan menuduh “mereka gagal dalam peperiksaan STPM
disebabkan skop pembelajarannya luas dan sukar untuk dikuasai”. Tuduhan melulu
ini akhirnya berjangkit dari satu bibir hingga ke ribuan bibir yang lain wahal
berdasarkan STPM Baharu, tidaklah sesusah yang dijangka! Anak-anak didik kita
hari ini sebenarnya terlalu manja, apabila berhadapan dengan sedikit kesusahan
mereka akan mudah berputus ada dan membuat keputusan untuk memilih jalan lain
yang lebih senang tanpa membuat pertimbangan tentang baik dan buruknya pilihan
itu.
Pilihlah
laluan untuk meneruskan pelajaran di Tingkatan 6 demi masa depan yang lebih
baik. Percayalah, laluan kerjaya dan masa depan akan lebih tersuluh dan cerah
jika anda mendapat keputusan yang cemerlang dalam STPM. Sesungguhnya, selama
ini kita terlalu leka dengan godaan sekeliling sehingga tidak nampak sinar
nilam di sebalik terangnya neon yang memancar di siang hari. Suatu ketika,
apabila kita sedar, kita menoleh lagi, sinar nilam itu telah pun malap kerana
ketulan nilam itu telah dikutip oleh orang lain yang tajam pengelihatannya.
Kita tercari-cari namun pencarian itu hanya menemukan kita dengan jalan buntu
yang acap kali menyebabkan kita berasa kehilangan sesuatu. Itulah kita. Itulah sikap
kita. Ubahlah pemikiran. Pilihlah untuk masuk ke Tingkatan 6.
Cetusan hati
seorang guru,
Zulkarnain
Farihin
SMK Sacred
Heart
Sibu,
Sarawak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan