Kerja Kursus yang diperkenalkan dalam STPM
Baharu banyak keistimewaannya kepada pelajar-pelajar Tingkatan 6. Pada mulanya,
kita mendengar pelbagai keluhan daripada pelajar dan guru tentang Kerja Kursus
terutamanya pelajar-pelajar dan guru-guru subjek Bahasa Melayu yang terpaksa
melaksanakan dua Kerja Kursus iaitu Bahasa Melayu Kertas 4 (Penulisan Esei
Berformat) dan Bahasa Melayu Kertas 5 (Penulisan Esei Ilmiah). Walau
bagaimanapun, sebaik sahaja keputusan penuh STPM Kohot 1 dikeluarkan pada tahun
2013, ramai guru dan pelajar mula sedar bahawa Kerja Kursus banyak membantu
pelajar mendapatkan gred yang lebih cemerlang. Niat murni pihak Majlis
Peperiksaan Malaysia (MPM), memperkenalkan elemen Kerja Kursus atau nama
lamanya Pentaksiran Berasaskan Sekolah memang tepat pada masanya!
Pelaksanaan Kerja Kursus di peringkat
Tingkatan 6 berdasarkan konsep ajar, pantau, dan bimbing. Mula-mula cikgu akan
mengajar dan berbincang dengan pelajar tentang sesuatu kerja kursus. Dari
semasa ke semasa, selepas penyemakan,
pelajar diberi peluang untuk melakukan penambahbaikan supaya pencapaian mereka
dapat ditingkatkan. Oleh itu, jurang antara pelajar pandai dan pelajar
sederhana tidak jauh bezanya. Semua pelajar diberikan peluang yang sama rata
untuk mendapatkan markah terbaik sesuai dengan kemampuan dan kebolehan mereka.
Kemudian, di penghujung penggal 3, markah Kerja Kursus akan dikira bersama-sama
dengan markah ujian bertulis. Impaknya, ramai pelajar yang lemah dalam ujian
bertulis mampu tersenyum bangga kerana markah keseluruhan yang mereka peroleh
bagi sesuatu subjek amat baik.
Kesungguhan guru membantu pelajar untuk
mendapatkan markah penuh dalam kerja kursus wajar diberikan pujian. Hal ini
dikatakan demikian kerana mereka sanggup menghabiskan banyak masa untuk
membimbing pelajar menyiapkan kerja kursus. Tidak ada seorang pun pelajar yang
tersisih daripada dibimbing. Terdapat guru yang sanggup berkejar ke sana dan ke
mari semata-mata untuk memujuk pelajar kesayangan mereka melakukan
penambahbaikan kerja kursus. Situasi ini amat berbeza dengan pelaksanaan kerja
kursus di institusi pengajian tinggi atau kolej. Pensyarah hanya perlu
memberikan tajuk tugasan dan pelajar dibiarkan bersendirian melaksanakan
tugasan tersebut sehingga tarikh tutup. Betul atau salah, tidak ada yang memperbetul
dan menegur. Yang penting tugasan tersebut dihantar tepat pada masanya, dan
markah akan diberikan selepas itu! Pelajar-pelajar Tingkatan Enam amatlah
beruntung kerana mereka dibimbing dari A hingga Z untuk menyiapkan kerja
kursus.
Sedarlah bahawa dengan adanya kerja kursus
keputusan STPM pelajar-pelajar akan menjadi lebih baik. Keputusan yang baik
menjamin peluang lebih cerah untuk masuk ke menara gading. Percayalah,
pembelajaraan di Tingkatan Enam menjadi lebih mudah dengan adanya kerja kursus.
Cetusan hari seorang guru
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sacred Heart, Sibu
Sarawak
Cetusan hari seorang guru
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sacred Heart, Sibu
Sarawak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan