Rencana ini ditulis oleh :
DATUK DR. AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Pandangan seorang lelaki terhadap wanita lanjut umur - 35 tahun ke
atas - rugi kerana tidak berpeluang hidup berumahtangga dan kupasan Fauziah
Arof tidak salah dengan fenomena tersebut kerana setiap wanita memikirkan
kebahagiaan daripada segala-galanya. (Syed Abdulllah Syed Othman Jamalullail,
Longgarkan syarat berpoligami dan Fauziah Arof, Hanya Memudahkan Poligami,
bukan misi penyelamat, Utusan Malaysia, 16 dan 17 Oktober, 2012). Bagi Fauziah,
tidak salah seorang wanita yang bekerjaya lebih berhati-hati dalam memilih
pasangannya kerana tidak mahu kecundang akibat tersalah pilih. Atas sikap
hati-hati dan berwaspada itulah ada menyebabkan wanita sukar memperoleh
pasangan lelaki yang baik kerana calon-calon semakin berkurangan ataupun tidak
mahu terjerat dalam putaran berkongsi suami.
Sementara itu, bagi Syed Abdullah, seperti kebanyakan lelaki
normal bercakap tentang keinginan dengan harapan dapat melihat fenomena andartu
dikurangkan walaupun tidak dapat dihapuskan sepenuhnya secara mutlak. Islam
memberikan kebenaran untuk berpoligami dengan syaratnya dan bukanlah sebagai
terjahan naluri 'ego' kerana wujud perspektif seseorang yang berkahwin lebih
dari seorang pada suatu masa 'hebat' kerana berjaya menakluki dan mencairkan
hati lebih seorang wanita. Persoalan yang ditetapkan oleh agama tidak menjadi
pertimbangan utama kerana konsep keadilan itu juga telah dipersimpangkan
sebagai 'sama rata, sama rasa'. Contoh yang jelas ialah bagaimana Fauziah
melihat keadilan itu antaranya, "pembahagian giliran, pembahagian nafkah
dan sebagainya."
Bagaimanapun Fauziah melihat perspektif selanjutnya iaitu perasaan
perempuan bekerjaya takutkan lelaki mengambil kesempatan atas kedudukan itu
kerana pada masa sekarang memang sukar untuk mencari lelaki jujur dan ikhlas
dalam perkahwinan. Wanita menjadi sedikit gusar apabila kadar penceraian kian
bertambah dan ini memeritkan ramai orang kerana perkahwinan itu mudah tetapi
hidup bersama hingga ke akhir hayat teramat payah. Sebelum Islam, konsep
berpoligami banyak berkisar atas keinginan seseorang lelaki. Dunia seolah-olah
diterajui sepenuhnya oleh lelaki dan dikenali sebagai patriarki. Apabila Islam
diturunkan, poligami tidak diharamkan tetapi diletakkan syarat ketat, iaitu
berlaku adil.
Islam mengadakan peraturan perkahwinan dan menggariskan batas
tertentu untuk poligami dan menjadikan bilangan paling banyak (maksimum) wanita
yang boleh dikahwini dalam satu-satu masa ialah empat orang dengan syarat
individu itu mempunyai kemampuan yang cukup serta boleh berlaku adil kepada
isteri-isterinya. Islam telah menentukan keperluan individu dan masyarakat dan
menentukan ukuran kepentingan kemaslahatan manusia seluruhnya. Hak lelaki
berpoligami dalam lslam bukan persoalan hak lelaki ke atas wanita. Tetapi, ia
adalah hak Allah SWT terhadap makhluk-Nya. Hak ini bukan dipaksakan Allah. Ia
peruntukan yang diharuskan dengan bersyarat ke atas lelaki yang ingin
berpoligami.
Ini bermakna, ada sebab yang munasabah Islam memberikan
kelonggaran untuk lelaki berkahwin lebih seorang dan tidak boleh berlandaskan
naluri seks semata-mata sebagaimana menjadi faktor lelaki masa kini menambah
bilangan isteri. Apakah cadangan Syed Abdullah itu dibuat dengan alasan untuk
"menyempurnakan kehidupan berumah tangga kepada setiap wanita"
manakala Fauziah tidak bersetuju kelonggaran syarat kerana ramai lelaki suka
mengambil kesempatan. Wanita semakin sedar, dirinya bukanlah objek yang mudah
dipergunakan kerana kesedaran muncul dalam diri, tidak bererti hidup membujang
itu sesuatu yang salah dan tidak bahagia.
Menurut Maulana Wahidudin Khan, "Perintah poligami, meskipun
nampaknya lazim dipraktikkan, hanya diberikan sebagai solusi bagi mengatasi
masalah sosial yang serius. Poligami memberi jalur bagi jumlah perempuan yang
berlebih untuk dapat menyelamatkan diri daripada anarki seksual, dan untuk
dapat mempunyai kehidupan keluarga yang stabil dan layak. Ertinya, di sini
bukan masalah menerima poligami ketimbang monogami, melainkan memilih antara
poligami dan anarki sosial."( Antara Islam dan Barat: Perempuan di Tengah
Pergumulan, 2001:240-241) Nyatalah bahawa perspektif poligami yang dibenarkan
oleh Islam secara teorinya seolah-olah memberikan kelebihan kepada lelaki,
tetapi jika dianalisis dalam perspektif struktur masyarakat, poligami lebih
menguntungkan wanita, merupakan jalan keluar terbaik bagi menghindari masalah
perempuan dan memenuhi keperluan sosial.
Poligami menimbulkan pelbagai prasangka apabila kelonggaran itu
dilihat sebagai 'kontra budaya' oleh gerakan feminisme yang secara lantangnya
diwujudkan oleh wanita profesional dan terlibat dalam gerakan buruh pada
1960-an. Mereka memperjuangkan persamaan gender sehingga merosakkan
persekitaran moral dan kehidupan bermasyarakat kerana menilai institusi
keluarga sebagai "bagasi kehidupan yang semakin berat dan sarat." Gerakan
feminisme sentiasa berjuang secara bertentangan dengan kelaziman sehingga
menganggap hidup keseorangan tanpa berkeluarga itu adalah perubahan yang mesti
dihormati oleh semua orang. Ia adalah pilihan yang wajib dihormati. Bagi
membangunkan keluarga memerlukan kesiapan mental, fizikal dan ilmu. Itulah
sebabnya ada ketetapan bahawa sebelum berkahwin perlu menjalani kursus
praperkahwinan, tetapi setelah berkeluarga tidak disyaratkan pula menjalani
kursus keibubapaan.
Itulah sebabnya, banyak keluarga berantakan manakala perkahwinan
semakin bermasalah sehingga dari segi statistiknya amat mencemaskan. Rasa takut
sebenarnya punca mengapa ramai mengambil keputusan untuk melewatkan perkahwinan
dan kecenderungan ini semakin membesar dalam masyarakat. Contohnya, hasil Banci
Penduduk dan Perumahan 2010, 2.5 juta jumlah penduduk berusia lebih 25 tahun
masih belum berkahwin, yakni 60.4 peratus adalah lelaki berbanding 39.6 peratus
adalah wanita. Masyarakat masih melihat, fenomena lelaki lambat kahwin bukanlah
masalah besar berbanding dengan wanita. Dapatan Kajian Penduduk dan Keluarga
Malaysia Ke-4 (2004), hampir separuh lelaki memberikan jawapan faktor yang
melambatkan mereka berkahwin ialah masalah kewangan (44.7%), kemudian diikuti
tiada calon yang sesuai (19.3%), kerjaya (12.8%), komitmen keluarga (6.3%) dan
sebab-sebab lain.
Wanita belum berkahwin kerana tiada calon yang sesuai (40%),
masalah kewangan (14%), kerjaya (8.4%), selesa hidup membujang (8.4%), komitmen
keluarga (7.4%) dan sebagainya. Dapatan ini memberikan pemahaman faktor calon
merupakan masalah yang kritikal bagi wanita manakala bagi lelaki ialah
kewangan. Lelaki mula merasakan agak perit untuk berkahwin kerana belanja
kahwin semakin meningkat hingga ada ketikanya keluarga perempuan meletakkan mas
kahwin melebih RM10,000 atas alasan, perlu dinaikkan kerana nilai wang semakin
kecil dan kos sara hidup semakin tinggi. Perkahwinan yang mahal dan besar,
penuh gemilang bukanlah jaminan memperoleh bahagia. Oleh itu, perlu realistik
dalam membuat pilihan pasangan, meletakkan mas kahwin dan hantaran, majlis
kenduri dan resepsi. Idealisme tidak dapat dipenuhi sepenuhnya bahkan idealisme
tidak pernah menghasilkan kejayaan secara total.
Perkongsian dalam keluarga mestilah bermula dengan keazaman kuat
membina keluarga bahagia dengan menepis ego dan merapatkan jurang perbezaan
psikologi. Tidak perlu terikut-ikut dengan gaya perkahwinan selebriti dan nilai
budaya feminisme, kerana pengaruh itulah banyak menjadikan pasangan rapuh dan
rawan penceraian. Apa pun, sepatutnya kita perlu menyatakan pendirian yang
sederhana dalam menanggapi masalah poligami ini. Kita tidak perlu melenting
kuat dan menolak serta-merta sekiranya poligami menjadi pilihan terakhir bagi
menyelesaikan masalah keluarga mahupun masalah sosial. Pasti ada hikmah yang
terkandung di dalamnya. Kita juga tidak boleh menerima secara total
implementasi poligami yang mempunyai peluang besar untuk disalah guna oleh kaum
lelaki dan disalah erti maksud sebenar tujuan poligami. Perlu ada sebab musabab
kuat yang tidak boleh dicari jalan keluarnya bagi membolehkan poligami
dilaksanakan.
Kalaulah persekitaran itu dapat dicemerlangkan, maka fenomena
berkahwin di lewat tempoh kesuburan berjaya dikurangkan. Persoalan poligami
bukanlah masalah besar kerana seorang suami akan merasakan dosa yang besar
apabila gagal berlaku adil ke atas isteri-isterinya. Poligami mempunyai
kemanisannya jika berjalan secara bijaksana, tetapi kebanyakannya menjadi
'neraka' jika ia diasaskan atas keinginan seksual dan berlangsung tanpa restu
isteri pertama. Kemampuan kewangan haruslah menjadi ukuran kerana sebagai
seorang lelaki, adalah dayus jika mengharapkan isteri menyara kehidupan
berkeluarga, kecualilah dalam keadaan suami berhadapan dengan penyakit dan
kecacatan fizikal (atau mental). Lelaki mestilah kembali menjadi kelompok yang
kuat, sihat dan perkasa (fizikal dan mental) bukan hanya bermain sandiwara
memikat wanita cantik dan berkerjaya.
Maka setiap orang yang berhasrat berpoligami, sama ada atas alasan
lewat usia dan keinginan berkeluarga serta cabaran budaya atau masyarakat
hendaklah menghormati apa sebenarnya institusi keluarga. Ia bukanlah
perhitungan berdasarkan idealisme semata-mata, ia amalan yang amat memerlukan
kesabaran, kebijaksanaan dan hakisan sempadan ego diri.
Sumber
Utusan Malaysia
19 Oktober 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan