Muhammad Al-Azim
Othman
Penulis mahasiswa
Diploma Komunikasi dan Media,
Universiti Teknologi
Mara, Melaka.
Zaman moden ini
terlalu banyak teknologi dibangunkan bagi membantu dan memudahkan kerja manusia
sekali gus memberi perubahan dan impak besar dalam kehidupan seharian. Dapatkah
anda bayangkan kehidupan tanpa teknologi seperti dinikmati hari ini? Remaja tanpa facebook, pelajar tanpa komputer
dan dunia tanpa satelit. Teknologi maklumat, ketenteraan, pengangkutan,
pembuatan dan makanan menyumbang terhadap kemaslahatan manusia sejagat. Lihat saja impak revolusi perindustrian pada
masa kini jika dibandingkan pada 80-an. Wang memainkan peranan penting dalam
kehidupan masyarakat masa kini berbanding dua dekad lalu kerana dengan kuasanya
kita boleh mengecapi setiap aspek perkembangan teknologi pada masa ini. Sukar
dinafikan namun kita tidak perlu bergerak banyak untuk melakukan sesuatu kerja.
Untuk berkomunikasi, memesan makanan dan menyiapkan proses transaksi, ia boleh
dilakukan di hujung jari.
Rutin harian kita
menjadi lebih cepat, mudah dan cekap jika dibandingkan dengan masa dulu. Masa
dan teknologi mempunyai perkaitan relatif. Teknologi memudah dan mempercepatkan
penyelesaian tugas manusia meskipun setiap penemuan atau pembaharuan terpaksa
melalui proses pelaburan yang besar. Lihat saja bagaimana pelajar masa kini
banyak bergantung pada bantuan teknologi seperti Internet untuk mencari
maklumat. Maklumat berada di hujung jari
dan serba pantas berbanding masa dulu kita terpaksa berhempas pulas dengan
timbunan buku tujuan pendidikan. Kehidupan
sosial manusia juga terjejas kerana teknologi. Teknologi komunikasi yang
diledakkan dengan penciptaan pelbagai alat komunikasi seperti telefon pintar,
komputer dan penciptaan laman sosial menghubungkan secara pantas tanpa
sempadan. Malangnya, di sebalik
kepantasan itu, ia meninggalkan kesan sampingan seperti masalah sosial yang
meningkat secara drastik hingga memeningkan masyarakat.
Kajian pakar sains
perhubungan dari Universiti Cornell, New York, Profesor Steven Strogatz
menyatakan garisan yang membezakan antara rakan maya dan rakan sebenar semakin
kabur. Ini mengakibatkan manusia hilang
pertimbangan dalam memberikan perhatian sewajarnya terhadap fungsi kehidupan
realiti mereka. Manusia memperuntukkan banyak masa melayari laman sosial
berbanding bergaul sesama ahli keluarga, jiran dan komuniti setempat. Ini
menunjukkan teknologi komunikasi dan laman web sosial menyebabkan manusia malas
bergaul dan hanya bersama teman maya mereka saja. Malah, gaya hidup manusia di
luar rumah juga semakin terhakis kerana seluruh kehidupan kita mula berubah
kepada tabiat kurang baik seperti terperap di rumah. Bayangkan dengan hanya
menekan butang alat kawalan jauh untuk menukar siaran televisyen, menghidupkan
pendingin hawa, membuka pintu dan sebagainya menjadikan manusia semakin liat
untuk sihat juga semakin malas serta lesu. Kembali kepada perkara yang paling
asas, teknologi dicipta untuk memudahkan manusia melakukan pekerjaan. Namun
kini timbul stigma teknologi menjadikan manusia malas. Ironinya , kita
menyalahkan teknologi padahal kita yang mencipta teknologi.
Perkara sebenarnya
amat nyata iaitu manusia memang malas dan mereka cuba mengelak melakukan kerja
berat dengan mencipta teknologi. Jadi, secara dasarnya teknologi dicipta untuk
manusia yang malas. Wajarkah teknologi dijadikan penyebab atas sifat malas
manusia atau adakah manusia boleh berubah menjadi rajin tanpa teknologi?
Sumber
Harian Metro
2 Oktober 2012
1 ulasan:
Amat mmbantu sngt2
Catat Ulasan