Rencana ini ditulis
oleh :
NIZAM YATIM
Pada Selasa ini, 11
September 2012, satu peristiwa bersejarah bakal dilakarkan apabila dilancarkan
laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025. Laporan awal itu
yang akan dilancarkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bertujuan menghasilkan modal insan unggul,
kreatif, berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat antarabangsa
melalui sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia. Selepas
pelancaran laporan awal dalam bentuk dokumen itu yang mengandungi pandangan,
cadangan dan maklum balas untuk mempertingkatkan sistem pendidikan negara, ia
akan dipaparkan untuk dilihat orang ramai. Orang ramai boleh meneliti dokumen
awal tersebut dan mengemukakan pelbagai cadangan tambahan sebelum ia
dimuktamadkan pada penghujung tahun ini.
Sebahagian daripada
cadangan itu diperoleh daripada Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 yang
telah diadakan di seluruh negara dengan dipengerusikan oleh bekas Ketua
Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Wan Mohd. Nordin. Sesi dialog
itu telah membolehkan segenap lapisan masyarakat seperti golongan petani,
pemandu teksi, pekerja kilang, peniaga, warga pendidik hinggalah kepada
pelbagai latar belakang kumpulan profesional mengemukakan cadangan. Selain
dialog, pandangan juga diperoleh melalui Twitter, Facebook dan laman-laman web.
Ia juga mengambil kira pandangan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Bank Dunia, hasil kajian 12 panel
bebas, empat panel antarabangsa yang dilantik, laporan daripada enam Institusi
Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan sembilan makmal pendidikan.
Dokumen awal PPP itu
akan memaparkan pelbagai cadangan yang melibatkan sembilan bidang utama yang
dianggap kritikal untuk mentransformasi pendidikan negara dan perlu diberikan
perhatian oleh kerajaan. Pertama, memartabatkan profesion keguruan. Untuk itu,
Kementerian Pelajaran akan memberi fokus kepada usaha meningkatkan kualiti guru
melalui pengambilan calon-calon guru yang memiliki keputusan akademik cemerlang
serta meningkatkan kualiti latihan praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan untuk
guru. Di samping itu, kementerian akan menambah bilangan guru dengan nisbah
satu guru bagi setiap 13 murid, iaitu melebihi purata antarabangsa satu guru
bagi setiap 16 murid. Kedua, meningkat kualiti kepimpinan sekolah. Antara
kaedah yang dilaksanakan adalah memberikan ganjaran kepada pengetua dan guru
besar yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam meningkatkan prestasi
sekolah. Ia juga melibatkan langkah memperkenalkan kaedah pemilihan pengetua
dan guru besar berasaskan merit dan pelan peralihan kepimpinan sekolah yang
berkesan.
Ketiga, meningkatkan
kualiti sekolah yang sekali gus akan meningkatkan kualiti pengajaran dan
pembelajaran. Antara ciri-ciri sekolah berkualiti adalah yang mempunyai
kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Untuk tujuan ini, kerajaan
akan meningkatkan kemudahan ICT kepada sekolah termasuk kemudahan jalur lebar
dan internet berkelajuan tinggi bagi memudahkan murid mengakses maklumat di
dunia maya. Keempat, memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran untuk
menyediakan modal insan abad ke-21. Keutamaan yang diberikan adalah untuk
membina satu kurikulum yang memenuhi piawaian antarabangsa dengan menekankan
aspek kemahiran kreatif, penyelesaian masalah dan inovasi yang merupakan ramuan
utama untuk melahirkan modal insan yang mampu untuk bersaing di peringkat
global.
Kelima, meningkatkan
penguasaan pelbagai bahasa di kalangan murid. Ia akan dilaksanakan tanpa
menjejaskan kepentingan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan
bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di negara kita. Langkah meningkatkan
penguasaan bahasa ketiga seperti Mandarin, Tamil, Arab dan bahasa-bahasa
antarabangsa lain adalah selaras dengan kemunculan kuasa baru ekonomi dunia
yang sebahagiannya bertumpu di negara-negara Asia. Keenam, menekankan
penglibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam
pendidikan. Satu aspek yang diberikan penekanan dalam kajian semula pendidikan
ini adalah peranan pihak berkepentingan di luar lingkungan sekolah untuk
berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha meningkatkan pencapaian murid.
Ketujuh, meningkatkan
kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran
kerja. Pelan pendidikan baru ini akan melengkapkan pelajar dengan ilmu dan
kemahiran yang akan membolehkan mereka memasuki pasaran kerja dalam sektor yang
berdaya saing. Untuk tujuan itu, di samping menguasai literasi dan numerasi,
murid-murid akan dilengkapkan dengan kemahiran abad ke-21 seperti kualiti
kepimpinan, kemahiran menyelesaikan masalah, pemikiran aturan tinggi (higher
order thinking) dan kebolehan berkomunikasi dengan berkesan. Kelapan,
memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber. Ini bermakna,
Kementerian Pelajaran akan mengurus sumber dengan cekap bagi mengelakkan
ketirisan dan pembaziran serta memastikan sumber diagih secara optimum agar
pulangan yang maksimum terhasil daripada setiap ringgit yang dibelanjakan untuk
pendidikan.
Kesembilan, membina
kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan. Ini bermakna, kualiti
kepimpinan dan susunan urus tadbir kementerian akan diberikan perhatian yang
utama dalam usaha untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan fungsi pegawai
di setiap peringkat. Ia akan melibatkan kira-kira 10,000 pegawai di peringkat
kementerian, 6,000 di peringkat negeri, 4,000 di peringkat daerah dan 420,000
guru di sekolah. Kepada orang ramai yang sedang menanti-nantikan pelancaran
laporan awal PPP, marilah kita sama-sama mengemukakan pelbagai cadangan membina
supaya ia menjadi pelan pendidikan yang melambangkan aspirasi rakyat
seluruhnya.
Bahan ini diperoleh
daripada :
Akhbar Utusan
Malaysia
08 September 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan