Rencana ini ditulis oleh :
Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia
Seringkali ketika berlangsungnya
temasya sukan yang besar, masing-masing sanggup bersengkang mata untuk menonton
dan memberikan sokongan walaupun di depan televisyen ataupun di pelbagai lokasi
strategik seperti kedai makan. Baik sukan bola sepak Piala Dunia ataupun bola
sepak liga Inggeris, Sepanyol dan Itali; lumba kereta F1, dan bola keranjang;
penyokongnya bukan sekadar di stadium atau litar perlawanan tetapi juga
ditonton merata dunia. Ini menunjukkan setiap sukan ada penyokong dan
peminatnya. Sukan Olimpik juga tidak terkecuali lebih-lebih lagi apabila jaguh
sukan negara turut bertanding. Sorakan demi sorakan diberikan atas nama wakil
negara tercinta, Malaysia. Bergegarnya ruang di luar kadang-kadang lebih meriah
dari dalam stadium apatah lagi ia diadakan di London sudah pasti turut menjadi
keterbatasan sokongan yang mahu diberikan.
Sekiranya ia diadakan di Malaysia,
saya percaya stadium akan dipenuhi untuk memberikan sokongan kepada Datuk Lee
Chong Wei ataupun Khairul Anuar mahupun Mohd. Azizulhasni Awang serta Pandelela
Rinong, Noraseela Mohd. Khalid, Nur Suryani Mohd. Taibi dan Peng Kean Yu.
Malaysia diwakili oleh 30 atlet dalam sembilan acara sukan di London 2012. Sukan
tidak pernah mengira latar belakang agama, keturunan, kepercayaan dan batasan
yang boleh menghalang interaksi antara pemain, penyokong, pengurusan dan massa.
Zaman bola sepak negara tahun 1980-an pasti tidak akan lupa kepada Allahyarham
Mokhtar Dahari, Hassan Sani, V Arumugam, Soh Chin Aun, James Wong, Torai Raju,
Wan Jamak, V Gunalan, Zainal Abidin dan Khalid Ali.
Walaupun tidak dinafikan sukan juga
menjadi ancaman provokasi perkauman sebagaimana yang berlaku dalam liga bola
sepak luar negara, namun seringkali kita melihat sukan akan menjadi alat
perpaduan dalam kalangan masyarakat umum walaupun mempunyai pelbagai perbezaan
termasuk fahaman politik masing-masing. Ketika Perang Dunia Kedua, sukan
menjadi alat untuk mengetepikan perbezaan masing-masing dan tempat penyatuan
negara-bangsa yang boleh bersama walaupun mempunyai latar belakang pemerintahan
dan struktur tadbir-urus berbeza. Sukan diakui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak bahawa ia merupakan medium perpaduan negara dan ia dekat dengan
diri beliau yang gemar sukan bola sepak. Najib pernah menjadi Menteri Belia dan
Sukan pada 1986 sehingga 1990 yang juga melihat perkembangan pesat dalam proses
membangun dan meningkatkan tahap aktiviti dan penyertaan sukan dalam kalangan
masyarakat.
Dasar Sukan Negara yang menjadi asas
memurnikan dan memakmurkan dunia sukan terbentuk sewaktu Najib memimpin
Kementerian Belia dan Sukan. Beliau juga menjadi 'penggerak' dalam mengkaji
semula fungsi Majlis Sukan Negara untuk melahirkan atlet bermutu dan
berkualiti. Beberapa insentif dan skim diperkenalkan termasuklah untuk
jurulatih, atlet dan staf sebagaimana menyediakan biasiswa sukan dalam dan luar
negara. Ini tidak ketinggalan program di peringkat sekolah seperti program Kem
Bakat dan Tunas Cemerlang untuk mengenal pasti kebolehan bersukan dari
peringkat awal lagi. Penglibatan Najib dalam sukan bersifat menyeluruh. Di
samping mengutamakan dasar dan pembentukan agenda pembangunan sukan, Malaysia
juga berjaya dari penganjuran sukan di bawah kepimpinan beliau. Ini termasuklah
Sukan Malaysia (Sukma) yang diperkenalkan olehnya dan kini menjadi temasya
sukan terbesar dalam negara. Sukma XV baru-baru ini diadakan di Pahang
bertemakan 'Sukan Menjana Perpaduan'.
Begitu juga dengan kejayaan menganjur
Sukan SEA 1989 yang melihat Malaysia memenangi pingat emas terbesar (69 pingat
emas) untuk sukan itu; yang juga merupakan pencapaian terbaik yang pernah
diduduki oleh Malaysia di arena antarabangsa. Di samping itu, dalam sukan
badminton, Malaysia melayakkan diri dalam perlawanan akhir Piala Thomas 1988
dan 1990; sejarah yang masih terpahat dalam pencapaian secara keseluruhan
aktiviti sukan negara. Sumbangan Najib diiktiraf di dalam negara apabila
menerima Anugerah Emas Kepimpinan SAM-Benson & Hedges 1983 sebagai menghargai
sumbangan dalam dunia sukan. Najib juga pernah dianugerahkan Ijazah Kehormat
Sains Sukan dari Akademi Sukan Amerika Syarikat kerana kewibawaan serta usaha
berterusan untuk meningkatkan tahap pembangunan sukan tempatan dan antarabangsa
sepanjang mentadbir Kementerian Belia dan Sukan.
Peranan kepimpinan arus perdana amat
penting dalam menerokai alam sukan sebagai alat perpaduan di samping nilai
komersial lain. Yang nyata, sokongan berterusan ke atas sukan akan membolehkan
kepelbagaian negara turut menjadi tumpuan. Ia boleh dibangunkan sebagai satu
industri yang membawa pulangan besar kepada negara dalam jangka panjang
terutama dalam sektor pelancongan dan pelaburan. Pemikiran bekas Perdana
Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melangkaui zaman dengan memperkenalkan litar
kereta F1 di Malaysia, menjadi penganjur lumba basikal Tour de Langkawi,
mengelilingi dunia dengan kapal layar, dan pendakian Gunung Everest;
menyemarakkan semangat 'Malaysia Boleh'. Imej negara terpapar di seluruh dunia
dan kesemua ini hanya dapat dilakukan jika negara terus kekal stabil,
masyarakatnya tidak terhakis semangat jati diri dan berjiwa Malaysia.
Perpaduan dalam negara yang rencam
menjadi indikator penting agar sukan tidak menjadi alat politik tetapi menjadi
alat 'penghubung' keseluruhan warganya. Sukan sebagai alat perpaduan harus
diketengahkan dengan lebih tersusun di pelbagai ruangan termasuk sekolah dan
kawasan penempatan. Pencapaian di kesemua peringkat yakni kampung, daerah,
negeri dan nasional serta antarabangsa mesti diperluaskan supaya Malaysia akan
menjadi gah sebagaimana Jepun dan Korea Selatan yang satu ketika dahulu di
belakang Malaysia. Mutu pencapaian di peringkat antarabangsa banyak bergantung
kepada organisasi dan bukan semata-mata atlet yang terlibat.
Apa gunanya atlet memiliki keupayaan
dan kecergasan tetapi permusuhan dalam organisasi menyebabkan atlet hilang
motivasi dan keazaman. Keistimewaan seseorang dalam sukan jangan disekat hanya
kerana kepentingan diri ke atas kedudukan dalam organisasi. Maka, perpaduan
bukan sekadar dalam kalangan masyarakat; tetapi juga segenap lapisan
stratifikasi kepimpinan dan organisasi sukan agar perpaduan tidak dikompromi
tetapi dijadikan sebagai benteng pembinaan jati diri menyeluruh. Ini kerana
sukan merupakan antara mekanisme penting dalam melentur semangat 'kekitaan'. Misalnya,
anugerah Kalung Perpaduan kepada Kelab Sukan Sportsunite oleh Jabatan Perpaduan
Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) menunjukkan komitmen kerajaan dalam
meningkatkan tahap penerimaan ke atas konsep Satu Malaysia.
Yang penting adalah usaha menganjurkan
karnival sukan termasuklah badminton, hoki, futsal, bola sepak, boling, bola
jaring, ping pong, taekwando, bola keranjang dan kabadi. Perpaduan sebegini
boleh diperpanjangkan ke dalam kehidupan harian kita. Dalam membangunkan
prestasi sukan, ia sekali gus juga dapat memaparkan usaha memupuk penerimaan ke
atas kepelbagaian sukan yang wujud dari masyarakat pelbagai etnik. Sukan mampu
memecah tradisi dominasi oleh sesuatu etnik terutama dengan penampilan
'kemajmukan' bukan sahaja dari segi penyertaan tetapi lebih dari itu,
menghargai dan mencipta 'semangat satu negara, satu Matlamat'.
Sukan mempunyai nilai murni yang boleh
melahirkan generasi cergas, sihat bukan sahaja dari segi fizikal dan rohani
tetapi keupayaan mengukuhkan kesejahteraan pelbagai masyarakat dalam memastikan
perpaduan terus utuh juga mampu menjadi sebahagian dari proses meraikan kepelbagaian
kelompok etnik yang ada di negara ini. Sukan adalah 'penjana' dalam
mempertahankan keharmonian, kemuafakatan dan perpaduan dalam kalangan
masyarakat negara ini di bawah prinsip 1Malaysia. Apabila Chong Wei melangkah
masuk ke gelanggang badminton pertandingan akhir sukan Olimpik, apakah yang
mahu kita lihat; bukankah kejayaan memenangi pingat emas pertama dalam sejarah
penyertaan Malaysia di Sukan Olimpik?
Sokongan padu dan harapan setiap warga
Malaysia pasti akan dihargai oleh beliau kerana Chong Wei bukan sekadar
mewakili dirinya tetapi beliau juga menjunjung semangat jati diri 28 juta
populasi Malaysia. Beliau dan atlet lain adalah milik Malaysia sebagaimana kita
mempunyai tanggungjawab mempertahankan apa sahaja yang boleh mengancam
keselamatan negara, biarlah 'yang ringan sama dijunjung, yang berat sama
dipikul' kerana kita rakyat Malaysia. Ia boleh dimanfaatkan secara berterusan
melalui sukan.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Tarikh : 07 Ogos 2012
Hari : Selasa
2 ulasan:
share
share
Catat Ulasan