Oleh NURUL ANUAR KARI
Program Galakan
Membaca merupakan satu usaha kerjasama pelbagai pihak yang diselia Perpustakaan
Negara Malaysia (PNM) bersama jabatan dan agensi kerajaan. Turut memberi
kerjasama, syarikat-syarikat swasta, persatuan penulis, penerbit, institusi
pengajian tinggi (IPT), sekolah serta orang perseorangan dalam melaksanakan
bermacam program secara berterusan. Secara bersama, tidak kurang daripada 8,000
program dijalankan setiap tahun di seluruh negara sejak 2009 dengan penglibatan
1.7 juta peserta pada 2009, lebih 600,000 peserta pada 2010 dan lebih 2 juta
peserta pada 2011. Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia juga menunjukkan
program galakan membaca yang bermula pada 2006 meningkatkan trend pembacaan rakyat
dari dua buku setahun pada 2005 kepada lapan hingga 12 buku setahun pada 2010.
Bagi memenuhi
kehendak membaca 'Generasi Y' pula, pembacaan menggunakan medium selain buku
seperti portal dan pangkalan data elektronik turut dibangunkan dengan 21.61
juta akses perkhidmatan atas talian pada 2010 berbanding 5.74 juta pada 2008. Ini
akan terus ditingkatkan PNM selaras dengan kemunculan pelbagai gajet elektronik
yang canggih di pasaran seperti komputer tablet dan telefon pintar yang
mempunyai aplikasi untuk mengakses bahan bacaan seperti e-book. Untuk terus
menggalakkan amalan membaca, PNM juga akan meneruskan program Ikon Membaca
sebagai kaedah menarik minat umum terhadap kempen tersebut melalui aura tokoh
dan idola ternama negara. Ketua Pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar
menjelaskan, sebelum ini Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie dan Datuk
Michelle Yeoh dipilih sebagai ikon bagi menggalakkan dan membudayakan amalan
membaca.
"Seorang
angkasawan negara, seorang lagi pelakon terkenal yang kedua-duanya berjaya
kerana mereka membudayakan membaca dalam mengejar cita-cita dan memenuhi
tanggungjawab kerjaya masing-masing. Melihat kesan nyata hasil penyertaan dua
tokoh itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais
Yatim mencadangkan negarawan kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad diangkat sebagai
Ikon Membaca Kebangsaan," katanya. Tambahnya, selepas berjumpa dan
menjelaskan tentang program itu, Dr. Mahathir akhirnya bersetuju demi menarik
minat membaca di kalangan rakyat. Walaupun cadangan tersebut dikemukakan pada
2010, beliau memaklumkan tarikh 14 Mei 2012 (hari ini) dipilih untuk perasmian
Ikon Membaca Kebangsaan kerana menunggu masa sesuai untuk semua pihak yang
terlibat. "Dr. Mahathir mempunyai serba serbi bakat hasil pembacaan
perkara kecil hingga yang besar, ringan dan berat, membolehkan beliau membuka
kedai roti dan pertukangan. Beliau membuat apa yang dibacanya. Jika tidak,
sukar untuk beliau menguruskan krisis ekonomi negara dahulu," katanya.
Katanya lagi, Dr.
Mahathir pasti akan mengunjungi kedai buku ketika melawat negara lain dan mampu
menghabiskan bacaannya dalam penerbangan pulang sebelum buku itu disimpan di
perpustakaan di rumahnya. Beliau berharap latar belakang serta sejarah Dr.
Mahathir yang membudayakan membaca buku, kadang kala sehingga tiga buku sehari,
dijadikan teladan untuk semua termasuklah kebolehannya membaca dengan pantas . "Walaupun
sudah ada peningkatan amalan membaca, kehadiran Dr. Mahathir sebagai ikon akan
menarik lebih ramai lagi penyertaan, seterusnya menambah kesedaran tentang
pentingnya membaca di kalangan rakyat negara ini. Raslin menjelaskan, penting
untuk meluaskan lagi amalan membaca, bukan sekadar amalan hidup malahan demi
menjayakan konsep pembelajaran sepanjang hayat.
Menurut beliau,
selaku negarawan dan bekas pemimpin yang dihormati, kedudukan Dr. Mahathir
sebagai idola juga penting agar boleh dijadikan contoh individu yang berjaya
melalui membaca, oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka. "Kita mahu
menerapkan konsep pembelajaran sepanjang hayat dalam jiwa setiap rakyat dan
tingkatkan pemikiran, minda serta nilai-nilai murni melalui bahan-bahan bacaan
berkualiti. Tetapi, jika bahan bacaan di luar tidak berkualiti, pemikiran umum
juga akan menyusul sama. Tiada guna meningkatkan amalan membaca jika tidak
dapat meningkatkan pemikiran rakyat," katanya. Oleh itu, beliau berharap
pihak penerbit juga memberi kerjasama dalam kempen tersebut melalui pengeluaran
bahan ilmiah ataupun separa ilmiah dan bukan sekadar mencari keuntungan melalui
bahan bacaan ringan semata-mata.
Tambahnya, gerakan
pembelajaran sepanjang hayat juga tidak mahu seseorang itu kekal di takuk lama
sebaliknya perlu ada peningkatan walau dalam bidang apa sekalipun. "Jika
seorang petani, kita tidak mahu kekal petani biasa sahaja. Cuba baca bagaimana
untuk menjadi petani moden seperti petani di Jepun. Amat sukar mencapai taraf
tinggi jika malas membaca. Kita tidak boleh bergantung kepada pengalaman
semata-mata. Kerana itu kita memilih Dr. Mahathir sebagai ikon kerana mahu
pemikiran rakyat juga maju menjelang Malaysia mencapai status negara maju pada
2020," tegasnya. Beliau menjelaskan, peluang tersebut akan digunakan
sebaik-baiknya secara berterusan kerana Dr. Mahathir boleh menjadi ikon untuk
tempoh yang panjang serta dikenali semua, di dalam dan luar negara.
Menurut Raslin,
program Ikon Membaca Kebangsaan itu dimulakan tahun lalu dengan pertandingan
esei berkaitan Dr. Mahathir di kalangan murid sekolah dan orang ramai yang akan
diumumkan pemenangnya pada hari ini. "Kita juga telah sediakan banyak
bahan promosi untuk kempen kali ini melalui rakaman klip video dan dokumentari
khas, rencana iklan, bahan cetakan dan sebagainya. Semua ini akan diedarkan
kepada umum dan juga pertubuhan bukan kerajaan bagi menyampaikan mesej
mempromosi amalan membaca," ujarnya. Beliau menjelaskan medium seperti
klip video akan dijadikan bahan promosi di seluruh negara kerana tidak mahu
membebankan kesihatan Dr. Mahathir jika membawanya ke merata tempat. Tambahnya,
di samping mengambil aura ikon membaca itu melalui bahan promosi, wacana
membaca melalui Bicara Perdana juga akan dibawa sehingga ke luar bandar bagi
membincangkan budaya membaca amalan Dr. Mahathir.
"Kita juga akan
mengadakan pameran khas selama satu minggu di Perpustakaan Negara mulai 14 Mei,
memaparkan buku-buku yang pernah dibaca Dr. Mahathir, ada antaranya ditanda dan
ditulis nota berkaitan maklumat terpilih. Ini termasuk draf buku beliau yang
ditulis menggunakan tangan. Jika diizinkan, kita mungkin akan membawa koleksi
peribadi beliau ini untuk dipamerkan di seluruh negara kelak," katanya. Dengan
itu, Raslin turut menjemput orang ramai menghadiri program Ikon Membaca
Kebangsaan di Perpustakaan Negara dari pagi hingga ke majlis perasmian pada
sebelah petang. "Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan
merasmikan program ini dengan anugerah berbentuk jubah khas akan disampaikan
kepada Dr. Mahathir sebagai penghargaan dan pengiktirafan intelek beliau,"
jelasnya.
Sila berikan komen
anda. Terima kasih
Sumber :
Utusan Malaysia
14 Mei 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan