PROFESOR MADYA DR.
SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains
Kemasyarakatan
Universiti Sains
Malaysia.
Siapakah yang menjadi
pemilik perpaduan negara ini? Adakah ia milik warga Malaysia yang sah dan
berpegang kepada Perlembagaan, Rukunegara dan tatacara negara ini? Atau
perpaduan ini bergantung kepada warga luar untuk menentukan pasang-surut ikatan
hubungan interaksi antara anggotanya? Sejak kebelakangan ini, banyak isu
hubungan etnik menjadi persoalan yang turut disimpulkan dengan fahaman politik
masing-masing. Ada yang memahami sejarah kehadiran hubungan yang rencam dan
majmuk ini manakala ada pula yang mahu mendengar mengikut keselesaan
masing-masing sehingga mengetepikan rentetan susur-galur sejarah hubungan etnik
semata-mata untuk memastikan ia tidak mengancam kepercayaan politik mereka. Tidak
ketinggalan puak yang mahu menukar sejarah agar muncul sebuah negara dengan
penginstitusian yang sejiwa dengan rasa hati mereka dan bukan majoriti kerana
lebih berkecenderungan berpaksikan kepada fahaman politik idealisme dan bukan
real politik.
Malaysia merupakan
sebuah negara yang telah melalui sejarah perubahan pembentukan lanskap yang
memperlihatkan komposisi kaum yang berbeza hidup di bawah bumbung yang sama
dinamakan negara-bangsa. Walau berbeza, setiap individu masih dapat meneruskan
tradisi warisan bangsa yang diiktiraf melalui institusi kepercayaan
masing-masing dengan berbekalkan peraturan yang sudah ditentukan. Siapa yang
tidak suka peraturan itu, mesti diakui ia adalah asas penting dalam sesebuah
negara yang terdiri dari pelbagai komuniti yang akan pertahankan nilai dan
norma dipersetujui oleh komuniti masing-masing. Yang pasti, tafsiran berbeza ke
atas perundangan oleh ahli hukum turut mempengaruhi penerimaan ke atas sistem
sosialnya. Nilai dominan dalam mahu melakar hubungan etnik yang baik adalah
hormat, faham dan menerima antara satu sama lain. Menerima individu dari
kumpulan etnik lain tidak sama sekali mengiktiraf kepercayaannya atau boleh
menolak kepercayaan asal. Ini merupakan pemikiran jumud sedangkan menerima
berdasarkan kepada pemahaman dan rasa hormat kepadanya tanpa perasaan syak
wasangka membolehkan kita merentasi fasa baru dalam hubungan etnik negara ini.
Hubungan etnik negara
ini telah melalui beberapa fasa yang akhirnya menunjukkan sekiranya ia masih
bersifat retorik dan kosmetik sahaja, kesannya akan dirasai oleh generasi akan
datang. Sejak kemerdekaan sehingga ke hari ini, yang dilihat adalah walaupun
ada peristiwa yang tidak diingini berlaku, tetapi akhirnya kemuafakatan dan
keharmonian menjadi tunjang kekuatan agar ia tidak menghancurkan segala yang
sudah dibina sekian lama. Soalnya, perpaduan milik siapa? Seiring dengan proses
modenisasi dan pembangunan, kadar celik telah bertambah. Emansipasi wanita juga
jauh berubah. Prasarana dan kemudahan asas mencapai tahap yang jauh
memberangsangkan berbanding dengan negara pesat membangun yang lain. Adakah
perubahan fizikal ini turut mempengaruhi minda dan mindset rakyat dalam
menyelami nilai perpaduan? Tuntutan dan kemahuan masyarakat berubah bersama
dengan persekitaran baru. Dengan celik huruf meningkat, sejarah hubungan etnik
sudah turut berubah kerana masing-masing sudah boleh memiliki apa sahaja yang
dimahukan dan kesemua itu dapat dilakukan kerana adanya proses pembangunan
dalam negara.
Perkembangan
kenegaraan menyebabkan ada yang terkehadapan dan ada masih terkebelakang. Ia
bukan sahaja berlaku antara kumpulan etnik tetapi juga dalam sesuatu kumpulan
etnik. Ia berlaku di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Ia berlaku di kawasan luar
bandar dan bandar pula merebak kemiskinan bandar. Namun, ia adalah proses yang
perlu dilalui kerana mana-mana negara sekalipun, masalahnya tetap sama. Namun,
kepentingan 35 peratus (%) di bawah garis kemiskinan perlu dijaga kebajikan
akan tidak songsang dengan kehidupan berkualiti dan tidak hanyut dalam proses
globalisasi yang menjadikan yang kaya menjadi kaya dan yang miskin menjadi
miskin. Indikator terbaik adalah tanggungjawab meringankan beban kelompok dari
mana-mana etnik sekalipun dengan kemudahan asas dan keperluan seharian agar
jiwa merdeka Malaysia tidak dicabut dari dirinya. Perkembangan dalam sesuatu
etnik mahupun etnik lain juga telah membawa kepada lahirnya kelas dalam
masyarakat, berkelas atasan, menengah dan bawahan. Kelas menengah semakin
membesar dalam kalangan masyarakat negara ini tetapi itu tidak bermakna mereka
terlepas dari gigitan ekonomi dengan peningkatan kos kehidupan yang juga
terpaksa dilalui akibat proses perubahan pembangunan negara.
Waktu yang sama,
walaupun berlaku perjuangan antara kelas; golongan ekstremisme dan prejudis
juga bertambah walaupun ada sarjana beranggapan dengan perubahan persekitaran
politik, ekonomi dan sosial, kumpulan sederhana ataupun pertengahan akan
meningkat dan melebarkan kelompok liberal yang tidak terlalu radikal. Cabaran
jelas adalah sebarang perubahan, pembangunan dan pertumbuhan tidak boleh
berlaku tanpa adanya nilai muhibbah dalam konteks masyarakat rencam Malaysia. Perpaduan
adalah milik bersama. Ia tidak boleh dikompromi. Walaupun pasaran bebas global
mencipta kepentingan ekonomi sehingga mempengaruhi setiap kelompok etnik dan
kelas dalam stratifikasi masyarakat, peraturan lisan hubungan etnik tidak perlu
diubah termasuk hubungan pemimpin dan masyarakat; masyarakat dengan masyarakat
berlainan latar belakang; dan lebih daripada itu walau berbeza keturunan,
kepercayaan, gender dan fahaman politik sekalipun, konflik mesti dielak dan kedamaian
perlu dipelihara berlandaskan kepada hukum yang sudah diwartakan.
Kelas menengah dan
atasan boleh menentukan arah negara tetapi ini tidak bermakna kestabilan dan
keadaan yang aman boleh dikorban. Demokrasi yang sejahtera nilainya dan stabil
bergantung kepada jurang antara etnik dan dalam sesuatu etnik. Dalam berhadapan
dengan keadaan yang tidak menentu, harus masing-masing bersama dan bukan
memperdayakan bangsa sendiri yang memberi kelebihan kepada institusi lain
campur tangan sehingga kita alpa dan terdorong untuk melakukan apa sahaja atas
nama persaingan. Pelbagai wajah sebenarnya menyumbang kepada pencapaian tanah
air. Penyatuan perlu dengan sifat kepunyaan agar kita bangga sebagai seorang
warganegara ini.
Jangan disoal
perpaduan milik siapa kerana masing-masing ada tanggungjawab walau sebagai
seorang kanak-kanak tadika, pelajar sekolah rendah, individu sekolah menengah
mahupun mahasiswa; dewasa yang bekerja sebaik tukang kebun, penganggur, pekerja
kilang, ahli sukan, guru, pembersih, peneroka, pengajar, penjual roti,
kontraktor, ejen insurans, jurujual, pensyarah, ahli perniagaan, ulamak,
eksekutif syarikat, doktor, peguam, remaja, tua, pemimpin, penghulu, polis,
pentadbir, tentera, pembesar dan sesiapa sahaja; perpaduan tidak ada nilai
permintaan dan penawaran jutawan ataupun bangsawan, yang ada hanya kesungguhan
memastikan ia tidak digadai demi masa depan generasi akan datang. Dari amalan
politik gabungan besar tahun 50-an sehingga kepada konsep 1Malaysia dalam
jangka hayat kini, keikhlasan dan kejujuran menjadi teras kekuatan pemilikan
perpaduan negara ini. Pengisian ke atas pembentukan identiti nasional penting
agar ia tidak menjadi taruhan untuk curigai amanah sebagai seorang warga.
Kumpulan senyap yang
berada dalam zon keselesaan selama ini mesti turut memainkan peranan sebagai
'ejen kepunyaan' supaya pemilikan perpaduan bukan sekadar dilihat pada basahan
bibir tetapi dipamer melalui amalan dan praktis sebagai contoh berterusan
warisan ketamadunan dalam persekitaran baru tanpa mengubah asas kemuafakatan
terbina dari kedayaupayaan kesinambungan kepimpinan. Merekacipta semangat
pemilikan perpaduan terasnya adalah tanpa sama sekali mengenepikan tradisi jiwa
etniknya kerana ia lahir dalam dirinya; waktu yang sama menjadi orang Malaysia,
hati nuraninya Malaysia dan memperkasakan kepentingan bersama berjiwakan
Malaysia dengan tidak mengancam keselamatan menyeluruh yang terbina atau
menggadaikan kekebalan kedaulatan Malaysia kerana tidak berselera menjadi orang
Malaysia bertopengkan budaya luar akibat dakyah pihak tertentu dipinjam dari
amalan individualistik dan materialistik. Anasir ini tidak boleh dibiarkan
begitu sahaja seperti perumpamaan 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di
negeri sendiri', lebih baik negeri sendiri kerana kita adalah pembekal dan
pemilik perpaduan sebenar kepada negara ini.
Sila berikan komen
anda. Terima kasih
Sumber :
Utusan Malaysia
15 Mei 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan