JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



13 Mei 2012

ISU FILEM : KUCH KUCH HOTA HAI TERUS DIMINATI


Johardy Ibrahim


Malam Rabu, 9 Mei 2012 yang lalu, untuk kali kedua setakat ini bagi tahun 2012, stesen televisyen TV2 menyiarkan filem ikonik lakonan Datuk Shahrukh Khan dan dua jelitawan Kajol dan Rani Mukherji. TV3 yang pertama menyiarkannya pada 12 Februari lalu mendakwa 3 juta orang menonton filem itu. RTM belum membuat pengumuman tetapi rasa-rasanya angka serupa dengan mudah diraih kerana filem yang diterbitkan pada 1998 ini, adalah filem Bollywood paling meninggalkan kesan emosi bukan sahaja di India atau Malaysia tetapi juga seluruh dunia (Bollywood memiliki pengikut yang menakjubkan di Eropah dan Amerika Selatan). Dalam erti kata lain, jika selepas ini Astro atau mana-mana stesen pula mahu menyiarkannya, ia dijamin ditonton jutaan orang. Sebenarnya, penyiaran Kuch Kuch Hota Hai yang bermaksud 'sesuatu terjadi dalam hatiku' pada Rabu lalu tidak saya ketahui. Kebetulan baru hendak berehat di rumah selepas balik dari bertugas, saya membelek Twitter dan terbaca 'Kuch Kuch Hota Hai di TV2 SEKARANG'.

Seorang demi seorang rakan dalam akaun Twitter yang dirangkaikan dengan akaun Facebook membalas pernyataan mengenai filem tersebut. Ada sebilangan yang mengaku tidak tahu atau terlintas langsung mahu menontonnya, telah 'terpengaruh' untuk berbuat demikian setelah membaca Twitter dan pernyataan Facebook yang memenuhi ruang maya antara pukul 10 malam hingga 1.30 pagi. Saya sendiri pun berbalas lebih 25 Twitter mengenai filem ini dalam tempoh tiga jam - rekod yang mengatasi 18 Twitter semasa Liverpool menewaskan Manchester United pada Februari lalu. Membelek topik trending di Tweeter Malaysia pada malam itu, tiga nama berkaitan filem ini menduduki 10 tangga teratas iaitu Kuch Kuch Hota Hai di tangga kelima, Salman Khan (ketujuh) dan Anjali (kesembilan). Tetapi entah macam mana Shahrukh Khan tidak tersenarai, walaupun pada satu ketika Miss Briganza turut ada sebelum tewas kepada Anjali. Banyak yang telah diulas mengenai filem ini sejak 1998. Ia bukan filem serius, apalagi dengan teknik fotografi ala David Cameron. Filem ini adalah gandingan keempat bagi Shahrukh Khan bersama Kajol, yang merupakan pasangan paling diminati di Bollywood ketika itu.

Malah boleh dikatakan, filem ini jugalah yang benar-benar memperkenalkan Shahrukh Khan ke persada antarabangsa termasuk ke Malaysia. Jika tahun 2012 ini gegarannya dirasai 3 juta penonton di televisyen, bayangkan gegarannya ketika filem ini ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara pada 1998. Bayangkan begini: ramai yang tampil dengan jaket berwarna terang ala Rahul Khanna dan potongan rambut ala Anjali semasa di kolej. Filem Kuch Kuch Hota Hai adalah manifestasi filem Bollywood sebenar. Formulanya mudah dan sudah diduga. Mesti ada sedikit drama, mesti ada hero-heroin-antaganis, rumah harus sebesar gudang dengan tangga yang luas dan ruang dewan untuk menempatkan ratusan pelakon tambahan atau pak pacak, mesti ada lagu yang hebat dan video klip berlatar tempat yang luar biasa keindahannya.

Filem

Bagi anda yang belum menonton filem ini, secara ringkas Kuch Kuch Hota Hai mengisahkan Rahul Khanna (Shahrukh Khan) yang bersahabat baik dengan Anjali Sharma (Kajol) yang tomboy. Dalam diam Anjali menyimpan hati pada Rahul tetapi tewas kepada Tina (Rani Mukherji) yang berkahwin dengan Rahul. Anjali kemudiannya membawa diri. Selepas beranak, Tina menghadapi kesulitan dan tahu hayatnya tidak lama. Dia meminta Rahul menamakan anaknya itu Anjali, sempena kawan baik Rahul. Dalam pada itu, Tina menulis lapan pucuk surat yang akan dibaca oleh Anjali setiap satu semasa hari lahirnya. Surat terakhir iaitu pada hari jadi kelapan, Tina meminta Anjali agar mencari Anjali untuk dijodohkan dengan bapanya. Kemelut berlaku bila Anjali yang tidak lagi jadi tomboy tetapi jelitawan, sudah bertunang dengan Aman Mehra (Salman Khan). Akhiran filem ini adalah paling menyayat hati sebab Salman menangis, Shahrukh Khan menangis, Kajol menangis, semua menangis. Pengkarya filem tahu formula mudah untuk bikin penonton menangis iaitu paparkan watak filem yang menangis beria-ia, diiringi lagu koir yang mendayu-dayu. Mungkin jika watak Miss Briganza menangis, ramai tidak ikut sedih.

Satu lagi kekuatan filem ini ialah pada lagunya. Menggunakan judul sama, Kuch Kuch Hota Hai yang dinyanyikan oleh Udit Narayan dan Alka Yagnik layak dianggap lagu Evergreen sepanjang masa. Semasa majlis konvokesyen UPM tidak lama dulu, kumpulan muzik tradisional memainkan lagu tersebut ketika kumpulan siswa ijazah Komunikasi diumumkan. Ia bukan saja menyemarakkan jiwa penerima ijazah tetapi juga 'menyegarkan' tetamu-tetamu dalam dewan. Lagu ini adalah istimewa kerana iramanya yang memang pantas menangkap minat dan ungkapan Kuch Kuch yang bagi kita di Malaysia mirip bunyi loghat setempat. Tiada siapa persoalkan bagaimana latar drama di India, boleh melompat ke Scotland. Malah bagi babak awal di kolej (ingat Miss Briganza), ia adalah sebuah kolej di Mauritius. Ini kerana filem Kuch Kuch Hota Hai adalah filem yang pasti membuat anda tersenyum semasa dan selepas menontonnya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Mingguan Malaysia
13 Mei 2012


Tiada ulasan: