KUALA LUMPUR: Pada
tahun 2003, Abdul (bukan nama sebenar) telah memohon pembiayaan peribadi dari
sebuah institusi kewangan di mana pembayaran balik hutang itu setiap bulan
berlanjutan sehingga tujuh tahun. Bagaimanapun empat tahun kemudian, Abdul
mengalami satu 'kecemasan' kewangan yang memaksa dirinya memohon satu lagi
pinjaman baru dari institusi kewangan yang sama. Satu daripada terma dan syarat
pinjaman baru ini mewajibkan dana yang dipinjam diguna bagi melunaskan hutang
yang lama. Ini dikenali sebagai 'pinjaman bertindih' di kalangan institusi
kewangan. Tetapi ansuran bulanan yang perlu dibayar beliau bagi pinjaman
terbarunya adalah lebih tinggi (kerana Abdul perlu memohon jumlah yang lebih
besar bagi melangsaikan pinjaman lama) dan masa pembayaran balik bagi hutang
yang baru adalah selama 10 tahun. Dari satu sudut, Abdul dapat sumber dana bagi
menyelesaikan masalah kewangan semasa yang dihadapi beliau tetapi dari satu
aspek yang lain beliau kini dibelenggu oleh beban hutang yang baru untuk selama
10 tahun.
Pembiayaan Peribadi
Menurut pakar rujuk
kewangan Ng Lai Wai, terdapat beberapa sebab kenapa terdapat anggota masyarakat
memohon pinjaman. "Ada yang memohon pinjaman untuk membeli rumah, kereta
dan memulakan perniagaan. Biasanya mereka terpaksa membuat pinjaman kerana
tidak mempunyai dana untuk pembelian," kata beliau. Menurut beliau, kini
terdapat banyak institusi kewangan yang menawarkan kemudahan pinjaman peribadi
tanpa penjamin atau cagaran. "Pemohon hanya perlu menyertakan dokumen yang
diperlukan dan hanya menunggu kelulusan. Kadangkala kelulusan datang dengan
cepat, tidak sampai tujuh hari bekerja dari tarikh permohonan," kata Ng. Menurut
beliau, pinjaman peribadi adalah jenis pinjaman yang 'tidak bercagar' iaitu
peminjam tidak perlu meletakkan apa-apa sekuriti atau cagaran bagi menjamin
pembayaran balik pinjaman itu. "Disebabkan tiada jaminan atau cagaran
terlibat, kadar faedah pinjaman seperti ini adalah tinggi jika dibandingkan
dengan pinjaman bercagar contohnya yang menggunakan rumah sebagai cagaran. Kadar
faedah yang agak tinggi disebabkan tiada 'ganti' terhadap jaminan pinjaman
dalam bentuk aset. Sebab itulah kadar faedah pinjaman peribadi adalah
tinggi," kata beliau.
Kadar Faedah Rendah
"Kalau si
peminjam memiliki rumah, beliau boleh mencari alternatif bentuk pinjaman yang
menawarkan kadar faedah yang rendah seperti pinjaman ekuiti rumah. Tetapi
opsyen pinjaman ini memerlukan peminjam meletakkan rumahnya atau hartanahnya
yang lain sebagai cagaran. Menurut Ng, tidak kira sama ada pinjaman yang dibuat
itu bercorak peribadi atau di sebaliknya, ia digunakan untuk membiayai
perbelanjaan yang agak besar. Peminjam akan diberi dana sekali gus dan
bersetuju membayar balik amaun bulanan pada kadar yang ditetapkan sehingga
hutang itu dilunaskan. "Bayaran bulanan adalah bayaran balik jumlah
prinsipal (jumlah hutang yang dipohon) serta jumlah faedah," jelas beliau.
Pembiayaan peribadi mungkin adalah satu-satunya opsyen bagi peminjam yang tidak
mempunyai rumah, hartanah atau aset lain yang boleh digunakan sebagai sekuriti
atau jaminan. Bagi Ng, pinjaman peribadi adalah satu alternatif yang bijak bagi
membantu perbelanjaan jika dibandingkan dengan penggunaan kad kredit yang
mengenakan faedah yang amat tinggi.
Penyusunan Semula
Hutang "Pinjaman peribadi juga boleh digunakan bagi penyusunan semula
hutang sekiranya faedahnya adalah lebih rendah berbanding faedah kad kredit.
"Tetapi jika anda mempunyai skor (rekod) kredit yang agak rendah, mungkin
sukar untuk dapat pinjaman peribadi yang faedahnya rendah melainkan mendapatkan
ahli keluarga atau orang lain bagi jadi penjamin iaitu mereka memberi jaminan
membayar hutang tersebut jika anda gagal membayarnya. "Dalam situasi ini,
si penjamin akan membuat bayaran jika anda gagal melunaskan bayaran bulanan,
oleh itu faedah yang dikenakan bagi pinjaman boleh dirundingkan untuk lebih
rendah bergantung kepada budibicara institusi kewangan yang terlibat. Jika
gagal membuat bayaran, pemberi pinjaman juga berhak merampas harta yang
dicagarkan," kata beliau.
Komitmen
Memandangkan pinjaman
adalah satu komitmen, si peminjam perlulah berhati-hati dalam membuat
keputusan. Ng juga menasihati peminjam agar memilih pemberi pinjaman (institusi
kewangan) yang dirasakan betul-betul dapat membantu. "Bukan senang pilih
pemberi pinjaman yang betul. Bukan hanya dengan melihat pada kadar faedah yang
rendah. Haruslah diingat bahawa pinjaman yang mengenakan kadar faedah rendah
selalunya mengenakan tempoh bayaran yang agak lama. "Bila pilih institusi
peminjam, lihat juga sama ada ia teguh, fleksibel tentang skim bayaran bulanan
dan kadar faedah yang dikenakan, kata Ng. Tambah beliau, bila seseorang itu
membuat pinjaman memang ada baiknya beliau membuat penilaian terhadap kebaikan
dan keburukan pinjaman terlebih dahulu. Dengan pinjaman wang, membolehkan
seseorang itu mempunyai dana dan mencapai objektif. "Tetapi harus diingat
setiap pinjaman perlu dibayar balik beserta kadar faedahnya sekali.
"Mungkin bagi sesetengah peminjam, terdapat persepsi bahawa pinjaman
kewangan boleh menyelesaikan masalah bersangkutan. Itulah sebabnya kenapa
walaupun ramai peminjam mendapati kesukaran membuat pinjaman, mereka masih
meneruskan niat itu.
Sila berikan komen
anda. Terima kasih.
SUMBER :
BERNAMA
20 April 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan