JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



13 Januari 2012

ISU SOSIAL : RASUAH ANCAM MASYARAKAT PERLU DITANGANI BERSAMA


Rasuah adalah antara masalah etika tertua dalam sejarah manusia, yang membayangkan kepincangan integriti masyarakat dan dalam gambaran yang lebih luas sebuah masyarakat dengan nilai murninya tercemar. Rakyat Malaysia terutamanya bimbang dengan kedudukan negara dalam indeks persepsi rasuah walaupun usaha tanpa kenal penat lelah diambil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan pimpinannya untuk membanteras gejala itu. Saya cadangkan supaya kerajaan meningkatkan peruntukan SPRM supaya ia boleh melantik lebih ramai pegawai dan meningkatkan kemudahan untuk memerangi rasuah di Malaysia. - Moehamad Izat, Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia Pada 2011, Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International merosot ke tangga ke-60 daripada kalangan 183 negara berbanding tangga ke-56 daripada kalangan 178 negara pada 2010. Sehingga ini sektor awam lazim dipersalahkan kerana amalan rasuah tetapi satu siri kes rasuah yang disiarkan oleh media baru-baru ini menunjukkan dunia perniagaan juga tidak terkecuali daripada rasuah.

Yang terbaru, satu audit ke atas Iskandar Investment Berhad menunjukkan banyak amalan rasuah di kalangan kakitangan perbadanan itu yang ditubuh untuk membangunkan wilayah pembangunan ekonomi selatan, Iskandar Malaysia. Setiausaha Agung Pertubuhan Malaysia bagi Ketelusan dan Integriti, Josie M Fernandez menunjukkan bahawa rasuah dalam dunia korporat membawa implikasi buruk terhadap negara.  Rasuah perniagaan boleh berlaku dalam dua keadaan, khasnya membabitkan individu dalam syarikat atau syarikat itu sendiri.  Fernandez berkata amalan seperti ini membawa kepada peningkatan dalam kos menjalankan perniagaan di negara dan dengan itu pelabur tidak akan menunjukkan minat dalam menjalankan perniagaan di sini. "Syarikat-syarikat tidak akan melabur jika mereka tidak melihat margin keuntungan yang baik dalam mana-mana urusan perniagaan, jadi apabila ditambah dengan kos rasuah margin keuntungan merosot lagi. "Lagipun, pelabur besar mencari negara dengan etika perniagaan baik yang akan membolehkan perniagaan mereka terus berkembang. Jadi rasuah perniagaan boleh menjejaskan ekonomi negara kita," katanya. Fernandez juga gembira dengan tindakan kerajaan Malaysia mengambil langkah proaktif menerusi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) seperti memperkenalkan aku janji integriti korporat untuk memerangi rasuah perniagaan.

Kebiasaannya, tiada sektor perniagaan yang terkecuali daripada gejala ini dengan implikasinya meluas.  Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia, Datuk Moehamad Izat Emir mengulas mengenai implikasi daripada amalan rasuah dalam dunia perniagaan.  "Amalan rasuah dalam perniagaan boleh mengekang pembangunan usahawan yang berdaya maju di negara ini. Sebagai contoh, jika usahawan yang sama mendapat tender setiap kali daripada syarikat melalui amalan rasuah, mereka yang lain pula tiada peluang untuk menunjukkan tawaran mereka yang mungkin lebih baik.  "Yang lebih buruk lagi apabila pembida mendapatkan projek dengan memberikan rasuah tetapi sebenarnya tidak mempunyai kemampuan untuk melaksanakan kerja," kata beliau.  Moehamad Izat juga memuji langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana melanjutkan usaha memerangi rasuah ke dunia perniagaan.  Usaha berterusan SPRM untuk bertindak terhadap sesiapa saja yang mengamalkan rasuah tidak kira pangkat dan kedudukan juga akan membantu meningkatkan persepsi awam terhadap pertubuhan itu.

"Saya cadangkan supaya kerajaan meningkatkan peruntukan SPRM supaya ia boleh melantik lebih ramai pegawai dan meningkatkan kemudahan untuk memerangi rasuah di Malaysia.  "Tetapi kita tidak boleh bergantung kepada SPRM saja dalam memerangi rasuah, tanggapan umum juga perlu diubah. Kita mesti melihat rasuah sebagai sesuatu yang benar-benar mengancam masyarakat kita, bukan satu lagi 'salam' dalam memeterai satu-satu transaksi," katanya. Presiden Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia Datuk Mohd Khalid Harun juga menunjukkan amalan rasuah perniagaan boleh berlaku dalam mana-mana sektor perniagaan.  "Sektor perniagaan juga tidak terkecuali," kata beliau sambil menambah kata apabila berlaku amalan rasuah tidak akan ada ketelusan dalam transaksi perniagaan dan ini akan menjejaskan perancangan, pengurusan dan yang lain dalam industri. "Bagi penggiat pelancongan yang mempunyai kepakaran, kemampuan dan komitmen, rasuah boleh menghalang mereka daripada menikmati peluang yang ada. Saya juga khuatir yang produk pelancongan di negara ini juga akan terus terjejas," kata beliau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata; "Apabila mereka tanpa pengetahuan atau pengalaman mendapat permit ataupun apa-apa projek pengangkutan, kualiti perkhidmatan akan terjejas. "Kita perlu ingat bahawa pengangkutan adalah kemudahan penting di negara ini. Orang ramai akan mengeluh jika tiada kualiti dalam khidmat pengangkutan," katanya.  Sementara Malaysia masih belum menyaksikan lagi kemunculan pejuang antirasuah ikonik seperti Anna Hazare di India, mereka masih boleh menaruh harapan kepada kerajaan untuk mengatasi gejala ini. Bagaimanapun, usaha murni ini bergantung kepada sumbangan setiap rakyat dalam menjayakannya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
Berita Harian
13 Januari 2012

Tiada ulasan: