KES PENYELUDUPAN
MANUSIA
Fokus : Kesan kepada
negara dan langkah-langkah untuk mengatasi.
Sedasawarsa ini
sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru negara
kita tentang kes penyeludupan manusia
Oleh itu, sebagai warganegara yang berwawasan dan berpandangan jauh ke
hadapan, kita hendaklah prihatin dengan isu yang semakin hangat dibincangkan
ini. Secara konseptualnya, kes penyeludupan manusia merupakan satu kegiatan
jenayah yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan juga integriti kedaulatan
negara ini. Kes penyeludupan manusia ini tidak wajar berlaku kerana jenayah
sebegini adalah melanggar hak asasi manusia ke atas individu yang diperdagangkan.
Oleh itu, kesan-kesan kes penyeludupan manusia kepada negara dan langkah-langkah
untuk mengatasi jenayah ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama.
Pada pendapat saya, kes-kes
penyeludupan manusia ke negara ini atau ke luar dari negara ini jika tidak
dibendung dengan segera akan menyebabkan integriti keselamatan negara
dipertikaikan oleh pelbagai pihak. Dunia antarabangsa akan melihat aspek
keselamatan negara kita begitu lemah. Masyarakat negara ini pula akan mula
hilang kepercayaan dengan keupayaan pasukan-pasukan penguatkuasaan untuk
membenteras kegiatan penyeludupan manusia ini daripada terus berleluasa.
Golongan yang berkepentingan mengaut keuntungan daripada kegiatan jenayah ini
juga akan meremehkan tindakan penguat kuasa kerana menyedari tindakan mereka
sukar untuk dikesan. Jelaslah bahawa kewibawaan negara akan dipersoalkan oleh
banyak pihak jika kita gagal mengekang jenayah penyeludupan manusia di negara
kita. Secara tidak langsung, imej negara juga turut terjejas di peringkat
antarabangsa.
Di samping itu, kegiatan
penyeludupan manusia juga akan meningkatkan masalah sosial dalam negara kita.
Sebagai contohnya, kegiatan pelacuran
melibatkan warga asing yang diseludup masuk akan meningkat. Tambahan lagi, kes-kes
orang hilang juga akan meningkat, terutamanya melibatkan kanak-kanak atau
golongan remaja untuk dieksploitasi oleh golongan yang cuba mengaut keuntungan.
Kegiatan jenayah terancang juga boleh bertambah jika manusia yang diseludup
masuk merupakan penjenayah-penjenayah yang bermatlamat untuk mengembangkan
kegiatan haram mereka. Keadaan ini menyebabkan penduduk tempatan akan berasa
keselamatan mereka tidak terjamin. Mereka seolah-olah menjadi tebusan atau tawanan
hidup di negara sendiri. Sudah terang lagi bersuluh, jenayah penyeludupan
manusia menyebabkan masalah sosial di negara kita semakin berleluasa.
Kes penyeludupan
manusia hendaklah dibendung kerana banyak membawa implikasi buruk kepada rakyat
dan negara kita. Bagi membendung masalah ini, pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan
(NGO) perlulah bersama-sama memainkan peranan. Ahli-ahli pertubuhan sukarela
ini boleh membantu pihak berkuasa mengenal pasti sektor-sektor pekerjaan yang
menjadi tumpuan tenaga buruh atau manusia yang diseludup masuk ke negara ini.
Mereka juga boleh menggembleng tenaga untuk melancarkan kempen-kempen yang
melibatkan majikan di seluruh negara bagi memberikan kesedaran agar tidak
bersaubahat dengan penyeludup manusia dengan menggaji orang yang diseludup
sebagai pekerja. Memang tidak dapat dinafikan penglibatan aktif NGO dalam
mengatasi masalah ini amatlah dituntut kerana golongan ini sentiasa mendekati
masyarakat setempat melalui pelbagai program yang dirancang.
Langkah lain yang
tidak boleh dikesampingkan dalam usaha mengatasi masalah ini ialah penguatkuasaan
pencegahan perlulah dilakukan secara berterusan oleh pihak berkuasa.
Serbuan-serbuan di pusat-pusat hiburan, kawasan perladangan, dan sektor-sektor
industri perlu dilakukan secara kerap untuk mengesan buruh-buruh yang digaji
secara tidak sah. Di samping itu, kawalan sempadan juga perlu dipertingkatkan
dan laluan hijau di sempadan dan semua pintu masuk perlu dimansuhkan jika
kemudahan ini didapati sebagai penyumbang kepada peningkatan kegiatan
penyeludupan manusia. Dalam pada itu, akta dan undang-undang yang berkaitan
dengan kes penyeludupan manusia
hendaklah dikaji semula. Pihak yang ditangkap dan disabitkan dengan kesalahan
kes penyeludupan orang hendaklah didakwa dan dikenakan hukuman yang setimpal
untuk memberikan amaran kepada orang lain supaya tidak terlibat dengan jenayah
sebegini.
Selanjutnya, peranan
media massa sama ada media cetak mahupun media elektronik perlulah diperhebat
dalam mengatasi masalah ini. Media elektronik seperti televisyen, radio dan
internet perlu menyalurkan maklumat mengenai kes penyeludupan manusia secara
berterusan untuk memberikan kesedaran kepada penduduk di negara ini mengenai
bahaya jenayah sebegini. Dengan adanya peringatan yang berterusan sebegini,
mereka akan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak mudah terperdaya
dengan penipuan yang dilakukan oleh penjenayah yang terlibat dengan kes
penyeludupan manusia. Dokumentari dan filem berkaitan dengan kes penyeludupan
manusia hendaklah ditayangkan kepada orang awam supaya mereka melihat
kesan-kesan dan cara-cara untuk menghindari diri daripada menjadi mangsa kes
penyeludupan manusia. Dengan adanya pengetahuan yang mencukupi, masyarakat
dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah yang tidak
berperikemanusiaan ini.
Kesimpulannya, kes
penyeludupan manusia merupakan jenayah terancang yang memerlukan komitmen semua
pihak untuk mengatasinya. Untuk keselamatan negara dan keharmonian negara,
jenayah penyeludupan manusia ini perlulah dicegah dengan perundangan dan ketegasan. Dalam pada itu, masyarakat kita
hendaklah mempunyai kesedaran untuk membantu pihak berkuasa untuk mengatasi
masalah ini dengan melaporkan kes penyeludupan manusia yang berlaku dan tidak
bersaubahat dengan penjenayah. Jika semua pihak bersatu padu, kes penyeludupan
manusia tidak akan berlaku di negara kita. Mudah-mudahan, negara yang kita
cintai ini akan bebas daripada kes penyeludupan manusia yang tidak
berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia ini.
3 ulasan:
ayat yang cukup memberangsangkan minda dalam menulis karangan...terima kasih....
ayat yang cukup memberangsangkan minda dalam menulis karangan...terima kasih....
AYAT YANG BAGUS DAN MEMBERANGSANGKAN MINDA UNTUK MENULIS KARANGAN............
Catat Ulasan