JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



20 November 2011

KARANGAN STPM :FENOMENA PENGGUNAAN BAHASA ROJAK

FENOMENA PENGGUNAAN BAHASA ROJAK
Fokus : Punca dan langkah mengatasi


“Aku rasa Amazing race lebih best dari explorace ni. At least Amazing race semua sama rata, clue dia lebih stright to the point. Cuma aku tak faham lah kenapa TV3 suka pengacara dia cakap rojak. Sekejap cakap English, sekejap cakap melayu. Kalau nak english buatlah english all thru the way".

Itulah contoh bahasa rojak (bahasa campur antara Melayu dan Inggeris) yang telah menjadi virus di Malaysia. Seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka penggunaan bahasa rojak telah pun berlaku hasil pertembungan bangsa dan budaya dalam kalangan pedagang dunia dengan penduduk tempatan di negeri Melaka. Pada umumnya,  Bahasa rojak merupakan suatu percakapan yang menakrifkan campuran pelbagai bahasa dalam satu pertuturan. Sebagai contohnya,  Manglish, iaitu seketika menggunakan kata-kata dalam bahasa Melayu dan seketika lagi menggunakan kata-kata dalam bahasa Inggeris. Pada masa sekarang, bahasa rojak digunakan secara meluas terutama di kalangan remaja bandar Malaysia, yang sekali gus membimbangkan orang dewasa tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul. Penggunaan Bahasa Rojak di Malaysia merupakan satu topik kontroversi oleh kerana para pengkaji bahasa menganggapnya sebagai penggunaan bahasa yang tidak betul dan mungkin menimbulkan krisis dalam pembelajaran bahasa. Oleh itu, punca-punca dan langkah-langkah mengatasi penggunaan bahasa rojak akan ditelusuri demi kepentingan bersama.

Pada pendapat saya, punca perdana penggunaan bahasa rojak ialah sikap penutur sendiri. Hal ini demikian kerana sikap penutur yang ingin menonjolkan kehebata mereka menguasai satu bahasa lagi. Kebanyakan penutur bahasa rojak biasanya mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dalam persekitaran terutamanya dalam bahasa Inggeris yang sebenar. Oleh sebab itu, mereka akan cuba melatih diri dalam kemahiran berbahasa Inggeris terutamanya dalam kalangan para pelajar sekolah di luar bandar. Mereka akan cuba menggunakan bahasa Inggeris dalam perbualan harian meskipun tidak mempunyai kemahiran. Akhirnya, wujudlah fenomena penggunaan bahasa rojak dalam perbualan seharian. Mereka tidak berasa malu dan segan apabila bertutur menggunakan bahasa rojak, malah mereka berbangga kerana mereka beranggapan bahasa yang digunakan itu menunjukkan status mereka dalam masyarakat.

Sejajar dengan perkembangan pesat dunia teknologi maklumat, bahasa rojak telah digunakan secara meluas dalam komunikasi melalui khidmatan pesanan ringkas (SMS) dan laman sesawang di Internet. Fenomena ini dikatakan salah satu faktor kelemahan penguasaan pelajar dalam subjek bahasa Malaysia, terutamanya dalam aspek penulisan. Kita sering mendapati pelajar-pelajar selalu terbawa-bawa amalan penggunaan bahasa rojak dalam pergaulan seharian dalam penulisan karangan mereka di sekolah.  Bagi golongan pelajar yang masih di bangku sekolah ini, penggunaan bahasa rojak sangat meluas penggunaannya dalam hubungan mereka seharian termasuk dengan rakan sebaya, mungkin juga turut menular ketika berkomunikasi dengan ahli keluarga dan sanak-saudara. Semasa berhubung menggunakan SMS dan bersembang menggunakan laman web sosial seperti Facebook dan Twitter mereka lebih suka menggunakan bahasa rojak yang lebih senang difahami dan ditulis serta menjimatkan masa. Tabiat ini dilakukan selama berjam-jam sehingga menjadi sebati dengan diri mereka. Natijahnya, pelajar cenderung menggunakan bahasa lisan yang diringkaskan, malah ada yang mewujudkan istilah perkataan sendiri bagi tujuan kemudahan, penjimatan, dan juga gaya komunikasi.

Selain itu, penggunaan bahasa dalam media cetak dan elektronik turut menyumbang kepada permasalahan ini. Kebanyakan filem, drama, dan rancangan hiburan yang disiarkan di negara kita menonjolkan pelakon, pengacara dan peserta yang menggunakan bahasa rojak untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai.  Penggunaan bahasa rojak juga turut melibatkan golongan pemimpin dan tetamu-tetamu jemputan yang berprofil tinggi untuk mengulas tentang sesuatu isu. Keadaan ini telah menyebabkan masyarakat mudah meniru dan akhirnya tidak segan silu menggunakan bahasa rojak apabila berkomunikasi. Tindakan penerbit dan pengarah filem yang cenderung menggambarkan golongan berada atau golongan atasan berkomunikasi menggunakan bahasa rojak untuk menggambarkan status mereka dalam masyarakat meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton. Oleh sebab itu, fenomena penggunaan bahasa rojak semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat di negara kita.

Fenomena penggunaan bahasa rojak dalam kalangan masyarakat hendaklah dikekang. Pihak yang perlu memainkan peranan utama dalam menangani masalah ini ialah ibu bapa. Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris dengan betul semasa berkomunikasi dengan anak-anak di rumah sejak anak-anak mereka kecil lagi, bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Dengan ini, apabila mereka memasuki alam persekolahan, mereka sudah tahu berbahasa dengan betul apabila berkomunikasi dengan rakan-rakan dan guru-guru mereka. Tabiat berbahasa dengan betul dan gramatis ini akan sebati dalam diri mereka sehingga dewasa. Pepatah Melayu ada mengatakan, “bagaimana acuan begitulah kuihnya”, yang amat sesuai untuk menggambarkan bahawa didikan ibu bapa terhadap anak-anak sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam. Oleh sebab itu, jika ibu bapa mereka merupakan pencinta bahasa Melayu yang sejati, tidak mustahil anak-anak mereka juga memiliki sifat yang sama.

Seterusnya, peranan pihak berwajib tidak boleh dikesampingkan dalam usaha menangani masalah ini. Pihak yang paling berwajib dalam membendung fenomena ini ialah Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP), Kementerian Pelajaran, dan Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan. Ketiga-tiga pihak hendaklah bermusyawarah untuk berbincang mengenai isu ini. Sehubungan dengan itu,  bekas Ketua Pengarah DBP,Datuk A.Aziz Deraman memberitahu bahawa Akta DBP yang dipinda , perlu mengatasi kuasa akta-akta yang lain.  Hal ini bertujuan untuk mengenakan tindakan undang-undang atas mereka yang mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa lain serta menggunakan bahasa kebangsaan dengan cara yang salah. Kerajaan sewajarnya memberikan penekanan yang lebih serius dalam menangani permasalahan ini. Tindakan ini hendaklah mendapat kerjasama daripada semua pihak. Sekiranya tidak, usaha kita untuk memartabatkan bahasa Melayu pasti sia-sia sahaja.

Akhir sekali, peranan guru terutamanya guru bahasa Melayu dan guru Bahasa Inggeris di sekolah hendaklah diperkasakan. Guru-guru perlulah mengubah sikap pelajar yang suka berkomunikasi menggunakan bahasa rojak secara lisan mahupun SMS. Guru-guru bahasa haruslah menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada pelajar-pelajar di sekolah. Mereka perlu berkomunikasi menggunakan bahasa yang betul dan gramatis semasa mengajar. Oleh sebab itu Guru mesti sentiasa berada dalam keadaan berkualiti, berkesan, dan menguasai kandungan subjeknya jauh lebih tinggi daripada pengetahuan dan kemahiran yang sedia dimiliki pelajar. Tambahan lagi, mereka perlu membuat persediaan, memperbaiki serta mempelbagai kaedah penyampaian termasuk memanfaatkan kemajuan teknologi sedaia ada secara kreatif. Kepentingan berbahasa dengan betul hendaklah disebarluaskan kepada pelajar-pelajar kerana bahasa melambangkan bangsa. Pelajar-pelajar hendaklah diingatkan bahawa Bahasa Melayu merupakan identiti kita sebagai rakyat Malaysia yang mesti didaulatkan dan dimartabatkan sehingga ke persada antarabangsa.

Konklusinya, bahasa rojak bukanlah budaya kita yang sejati. Oleh sebab itu, kita harus berganding bahu bagai isi dengan kuku untuk mendaulatkan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dan jati diri bangsa Malaysia turun-temurun. Kita tidak mahu melahirkan generasi yang hanya tahu ``berbahasa rojak'', tidak lancar bahasa Inggerisnya dan tidak pula fasih bahasa Melayunya. Ini bukan sahaja merupakan satu masalah komunikasi tetapi sudah boleh dianggap sebagai satu `krisis identiti'. Satu langkah yang tegas dan menyeluruh hendaklah diambil untuk membongkar hingga ke akar umbi sebab musabab yang menjadi punca krisis tersebut. Hanya setelah sebab musabab yang sebenar diketahui maka satu penyelesaian yang berkesan dapat dilaksanakan. 

2 ulasan:

syamimialia berkata...

saya minta izin untuk copy karangan ni sebagai rujukan .terima kasih .

syamimialia berkata...

saya minta izin untuk copy karangan ni untuk dijadikan bahan rujukan .terima kasih .