JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



27 Oktober 2011

ISU UMUM : NAMBIKEI DAN MASYARAKAT INDIA

PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia


TAMAN NEGARA YELLOWSTONE,
AMERIKA SYARIKAT

Nambikei - menjadi ungkapan popular yang sering digunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ketika bertemu masyarakat India kini. Ia boleh diterjemah secara literatur sebagai ‘kepercayaan’, ‘keyakinan’ atau ‘harapan’; bersifat nilai positif. Membina nambikei memerlukan amanah dan rasa tanggungjawab dalam kalangan kepimpinan. Sejak 2009, Najib menggunakan pelbagai pendekatan dan hadir bermacam-macam aktiviti serta program dalam usaha berterusan menjana ikatan ‘kepercayaan’ ini bersama masyarakat India. Komunikasi langsung antara Najib dan masyarakat India bertujuan memulihkan semula sokongan yang terhakis sehingga memberi kesan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12. Sehingga 2008, kedudukan masyarakat ini terpinggir walaupun beberapa polisi dirancang namun pelaksanaannya lemah dan tidak menampakkan sebarang hasil memberangsangkan. Walaupun mempertahankan cubaan meningkatkan taraf hidup masyarakat India, nyata ia tenggelam terutama tindakan pihak tertentu yang lebih bersifat meruntuhkan moral masyarakat daripada menyemai tuntutan sahih.

Kemuncaknya adalah Perhimpunan Hindraf yang berjaya melahirkan krisis ke atas nambikei ini yang diterjemah dalam bentuk undi protes ke atas parti Barisan Nasional (BN) ketika itu. Pengundi yang sering memberikan sokongan tidak berbelah bahagi pada MIC menyatakan rasa tidak puas hati melalui undian sehingga BN kehilangan hampir 80% yang dinikmati sebelumnya walaupun ia turut berlaku ke atas BN secara menyeluruh. Menyedarinya dan dinyatakan oleh Najib secara terbuka dalam beberapa siri ceramah dan pertemuan dengan masyarakat India, maka di bawah Jabatan Perdana Menteri, beliau memulakan pemasaran politik baru yakni mengambil inisiatif mengenalpasti isu dan masalah serta cabaran masyarakat India dan cuba menyelesaikannya. Usaha Najib adalah untuk mendampingi masyarakat dan pemimpin akar umbi untuk menunjukkan beliau komited membawa pembaharuan berasaskan kepada nambikei ini. Najib berjumpa pelbagai keturunan atau kumpulan keetnikan yang wujud dalam kalangan masyarakat India dan kaedah ini dilihat boleh menjejaskan perpaduan dalam masyarakat tersebut tetapi dalam konteks kepentingan sokongan, beliau bersedia berjumpa sesiapa sahaja agar tidak ada yang menganggap kelompok mereka dipinggir.

Lantaran itu, keupayaan dan tenaga yang digunakan oleh Najib sebenarnya memerlukan iltizam luar biasa malahan beliau mempertontonkan kemampuan ‘kepelbagaian’ dan dengan mudah bersemuka dengan sesiapa sahaja serta boleh berinteraksi dengan lenggok bahasa mereka adalah sesuatu yang sukar dilakukan oleh ramai pemimpin. Beliau turun padang dan melakukan walkabout di merata tempat termasuk di Brickfields, Masjid India, Lebuh Ampang dan Jalan Tengku Kelana serta Sungai Petani dan Batu Caves ketika perayaan Thaipusam. Sifat sedemikian sudah pasti akan menarik sokongan segelintir masyarakat India walaupun tidak semua. Najib membawa nafas baru kepada masyarakat India dalam usaha menangani permasalahan komuniti ini. Ada keputusan jangka pendek dan ada langkah atau tindakan yang akan hanya menampakkan hasil dalam jangka masa panjang. Bersediakah masyarakat India terutama yang ‘masih memerhati’ gaya kepimpinan beliau memberikan peluang sekali lagi kepada BN yang banyak bergantung kepada beliau. Pembinaan imej Najib jika dikongsi ramai terutama pemimpin atasan parti dan pemimpin di peringkat negeri, bahagian dan cawangan, nescaya boleh memberi impak positif.

Yang penting adalah komitmen; keinginan dan kesungguhan bersama yang tidak boleh dilakukan secara paksaan tetapi hasrat dan ketokohan Najib untuk membawa anjakan baru barangkali memerlukan keikhlasan dari semua pihak terbabit. Politik mementingkan diri dan menggunakan komuniti untuk mengembangkan politik penaungan kronisme sendiri mesti diubah jika mahu bersama dalam proses transformasi kerajaan. Dalam karnival sambutan perayaan Deepavali baik di Jalan Tengku Kelana, Klang mahupun Lebuh Ampang, Najib memberi jaminan berterusan kepada masyarakat India agar memberikan peluang kepadanya untuk memastikan pelan transformasi beliau di bawah agenda besar kepimpinannya dilaksanakan dan ia hanya menampakkan kejayaan jika dimobilisasi sokongan bersama dengan memberi keutamaan kepada keperluan, kemahuan dan mendekati mindset rakyat India. Adakah Najib berjaya? Apakah tindakan dan gaya Najib menerima sambutan dari masyarakat India? Mampukah ia diterjemah sebagai sokongan kepada BN dalam PRU Ke-13? Pola penerimaan dalam kalangan masyarakat India agak berbeza jika dibandingkan antara bandar, separa bandar dan luar bandar.

Pola pengundian dalam Pilihan Raya Kecil jika dijadikan rujukan menunjukkan sokongan masyarakat India kembali secara perlahan-lahan kepada Najib tetapi tidak boleh dianggap bersifat tetap terutama di bandar dan separa bandar. Ini turut disokong oleh prestasi barisan pembangkang terutama kepimpinan atasannya yang masih tidak menunjukkan keazaman untuk menghargai sokongan pengundi India dalam bentuk pelaksanaan kecuali masih terus bercakap mengenai kuil dan sekolah Tamil yang juga menjadi agenda dominan kerajaan Pusat. Yang diperlukan oleh masyarakat India adalah Dasar Induk Sosio-Ekonomi Baru Masyarakat India (DSEBMI) sebagai blueprint peluang pendidikan, membasmi kemiskinan bandar, pembangunan perniagaan, pengambilan jawatan awam, peluang pekerjaan, isu kebudayaan, kuil, peluang latihan skil, kebolehan dan kemahiran merangkumi kumpulan dewasa, muda, profesional, berskil dan bergaji bulanan rendah. Ia boleh menjadi pelengkap kepada Special Implementation Task Force (SITF) di bawah Jabatan Perdana Menteri yang sudah melakukan pelbagai program termasuk program ‘My Daftar’ yang melibatkan sijil kelahiran dan pendaftaran perkahwinan.

Pemantauan operasional dengan kekuatan Najib untuk membantu boleh merungkai ikatan kumpulan yang melaksanakan dengan kumpulan sasar spesifik terutama yang berada dalam kumpulan terdesak iaitu 40% dalam kategori kelas bawahan stratifikasi masyarakat. Pembentukan kaukus masyarakat India di beberapa lapisan kenegerian dan daerah boleh dibentuk untuk membantu MIC dan kerajaan pusat; penjana blueprint ini di bawah seliaan Perdana Menteri. Dengan perubahan kepimpinan dalam MIC yang kini turut cuba melakukan reformasi dalaman dan luaran; gaya kepimpinan Najib akan menjadi platform kepada persekitaran politik kerangka demokrasi dan kebebasan. Ia akan ketara jika pelbagai pihak lain turut memain peranan bersama atas prinsip ‘muhibbah’ dan ‘muafakat’ untuk mengukuhkan pencapaian Dasar Induk Sosio-Ekonomi Baru Masyarakat India. Deepavali disambut oleh masyarakat India minggu ini. Ia berprinsipkan untuk membawa kejernihan, kebaikan, nafas baru dalam gemerlapan cahaya kehidupan baru, keluar daripada lingkaran kegelapan, kejahatan dan kekeliruan insaniah. Sambutan kali ini boleh dikongsi bersama semua masyarakat untuk menunjukkan usaha mencari titik cahaya nambikei; cahaya yang membawa kepada masa depan baru bagi rakyat India jika kesemua lapisan kepimpinan bersama memobilisasi nambikei ini untuk membawa kebangkitan agar mereka yang tergolong di dalam kepompong 40% di bawah garis kemiskinan terjamin kualiti kehidupannya dalam persaingan keduniaan yang semakin mencabar.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
27 OKTOBER 2011


Tiada ulasan: