Oleh KHAIRUDDIN MOHD ZAIN
PENULIS ialah pemerhati sosioekonomi
MUZIUM LOUVRE DI PERANCIS
MUZIUM TERBESAR DI DUNIA
Banyak juga perkara yang menunjukkan perubahan dan perkembangan positif. Perkembangan baik jangan pula kita sorok dan lupakan. Ia wajar dipuji dan diangkat sebagai perubahan yang mampu memberikan kekuatan kepada sistem pentadbiran awam. Soalnya, apakah laporan ini akan diambil sebagai sesuatu yang serius dan menjadi penggalak perubahan pada sistem sedia ada? Laporan audit yang mendedahkan 'penyakit sama' tahun demi tahun, akan mendatangkan perspektif curiga yang semakin mendalam di kalangan minda rakyat. Laporan sama yang turut mengemukakan petanda positif prestasi kewangan wajar dipuji. Sebanyak 17 kementerian berada pada tahap sangat baik berbanding 10 kementerian pada 2009, empat kementerian (2008) dan satu (2007). Secara kasar, ini menunjukkan perubahan positif. Saat kepimpinan memperkatakan mengenai rentak transformasi dan perubahan, seluruh jentera kementerian, jabatan dan agensi kerajaan perlu menyantuni laporan audit dengan lebih serius. Memang benar, wujud kementerian yang mula memperkatakan mengenai 'belanjawan berimpak tinggi namun sejauh mana ia dilaksanakan dengan bersungguh adalah sesuatu yang berbeza.
Laporan yang bersifat kewangan hanyalah satu segmen. Bagaimana dengan audit tentang kecekapan organisasi? Terdapat agensi yang melanggar piagam organisasi secara semborono. Tidak ada sebarang rasa bersalah dan semuanya akan 'berjalan seperti biasa' usai Laporan Ketua Audit Negara dilaksanakan. Inilah sebenarnya yang boleh mendatangkan rasa kecewa di kalangan rakyat. Sementara rakyat diterap dengan semangat berbelanja secara berhemah, bersesuaian dengan suasana ekonomi yang menduga - sesetengah ketua jabatan/agensi mempunyai kuasa penuh untuk berbelanja dana awam dengan sesuka hati. Apa rasional untuk melakukan tugasan yang boleh dilaksanakan dalam tempoh sehari - namun dilaksanakan dalam tempoh 700 hari? Ia mengundang pelbagai persepsi negatif yang tidak membantu pembinaan imej dan wibawa jentera kerajaan. Lebih merosakkan, sekiranya tiada sebarang usaha dibuat untuk memberikan 'pengajaran setimpal' kepada yang terbukti gagal melaksanakan amanah dengan sebaiknya. Semua ini akan hanya merencatkan niat 'transformasi' yang diperkatakan oleh kepimpinan.
Malahan, dalam kes tertentu, ia bukan sahaja merencatkan - malahan sama sekali boleh diibaratkan sebagai suatu bentuk 'sabotaj' kepada niat perubahan yang diinginkan. Kita harus sedar, banyak kelemahan pengurusan, baik kewangan mahupun khidmat - akan memberikan impak langsung kepada rakyat. Ambil sahaja contoh bagaimana anak-anak kecil Tabika Kemas yang sebenarnya tidak dihidangkan dengan menu yang digariskan oleh pihak kementerian. Apakah ini bukan suatu bentuk kecurangan pengurusan yang nyata? Apakah kita pernah terfikir bahawa amanah bagi menjaga generasi baru seperti itupun sanggup kita persiakan? Jika kecurangan kewangan dan organisasi dibiarkan berterusan, adalah sesuatu yang tidak mustahil segala program transformasi yang diniatkan akan hanya menjadi hebat di atas kertas, sekali gus kurang memberi makna kepada rakyat. Ini adalah cabaran dan dugaan paling besar yang perlu dilaksanakan oleh kakitangan awam, tidak kira di peringkat mana sekalipun. Laporan Ketua Audit Negara yang tidak mempunyai elemen 'mengenakan hukuman', kepada agensi dan jabatan berkenaan akan kekal menjadi laporan pasif dan menzahirkan simptom 'penyakit berulang'.
Tahun depan, tidak mustahil kita akan menerima lagi laporan sama, namun dalam amaun yang berbeza. Jabatan dan agensi yang merasakan ketiadaan sebarang tindak balas administratif mahupun denda, akan pantas melaksanakan program seperti biasa. Kesemuanya akan kembali kepada suasana asal. Kelemahan-kelemahan yang dikemukakan oleh Laporan Ketua Audit Negara mesti diangkat sebagai dokumen khusus untuk memperbaiki amalan tadbir urus yang longgar di sesetengah agensi. Kalangan ketua jabatan/agensi yang gagal mengurus peruntukan dengan baik, perlu memberikan penjelasan yang tuntas atau berdepan dengan kemungkinan tindakan dikenakan. Sifat, selesa dan mudah puas hati inilah yang mendatangkan penyakit yang lebih besar di dalam sistem pentadbiran. Banyak negara yang lebih maju sudah mula memperkenalkan sistem pentadbiran kewangan awam yang lebih baik dan berhemah. Di United Kingdom misalnya, komitmen ke arah pentadbiran kewangan berhemah dan bertanggungjawab dilaksanakan di bawah kempen menyeluruh Jabatan Perbendaharaan, 'Managing taxpayers money wisely: Commitment of Action'. Sedar bahawa suasana ekonomi dunia dan tekanan fiskal yang dihadapi oleh negara tersebut - tidak ada jalan singkat dan mudah, kecuali untuk membenihkan semangat berbelanja yang lebih berintegriti.
Malahan, kerajaan negara tersebut sudahpun mengumumkan inisiatif khusus Program Transformasi Kewangan di kalangan jabatan kerajaan. Semua ini dilakukan di atas niat yang luhur untuk mengurus dana awam dengan lebih berintegirti dan bertanggungjawab. Penelitian umum kepada beberapa Laporan Ketua Audit Negara lain, turut mencatatkan banyak kelemahan. Kesempurnaan mungkin bukanlah sesuatu yang boleh kita harapkan melalui mana-mana laporan audit sekalipun, namun itu bukan alasan kita berbelanja secara sesuka hati. Prinsip pertanggungjawaban tidak boleh diketepikan dalam pada kita mengejar kecekapan organisasi yang diinginkan. Namun, kesalahan-kesalahan yang dinyatakan tidaklah bersifat sangat 'asas' seperti yang berlaku di negara kita. Rakyat mengharapkan sektor awam lebih mampu meresapi niat transformasi yang selalu diungkapkan oleh Perdana Menteri. Laporan audit yang terus mencucuk rasional dan mengkompromi asas kebertanggungjawaban akan mengecewakan rakyat dan pembayar cukai. Suasana dan lanskap pentadbiran tidak boleh kekal berada dalam zon selesa - ketika mana negara berdepan dengan dugaan ekonomi yang semakin menyulitkan.
Kita pasti boleh menzahirkan pentadbiran kewangan yang lebih cekap, efisien dan wibawa; sekiranya semua penjawat awam menjiwai semangat belanjawan yang lebih hemah dan bertanggungjawab. Majoriti rakyat amat mengharapkan agar Laporan Ketua Audit Negara 2011 akan menzahirkan elemen 'transformasi' pentadbiran kewangan di segenap kementerian dan agensi kerajaan. Jika ini berlaku, rakyat akan pastinya melihat sektor awam dengan wajah yang lebih positif dan nilai wibawanya yang lebih tinggi.
Kita pasti boleh menzahirkan pentadbiran kewangan yang lebih cekap, efisien dan wibawa; sekiranya semua penjawat awam menjiwai semangat belanjawan yang lebih hemah dan bertanggungjawab. Majoriti rakyat amat mengharapkan agar Laporan Ketua Audit Negara 2011 akan menzahirkan elemen 'transformasi' pentadbiran kewangan di segenap kementerian dan agensi kerajaan. Jika ini berlaku, rakyat akan pastinya melihat sektor awam dengan wajah yang lebih positif dan nilai wibawanya yang lebih tinggi.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan