Pegawai Penyelidik,
Pusat Kajian Syariah dan Politik,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
SOSSUS VLEI, NAMIBIA
Imam Al-Ghazali pernah berkata: "Jika kita ingin tahu corak dan rupa masa depan maka lihatlah kepada generasi muda hari ini." Justeru agak menakutkan apabila baru-baru ini akhbar melaporkan bahawa lebih enam juta belia negara menghadapi krisis kecelaruan identiti disebabkan terpengaruh dengan gaya hidup Barat. Dapatan ini telah diperolehi oleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) melalui media alternatif seperti laman sembang sosial Facebook dan Twitter yang dihoskannya bermula Januari tahun ini. Masalah ini dikatakan pada tahap yang membimbangkan kerana bakal mendorong belia terbabit ke arah pemikiran secara liberal. Sehingga kini terdapat kira-kira 11.65 juta belia di Malaysia iaitu 40.28 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini. Tidak dinafikan golongan belia kini terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran. Namun ke mana hilangnya jati diri mereka sebagai orang Islam? Sebaik-baiknya semua pihak harus bermuhasabah dan memikirkan usaha yang boleh dilakukan demi memastikan golongan belia berada pada landasan yang betul.
Cuba lihat diri kita sendiri, adakah kita menghayati hidup beragama dalam kehidupan atau sekurang-kurangnya berusaha sedaya upaya mengikuti syariat Islam? Jika kita lalai dan leka, janganlah pula kita sewenang-wenangnya menyalahkan golongan belia. Jika kita sendiri memandang sepi agama Islam serta lebih bangga dengan budaya Barat, maka kita yang harus dipersalahkan dalam hal ini. Umpama ketam yang hendak mengajar anaknya berjalan betul. Hakikatnya memang terdapat usaha pihak-pihak tertentu untuk mengikis agama dalam kehidupan orang Islam. Islam dilihat hanya sebagai agama ritual di mana ia tiada apa-apa peranan dalam urusan negara. Kita dapati pemikiran liberal demokrasi cuba diserapkan ke dalam negara ini walaupun Islam adalah agama negara. Sesungguhnya cabaran dihadapi umat Islam kini amatlah besar apatah lagi dengan internet yang semakin canggih. Masa depan anak cucu sebagai generasi pelapis terumbang ambing jika dibiarkan belia berterusan dengan kecelaruan identiti.
Tidak usah kita menuding jari menyalahkan orang lain dalam hal ini atau terus menerus dibuai dengan isu yang kecil sehingga perkara yang lebih penting diketepikan. Setiap orang dari kita harus berperanan agar generasi masa depan terus berada di landasan yang betul. Agama Islam harus diangkat dan dimartabatkan agar ia menjadi nur dan menyinari kehidupan semua orang. Jangan hanya kita pandai bercakap untuk memartabatkan agama Islam tetapi dari segi perlaksanaannya tidak ada. Seminar demi seminar yang diadakan tidak akan mendatangkan apa-apa hasil jika sekadar bercakap saja tanpa ada usaha-usaha yang berterusan ke arah itu. Tidak cukup juga dengan mengadakan sambutan Maulidur Rasul atau mengadakan tilawah Al-Quran setiap tahun agar dilihat sebagai menghayati agama Islam itu. Sebagai orang dewasa kita patut menjadi contoh yang terbaik kepada golongan belia. Namun apa yang terjadi hari ini amat mendukacitakan. Contohnya kini sudah menjadi kebiasaan waktu solat Jumaat masih ramai kaum lelaki yang berkeliaran sana sini menjamu selera dan sebagainya.
Sedangkan waktu itu sepatutnya mereka sudah berada di masjid mendengar khutbah dan bersolat Jumaat. Apa yang lebih menyedihkan apabila kita tidak berupaya menegur mereka yang tidak bersolat Jumaat ini. Oleh itu wajarkah kita menyalahkan belia jika contoh yang di sekeliling mereka juga memperlekehkan agama? Kita sering bergaduh dan berselisih pendapat sesama sendiri. Segala ketidak puasan hati disuarakan dengan nada yang keras seolah-olah hendak bergaduh. Sebaiknya kita menyuarakan pandangan dalam nada yang harmoni dengan semangat bertukar-tukar pendapat. Semua perkara boleh dibawa berbincang tetapi harus bersedia mendengar dan menerima pendapat orang lain. Jika kita terus bercakaran sesama sendiri, dikhuatiri belia kita akan mendapat gambaran yang negatif dan mereka juga akan bersikap serupa dan tidak mudah mendengar nasihat. Kaum belia merupakan harta negara maka seharusnya mereka dijaga dan dipelihara agamanya. Mereka merupakan pemimpin masa hadapan dan perlu dipersediakan untuk menggalas cabaran negara pada masa akan datang. Dekatilah mereka, dengarkan luahan hati dan pendapat mereka, jadikan belia seperti rakan untuk berbincang dan bertukar-tukar pendapat. Dengan cara ini mereka tidak akan ragu-ragu untuk meluahkan segala kemusykilan dan permasalahan yang dihadapi.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan