JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



15 September 2011

ISU KENEGARAAN : SEJARAH NEGARA WAJAR JADI IKHTIBAR BERGUNA

Oleh Ahmad Azan Ridzuan


Pemimpin patriotik semestinya mempelajari dan memahami sejarah kerana ia menunjukkan asal usul kita dan menjadi pengajaran pada masa lalu. Sejarah menjadi cermin perjuangan demi mencapai kecemerlangan masa depan. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berkata “kalau kita lupa sejarah, ia akan berulang semula. Mereka yang lupa sejarah akan dihukum dengan melakukan kesalahan sama berulang kali.” Negara kita merdeka pada 31 Ogos 1957 merangkumi Semenanjung Tanah Melayu dan pada 1963, Singapura, Sabah dan Sarawak menganggotai negara ini, maka wujudnya Malaysia. Namun pada 1965, Singapura berpisah daripada Malaysia. Rakyat yang memperjuangkan tanah air tercinta dianggap musuh oleh penjajah, di tanah air sendiri walaupun mereka berjuang demi agama, bangsa dan negara Malaysia mengalami sejarah yang begitu lama dijajah jika dibandingkan dengan usia kemerdekaan yang baru mencecah 54 tahun. Sejarahnya bermula dengan Portugis menawan Melaka pada 1511, diikuti pula oleh Belanda, seterusnya British.  Ketika Perang Dunia Kedua, Jepun menjajah dari 1941 sehingga tamat peperangan 1945. British mulai menjajah semula negara ini sehingga rakyat berjaya memperjuangkan kemerdekaan dengan satu hati, satu jiwa, satu langkah, satu nada dan satu suara serta gandingan bahu orang Melayu, Cina dan India.

Konvensyen Memperingati 500 tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka (1511-2011) yang dianjurkan di Universiti Teknikal Malaysia, Melaka 29 Januari lalu mengimbas kembali kesengsaraan yang pernah dilalui oleh nenek moyang kita terdahulu. Amat menyayat hati ketika zaman penjajahan keperwiraan pahlawan tanah air seperti Mat Lela, Mat Kilau dan lainnya digelar pengkhianat oleh penjajah. Rakyat yang memperjuangkan tanah air tercinta dianggap musuh oleh penjajah, di tanah air sendiri walaupun mereka berjuang demi agama, bangsa dan negara.  Rakyat yang berjuang ini didera, diseksa, dianiaya, dipenjarakan dan ada yang dibuang negara, begitu kejam penjajah melakukan kekejaman ke atas anak bangsa yang mahukan tanah airnya tidak dicemari oleh penjajah British.  Kekejaman ke atas pejuang kebebasan negara ini berterusan pada zaman pemerintahan Jepun, ramai yang dizalimi, dikasari dan dibunuh, ada diantaranya dipenggal kepala dan dipamerkan untuk tontonan umum yang lalu lalang di sepanjang jalan. Menjadi perkara biasa rakyat dilempang dan diterajang, dikerah minum air sabun lalu dipijak perutnya dan direbus hidup-hidup di dalam kawah besar. Ini kekejaman yang diterima di tanah air sendiri, rakyat menjadi musuh kepada penjajah yang menjadi tuan rumah.

Penjajah yang menjadi tuan rumah ini bukan saja kejam kepada rakyat yang menjadi wira untuk menuntut kebebasan malah mereka merobek nilai budaya masyarakat, mengaut hasil bumi untuk memenuhi temelok mereka, meminggirkan hak masyarakat dan memperbodoh-bodohkan rakyat demi kepentingan mereka. Musuh dengan mudah menjadi tuan rumah kerana kebodohan masyarakat, bukannya penjajah itu cerdik sangat tetapi disebabkan masyarakat yang kurang ilmu tidak berdaya menentang penjajah yang lebih cerdik sedikit.  Ilmu yang tidak diterokai oleh masyarakat ketika itu, yang tidak tahu selok-belok penjajah yang berjaya memperdayakan masyarakat demi survival mereka di bumi ini. Lihat saja di Iraq, bagaimana Amerika Syarikat menceroboh, menyerang dan me-naklukinya, mereka menggelarkan pejuang di kalangan rakyat Iraq sebagai musuh. Amerika Syarikat pula menjadi tuan rumah. Keadaan yang sama juga berlaku di Afghanistan, AS mengisytiharkan bahawa Osama Bin Laden terbunuh dalam serbuan yang mereka lancarkan, menuduhnya menjadi perancang kemusnahan World Trade Centre di New York pada 11 September 2001. Contoh terdekat ketika peperangan Vietnam, kemusnahan berpanjangan ke atas negara itu, namun Amerika Syarikat tidak berjaya di peperangan berkenaan, malah mengalami keruntuhan dan kemusnahan besar ke atas rakyat dan tenteranya dalam jangka masa panjang.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

SUMBER
BERITA HARIAN
15 SEPTEMBER 2011

Tiada ulasan: