JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



01 September 2011

ISU KENEGARAAN : MERDEKA BERMAKNA KITA KENA BEBAS SEPENUHNYA DARIPADA BELENGGU LUAR

Oleh ZULKIFLI JALIL


Jika semua pihak tanpa mengira ideologi politik meneruskan perjuangan dalam diri untuk mencari kebaikan, maka inilah masa terbaik. Yakni, hari baik dan bulan baik ini (Hari Raya Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan) bagi mendapat manfaat yang rakyat Malaysia megahkan. Sebabnya, merdeka kali ini jatuh pada hari raya, sama ada 30 atau 31 Ogos (2011), kita anggap ini hari besar di negara. Pengertian merdeka perlu mencakupi semua aspek semasa. Kita tidak menolak bahawa setiap pemimpin ada celanya. Setiap pemimpin ada juga baiknya tetapi dakwa mereka kononnya mengikut trend sekarang semua pemimpin yang memerintah dan mentadbir, semuanya tak baik, ini satu pendustaan. Pencorakan perjuangan politik seseorang banyak berasaskan kepada pendidikan yang diterimanya. Tetapi bukan 100 peratus. Kini dengan transformasi yang sedang dijalankan kerajaan, ia mesti diterima sebahagian rancangan tersebut. Setakat mana kita menilai kesusahan masyarakat di luar sangkar politik. Kita nak tentukan apa pun parti politik, golongan yang susah perlu dibantu dan bukan disebabkan ia anggota parti.

Pendidikan membina masyarakat mesti bermula satu ketika dan ini harus diterima sebagai satu hakikat. Di bawah Allahyarham Tun Hussein Onn, kita banyak belajar dari segi ketegasan pemimpin, walaupun mengambil masa untuk menjadi tegas tetapi apabila sudah membuat keputusan ia tidak berganjak. Tun Abdul Razak pula dicontohi kerana cara Allahyarham menyayangi masyarakat luar bandar. Perdana Menteri kedua itu menjaga kehidupan yang sistematik dalam perancangan tanah tanih. Selain menjadi bapa pembangunan, beliau merupakan strategis yang amat tajam pemikirannya dan hasilnya, penubuhan BN pada 1974. Di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir pula, kita belajar sebagai orang yang mengenal tentang kedaulatan malaysia dan bangsa Malaysia. Jadi, Tun Mahathir dengan wawasan 2020 nya mencerminkan Malaysia jendela negara membangun yang mesti kita hargai. Tun Dr. Mahathir merupakan obor moden Malaysia dan membawa pembangunan. Kepadanya, kemerdekaan adalah pengisian minda untuk bebas berfikir. Bercerita mengenai Tun Abdullah Ahmad Badawi pula, beliau yang lebih dikenali Pak Lah pernah menjadi pegawainya yang mana akhirnya Perdana Menteri kelima itu pula menjadi ketuanya.

Pak Lah adalah diplomat yang tinggi nilai, mempunyai hemah yang murni dan pencipta Islam Hadhari. Akan tetapi sayangnya, beliau tidak sempat menjelmakan kepada amalan kerana Islam hadhari dilihat sebagai dasar yang belum masak diletakkan. Jadi, agak kecewa namun sifat muhibbah dan kepimpinannya dari segi menjelmakan idea, beliau akan diingati. Kepada kepimpinan sekarang, Najib dilihat sebagai inovator. Najib, telah mengabungkan kebolehan ayahandanya dengan apa yang dipelajari semasa di bawah Tun Dr. Mahathir, transformasi yang dibawanya menerusi Gagasan 1Malaysia yang sebenarnya ialah binaan negara bangsa yang seharusnya dinilai dari segi pencapaian sebenar. Jadi, ia bererti terlalu awal bagi seseorang mengkritiknya sekarang sehingga sepatutnya beliau dapat menghasilkan semua konsep yang dimaksudkan. Walaupun sudah merdeka 54 tahun, sikap masih dibelenggu cara luaran tidak dapat dinafikan kerana dari setiap gugusan kumpulan pelajar boleh dikatakan 50 peratus diasuh di luar negara. Jadi pemikiran mereka tergangga atau melopong melihat nilai-nilai sentiasa terbuka. Ini kerana mereka yang pergi ke Mesir atau Timur Tengah akan membawa sikap-sikap keakraban dari Timur Tengah.

Mereka yang belajar di Amerika terbawa-bawa dengan Hopkins dengan U New York. Mereka yang belajar di Britain pula seperti orang putih, mereka nak bawa sistem sejagat dunia. Justeru, apabila mereka pulang ke tanah air, maka akan terikut-ikut dengan dengan budaya luar sehingga lupa budaya dalaman. Namun persoalannya, bagaimana negara Singapura dan Korea boleh berjaya. Sebabnya mereka lebih mengenal nilai jati diri berbanding nilai samar-samar. Oleh itu kita perlu melalui bimbingan sosial akan datang dengan membawa pembaharuan seperti transformasi seperti yang dianjurkan kerajaan di bawah kepimpinan Najib. Kita mesti membawa balik sistem-sistem yang dijaga tinggi nilainya, keislaman misalnya ataupun kita bawa nilai kasar hasil perjuangan di Afghanistan atau perjuangan di Mesir atau perjuangan di pusat pengajian tinggi luaran. Kita percaya rakyat yang sedar akan sentiasa terasa bahawa kemerdekaan ke-54 ini merupakan tahun yang mencabar. Di samping itu akan terasa banyak perubahan berlaku khususnya perubahan yang akan mencorak tamadun baru rakyat dan tanah air kita. Juga harus saya tekankan bahawa di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib, kemerdekaan ini akan lebih bererti kerana beliau mencetuskan pemikiran dan olahan hidup yang baru menerusi pelbagai program dan projek transformasi yang beliau pimpin untuk jayakan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
31 OGOS 2011

Tiada ulasan: