Tindakan seorang pastor warganegara Malaysia, Ou Yang Wen Feng, yang dilaporkan akan berkahwin dengan ‘kekasihnya’ seorang warga Afrika-Amerika di New York tidak lama lagi telah menggemparkan banyak pihak di negara ini. Ou Yang kini berkhidmat di Gereja Komuniti Metropolitan (MCC), New York pernah melakukan kejutan apabila cuba mengusulkan cadangan membina cawangan gereja MCC di Malaysia bagi memperjuangkan hak golongan homoseksual di negara ini. Apa yang menimbulkan persoalan kini Ou Yang turut mengumumkan akan melangsungkan majlis resepsi di negara ini sedangkan Malaysia tidak pernah mengiktiraf perkahwinan sejenis. Untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai gejala homoseksual, wartawan Mingguan Malaysia HAFIZAHRIL HAMID telah mewawancara Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Islam Universiti Malaya, Dr. Mohd Roslan Mohd Nor. Katanya walaupun gejala ini jelas haram namun pada masa yang sama beliau meminta agar masyarakat tidak terlalu cepat menjatuhkan hukum malah membantu mereka untuk kembali ke pangkal jalan. Manakala di Sabah wartawan TARMIZI ABDUL RAHIM pula menemubual tokoh Kristian, Webley Disim mengenai isu tersebut. Ujarnya adalah tidak salah untuk mengatakan mereka ini merupakan pengikut ajaran Kristian sesat tapi bagaimanapun mereka ini masih boleh diubati.
MINGGUAN: Bagaimana Dr. melihat kecenderungan golongan homoseksual yang semakin berani bertindak di luar batasan sekarang?
MOHD ROSLAN: Dalam hal ini ia sebenarnya rentetan dari masalah yang sudah berlaku begitu lama dan jika kita tidak menanganinya secara tuntas ia boleh menimbulkan mudarat yang lebih besar. Kalau kita lihat perjuangan golongan ini berteraskan pada hak asasi manusia. Secara fitrahnya gender hanya ada dua sahaja iaitu lelaki dan wanita tetapi mereka mendesak untuk golongan homoseksual. Sekarang ini jika kita lihat di Amerika Syarikat (AS) terdapat enam negeri yang mengiktiraf perkahwinan sejenis. Namun jika kita buat penilaian hanya enam negeri daripada 50 negeri di AS yang mengiktiraf perkahwinan sejenis. Maksudnya di sebuah negara yang begitu lantang menyatakan mereka sebagai negara kuasa dunia tetapi hakikatnya masih belum dapat menerima golongan homoseksual ini dalam kehidupan mereka. Malah pada satu ketika di AS golongan homoseksual ini dikategorikan sebagai mental disorder dan perlu diberikan rawatan. Namun kerana desakan kuat dari golongan ini mereka tidak dikategorikan dalam golongan tersebut dan diberi peluang untuk menjalani kehidupan seperti manusia biasa.
Cuma masalahnya yang paling jelas ialah bila masalah ini berhubung kait dengan agama. Islam secara jelas menentang kumpulan yang dipanggil gay, lesbian dan biseksual dan ia dinyatakan dalam nas-nas al-Quran dan hadis. Dalam al-Quran kisah yang menimpa kepada kaum Nabi Lut adalah rujukan yang sering dikemukakan dalam soal hukum terhadap golongan ini. Tapi kini mereka secara halus memperjuangkan hak melalui hak asasi manusia dan memohon untuk diiktiraf. Kalau kita lihat melalui Universal Declaration of Human Rights (UDHR), golongan ini diberi ruang untuk diiktiraf tetapi kita di peringkat negara-negara OIC mempunyai satu lagi dokumen hak asasi manusia yang dikenali sebagai Cairo Declaration of Human Rights in Islam. Ia telah diterima dan disepakati secara bersama pada tahun 1990 dan diiktiraf di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai satu dokumen untuk negara Islam. Dalam deklarasi ini ia dinyatakan secara jelas bahawa setiap perkara yang berkaitan dengan hak asasi manusia hendaklah berlandaskan kepada syariah. Dan segala perkara hak asasi manusia yang bercanggah dengan syariah tidak boleh diterima pakai.
Bagaimana pula dari sudut perundangan negara ini?
MOHD ROSLAN: Dalam soal perlembagaan negara ini, Islam adalah agama bagi persekutuan maka ia bermaksud Islam mempunyai kedudukan yang lebih tinggi berbanding agama-agama lain. Ini secara tidak langsung menolak gerakan-gerakan berkaitan homoseksual yang kini menggunakan pelbagai platform untuk mengelirukan orang ramai. Contohnya portal Merdeka Seksualiti.org, yang cuba memberi gambaran seolah-olah golongan homoseksual ini tertindas. Selain itu sebelum ini kita dikejutkan dengan pengakuan seorang lelaki Melayu Islam dalam youtube, bernama Azwan Ismail yang mengaku sebagai seorang gay dan dia okey. Pelbagai pihak telah menyatakan bantahan dan meminta supaya diambil tindakan terhadap lelaki ini namun tidak ada sebarang tindakan dari pihak berwajib. Kalau mengikut perundangan syariah lelaki ini boleh didakwa di bawah beberapa enakmen antaranya berkelakuan seperti perempuan atau sudah lari dari sifat asalnya. Kalau sudah ada pengakuan maka sudah jelas boleh diambil tindakan. Maka saya kira jika tidak ada tindakan-tindakan tegas dari pihak berwajib ia seolah-olah mereka ini dibenarkan bebas melakukan apa yang mereka mahu. Kita telah menyatakan bantahan supaya tindakan diambil tetapi ia seolah-olah dipinggirkan bila isu itu semakin senyap.
Apakah ini menunjukkan dari aspek perlaksanaan seolah-olah pihak berwajib tidak tegas?
MOHD ROSLAN: Memang saya melihat begitu kerana tidak ada sebarang tindakan dikenakan terhadap lelaki bernama Azwan Ismail dan beberapa kes lagi. Seharusnya pihak berkuasa perlu lebih tegas menjalankan tugas kerana ia boleh menimbulkan masalah yang lebih besar di kemudian hari. Namun saya juga sebenarnya tidak begitu menggalakkan supaya kita terlalu tertumpu kepada soal tindakan dan penguatkuasaan. Pada saya kita perlu mengambil beberapa langkah yang lebih teratur. Mungkin dalam soal tindakan dan penguatkuasaan biar pihak berwajib yang menjalankan tugas mereka. Pada masa yang sama kita perlu juga lebih menekankan pada aspek dakwah terhadap golongan ini. Ini kerana kita juga tidak boleh membiarkan golongan homoseksual ini begitu saja tanpa sebarang bantuan dan dakwah. Kita juga tidak boleh mengejek, mentertawakan apatah lagi melabel mereka sebagai kumpulan ahli neraka dan sebagainya. Ini sebenarnya bukan urusan kita sebagai manusia. Apa yang harus kita lakukan adalah lebih mendekati mereka dengan menggunakan pendekatan dakwah yang sudah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW iaitu, love and care. Ini boleh dijelaskan melalui kasih sayang dan prihatin sesama umat termasuklah pada golongan ini. Kita tidak boleh mendekati dalam keadaan mahu menghukum mereka tetapi dengan rasa kasih dan mahu menyelamat, memberi bantuan dan semangat supaya mereka kembali ke pangkal jalan. Pendekatan ini saya ambil berasaskan surah Al Hujerat ayat 11 yang bermaksud: “Jangan ada seseorang manusia cuba mengejek-ejek manusia yang lain”. Sebab itu Islam jelas dalam soal larangan dan pendekatan untuk golongan homoseksual ini.
Apa yang boleh golongan ini lakukan supaya tidak terus hanyut dengan cara hidup mereka?
MOHD ROSLAN: Bagi saya golongan ini sebenarnya perlu melakukan transformasi diri dan tidak boleh selama-lamanya menyatakan bahawa apa yang berlaku adalah takdir Tuhan semata-mata. Bagi saya itu tidak tepat kerana pihak kami telah melakukan perbincangan dengan pihak pakar perubatan dan syariah di JAWI baru-baru ini. Mereka ini melibatkan pakar seperti psikiatri, genetik dan beberapa lagi yang memberikan pandangan sama ada golongan ini sebenarnya boleh berubah atau tidak. Kesemua mereka ini bersetuju bahawa golongan ini sebenarnya tidak ada masalah untuk berubah. Cuma masalahnya sama ada mereka mahu atau tidak. Hanya alasan saja yang diberikan antaranya mereka sudah terlalu lama terlibat dalam kancah ini dan sukar untuk kembali normal. Namun kita sebagai orang yang lebih arif seharusnya mendekati golongan ini supaya mereka boleh melakukan transformasi untuk kembali menjadi manusia normal. Saya ingin menyentuh dalam soal Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesha Farhana yang kemudiannya meninggal dunia kerana didakwa kemurungan akibat hukuman mahkamah.
Apabila berlaku isu tersebut seluruh negara membincangkan isu ini malah pihak media antarabangsa cuba memainkan isu ini seolah-olah negara ini melakukan diskriminasi gender. Dalam hal ini kita tidak boleh terpengaruh dengan gerakan-gerakan Barat yang mempunyai agenda terselindung kerana negara ini meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dan kita tertakluk kepada hukum-hukum yang telah ditetapkan. Maka disini jelas apabila berlaku kes-kes seperti ini kita tidak boleh membiarkan golongan ini terbiar tanpa sebarang bantuan malah perlu didekati dan diberi dakwah supaya mereka lebih jelas tentang hukum Islam dalam soal ini dan akhirnya tidak hanyut dalam membuat keputusan yang tidak sepatutnya. Mereka ini perlu diperjelaskan bahawa takdir yang mereka katakan itu adalah sesuatu yang boleh dinafikan. Hanya ada dua takdir yang kita tidak boleh tolak iaitu tua dan mati. Yang lain semua kita boleh menolaknya dengan kehendak Allah dan atas bantuan pakar-pakar yang berkaitan.
Seharusnya kita perlu memberi sokongan dan dakwah kepada golongan ini tetapi bagaimana pula dari sudut masyarakat itu sendiri, apakah mereka bersedia kerana ada yang lebih mudah menjatuhkan hukum daripada membantu?
MOHD ROSLAN: Memang ada di antara kita yang terlalu mudah menghukum dan melabel seseorang hingga membawa kepada ejekan dan penghinaan. Sememangnya kita perlu tukar pendekatan lama ini kepada pendekatan yang lebih mesra untuk semua golongan masyarakat. Kalau dalam bahasa politik kita dengar semua masalah dan pandangan akar umbi. Oleh itu bagi mereka yang terlibat dalam usaha menyebarkan agama Islam ini mereka tidak boleh berpendirian sebagai penghukum. Sebab itu ada ulama menyatakan, kami ini adalah pendakwah dan bukan penghukum. Maka jika mereka keluar berdakwah sebagai penghukum, ia menyebabkan orang yang mahu didekati menjadi lebih jauh dan takut untuk mendekati golongan pendakwah. Ini akan menyebabkan jurang yang lebih jauh antara kedua-dua pihak ini. Oleh itu pendekatan-pendekatan baru yang lebih terbuka, mesra dan lebih menerima golongan ini supaya pada masa yang sama mereka ini juga lebih berkemahuan untuk dekat dengan kita dan akhirnya kembali ke pangkal jalan. Jika ia melibatkan golongan homoseksual, mereka akan kembali kepada orientasi seksual yang sebenar dalam Islam.
SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
21 OGOS 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan