JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



21 Ogos 2011

ISU ANTARABANGSA : HALA TUJU KEDAMAIAN GLOBAL SEJAK 39 TAHUN YANG LALU


Antara bahan bacaan penting dewasa ini ialah On China oleh Henry Kissinger, bekas Setiausaha Negara Amerika Syrikat, setelah mengunjungi negara itu lebih 50 kali. Ini ialah kerana Amerika masih kuasa dunia nombor satu dan China pula telah menjadi kuasa ekonomi nombor dua dan dengan itu berupa faktor penting dalam menentukan kedamaian global. Kunjungan paling penting Kissinger ialah manakala mengiringi Presiden Nixon mengadakan lawatan bersejarah ke Beijing untuk berunding dengan Mao Zedong, pemimpin besar China pada 21 Februari, 1972. Seperti dicatat oleh Kissinger, 88 tahun, pada peringkat awal bukunya (586 muka), terbitan Penguin Press pada awal tahun 2011: “Hampir 40 tahun dahulu adanya, Presiden Nixon menghantar saya ke Beijing untuk usaha memulihkan hubungan dengan sebuah negara penting dalam sejarah Asia.” Walhal selama sekian lama Nixon terkenal kerana pendiriannya yang anti-komunis. Maka berundinglah Nixon dengan Mao mengenai pelbagai perkara, termasuk masa depan benua Asia. Ia berkaitan dengan persaingan antara Amerika dan China hingga ke abad 21 tertumpu kepada jurusan ekonomi dan sosial.

Mengejutkan ialah satu kenyataan berulang dari Mao mengenai perang nuklear: “Kalau pihak imperialis melancar perang ke atas kami, maka kami mungkin kehilangan lebih dari 300 juta nyawa rakyat. Ada apa? Perang adalah perang. Pada tahun-tahun berikutnya nanti lebih ramai lagi bayi akan lahir”. Juga dicatat oleh Kissinger ialah kisah pertemuan Mao dengan Khrushchev, pemimpin Soviet Union pada satu masa lalu, yang bertanya kenapa pihak China membiarkan Dalai Lama melarikan diri dari Tibet pada tahun 1959: Negara kami tidak akan membenarkan dia lari. Kini ia berada di India dan mungkin pergi ke Amerika. Apakah ini memberi faedah kepada negara-negara sosialis? Mao menjawab: Kami tidak dapat menangkap semasa itu. Kami tidak boleh melarangnya meninggalkan negara kerana sempadan dengan India begitu jauh sekali dan beliau boleh menyeberang di mana saja. Mengenai satu aspek lain pula Mao menegaskan kepada Khruschev pada tahun 1958 bahawa China akan mendahului Soviet Union menjadi negara komunis sepenuhnya. Kenyataan itu dianggap oleh pihak Soviet Union sebagai sesuatu yang “bidaah” dari segi ideologi.

Kissinger juga menulis mengenai dialog antara Nixon dengan Zhou Enlai, Perdana Menteri China atas asas-asas hubungan negara, termasuk jurusan ekonomi. Lalu dicatat pelayaran Laksamana Zheng He (1405-1437), seorang warga Islam China, ke Pulau Jawa, India dan Afrika antara lainnya. Lalu beliau menyampaikan pelbagai hadiah istimewa dari Maharaja China. Tiada pun pihaknya menjajah mana-mana negeri seperti dilakukan oleh penjajah-penjajah Eropah kemudiannya. Pada satu peringkat Nixon memuji Mao kerana melaksanakan pelbagai transformasi atas tamadun China ribuan tahun. Lantas Mao membalas: “Saya tidak dapat mengubahnya. Saya hanya berjaya membawa beberapa perubahan kecil di tempat-tempat di pinggir Beijing”. Jelas dari karya Kissinger ialah tiada hasrat untuk Amerika melancarkan perang dingin seperti telah berlaku terhadap Soviet Union dulu. Hubungan di antara Amerika dan China ialah untuk menegakkan kedamaian dan kesejahteraan global. Masa depan Asia bergantung padanya. Pada peringkat akhir setelah Kissinger menulis; Setelah Perdana Menteri Zhou Enlai dan saya mencapai persetujuan mengenai kenyataan bersama kunjungan beliau berkata “ini akan mengejutkan dunia”. Mao menjadi pemimpin Parti Komunis China selama 40 tahun dan Zhou menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Tan Sri Mazlan Nordin ialah Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
21 OGOS 2011

Tiada ulasan: