JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



21 Ogos 2011

ISU UMUM : ANJAKAN MENUJU KEBEBASAN MEDIA

Ku Seman Ku Hussain


The Economist keluaran 16 Julai 2011 mungkin menjadi majalah atau akhbar luar negara terakhir yang dikenakan tapisan. Beberapa perenggan dalam The Economist keluaran itu telah “dihitamkan” sebelum diedarkan kepada pembaca di negara ini. Selepas ini media asing bebas menulis apa sahaja tentang negara ini sama ada baik atau buruk. Ini kerana kerajaan telah mengambil pendekatan tidak menyekat laporan dalam media asing yang boleh didapati di negara ini. Walaupun edisi bercetak The Economist ditapis, pembaca dengan bebas boleh mendapatkan rencana yang sama menerusi edisi dalam talian. Dengan penembusan Internet mencapai 17.5 juta pengguna, tapisan itu tentunya tidak memberi kesan. Malah makna “media” bukan lagi dirujuk hanya bercetak atau penyiaran malah media dalam talian. Disebabkan begitu luas makna media pada masa ini, tapisan seperti yang dikenakan atas The Economist tentulah memberikan gambaran ketiadaan kebebasan media, padahal edisi dalam talian tiada sekatan. Sebaliknya mendorong pembaca memilih edisi dalam talian yang bebas tanpa tapisan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengumumkan kerajaan tidak menyekat atau menapis media asing yang terdapat di negara ini. Ini antara tajuk perbualan kalangan wartawan selepas The Economist ditapis dan mencetuskan kontroversi. Pengumuman Perdana Menteri dilihat sebagai anjakan besar menjurus kepada kebebasan media. Pengumuman itu juga setidak-tidaknya membuktikan kerajaan menerima hakikat bahawa mengawal media pada era langit terbuka tidak boleh menghalang maklumat sampai kepada khalayak. Walaupun kelonggaran itu ditujukan kepada media asing , tetapi wartawan dan organisasi media menaruh harapan perkara yang sama juga dilakukan kepada media arus perdana tempatan. Mengambil semangat keterbukaan kepada ledakan lebuh raya maklumat dari segenap penjuru dunia, media tempatan juga perlu diberi peluang menikmati kebebasan yang sama. Malah beberapa akta yang melingkari media tempatan khususnya media cetak perlu dilihat semula kewajarannya. Ketika ini semasa menulis, wartawan perlu memikirkan tentang lingkungan yang diberikan menerusi peruntukan undang-undang kepada media.

Undang-undang sentiasa memerhati gerak geri wartawan, maka berlakulah konflik antara kepentingan rakyat dengan sekatan kerana kepentingan pihak tertentu. Seolah-olah media bukan berkerja untuk rakyat tetapi kepada pihak yang berkepentingan. Undang-undang ini telah lama wujud. Wartawan terpaksa berkerja dalam ruang terhad kerana kebebasan media masih jauh untuk menjadi kenyataan. Maka anjakan keterbukaan kepada media asing perlu dilebarkan kepada media tempatan. Ini penting supaya tidak ada pilih kasih apabila media asing dilepaskan tetapi media tempatan disekat menerusi peruntukan undang-undang. Tetapi pada masa yang sama , ada pula organisasi media kelihatan agak bebas, sementara yang lain tidak bebas kerana akur kepada undang-undang. Kesan buruknya media cetak yang akur dianggap khalayak sebagai tidak telus, sementara yang melanggar peraturan akan dianggap media yang bebas. Kewujudan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984), Akta Hasutan (1948) dan Akta Komunikasi dan Multimedia (1998) antara undang-undang yang dianggap “mengikat” tangan wartawan dan organisasi media.

Bagaimanapun apabila makna media itu bukan sahaja dirujuk media cetak sahaja malah media dalam talian, maka ada yang bertanya masih sesuaikah Akta Mesin Cetak digunakan untuk mengawal media? Kalau digunakan juga ini sudah tentu tidak adil kepada media cetak. Ada pula orang berkata, media dalam talian juga ada kawalan yang sama iaitu menerusi Akta Komunikasi dan Multimedia (1998). Tetapi hakikatnya media cetak dikawal oleh Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984) tetapi media dalam talian terutamanya portal berita tidak dikawal sepenuhnya menerusi Akta Komunikasi dan Multimedia (1998). Ini terbukti apabila beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan mengambil tindakan atas beberapa portal berita yang melanggar etika kewartawanan dan menyiarkan berita yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama. Ini menunjukkan media dalam talian terlepas dari kawalan Akta Komunikasi dan Multimedia (1998). Sementara media cetak terpaksa berdepan dengan sekatan dan pelanggaran sudah pasti menyukarkan organisasi media. Portal berita seperti Malaysiakini dan Malaysian Insider misalnya mendapat ruang kebebasan jauh lebih besar berbanding media arus perdana.

Kedua-dua portal itu seolah-olah diberikan ruang untuk melontarkan kecaman terhadap kerajaan, menyiarkan berita-berita yang menyinggung sensitiviti kaum serta agama. Malah bebas pula memetik berita dari media arus perdana untuk “dihentam” di kedua-dua portal berkenaan. Portal ini bukanlah bebas kerana lebih condong kepada pembangkang. Bagaimanapun setakat ini Malaysiakini dan Malaysian Insider tidak dikenakan tindakan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (1998). Tetapi portal inilah yang memberi gambaran seolah-olah di negara ini langsung tidak ada kebebasan. Ini belum lagi laman-laman sosial yang menyentuh isu agama dan kaum seperti yang dilakukan oleh seorang pemuda, Namawee tidak lama dulu. Perbuatan Namawee menghina lagu Negaraku menjadi Negarakuku seolah-olah tidak ada sebarang akta yang boleh dikenakan kepadanya. Adakah ini disebabkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tidak mempunyai kepakaran yang cukup untuk menyekat “penghinaan melampau” ini atau sememangnya sudah tidak ada sekatan? Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, kerajaan perlu menjelaskan sama ada kajian dasar penapisan media itu hanya melibatkan media asing atau meliputi media tempatan.

Zainuddin yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan menegaskan, satu faktor yang perlu diambil kira ialah “kebebasan” yang diberikan kepada portal berita tempatan menyebabkan media cetak yang mempunyai permit seolah-olah tidak diberi keadilan yang sewajarnya. Maka keterbukaan kerajaan yang sedar perubahan suasana politik, sosial dan kecanggihan teknologi bahawa tapisan bukan kaedah berkesan adalah suatu yang bermakna kepada wartawan dan organisasi media. Mereka berharap diberikan kebebasan untuk menjalankan tanggungjawab kepada rakyat. Dengan ledakan teknologi maklumat, menapis apa yang kita kelaskan sebagai “bahaya” kepada rakyat atau mungkin kepada politik tidak mungkin mampu dilaksanakan. Media arus perdana (cetak dan dalam talian) perlu diberi kebebasan menyampaikan maklumat kepada rakyat. Kalau mereka tidak diberi kebebasan sewajarnya, rakyat pasti beralih kepada laman-laman sosial seperti blog yang sebahagian besarnya tidak ada wibawa untuk menyampaikan maklumat. Keadaan akan menjadi lebih buruk apabila rakyat menganggap blog-blog persendirian yang tidak ada pasukan editorial berwibawa dianggap satu saluran maklumat yang sebenarnya.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
21 OGOS 2011

Tiada ulasan: