Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my
Bagai ayam dengan itik disatukan dalam gelanggang sama. Bunyinya pelik dan riuh rendah yang luar biasa kerana langkah dan ragam berbeza, namun ia bukan sesuatu yang mustahil. Begitulah gambaran menggabungkan polis dan tentera dalam satu lapangan menjalankan tugas sama, malah berkongsi pula padang kawad. Kiasan itu diungkapkan Ketua Penolong Pengarah (Latihan dan Peperiksaan) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk A Paramasivam ketika memberi taklimat mengenai program latihan pasukan polis menggunakan kemudahan tentera di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson serta Pusat Latihan Asas Perajurit Muda TLDM, KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih, Johor. Keputusan menggunakan kemudahan tentera itu dilihat satu usaha tepat bagi menyelesaikan kemelut Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mencapai sasaran kerajaan mencapai 150,000 anggota akhir tahun ini dan seterusnya dapat menjalankan aktiviti pencegahan jenayah dengan lebih berkesan.
Menambahkan impak terhadap usaha itu, PDRM dan ATM bukan saja berjaya membuktikan kerjasama itu mampu dijalinkan dengan berkesan, malah mereka turut mahu membuka mata masyarakat betapa dua pasukan keselamatan itu sudah bersedia berkongsi kepakaran dengan menyerlahkannya menerusi Perbarisan Tamat Latihan Perdana -Siri 1/2011 yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 30 Julai ini di PUSASDA. Ia bukan saja bakal memberikan gambaran kepada masyarakat mengenai kerjasama erat itu, malah bakal mencipta sejarah baru dalam diari dua pasukan keselamatan itu kerana tidak pernah upacara seperti itu diadakan, sekali gus menunjukkan iltizam PDRM dan ATM memastikan keselamatan dalam negara menjadi agenda utama. “Pendekatan positif ini bermula hasil mesyuarat pertama Strategi Lautan Biru Kedua (NBOS 2) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan pada Julai 2010 yang memutuskan beberapa tindakan perlu diambil perhatian oleh Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan dan PDRM termasuk menggunakan kemudahan tentera untuk program latihan asas polis.
“Selain itu, dalam memantapkan perkhidmatan polis dan menambahkan anggotanya, bekas tentera dilatih untuk berkhidmat dengan PDRM serta menjalankan tugas rondaan bersama tentera dan polis. “Dalam mencapai sasaran 150,000 anggota polis pada tahun ini, diakui ia tidak dicapai kerana tempat latihan tidak mencukupi selain pembinaan pusat latihan tertangguh dan lambat disiapkan oleh kontraktor. Justeru, NBOS2 mencadangkan pusat latihan atau kemudahan tentera digunakan di samping pusat latihan polis sedia ada untuk melatih 48,842 bakal polis mulai Januari 2011 hingga awal 2015. “Pemilihan PUSASDA dan KD Sultan Ismail bagi melatih 1,500 anggota dibuat kerana mempunyai kemudahan dan kelengkapan sesuai, antaranya blok penginapan, dewan makanan, kelas, padang kawad, lapang sasar serta kelengkapan latihan fizikal lain,” kata Paramasivam. Ternyata keputusan menggunakan dua lokasi tentera itu bukan setakat mampu menambahkan anggota polis tetapi memberi impak lebih besar dalam penjimatan dana negara.
Dianggarkan, jika dua Pusat Latihan Polis (PULAPOL) baru untuk memuatkan kapasiti 1,000 pelatih seperti ruang di PUSASDA dan KD Sultan Ismail, kerajaan perlu memperuntukkan lebih RM700 juta dalam masa lima tahun. Berbeza jika pendekatan ini digunakan dengan kos melatih 1,500 pelatih dalam lima tahun hanya RM71 juta, penjimatan sehingga RM640 juta. Ini sudah mengambil kira kos melatih seorang konstabel pelatih di PULAPOL iaitu RM5,193; di PUSASDA, RM8,306 dan di KD Sultan Ismail sebanyak RM6,262. Mungkin rekod terdahulu jarang menunjukkan polis dan tentera bekerjasama erat dalam menjalankan tugas tetapi dengan strategi ini, ia membuktikan dua pasukan keselamatan ini mampu bersama menunaikan hasrat kerajaan, sekali gus mengurangkan perbelanjaan. Di dua pusat latihan ini, polis menggunakan kemudahan tentera sepenuhnya tetapi latihan dikendalikan sepenuhnya oleh jurulatih PDRM membabitkan beberapa modul akademik seperti undang-undang jenayah serta prosedur, hak asasi manusia, pengurusan dan komunikasi, bahasa Inggeris, teknologi maklumat, manual prosedur kerja (amali), psikologi dan kaunseling serta agama dan moral.
Dalam modul latihan luar pula, pelatih didedahkan dengan kemahiran kawad, menembak, latihan jasmani, seni mempertahankan diri, asas renang dan T-baton. “Uniknya konsep kerjasama ini ialah pelatih polis dan tentera buat pertama kali dalam sejarah menjalani latihan di pusat latihan sama, menggunakan kemudahan latihan yang sama, penginapan, makanan dan sebagainya bersama. “Semua peraturan di PUSASDA juga digunakan kepada pelatih polis. Tidak timbul masalah double standard. Jurulatih dan staf PDRM juga dikehendaki akur kepada peraturan sedia ada di PUSASDA dan sebarang perkara berbangkit hendaklah dipersetujui bersama,” katanya. Kerjasama mereka bukan setakat itu. Kini, bekas tentera juga diambil untuk berkhidmat sebagai polis, asalkan umur mereka tidak melebihi 45 tahun. Selepas 365 pemohon yang ditemuduga pada 13 dan 24 Disember tahun lalu, 181 layak dilantik menjadi konstabel dan konstabel sokongan. Kata beliau, kejayaan paling menyerlah dalam menonjolkan kerjasama itu pada mata masyarakat kini boleh dilihat polis dan tentera bergerak bersama menjalankan rondaan menggunakan seragam masing-masing, cuma tentera memakai jaket pantulan cahaya.
Tugas ini bukan sekadar membabitkan rondaan jalan kaki dan berkenderaan, tetapi sekatan jalan raya. Disebabkan tentera tidak mahir dalam undang-undang, setiap rondaan dan tindakan dibuat bersama dengan pemantauan polis. Kaedah ini sudah digunakan di kebanyakan negeri tahun ini. Jika dilihat komitmen ini, upacara penuh bersejarah yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 30 Julai ini pasti ditunggu-tunggu dan dijangka mendapat liputan meluas semua media seluruh negara. Malah, difahamkan ia mungkin disiarkan secara langsung untuk membolehkan seluruh negara menjadi saksi kerjasama erat polis dan tentera. Malah, upacara itu bukan setakat pada hari itu. Kehangatannya sudah mula terasa sekurang-kurangnya seminggu daripada tarikh itu dengan pelbagai program sudah diaturkan termasuk Upacara Perbarisan Tamat Latihan di KD Sultan Ismail yang akan disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 16 Julai 2011.
SUMBER
BERITA HARIAN
2 JULAI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan