JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



02 Julai 2011

ISU UMUM : GAJI MINIMUM : ANTARA TEORI DAN REALITI

Oleh Mahfar Ali
mafa@bharian.com.my


Pada 28 Julai 2011, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 yang membuka laluan bagi pelaksanaan gaji minimum untuk pekerja berpendapatan rendah di negara ini. Perkembangan itu tentunya menggembirakan kumpulan pekerja terbabit, tetapi ada juga pihak terutama majikan yang kurang senang dengan pelaksanaan undang-undang berkenaan. Bagi majikan, tiga kaedah yang diguna pakai sekarang – penetapan gaji berdasarkan kuasa pasaran serta melalui Perjanjian Kolektif (CA) dan Majlis Penetapan Gaji (MPG) di bawah Akta Majlis Penetapan Gaji 1947, sudah pun memadai apatah lagi undang-undang perburuhan sedia ada memberi ruang mencukupi untuk pekerja dan majikan berunding dalam menentukan kadar gaji yang sesuai. Itu hujah majikan, tetapi bagaimana pula dengan realitinya? Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, daripada tiga kaedah itu, hanya gaji yang ditetapkan MPG adalah gaji minimum, tetapi terhad kepada subsektor tertentu bagi kumpulan pekerja yang mudah terjejas seperti pembantu kedai, pekerja di pelabuhan, hotel dan penyediaan makanan serta pengawal keselamatan.


Gaji yang dirundingkan bersama majikan dan pekerja dalam CA pula hanya meliputi kira-kira tujuh peratus daripada keseluruhan guna tenaga, iaitu pekerja yang menyertai kesatuan sekerja saja, manakala upah yang ditentukan kuasa pasaran didapati tidak berkesan kerana berdasarkan kajian Bank Dunia, kadar gaji di Malaysia hanya meningkat secara purata sebanyak 2.6 peratus setahun sejak 10 tahun lalu – jauh lebih rendah berbanding peningkatan Indeks Harga Pengguna. Keadaan itu menyebabkan kuasa beli pekerja semakin menurun kerana kos sara hidup meningkat berlipat ganda. Malah, kajian Guna Tenaga Kebangsaan pada 2009 yang membabitkan sampel 24,000 majikan dan 1.3 juta pekerja, mendapati 33.8 peratus pekerja masih menerima gaji bawah RM700 sebulan. Persoalannya, apakah pelaksanaan gaji minimum dapat melindungi dan menjamin pekerja menerima upah berpatutan berdasarkan kos sara hidup dan keadaan ekonomi semasa? Mengikut Fasal 2 rang undang-undang berkenaan, gaji minimum bermaksud gaji pokok dan ini bermakna sebarang pembayaran elaun seperti elaun lebih masa yang diasaskan kepada gaji pokok akan dapat meningkatkan pendapatan keseluruhan pekerja.


Selain itu, gaji pokok juga akan dapat memastikan pekerja menerima caruman KWSP serta PERKESO yang lebih tinggi dan ini dapat menjamin masa depan pekerja serta keluarganya. Bagaimanapun, ada juga pihak bimbang penetapan gaji minimum akan menjejaskan daya saing negara hingga menyebabkan pelabur asing berpindah ke negara lain yang menawarkan kos buruh lebih rendah. Mungkinkah kenaikan upah ini juga akan menyebabkan banyak syarikat dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutama di luar bandar terpaksa ditutup berikutan peningkatan kos operasi? Menjawab persoalan ini, Subramaniam dalam pertemuan dengan pengarang media menjelaskan pandangan itu cuma teori kerana Singapura, misalnya, tidak menghadapi masalah sedangkan gaji pekerjanya lebih tinggi berbanding pekerja dalam sektor sama di negara ini. “Saya diberitahu, dalam sektor tertentu gaji cuma 10 peratus daripada jumlah perbelanjaan syarikat. Daya saing bukan saja membabitkan gaji, sebaliknya kualiti pekerja lebih penting. Tidak guna jika gaji murah, tapi pekerja tidak ada kemahiran dan komitmen.


“Majikan juga sepatutnya meningkatkan penggunaan teknologi, tetapi apa yang berlaku banyak syarikat masih bergantung kepada tenaga kerja asing kerana mudah mendapat bekalan pekerja dari luar yang sanggup menerima gaji rendah hingga menjejaskan peluang rakyat tempatan mendapat pekerjaan,” katanya. Namun, adakah rakyat tempatan sanggup menjadi pembantu rumah? Ini juga mencetuskan kebimbangan banyak pihak kerana penguatkuasaan undang-undang berkaitan penetapan gaji minimum turut meliputi pekerja asing, termasuk pembantu rumah. Dalam meredakan kebimbangan ini, Subramaniam menjelaskan Majlis Perundingan Gaji Negara boleh menyarankan kadar dan liputan gaji mengikut sektor, jenis pekerjaan dan wilayah serta membuat syor bagi mengecualikan mana-mana sektor atau golongan pekerja yang tidak sesuai diliputi di bawah perintah gaji minimum. Apakah ini bermakna pelaksanaan gaji minimum tidak akan membabitkan pembantu rumah? Mungkinkah juga penetapan gaji minimum akan dibuat mengikut sektor dan wilayah bagi melindungi syarikat kecil, terutama di luar bandar? Bagaimana pula kesannya terhadap inflasi dan pertumbuhan ekonomi negara? Inilah antara isu yang mesti dipertimbangkan Majlis Perundingan Gaji Negara sebelum menentukan kadar gaji minimum kerana kita tidak mahu dalam usaha untuk membaiki kehidupan pekerja berpendapatan rendah, ada pula pihak lain yang terpaksa menanggung risikonya.

SUMBER
BERITA HARIAN
2 JULAI 2011

Tiada ulasan: