Menilai prestasi penjawat awam bukanlah tugas mudah. Ada kalanya ia begitu kompleks. Beberapa sistem penilaian yang diperkenalkan sebelum ini sering menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai peringkat penjawat awam. Antara sistem penilaian yang pernah diguna pakai termasuk Sistem Saraan Baru (SSB), Sistem Saraan Malaysia (2003) dan terakhir Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Bagaimanapun, PTK yang diperkenalkan sejak 2003 turut mendapat rungutan dan akhirnya dimansuhkan pada 1 Januari lalu. Kita percaya dalam kalangan kira-kira 1.2 juta penjawat awam adalah mustahil untuk memuaskan hati semua pihak. Dalam pada itu, kita mengharapkan kaedah menyeluruh bagi mengukur prestasi penjawat awam yang mampu mencapai tahap optimum. Mengambil kira pelbagai rungutan, kerajaan akhirnya memutuskan akan mengguna pakai kaedah penilaian tahap kecekapan berkonsepkan 360 darjah yang akan mula dilaksanakan 1 Julai depan. Pelaksanaannya dibuat selepas mengambil kira pelbagai kekurangan serta kelemahan dalam sistem sebelumnya, terutama PTK. Menerusi konsep 360 darjah ini, semua penjawat awam mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam menilai prestasi setiap kakitangan dalam sesebuah jabatan dan organisasi.
Justeru, kita melihat kaedah penilaian mengikut konsep 360 darjah ini lebih menyeluruh dalam mengukur prestasi setiap penjawat awam. Penilaian bukan saja membabitkan seorang ketua kepada kakitangan bawahan, malah penilaian juga dibuat antara rakan sejawatan dan kakitangan bawahan terhadap ketua mereka. Kita percaya kejayaan sesebuah jabatan atau organisasi adalah atas kerja berpasukan dan bukan prestasi individu semata-mata. Jika seseorang ketua itu lemah, prestasi kakitangan bawahannya akan turut terjejas. Ia memberi kesan kepada keseluruhan pencapaian jabatan atau organisasi. Pada masa sama, kita tentunya tidak mahu prestasi penjawat awam hanya diukur di atas kertas peperiksaan sehingga menafikan pengalaman dan kecekapan sebenar individu menjalankan tugas. Walaupun sistem penilaian baru itu belum diberi nama khusus, kita yakin ia dapat menilai kakitangan berdasarkan tugas hakiki, ciri kepemimpinan dan kesan kepada suasana tempat kerja. Kemampuan menilai prestasi penjawat awam dengan lebih tepat tanpa rasa dipinggirkan atau pilih kasih akan dapat mewujudkan suasana kerja yang lebih kondusif. Aspek lain yang sepatutnya diambil kira dalam penilaian baru ini ialah kecekapan, wawasan, hubungan dengan kakitangan, tunjuk ajar serta sikap keterbukaan dalam menyumbang kepada prestasi cemerlang jabatan masing-masing.
UTUSAN MALAYSIA
11 MEI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan