JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



10 Mei 2011

ISU SOSIAL : PELIHARA KEHARMONIAN AGAMA DEMI PERPADUAN RAKYAT


Masalah hubungan kaum di negara kita saling berkait rapat dengan isu-isu membabitkan agama. Kita tahu natijahnya jika perkara yang tidak disenangi pihak majoriti selalu dimain-mainkan oleh pihak minoriti sebagaimana yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Sekarang ada pula percubaan pihak-pihak tertentu yang mahu membangkitkan kemarahan golongan majoriti. Cadangan agama Kristian sebagai agama rasmi dan Perdana Menteri daripada golongan agama itu memang sukar untuk diterima. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat supaya bertenang. Gesaan ini diharap dapat membuka fikiran semua kaum untuk memikirkan apa yang terbaik untuk kesejahteraan negara ini. Peruntukan mengenai Islam sebagai agama rasmi di bawah Fasal (1) Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan patut dikekalkan. Selama lebih 50 tahun negara kita merdeka, yang ada dalam fikiran kita ialah Islam agama rasmi Persekutuan Malaysia.

Tidak ada masalah timbul selama ini kecuali isu-isu antara kaum dan agama setempat yang akhirnya berjaya diselesaikan. Semua kaum sepakat menerima peruntukan dalam Perlembagaan itu yang bersifat sederhana, termasuk mengiktiraf hak kebebasan rakyat untuk menganut dan mengamalkan agama lain. Ingatlah, Perlembagaan Persekutuan mengenai status agama rasmi tidak akan dapat dipinda tanpa kelulusan Parlimen dan perkenan Majlis Raja-raja. Kita percaya perkara ini sukar untuk berlaku. Status Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia sudah baik dan tidak pernah pun penganut agama lain seperti Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan lain-lain disekat daripada mengamalkannya. Persatuan agama bukan Islam yang telah sedia ada di sekolah-sekolah pun tidak dilarang daripada menjalankan aktiviti dan kegiatan masing-masing. Malah sekarang kita dapat lihat beberapa buah kuil, tokong, gereja dan rumah ibadat yang baharu dibina di negara ini.

Apa yang diharapkan ialah semua pihak perlu menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini. Soal agama adalah amat sensitif apatah lagi kesempatan yang diambil daripada sikap tolak ansur dan kelonggaran di dalam Perlembagaan mengenai isu agama. Apakah saban tahun, Islam sebagai agama rasmi harus terus diperkotak-katik pihak-pihak tertentu? Oleh itu sesuatu perlu dilakukan oleh pemimpin Islam dan anggota Dewan Rakyat lain yang cintakan keharmonian kaum di negara ini. Banyak pertikaian dan perdebatan yang natijahnya hanya mengundang ketegangan hubungan antara agama yang boleh mengheret negara ini ke kancah kekacauan. Di samping itu, kita menggesa kerajaan supaya memantau laman blog dan laporan yang mengkritik dan menghina agama Islam. Kita bimbang tulisan-tulisan yang mempunyai motif tertentu secara halus mempengaruhi orang ramai supaya membenci dan menghina agama Islam. Sebab itu kita mesti meletakkan kepentingan keharmonian agama dalam kedudukan perpaduan kaum paling atas di negara ini. Soal agama dan kaum mesti dilayani secara hati-hati dengan mengambil kira sikap konservatif masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

UTUSAN MALAYSIA
09 MEI 2011

Tiada ulasan: