JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



07 Mei 2011

ISU UMUM : EPISOD TRAGIS BEBERAPA PEMIMPIN DUNIA

Oleh FAUZIAH AROF
pengarang@utusan.com.my

OSAMA BIN LADEN

Peristiwa yang mengakhiri riwayat hidup pemimpin tertinggi rangkaian al-Qaeda, Osama bin Laden di Abbottabad, Pakistan adalah antara episod tragis yang sebenarnya mengulangi nasib yang sama pernah dilalui beberapa pemimpin terkenal dunia sebelum ini. Nyawa yang diragut dengan senjata api atau ledakan bom adalah antara risiko dan nasib yang sering berlaku kepada pemimpin negara mahupun pertubuhan yang terdedah dengan ancaman kerana perbezaan ideologi, tindakan, serta dasar-dasar yang mencetuskan rasa dendam, kemarahan dan tidak puas hati pihak lain. Justeru rakyat Amerika Syarikat (AS) yang melabelkan Osama sebagai pengganas menyambut berita pembunuhan pemimpin licik itu dengan penuh kegembiraan. Osama dibunuh dalam satu misi tentera AS dan Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA) di Pakistan. Tentera AS yang mengetuai operasi memburu Osama telah sekian lama gagal menjejakinya dan banyak kali tertipu dengan kelicikan Osama. Bagaimanapun, jika benar riwayat Osama berjaya ditamatkan, apakah kematian tersebut dapat menghadiahkan keamanan kepada dunia? Yang pasti, pembunuhan dianggap satu kemenangan atau kejayaan untuk menyudahkan segala bentuk keganasan yang sebenarnya menghalalkan satu lagi keganasan dan ia tidak membawa sebarang perubahan kepada keamanan sejagat.
Berikut episod tragis yang menimpa beberapa pemimpin dunia yang terkorban dihujani peluru dan bom.

ANWAR SADAT

Bekas Presiden Mesir, Anwar Sadat ialah antara pemimpin yang menemui ajalnya dengan dibunuh oleh pelampau Islam, rakyatnya sendiri. Penerima Hadiah Nobel Keamanan 1978 itu dibunuh pada 6 Oktober 1981 ketika perbarisan ketenteraan. Pembunuhan ini dikatakan sebahagian daripada jihad Islam Mesir yang menentang perjanjiannya dengan Israel. Dalam acara lintas hormat berkenaan, Anwar dikawal oleh empat lapisan keselamatan. Bagaimanapun, semasa beliau berdiri menerima tabik hormat, pembunuhnya keluar dari deretan trak-trak tentera dan melontar bom serta melepaskan tembakan selama dua minit. Seorang jurugambar, berjaya merakamkan detik-detik 'senyuman terakhir' pemimpin itu dan kedengaran jeritan "Matilah kamu Firaun!" sambil tembakan bertalu-talu dilepaskan.

ZIA UR RAHMAN


Presiden Bangladesh, Zia Ur Rahman pula terbunuh setelah wisma pemerintah tempat beliau menginap di kota Chittagong diserbu pada 30 Mei 1981. Serbuan berkenaan dilakukan oleh kelompok pemberontak. Beliau dikatakan terbunuh setelah ditembak ketika membuka pintu bilik untuk melihat pergaduhan di luar.

RAJIV GANDHI

Pembunuhan Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi pula berlaku di Sriperumbudur, Tamil Nadu, India pada 21 Mei 1991. Dalam kejadian tersebut, seramai 14 yang lain turut terbunuh akibat serangan berani mati itu. Pembunuh yang bertanggungjawab melakukannya ialah seorang wanita yang merupakan ahli Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Rakaman kamera wartawan yang turut terbunuh dalam kejadian itu jelas menunjukkan wanita berkenaan, Thenmozhi Rajaratnam memegang kaki Rajiv, mengalung bunga malai dan memetik suis bom pada badannya.

INDRA GANDHI

Ibu Rajiv, Indra Gandhi turut menemui ajalnya dengan ditembak oleh dua pengawal keselamatannya. Wanita pertama yang menjadi Perdana Menteri India selama tiga penggal berturut-turut dari 1966 hingga 1977 itu serta penggal keempatnya mulai 1980, terbunuh pada 1984. Indra dikenali kerana menubuhkan satu pemerintahan diktator dengan mengisytiharkan darurat setelah sebuah mahkamah membatalkan pemilihan beliau pada 1975, serta memenangi Operasi Bintang Biru menentang kumpulan militan Sikh yang akhirnya membawa kepada pembunuhan beliau.

RAFIK HARIRI

Bekas Perdana Menteri Lebanon, Rafik Hariri yang lahir pada 1 November 1944, ditembak mati pada 4 Februari 2005 apabila bom TNT seberat 1,000 kilogram meletupkan kenderaannya di Hotel St George , Beirut, tengah Lebanon. Hariri ialah anak seorang peladang yang kemudiannya menjadi kaya-raya. Pada 1980-an, nama beliau disenarai dalam daftar 100 orang terkaya dunia dalam majalah Forbes. Beliau menjadi Perdana Menteri Lebnon dari 1992 hingga 1998. Kemudian sekali lagi memegang jawatan berkenaan dari tahun 2000 hingga 20 Oktober 2004.

 YITZHAK RABIN


Turut menerima nasib yang sama ialah Perdana Menteri Israel, Yitzhak Rabin yang ditembak sebanyak tiga kali pada jarak dekat ketika menghadiri perhimpunan Perjanjian Oslo di Tel Aviv, pada 4 November 1995. Pembunuhnya, Yigal Amir merupakan seorang berfahaman radikal Yahudi yang menentang Perjanjian Oslo. Rabin mati 40 minit selepas serangan itu akibat kehilangan banyak darah.

BENAZIR BHUTTO

Sementara itu, Benazir Bhutto terbunuh dalam satu serangan bom berani mati di perhimpunan di Taman Liaquaf Bagh Rawalpindi, pada petang Khamis 27 Disember 2007. Benazir yang cedera di kepala dan leher dikejarkan ke Hospital Besar Rawalpindi dan di situ doktor mengesahkan kematiannya. Kejadian berlaku semasa Benazir memasuki keretanya untuk meninggalkan perhimpunan kempen pilihan raya. Menurut saksi, seorang penunggang motosikal menembak ke arah kereta Benazir dan selepas itu meletupkan dirinya. Percubaan untuk membunuh Benazir pernah berlaku di Karachi pada 18 Oktober 2007. Walaupun Benazir terselamat tetapi seorang pembunuh berani mati telah menyebabkan hampir 150 orang terbunuh dalam perarakan sambutan kepulangan beliau ke Pakistan selepas hidup dalam buangan selama lapan tahun di Dubai. Beliau terpilih menjadi perdana menteri wanita pertama Pakistan pada 1988 sebelum dipecat pada 1990. Benazir sekali lagi berjaya memegang jawatan Perdana Menteri pada 1993 sebelum ditewaskan oleh Nawaz Sharif pada 1996.

Rentetan daripada pembunuhan demi pembunuhan itu, ia jelas memperlihatkan tiadanya harga nyawa manusia. Nyawa manusia melayang begitu sahaja dalam tempoh singkat angkara bom dan keganasan. Perkara yang boleh disimpulkan daripada kesemua insiden hitam ini adalah betapa dunia masih belum selamat daripada keganasan dari dulu sehingga kini, walau bagaimana cara sekali pun keganasan diperangi. Dan inilah menjadi sebab mengapa perdamaian dan keamanan yang dicari melalui meja rundingan tidak akan menemui titik penentu dan dianggap hanya ilusi.

UTUSAN MALAYSIA
7 MEI 2011

Tiada ulasan: