JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



07 Mei 2011

ISU EKONOMI : PENGAWALAN INFLASI ATAU PERTUMBUHAN?

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).


Minggu ini kita dikejutkan dengan keputusan Bank Negara menaikkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate) 25 mata asas kepada 3 peratus dan Keperluan Rizab Berkanun (Statutory Reserve Requirement -SRR) dinaikkan 1 peratus. Dengan keputusan ini terdapat pelbagai reaksi. Ada yang menyatakan bahawa keputusan ini menunjukkan kebimbangan Bank Negara lebih kepada kenaikan inflasi daripada pertumbuhan. Kenaikan SRR bertujuan mengurangkan kecairan dalam pasaran supaya tidak menyemarakkan lagi inflasi. Semua negara di rantau ini termasuk China bimbang akan kenaikan inflasi dan telah mengambil langkah-langkah untuk membendung gejala ini. Kenaikan harga makanan menjadi bualan utama di mana saja. Kita juga tidak terlepas daripada masalah kenaikan harga makanan. Tanyalah saja suri rumah yang pergi ke pasar dan mereka akan memberitahu betapa harga barang-barang makanan naik melambung, seolah-olah tiada sesiapa boleh berbuat sesuatu untuk mengawal keadaan.

Peniaga tidak payah memberi alasan yang munasabah untuk menaikkan harga barang-barang makanan, mereka boleh melakukannya sesuka hati dan meletakkan kesalahan kepada pembekal dan seterusnya. Kalau dipercayai kadar inflasi kita memanglah tidak tinggi, 3 peratus tetapi adakah itu yang kita lihat berlaku dengan kenaikan harga barang-barang makanan. Pengguna seolah-olah sudah tidak ada pilihan, suka tak suka kena beli juga. Keadaan begini bukannya sesuatu yang tidak pernah berlaku. Malangnya pengguna nampaknya tidak dapat berbuat apa-apa. Dengan kenaikan harga barang-barang makanan, kos sara hidup akan terus meningkat sedangkan gaji dan upah masih di takuk lama. Baru-baru ini Persatuan Pembeli-pembeli Rumah membuat kenyataan tentang keadaan yang mana orang muda hari ini tidak akan mampu untuk membeli rumah kerana adanya pihak-pihak seperti pemaju dan bank yang bersekongkol menaikkan harga rumah. Rumah jadi bahan spekulasi berleluasa juga dengan tiada kawalan oleh pihak berkuasa.

Nisbah pinjaman susulan yang direndahkan tidak dapat membendung spekulasi dan mungkin lebih murah membeli hartanah di luar negara daripada negara kita sendiri. Susulan kenaikan kadar faedah semalaman ini akan mengurangkan pertumbuhan kerana ahli perniagaan akan mengurangkan pendedahan mereka kepada pinjaman. Jadi, pandangan sesetengah pihak inflasi lebih penting daripada pertumbuhan. Angka pertumbuhan untuk 2011 yang diuar-uarkan oleh pakar-pakar ekonomi seperti Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohamed Ariff ialah 5.5 peratus untuk tahun ini dan 5.2 peratus untuk 2012. Tetapi kita memerlukan sekurang-kurangnya 6 peratus sehingga 2020 untuk mencapai tahap negara berpendapatan tinggi iaitu AS$15,000 seorang. Ada juga pihak yang bersetuju kadar faedah ini dinaikkan kerana inilah langkah yang terbaik untuk mengekalkan kedudukan mata wang ringgit berbanding dolar Amerika.

Kita telah menyaksikan pengukuhan mata wang ringgit sehingga RM2.97 berbanding 1 Dolar Amerika. Pengukuhan ini membantu kita ketika mengimport peralatan dan perkakasan untuk prasarana negara. Berita terkini yang kita diberitahu, pemulihan ekonomi di Amerika masih lagi tidak menentu dengan angka pengangguran terakhir tertinggi dalam masa lapan bulan. Keadaan di Eropah pun tidak juga baik dengan Portugal pula memerlukan bantuan kewangan. Jadi di Eropah sudah ramai "orang sakit" mereka yang dari segi eksport kita pun tidak boleh mengharapkan sangat untuk mendatangkan sesuatu perubahan yang lebih baik. Semalam harga minyak di New York jatuh di bawah paras AS$100 setong dan banyak pasaran saham di Asia yang jatuh ekoran harga komoditi yang jatuh. Begitulah keadaan ekonomi dunia. Yang pasti ialah ketidakpastian. Sementara itu kumpulan kerja Majlis Ekonomi yang telah berbincang menyarankan tumpuan semula ke arah Model Baru Ekonomi daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk membangun asas berdaya saing.

Keputusan mereka ialah ekonomi kita dianggap kurang prestasinya dan pelabur dalam dan luar negara perlu diyakinkan dengan keupayaan kita. Masalah modal insan menjadi agenda utama ke arah pembangunan asas daya saing yang kukuh. Banyak faktor yang perlu dirombak untuk mewujudkan suatu suasana yang berdaya saing termasuklah keupayaan institusi-institusi kita dan insentif yang kita berikan kepada sektor swasta kita. Misalnya cukai korporat kita berbanding negara-negara di rantau ini masih tinggi dan ini perlu dilihat dengan segera. Begitu juga dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang kita teragak-agak melaksanakannya sedangkan 225 negara lain sudah pun melakukanya. Suasana urus tadbir di pihak awam dan swasta juga perlukan perubahan untuk menjayakan transformasi yang dihajatkan. Kedua-dua sektor ini perlu bergerak dengan kadar yang berpuluh kali ganda daripada biasa. Tuduhan ketidakadilan sosial yang diberikan oleh Bank Dunia sebagai salah satu sebab penghijrahan rakyat Malaysia ke luar negara dengan sendirinya melenyapkan lain-lain sebab penting yang menyebabkan ramai yang berhijrah keluar.

UTUSAN MALAYSIA
7 MEI 2011

Tiada ulasan: