Boleh dikatakan seorang dalam 10 rakan dan jiran atau ahli keluarga kita mempunyai pengalaman 'rumah dimasuki orang' atau 'orang' itu lebih tepat dipanggil pencuri. Sekurang-kurangnya sekali dalam hidup, kita dikejutkan daripada tidur oleh jeritan 'Pencuri! Pencuri!, 'Rumah jiran sudah dimasuki orang!'. Atau apabila bangun pagi, kita menerima berita bahawa seseorang mengalami kecurian. Kejadian ini sering berlaku. Bukan barang berharga sahaja dicuri, tayar kereta pun dicuri. Besi pagar pun dicuri. Sekarang pengepam air pun dicuri, dan baru beberapa hari lepas, polis menemui berlonggok besi landasan kereta api yang telah dicuri. Mencuri, perbuatan jenayah ini boleh dikurangkan namun untuk membendungnya sama sekali tidak mungkin. Kebiasaannya, perbuatan mencuri ini dilakukan secara 'tersembunyi' daripada penglihatan orang. Kalau merompak lain pula kaedahnya. Rompakan dilakukan secara terang-terangan.
Apabila si pencuri ditangkap dengan bukti maka barulah dia dituduh melakukan jenayah di bawah undang-undang iaitu mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Kesalahan ini membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Akhbar pula setiap hari melaporkan bermacam-macam jenis kes kecurian. Antaranya kecurian baja, sindiket mencuri kereta dan kecurian kelapa sawit. Malah, sebuah syarikat telekom pada tahun lalu dilaporkan kerugian berjuta ringgit disebabkan kes kecurian kabel. Aku masih ingat kawan aku merungut kerana berhari-hari tidak dapat menggunakan telefon talian tetap dan melayari Internet kerana kawasan rumahnya kecurian kabel! Masih jelas di ingatan apabila seorang lelaki berusia 20-an dihadapkan ke Mahkamah Majistret di ibu negara gara-gara mencuri tiga ekor ayam. Dia ditangkap oleh beberapa orang kampung yang mengesyaki sesuatu tidak kena apabila melihat ada benda bergerak-gerak di dalam kain sarung pelikat tertuduh.
Mahkamah diberitahu bahawa tertuduh cuba melarikan diri. Dan, beberapa ekor ayam berterbangan keluar dari dalam kain sarungnya! Majistret menyoal: ''Mengapa kamu mencuri ayam?'' Lelaki yang dilihat memakai kain sarung itu menjawab dengan alasan dia perlukan duit. Dia merayu dibebaskan kerana mendakwa menghidap penyakit jantung. Apabila mahkamah meminta surat pengesahan mengenai penyakitnya, dia terdiam. Lelaki itu kemudian dihukum penjara tiga bulan. Hukumannya nampak berat namun, majistret membuat pertimbangan bahawa lelaki itu telah bercakap bohong untuk melepaskan diri dengan mendakwa menghidap sakit jantung. Dalam satu lagi kes, seorang penganggur yang berkeadaan kaki kanannya patah dan berbalut simen dibawa ke Mahkamah Majistret atas tuduhan cuba memanjat masuk sebuah banglo untuk mencuri. Dia tidak sempat membolos masuk ke dalam banglo tersebut kerana perbuatannya disedari tuan rumah. Dia dikatakan cuba melarikan diri ketika itu tetapi telah dicekup dan dibelasah oleh beberapa jiran mangsa.
Kes mencuri yang pernah kita baca baru-baru ini berkenaan bintang Hollywood, Lindsay Lohan. Dia telah didakwa kerana mencuri kalung berharga AS$2,500(RM7,500). Hakim Mahkamah Tinggi Los Angeles mendapati pelakon berusia 24 tahun itu melanggar tempoh percubaan yang dikenakan terhadapnya kerana memandu dalam pengaruh dadah dan alkohol selepas mencuri barang kemas tersebut di sebuah kedai emas. Lohan dihukum penjara 120 hari dan perlu menjalankan kerja khidmat masyarakat di rumah mayat dan pusat wanita Los Angeles County, Amerika Syarikat. Namun, menurut laporan dia boleh dibebaskan dengan jaminan AS$75,000 (RM225,000). Memaparkan kes mencuri ini membuat aku teringat waktu masih bersekolah dahulu. Aku mendengar radio yang menyiarkan temuramah dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Seniman agung itu memberitahu beliau berpesan kepada anaknya, dengan nada gurauan yang berbunyi:
"Jika nak jadi pencuri
jadilah pencuri profesional,
jangan mencuri ayam
nanti kena tangkap."
UTUSAN MALAYSIA
7 MEI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan