JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



16 Mei 2011

ISU SOSIAL : BERILMU, BIJAK TETAPI JADI "KELEDAI DADAH". SALAH SIAPA?

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim
bhnews@bharian.com.my


Tak habis-habis! Mungkin itu frasa paling sesuai merujuk kes rakyat negara ini yang dijadikan keldai dadah dan mangsa penipuan internet oleh sindiket antarabangsa didalangi warga Afrika termasuk terbaru di Perak, 1 Mei lalu. Sungguh menghairankan, ketika isu keldai dadah dan penipuan internet atau dikenali ‘African Scam’ hangat diperkatakan selain pelbagai taktik digunakan untuk memerangkap mangsa didedahkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, masih ada rakyat kita khususnya wanita yang terpedaya. Deretan kes keldai dadah dipaparkan media nampaknya belum cukup untuk menjadi perisai dan memberi kesedaran kepada warga kita untuk menghindari sindiket atau bentuk pemerdayaan dan penipuan seperti itu. Lebih membimbangkan, perkembangan terkini menunjukkan kes keldai dadah sejak setahun lalu ‘kembali panas’ dengan beberapa laporan penahanan ke atas rakyat kita atas dakwaan menyeludup dadah di luar negara.

Natijahnya, mereka yang terperangkap dengan helah, muslihat dan janji manis anggota sindiket selain ditokok sikap mangsa sendiri yang alpa, tamak, mahu mendapat wang mudah atau cepat kaya, akhirnya menyebabkan diri sendiri yang merana. Kesannya tidak bernokhtah di situ kerana keluarga mereka turut menanggung azab dengan meratapi nasib malang yang menimpa orang yang mereka sayangi apabila terpaksa meringkuk dalam penjara di luar negara. Bayangkan kesan psikologi terpaksa ditanggung seorang kanak-kanak yang bermanja dengan ibu atau bapanya, namun tiba-tiba orang yang membelai mereka saban hari hilang dalam sekelip mata. Tangisan dan kerinduan dizahirkan ‘si kecil’ pasti lebih menyentuh perasaan sanak saudara. Kes terbaru keldai dadah di Perak membabitkan seorang wanita berusia 35 tahun yang sudahpun mempunyai lima anak yang kebetulan berlaku ketika sambutan Hari Buruh lalu.

Wanita itu yang tinggal di Ipoh, terjebak sebagai keldai dadah selepas termakan pujukan seorang rakan lama yang juga warga tempatan dikenali sebagai Aishah untuk memulakan perniagaan spa.  Namun, dalam mengejar hasratnya itu, mangsa terperangkap dalam sindiket dadah didalangi dua warga Afrika hingga mangsa mendakwa dipaksa menelan 75 bungkusan kecil dadah sebelum dipaksa menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ke Australia pada hari berkenaan. Nasib tidak menyebelahinya apabila ditahan polis negara berkenaan. Bagi penulis, seperkara yang perlu diberi perhatian oleh pihak polis dalam kes terbaru itu adalah kemunculan wanita bernama Aishah. Mungkin wanita itu menggunakan nama samaran, namun hakikatnya dalam beberapa kes sebelum ini, nama Aishah dikaitkan oleh beberapa rakyat kita yang ditahan di luar negara sebagai individu yang memperkenalkan mereka kepada lelaki Afrika untuk direkrut sebagai keldai dadah.

Dalam kes keldai dadah ini juga saranan Kementerian Luar yang mahu tahap pemeriksaan ke atas individu yang hendak meninggalkan negara ini dipertingkatkan bagi mengekang masalah itu, perlu diberi perhatian serius. Jika dadah itu dapat dikesan di pintu keluar negara kita, mungkin masih ada ruang bagi mereka yang benar-benar teraniaya sebagai keldai dadah untuk diselamatkan selain memudahkan lagi pihak berkuasa mengesan dalang yang memerangkap dan memaksa mereka berbuat demikian.  Namun, jika rakyat kita ditahan di negara lain, kita perlu menghormati undang-undang negara lain selain kemungkinan ada maklumat diperoleh pihak berkuasa kita terhad bergantung kepada kesediaan pihak berkuasa negara asing menyalurkan maklumat. Mengikut rekod Kementerian Luar, seramai 11 rakyat Malaysia termasuk sembilan wanita ditahan di luar negara kerana terbabit dalam sindiket dadah antarabangsa dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Dalam tempoh 20 tahun, rakyat Malaysia antara paling ramai ditahan di luar negara kerana terbabit dengan pengedaran dadah iaitu 833 orang, selain Thailand (272), Singapura (164), Taiwan (125) dan China (82). Merujuk penipuan melalui internet pula, pihak berkuasa meluahkan rasa kecewa kerana masih ada yang terpedaya hingga mengalami kerugian besar dalam bentuk wang ringgit. Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, sendiri masih menerima banyak laporan kes individu khususnya wanita belum berkahwin kerugian wang akibat ditipu lelaki Afrika yang berpura-pura mencintai mereka selepas berkenalan secara maya.  Kepada warga kita, penulis berharap bukalah minda dan mata seluas-luasnya agar menjadi seorang yang lebih arif untuk menghindari dan menjauhkan diri daripada punca yang boleh memerangkap mereka sebagai keldai dadah atau kerugian wang melalui penipuan di internet.

BERITA HARIAN 16 MEI 2011