JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



29 Mei 2011

HASIL KARYAKU: KAULAH HARAPAN

Jika benar kau yang terbaik
buktikanlah padaku
kau mampu gapai mimpi-mimpimu
yang bergantungan di angkasa
kau genggam angan-anganmu
hingga jadi mutiara yang bercahaya

anda sungguh kau yang terindah
tunjukkanlah padaku
kau tidak lukakan hati bonda
tidak guris hati ayahanda
dengan peluru kegagalan
yang menyakitkan jiwa sanubari mereka

kau yakin pada dirimu
pamerkanlah pada cikgu
sentiasa cemerlang dalam pelajaran
hebat masyhur dalam sukan
dikagumi rakan seluruh tingkatan
jadi idola ketua pasukan
yang digeruni dan disanjungi

sungguh kau memang yang terbaik
lawanlah nafsu gilamu
dengan keimanan yang kukuh kental
lenyapkan hasutan pemusnah
dengan kecekalan
jangan sesekali
kau tersungkur
sebelum kaki jejak menara
kerana kau harapan kami semua
hanya kau saja

NUKILAN 
Zulkarnain Farihin 
29 Mei 2011
5.55 petang

MOTIVASI BERSAMA CIKGU ZUL : JANGAN MUDAH DIPENGARUHI


Assalamualaikum dan salam sejahtera,


Para pelajar tentunya sedang enak menikmati hari-hari cuti pertengahan penggal Tahun 2011 yang bermula pada hari Jumaat lepas. Bagi adik-adik pelajar yang berbangsa Dayak di Sarawak sudah tentu tidak sabar-sabar lagi untuk merayakan Perayaan Hari Gawai Dayak. Begitu juga dengan suku kaum Kadazan Dusun di negeri Sabah yang bakal meraikan Pesta Tadau Keamatan. Itulah warna-warnai masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Bagi para guru pula, dalam waktu cuti sebegini memang sibuk dengan urusan menanda dan menyemak kertas jawapan pelajar terutamanya guru-guru Bahasa Malaysia STPM seperti Cikgu Zul ini. Orang lain sibuk bercuti, kita pula terpaksa bersengkang mata menyemak kertas di rumah. Kadang-kadang, terkilan juga dengan kata-kata jiran dan rakan yang bukan guru yang selalu berkata kerja guru ini senang sebab banyak cuti. Mereka sebenarnya tidak memahami! Sepanjang 15 tahun menjadi guru, Cikgu Zul tidak pernah menikmati cuti yang sebenar-benarnya kerana dihambat oleh kerja yang bertimbun pada setiap masa.

Anak-anak didik tersayang,

Pada kesempatan ini Cikgu Zul hendak mengulas satu topik iaitu "Jangan Mudah Dipengaruhi". Pada usia remaja, kita mudah sangat percaya kepada rakan sebaya sehingga ada di kalangan kita yang rela menjadi hamba  kepada rakan kita. Setiap perbuatan, pertuturan, perancangan, dan cadangannya kita ikut dengan penuh taatsetia tanpa mempersoalkan baik buruk tindakan yang kita lakukan itu. Lantaran terlalu percayakan kawan kita sanggup terjun ke dalam lautan dalam walaupun tidak tahu berenang demi menghargai persahabatan kita dengannya. Akhirnya, kerana terpengaruh kita sendiri jugalah yang terpaksa menanggung akibatnya. Kawan ajak ponteng kita pun ponteng. Kawan ajak bising, kita pun buat bising. Kawan ajak lepak dengan rela hati kita jadilah kaki lepak. Kawan jadi kutu rayau, kita pun turut sama jadi kutu rayau. Kita seolah-olah macam sudah terkena minya pengasih sehingga menganggap kawan sebagai raja yang mesti diturut katanya pada setiap masa.

Orang yang mudah dipengaruhi sebegini, lama-kelamaan tidak dapat berdikari. Mereka akan menjadi insan yang lemah dan mudah diperdaya. Mereka tidak mampu berfikir dengan kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Hidup mereka akan ditentukan oleh orang lain. Sedihkan jadi orang macam ini? Walaupun berpendidikan tinggi, orang seperti ini sukar untuk berubah kerana dia mudah goyah dengan rayuan dan hasutan disekelilingnya. Sepatah kata orang itulah yang akan diikutinya sehingga nak beli baju pun kena tanya orang lain apakah warna yang sesuai dengan dirinya? Tabiat sedih ini biasanya bermula di alam persekolahan kerana pada waktu itulah kita berjumpa dengan banyak orang yang pelbagai fill dan ragam. Jika tersalah pilih kawan kita akan menjadi mangsa untuk dipersenda dan diperguna secara halus oleh orang lain. Biar kita lihat, budaya buli dan samseng di sekolah yang melibatkan sekumpulan pelajar. Perancangnya hanya seorang tetapi konco-konconya lebih daripada itu. Mereka inilah yang Cikgu Zul kata sebagai orang yang tiada pendirian dan senang dipengaruhi oleh orang lain.

Anak-anak didik yang dikasihi,

Jika sewaktu muda kita menjadi begitu, apabila memasuki alam pekerjaan dan berumahtangga kita pasti juga akan jadi sebegitu kerana sikap tidak baik ini sudah mendarahdaging dalam diri kita. Guru mengajar dan mendidik kita dengan susah payah supaya kita menjadi insan yang berpendirian, yakin diri, berilmu dan bersahsiah mulia. Bayangkan kalau ibu yang melahirkan kita dan ayah yang bersusah payah menyara keluarga kita biarkan tersadai di rumah orang tua kerana kita terpengaruh dengan kata-kata pasangan kita yang tidak mahu menjaga mereka. Bayangkan sebuah keluarga yang mempunyai harta pusaka akhirnya hidup merempat dan melarat kerana termakan dengan hasutan syaitan di sekeliling mereka. Bayangkan adik-beradik kandung bermusuhan sesama sendiri lantaran mudah dilaga-lagakan orang lain. Semua ini berpunca daripada kelemahan diri kita sendiri yang membiarkan minda kita dikuasai oleh orang lain semasa remaja.

Harapan Cikgu Zul, jadilah remaja yang berjiwa kental yang tidak lemah minda dan rapuh jiwa. Jangan biarkan orang lain menakluki diri kita dengan nilai-nilai negatif yang boleh memunahranahkan rasa hormat orang lain terhadap diri kita. Sekali kita membiarkan minda kita dijajah, selama-lamanya kita akan dijajah sehingga kita rebah dan lemah walaupun  nadi masih berdenyut kencang. Berusahalah untuk menjadi yang terbaik dan memberikan yang terbaik kepada diri, keluarga, bangsa, dan negara sementara kita masih berpeluang menghirup udara segar di bumi ini. Jangan jadikan diri kita seperti bola yang ditendang sesuka hati sehingga kempis, renyuk, bocor dan berlubang yang akhirnya menjadi sampah dan tidak diperdulikan. Semasa masih remaja dan dibangku sekolah, gunakan masa yang ada untuk membina personaliti diri yang unggul dan bertaraf dunia. Mintalah bantuan guru kerana gurulah pendidik anda yang terbaik!

Ikhlas daripada :
Cikgu Zulkarnain Farihin 
SMK Sacred Heart, Sibu.

ISU ALAM SEKITAR : ALAM MENGAMUK


Dalam tempoh bulan Mei 2011 ini, Amerika Syarikat, teruk diganyang alam apabila satu demi kejadian ribut yang membawa bersama puting beliung, meragut lebih 500 rakyatnya, setakat ini. Sejak April lalu, puting beliung yang melanda selatan negara itu termasuk Alabama, Tennessee, Mississippi, Georgia, Arkansas, Virginia, Kentucky dan Louisiana, mengorbankan kira-kira 500 penduduk dengan kerugian dianggarkan bernilai RM18 bilion. Puting beliung merujuk angin kencang ribut petir yang berputar secara ganas dari udara dan mencecah daratan. Ia terbentuk apabila angin panas, lembap bertembung dengan udara sejuk dan kering. Namun, amukan puting beliung terbaru di Joplin, Missouri, sudah pun menyebabkan 125 maut dan setakat ini jumlah kerugian mencecah RM9 bilion. Malah, bencana kali ini adalah paling bahaya pernah direkodkan sejak tahun 1950-an dan terburuk sejak 1974.

Ia sekadar satu lagi musim penuh derita yang dilalui penduduk Amerika ketika kerajaannya turut terbabit dalam pelbagai operasi ketenteraan di Libya, Pakistan dan Afghanistan atas nama memerangi keganasan. Malah, puting beliung di Joplin dilaporkan adalah fenomena pemusnah yang jarang berlaku dikenali sebagai ‘kepelbagaian putaran,’ mengandungi dua atau lebih taufan dengan bukaan angin lebih luas. Kebanyakan bahagian selatan Missouri yang dihuni 50,000 penduduk rosak teruk dengan gereja, sekolah, kawasan perniagaan dan rumah diranapkan angin dengan kelajuan sehingga 316 kilometer sejam! Puting beliung itu turut mewujudkan laluan sepanjang 9.6 kilometer panjang dan 0.8 hingga lebar kira-kira 1.2 kilometer. Ia adalah puting beliung kelapan paling bahaya pernah direkodkan di Amerika dan bakal mencatat sejarah penyebab kematian tinggi disebabkan bencana alam itu.

Apa tidaknya, belum pun 2011 melabuhkan tirainya, angka korban puting beliung dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini sudah melebihi apa dicatatkan sepanjang tahun lalu. Ketika pakar dan penyelidik terus diselubungi buntu mengenai amukan puting beliung dan ribut taufan kali ini yang dahsyat, di satu sudut lain penyelamat trauma apabila menemui mayat dalam keadaan yang menyayat hati - dalam kenderaan terbalik, putus anggota badan dan dihimpit seperti tin kosong. Mayat seorang kanak-kanak berusia lima tahun ditemui di bawah timbunan besi dan batu-bata. Persoalannya bagaimanakah negara yang sedemikian maju tidak dapat mengelak amarah alam itu? Tiadakah sebarang sistem pengesanan yang berkesan dan mampu menepis bencana sedemikian? Namun seperti ditegaskan pakar cuaca yang juga Timbalan Pengarah Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Wilayah Tengah negara itu, Thomas Schwein, amaran yang dikeluarkan berdasarkan radar, bukan penglihatan.

“Petunjuk radar menyebabkan kami mengeluarkan amaran ketika ribut itu masih jauh daripada kawasan barat Joplin. Taufan itu berlaku 24 minit selepas amaran dikeluarkan, Ia cuma dikeluarkan apabila kami melihat puting beliung besar bergerak ke sesuatu kawasan dan mengesahkan ia sememangnya puting beliung. Dalam kes ini, amaran dikeluarkan berdasarkan radar. Tiada laporan puting beliung berlaku,” katanya. Puting beliung Joplin adalah antara 68 bencana alam itu yang dilaporkan melanda tujuh negeri bahagian tengah utara Amerika, menurut Pusat Ramalan Ribut NWS. Kemusnahan di Missouri adalah terburuk, yang menyamai amukan puting beliung yang membunuh lebih 300 orang di seluruh selatan negara itu bulan lalu. Penduduk di selatan turut diberi amaran sekerap 24 minit sekali tetapi taufan itu terlalu kuat untuk dihalang. Ia melanda seluruh bandar dari Tuscaloosa hingga Bristol dalam apa yang dikatakan puting beliung terburuk sejak April 1974

Menurut statistik Agensi Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan Amerika (NOAA), sudah 1,200 puting beliung melanda setakat tahun ini saja - dengan 875 berlaku sepanjang April lalu, sekali gus menyebabkan pakar tertanya-tanya mengapa 2011 menghasilkan sebegitu banyak ribut ganas. “Lebih banyak ribut dalam kategori empat dan lima tahun ini berbanding tahun lalu,” kata Pengarah NWS, Jack Hayes, merujuk kepada dua kategori puting beliung paling ganas. Malah kali ini ia tidak menyentuh ladang dan kebun sebaliknya mengamuk di kawasan bandar raya seperti Joplin dan Tuscaloosa. Satu badan penyelidik mengaitkannya dengan kitaran penurunan suhu di Lautan Pasifik sebagai sebahagian jawapan fenomena itu. Digelar La Nina, kitaran itu berlanjutan sekurang-kurangnya lima bulan dan berulang setiap tiga hingga lima tahun. Tahun ini, La Nina menolak arus kuat utara dan selatan, mengubah laluan angin yang biasa.

Arus angin sejuk yang tinggi dalam atmosfera menolak udara panas daripada bawah, dan membentuk ribut petir. Pengarah Pusat Ramalan Ribut, Russell Schneider, berkata puting beliung mempunyai pelbagai putaran, yang muncul daripada dinding bukaan angin utama. “Banyak puting beliung daripada kuat kepada bahaya serta ganas mempunyai banyak putaran. Ia selalunya singkat dan putaran pelbagai itu menyebabkan kemusnahan teruk kerana kelajuan angin boleh mencecah 80 hingga 128 kilometer sejam lebih kuat,” katanya. Pakar berkata bukaan awan yang besar boleh menyembunyikan dua atau lebih puting beliung, fenomena dikenali sebagai ‘kepelbagaian putaran.’ Ia selalunya boleh meranapkan bangunan yang berada dalam laluannya tetapi tidak menyentuh struktur berhampiran. Siapa sangka, di sebalik segala kecanggihan teknologinya, negara Uncle Sam ini tidak dapat lari daripada senjata ‘alam’ - daripada puting beliung dan selepas ini menanti musim taufan pula.

FAKTA: Apa puncanya?

Pembentukan: Angin kencang ribut petir yang berputar secara ganas dari udara dan mencecah daratan. Ia terbentuk apabila angin panas, lembap bertembung dengan udara sejuk dan kering.

Musim : Bermula pada awal musim bunga di kawasan sepanjang Teluk Mexico.

Tempoh: Puting beliung yang turut diiringi ribut taufan, angin kencang dan hujan batu boleh berlanjutan beberapa saat hingga lebih sejam. Kebanyakannya tidak sampai 10 minit.

Fizikal : Purata ukuran puting beliung adalah lebar kira-kira 200 meter

Kekerapan: Kira-kira 1,300 puting beliung menyerang Amerika setiap tahun. Statistik Agensi Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan Amerika (NOAA), sudah 1,200 puting beliung melanda setakat tahun ini saja.

Laluan: Kebanyakan puting beliung bergerak dari barat daya ke timur laut, atau barat ke timur. Sebahagiannya menukar arah atau berpatah balik

Ramalan: Satu atau dua hari sebelum, pakar kaji cuaca melihat suhu dan aliran tiupan angin yang boleh menyebabkan kelembapan mencukupi, ketidakstabilan untuk menentukan kehadiran puting beliung.

BERITA MINGGU, 29 MEI 2011

28 Mei 2011

ISU EKONOMI : PENYELARASAN SUBSIDI UNTUK SIAPA?

Oleh M. PERIASAMY
PENULIS ialah Panel Pemikir Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan


Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi 7.2 peratus bagi tahun 2010 dan pencapaian ini adalah mencecah sasaran yang ditetapkan. Kejayaan ini adalah jelas membuktikan kebijaksanaan Datuk Seri Najib Tun Razak mengurus ekonomi negara selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia. Ramai penganalisis politik dan ekonomi berpendapat bahawa kejayaan yang dicapai oleh Malaysia dalam bidang ekonomi dan pentadbiran kerajaan baru-baru ini adalah disebabkan oleh faktor latar belakang pendidikan dan pengalaman politik Najib. Beliau ialah anak lelaki sulung kepada Perdana Menteri yang kedua, Tun Abdul Razak Hussein. Beliau mengikuti pendidikan tinggi dalam bidang ekonomi di universiti dan menjawat pelbagai jawatan termasuk Menteri Besar, Timbalan Menteri, Menteri dalam kerajaan semasa beliau masih muda lagi. Jadi, latar belakang ekonomi dan pengalaman politik yang luas membolehkan beliau memudikan negara ke arah kejayaan cemerlang menangani cabaran-cabaran global.

Apabila beliau mengambil alih teraju pentadbiran negara, beliau terpaksa menghadapi dua cabaran utama iaitu cabaran ekonomi dan masalah sosio-politik antara kaum. Dalam sektor ekonomi, Malaysia di ambang kecundangan akibat kemalapan dan kelesuan ekonomi di persada dunia dan dalam sektor sosial politik pula, sentimen perkauman menular di akar umbi masyarakat berbilang kaum. Kedua-dua cabaran ini mampu memudaratkan malah menghancurkan kejayaan ekonomi dan perpaduan antara kaum yang terbina sejak merdeka sekiranya kerajaan lekeh dan tidak bijaksana dan cekap mengurus pentadbiran negara. Lantaran, Najib memperkenalkan Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang didukung oleh pelan transformasi yang meliputi sektor ekonomi dan sosio-politik untuk menyegarkan kembali kecemerlangan Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi malah menjamin kesejahteraan untuk semua kaum dan lapisan masyarakat.

Walaupun kerajaan pimpinan Najib mencapai kejayaan besar dalam bidang ekonomi dan sosial, ada pihak yang melontarkan dakwaan bahawa kerajaan tidak mengawal kenaikan harga barangan keperluan rakyat. Malah ada pemimpin politik yang mensyorkan rakyat memberikan kuasa mentadbir negara (jawatan Perdana Menteri) kepada beliau supaya beliau terus mengurangkan harga barang-barang dengan serta-merta. Syor dan janji-janji seperti ini dilihat populis hanya sedap didengar tetapi tidak praktikal. Rakyat perlu menyedari bahawa kenaikan harga barangan ketika ini adalah satu fenomena global. Secara umumnya, harga barangan adalah ditentukan oleh faktor permintaan dan penawaran. Apabila permintaan terhadap sesuatu barangan meningkat maka harga barangan tertentu itu akan turut meningkat. Pada masa yang sama, apabila penawaran barangan tertentu berkurangan dalam pasaran, maka harga barangan itu juga turut naik dalam pasaran.

Lebih-lebih lagi, sekiranya kos pengeluaran meningkat akibat peningkatan dalam kos faktor-faktor pengeluaran, seperti sumber manusia atau jumlah pekerja, gaji, kos barangan asas, pengangkutan dan sebagainya, maka kenaikan harga barangan tidak dapat dielakkan dalam pasaran bebas. Pada ketika ini, harga barangan kian naik dalam pasaran dunia semakin naik kerana permintaan bertambah meningkat. Faktor-faktor yang menyumbangkan kepada peningkatan permintaan adalah peningatkan jumlah penduduk, kemampuan kuasa membeli oleh bilangan besar penduduk (India dan China), kekurangan bekalan komoditi pertanian akibat cuaca buruk dan bencana alam. Peningkatan permintaan dan kekurangan bekalan dikatakan menyebabkan kenaikan harga barangan. Bencana alam yang melanda dunia hari ini seperti cuaca buruk di Eropah, banjir di Cina dan Asia, kekurangan hasil pertanian akibat perubahan dalam iklim dan pergolakan politik yang tidak tertentu hala yang menjejaskan stabiliti politik negara telah menyebabkan kekurangan barangan dalam pasaran dan ini turut menyebabkan peningkatan permintaan.

Apabila permintaan meningkat terhadap sesuatu barangan tertentu, terutamanya barangan keperluan asas, maka peningkatan harga barangan keperluan asas itu tidak dapat dielakkan. Sehubungan ini, Malaysia sebagai sebuah negara yang banyak bergantung kepada import barang-barang makanan seperti gula, tepung gandum, beras, minyak masak dan lain-lain, tidak dapat elak fenomena kenaikan harga barangan tersebut. Namun, kerajaan Malaysia yang prihatin terhadap kebajikan rakyat, terutamanya golongan pendapatan rendah telah mengambil daya usaha untuk memastikan rakyat mendapat bekalan barang-barang keperluan asas seperti gula, tepung gandum, minyak masak, gas, petrol, diesel, beras dengan harga yang berpatutan atau mampu beli dengan pembiayaan subsidi. Kerajaan memperuntukan RM10.32 bilion sebagai subsidi untuk barangan keperluan asas bagi tahun 2010. Jumlah ini dijangka akan mencecah RM20.6 bilion pada tahun 2011.

Subsidi RM10.32 bilion tersebut termasuk subsidi RM789 juta untuk gula, RM 89 juta untuk tepung gandum, RM813 juta untuk minyak masak, RM486 juta untuk beras, RM3.13 bilion untuk petrol (RON 95), RM3.5 bilion untuk diesel, RM1.43 bilion untuk LPG. Ini bermakna, kerajaan menanggung kos 30 sen bagi setiap kilogram gula, 45 sen setiap kilogram tepung gandum, RM1 bagi setiap kilogram minyak masak, RM4 setiap bag beras berat 6 kilo, 43 sen setiap liter petrol RON 95, RM27.02 sen bagi setong LPG. Walaupun kerajaan sedar bahawa penyediaan subsidi untuk barangan akan membantutkan pertumbuhan ekonomi dengan segar dan bebas dalam satu sistem ekonomi bebas, pentadbiran kerajaan Najib didorong menggunakan pendekatan subsidi dengan hemah untuk menjamin kesejahteraan rakyat. Namun demikian, kerajaan tidak dapat amalkan pendekatan membelanjakan peruntukan berbilion-bilion untuk subsidi semata-mata untuk mengurangkan harga barang-barang.

Pendekatan sedemikian akan menghalang pembangunan negara malah perkembangan ekonomi yang sihat dan dinamik dalam jangka panjang. Malaysia yang bercita-cita untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi perlu menggalakkan tumbuhan sistem ekonomi yang bernas dan dinamik. Pemberian subsidi yang berlebih-lebihan semata-mata untuk menjadi kerajaan popular akan mendatangkan kemudaratan kepada negara dan rakyat pada waktu jangka panjang. Menyedari hakikat ini, Najib telah umumkan dan menggariskan beberapa langkah untuk menstruktur semula sistem subsidi pada masa akan datang. Dalam soal menstruktur semula subsidi yang sedikit sebanyak akan memberi impak kepada harga barang-barang keperluan asas, rakyat perlu yakin bahawa kerajaan tidak akan membelakangkan kepentingan rakyat terutamanya golongan pendapatan rendah.

UTUSAN MALAYSIA
28 MEI 2011

ISU ALAM SEKITAR : PEMANTAUAN AWAL ELAK TRAGEDI TANAH RUNTUH

ROSMIDZATUL AZILA MAT YAMIN ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia


21 MEI 2011 lalu, sekali lagi negara dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat. Lebih menyayat hati apabila tragedi pada kali ini telah mengakibatkan 16 nyawa tidak berdosa terkorban. Menyoroti kejadian tanah runtuh yang berlaku di Malaysia, ia bukanlah kali pertama. Apabila tragedi seumpama ini berulang lagi, timbul persoalan kepada kita di manakah janji pihak-pihak berkepakaran untuk mencari penyelesaian konkrit agar kejadian sama tidak berulang setiap kali selepas sesuatu insiden tanah runtuh berlaku? Malah, setiap kali terjadinya sesuatu insiden tanah runtuh yang mengorbankan nyawa pastinya kita mendengar pelbagai usulan, cadangan, langkah dan pemantauan dari semasa ke semasa yang dijanjikan bagi mengelak insiden seumpama ini berulang. Namun, ia hanyalah bersifat sementara dan dilihat sebagai 'hangat-hangat tahi ayam' sahaja apabila semua yang dicanang hanya sekadar berlegar dibibir semasa kejadian masih lagi 'panas' dan semakin dilupakan apabila ia berlalu dan reda.

Natijahnya, sekali lagi kita menyaksikan nyawa menjadi taruhan dek sikap sambil lewa pihak-pihak berwajib dalam memastikan kawasan-kawasan yang berisiko tinggi sentiasa di bawah pemantauan dan tindakan awal dapat diambil agar tragedi seumpama ini dapat dielak. Dalam hal ini, pihak-pihak berwajib seharusnya sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab moral terhadap rakyat yang seharusnya dilunaskan dengan sebaik mungkin. Oleh yang demikian, mereka perlu memastikan setiap tindakan yang diambil adalah serius dan untuk jangka panjang bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin. Selain itu, pihak berwajib juga perlu peka dan tidak memandang enteng apabila sesuatu aduan dibuat oleh penduduk. Sebaliknya, mereka harus bertindak pantas mengkaji dan mencari penyelesaian kepada segala permasalahan yang timbul. Bahkan, pihak berwajib yang mengawal dan menguruskan pembangunan di kawasan tanah tinggi juga sepatutnya lebih prihatin serta mengambil langkah awal pencegahan dan pengawalan, bukan pemulihan sesudah berlakunya sesuatu tragedi.

Ini penting kerana dengan tindakan awal yang diambil ia mungkin mampu mengelak daripada berlakunya sebarang malapetaka yang boleh mengundang bahaya kepada penduduk sekitar. Apa yang begitu penting, sebelum meluluskan setiap pembangunan di kawasan berisiko tinggi, ia perlulah mengambil kira kriteria-kriteria yang sepatutnya dan berpandukan kepada garis panduan serta syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pakar geologi. Begitu juga dengan proses sebelum membina sesebuah bangunan, antara perkara utama yang perlu diberi perhatian dan dititikberatkan ialah mengkaji terlebih dahulu pelbagai aspek keselamatan secara menyeluruh untuk jangka panjang. Sebagai langkah kawalan, semua kawasan pembangunan sedia ada yang dibina di pinggir-pinggir dan lereng-lereng bukit perlu ditinjau semula, dinilai tahap keselamatan dan diklasifikasikan sama ada ia berada pada tahap berisiko, kurang berisiko atau selamat.

Ini untuk memudahkan pemantauan dari semasa ke semasa dibuat bagi mengelakkan sebarang tragedi lebih buruk berlaku pada masa akan datang. Apa yang penting, kejadian ini harus dijadikan pengajaran untuk kita bermuhasabah diri dan kembali kepada saranan Islam yang sebenar-benarnya dalam aspek penjagaan alam sekitar. Dalam konteks penjagaan alam sekitar, al-Quran dan sunnah telah memberi penekanan yang serius dan garis panduan yang jelas agar alam sekitar diurus dengan penuh bijaksana. Malah, aspek pelestarian dan kepentingan alam sekitar telah dinukilkan secara tersirat dan tersurat di dalam banyak ayat al-Quran dan hadis. Jika sikap menyayangi dan memelihara alam sekitar ini tidak tersemai kukuh dalam jiwa setiap individu muslim, ia pastinya bakal mengundang kemusnahan dan musibah yang lebih hebat lagi. Dan pastinya musibah tersebut kelak akan menimpa diri kita sendiri dan anak cucu kita pada masa akan datang.

Kita juga seharusnya menyedari bahawa hakikat sistem keseimbangan dalam alam sekitar telah diprogramkan dengan begitu sempurna oleh Maha Pencipta (Allah SWT) yang setiap satu komponen di dalamnya memainkan peranan dan fungsi masing-masing. Perbuatan merosakkan alam sekitar adalah sama seperti kita menafikan sikap adil dan ihsan, sedangkan kedua-dua sikap ini merupakan perintah Allah yang perlu kita laksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab. Malah, perbuatan mencemar dan merosakkan alam sekitar juga dianggap sebagai menodai fungsi kekhalifahan yang telah diamanahkan kepada kita. Ini memandangkan, bumi bukan milik mutlak kita untuk kita berbuat sesuka hati. Sebaliknya ia adalah milik Allah yang dipinjamkan sementara kepada kita serta dituntut untuk kita menjaganya dengan sebaik mungkin. Oleh itu, janganlah kita sekali-kali bertindak melampaui batas terhadap alam seolah-olah ia tidak dihisab dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

UTUSAN MALAYSIA
27 MEI 2011

ISU KENAIKAN HARGA BARANG : HARGA MINYAK DAN DAYA SAING


Sambil pelbagai pihak membincangkan tentang keputusan kerajaan tidak menaikkan harga minyak, disel dan gas, ramai juga pakar ekonomi yang menyarankan pemotongan subsidi sepatutnya disegerakan kerana beban yang bakal ditanggung oleh kerajaan akan menaikkan lagi defisit negara. Kita patut tanya mereka ini apakah rakyat biasa katakan di Kuala Tembeling atau Arau, Perlis faham apa erti defisit negara yang meningkat atau mereka lebih faham kalau harga minyak atau diesel dinaikkan. Kenaikan harga minyak akan mendatangkan suatu impak yang menyeluruh kepada pelbagai jenis perkara daripada barang-barang makanan kepada pengangkutan dan lain-lain jenis perkhidmatan. Lazimnya peniaga akan menaikkan harga barang-barang jauh lebih tinggi peratusannya daripada peratusan kenaikan harga tenaga. Kalau teh tarik dinaikkan daripada RM1.20 kepada RM1.50 suatu kenaikan sebanyak 40 peratus sedangkan harga satu tin susu pekat mungkin naik 10 sen daripada RM2.50, suatu kenaikan tak sampai 5 peratus.

Kita lihat perkara ini berlaku apabila harga gula dinaikkan, kuih yang tiga seringgit sudah jadi RM1.20 kenaikan sebanyak 20 peratus. Kenaikan yang meliputi pelbagai jenis keperluan rakyat sekiranya harga tenaga dinaikkan ini difahami oleh rakyat biasa. Lagi pun kepada rakyat biasa, mereka melihat kerajaan mempunyai banyak sumber kewangan yang mendatangkan hasil kepadanya. Misalnya lihat sahaja berapa banyak syarikat milik kerajaan yang berderet di Bursa Malaysia dan yang tidak disenaraikan seperti Petronas. Kebanyakan syarikat milik kerajaan ini membuat keuntungan dan selain daripada dividen yang diterima oleh kerajaan selaku hak miliknya, syarikat-syarikat ini juga membuat laba yang besar dan dividen hanya sebahagian kecil daripada keuntungan yang diumumkan syarikat. Kerajaan juga dapat bahagiannya daripada cukai yang dibayar oleh syarikat. Selain itu ke mana pergi keuntungan syarikat tersebut.

Mungkin sebahagian dilabur semula untuk perkembangan syarikat tetapi kalau kita ikuti laporan tahunan syarikat-syarikat, kita tahulah berapa banyak keuntungan keseluruhan syarikat milik kerajaan. Malangnya bagi yang tidak tersenarai kita tak tahu keuntungan atau kerugian mereka. Suatu perkara lagi yang melemahkan hujah untuk memotong subsidi ialah golongan-golongan mewah yang sepatutnya tidak menikmati subsidi kerajaan. Ini termasuklah syarikat-syarikat seperti pengeluar tenaga bebas (IPP) yang tenaga yang dijana mereka tidak boleh digunakan tetapi Tenaga Nasional Berhad tetap kena membayar kepada mereka. Mereka ini juga mencatat keuntungan yang besar. Mungkin perjanjian dengan mereka ini kena dikaji semula walaupun ada pihak-pihak tertentu yang mengatakan kita tidak patut melakukan sesuatu kepada pihak-pihak ini kerana kerajaan tidak akan dihormati kerana melanggar perjanjian yang dipersetujui, walaupun mungkin berat sebelah.

Sebarang rasionalisasi perlu memberi keutamaan kepada golongan pendapatan rendah termasuk petani dan nelayan. Soal baja dan diesel dijual kepada orang lain selain daripada digunakan oleh pihak yang sepatutnya adalah soal penguatkuasaan dan kewujudan sesuatu sistem pengagihan dan pengedaran. Apa jua barang yang kita bandingkan dengan negara-negara jiran kita semuanya harga di tempat kita jauh lebih rendah daripada di negara-negara jiran ini. Oleh itu keinginan pihak tertentu untuk menyeludup begitu tinggi. Mereka yang tertangkap ini tak usah didenda tetapi dimestikan masuk penjara kerana denda boleh dibayar oleh sesiapa tetapi penjara paling ditakuti. Keengganan masyarakat pelabur untuk melabur dalam negara dikatakan sebagai suatu sebab untuk memastikan defisit kita tidak meningkat. Sebenarnya kalau kita perhatikan Laporan Daya Saing Dunia yang diterbitkan oleh Forum Ekonomi Dunia 2010/2011 yang mengambil kira prestasi 139 negara, kita duduk di tempat 26 jatuh daripada tangga 24 pada tahun lepas.

Faktor-faktor yang dikatakan menjadi masalah menjalankan perniagaan di negara kita ialah pertama birokrasi kerajaan yang kurang cekap, kedua kerumitan mendapatkan pembiayaan dan ketiga ialah dasar-dasar kerajaan. Selain daripada itu terdapat juga rasuah sebagai salah satu masalah yang dihadapi mereka yang berurusan dengan kita. Untuk Laporan Daya Saing 2010/2011 yang diterbitkan oleh IMD, kedudukan kita jatuh daripada nombor 11 pada tahun lepas kepada nombor 16 tahun ini. Dalam huraiannya Prestasi Ekonomi naik daripada angka 8 kepada 7, malangnya Kecekapan Kerajaan jatuh daripada nombor 9 kepada 17 dan Kecekapan Perniagaan jatuh daripada nombor 4 kepada nombor 14. Kedua-dua faktor yang membuatkan penarafan kita jatuh sebanyak 6 tangga. Terpulanglah kepada kita untuk terima atau tidak penarafan ini. Jangan bila kita naik, riuh sekampung bila kita jatuh, kita tidak mahu terima hakikat yang kita perlu berbuat sesuatu untuk membaiki prestasi kita. Awam dan swasta adalah dua tunggak yang diperlukan untuk memastikan transformasi kita berjaya. Kalau sudah ada masalah dengan kedua-dua sektor, alamat kita akan berdepan dengan masalah mencapai hasrat untuk menjadi negara maju menjelang 2020. Soal defisit bukan suatu masalah besar asalkan tidak sampai paras negara Greece!

DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas
Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur
(kini Bursa Malaysia)

ISU DADAH : KENAPA MELAYU TERUS JADI HAMBA DADAH?

Oleh Mahfar Ali
bhnews@bharian.com.my


Kes penyalahgunaan dadah di kalangan orang Melayu semakin membimbangkan. Sehinggakan seorang hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, baru-baru ini, melahirkan kesedihannya apabila melihat banyak kes dadah di negara ini membabitkan orang muda berketurunan Melayu dan beragama Islam. Hakim Datuk Abd Rahim Uda menegaskan orang Melayu dididik sejak kecil bahawa dadah itu haram kerana ia seperti perbuatan membunuh diri yang sememangnya tidak dibenarkan dalam agama Islam. “Masalahnya kita orang Islam, tetapi tidak menghayati apa erti Islam sebenarnya,” katanya ketika menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan ke atas tukang kebun, Fazizol Mohd Razali, 25, yang mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan memiliki ganja seberat 216 gram di tempat letak kenderaan, Flat Seri Sementa, Kapar, Klang. Apa yang diluahkan Hakim Abd Rahim seharusnya mendapat perhatian serius seluruh masyarakat Melayu.

Malah, kita patut berasa bimbang kerana berdasarkan perangkaan, remaja dan belia Melayu adalah golongan paling ramai terbabit dalam penyalahgunaan dadah. Mengikut laporan Agensi Antidadah Kebangsaan (ADK), etnik Melayu adalah penagih paling ramai dikesan sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu, iaitu 9,734 orang (80.59 peratus), berbanding Cina sebanyak 1,096 orang (9.07 peratus), India 926 orang (7.67 peratus), pribumi Sabah 238 orang (1.97 peratus), pribumi Sarawak 29 orang (0.24 peratus) dan etnik lain 56 (0.46 peratus). Keseluruhannya, penagih yang dikesan dalam tempoh itu menunjukkan peningkatan sebanyak 361.91 peratus berbanding tempoh sama pada 2009. Menurut statistik Bukit Aman pula, 222 rakyat Malaysia berketurunan Melayu kini ditahan di penjara luar negara kerana kesalahan dadah sama ada dijadikan keldai dadah atau secara sedar. Dari sini, timbul persoalan mengapa orang Melayu mudah terpengaruh dan terjebak dalam kes penyalahgunaan dadah?

Dalam perbualan dengan Presiden Pengasih Malaysia, Datuk Yunus Fathi, beliau mengemukakan beberapa faktor, termasuk berkait dengan soal budaya, perilaku, latar belakang keluarga dan tempat tinggal, pendidikan serta pengaruh luar. “Taraf pendidikan orang Melayu pula secara umumnya masih rendah dan yang terbabit dalam dadah kebanyakannya daripada keluarga miskin. Selain itu, sistem kekeluargaan yang dulunya kuat, kini semakin rapuh menyebabkan anak terbiar dan tidak diberi perhatian,” katanya yang pernah menjadi penagih sebelum mengasaskan Pengasih – badan yang dianggotai bekas penagih dadah. Sememangnya mengikut statistik ADK, majoriti penagih yang dikesan sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu menunjukkan 8,492 orang (78.40 peratus) adalah mereka yang sekurang-kurangnya mempunyai tahap pendidikan tamat Tingkatan Tiga, iaitu mempunyai sijil LCE/SRP/PMR. Bilangan penagih tertinggi juga dikesan pada mereka yang mempunyai sijil pada peringkat LCE/SRP/PMR, iaitu seramai 4,069 orang (37.56 peratus).

Persoalannya, kenapa kes penyalahgunaan dadah terus meningkat sedangkan banyak program dianjurkan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengekang gejala ini? Malah, pelbagai undang-undang digubal dan hukuman lebih berat dikenakan terhadap kesalahan dadah, termasuk hukuman mati mandatori. Penguatkuasaan juga diperhebatkan dan mengikut statistik, rampasan beberapa jenis dadah, seperti heroin, ecstasy, candu dan kokain menunjukkan peningkatan sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu. Namun, di sebalik kejayaan ini, isu dadah terus menghantui kita. Sepanjang Januari hingga Jun tahun lalu, penagih baru yang dikesan berjumlah 8,984 orang, meningkat 507.44 peratus berbanding 1,479 orang dalam tempoh sama tahun lalu, manakala penagih berulang seramai 3,095 orang, meningkat 172.45 peratus berbanding 1,136 tahun sebelumnya. “Kita semua berisiko dan yang tidak mempunyai kekuatan diri lebih berisiko tinggi untuk mudah terjebak dalam penyalahgunaan dadah. Sebab itu, kempen kena bermula dari rumah dengan menggalakkan ibu bapa bercakap dengan anak mengenai bahaya dadah.

Kita juga kena banyakkan aktiviti bagi meningkatkan jati diri serta pembangunan intelektual dan rohaniah anak. Malah, mengikut satu kajian, anak yang selalu bersukan bersama ibu bapa didapati jarang terbabit dalam dadah. Peranan pertubuhan komuniti seperti PIBG, JKK kampung, jawatankuasa kariah surau atau masjid juga penting bagi membantu memerangi gejala dadah,” katanya. Mesej ini sepatutnya membuka mata seluruh masyarakat agar bersama-sama membantu pihak berkuasa membanteras kes penyalahgunaan dadah. Kita percaya rakyat sedar kes penyalahgunaan dadah ini serius, tetapi ramai yang cuma mengeluh, tetapi tidak membantu. Kita tidak boleh lagi melihat dan membiarkan saja apa yang berlaku di sekeliling kita. Mungkin ramai tidak ambil peduli kerana menganggap itu bukan masalah mereka atau tidak membabitkan anak atau ahli keluarga mereka. Barangkali ramai juga tahu anak jiran kita mengambil dadah, tetapi kita buat tak tahu kerana tidak mahu dianggap mencampuri hal orang lain. Ini bukan soal hendak jaga tepi kain orang, tetapi membabitkan masa depan generasi kita. Bersamalah membanteras dadah.

BERITA HARIAN, 28 MEI 2011

24 Mei 2011

ISU ANTARABANGSA : WASATIYYAH SELAMATKAN DUNIA

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah
Malaysia (Yadim)


Najib Tun Razak ketika memberi syarahan bertajuk Coalition of Moderates and Inter-Civilisational Understanding di Sheldonian Theatre Universiti Oxford pada 19 Mei 2011. Persekitaran alur perbezaan pandangan terhadap perkara-perkara yang membawa kepada amalan dan budaya turut melahirkan kelompok yang pelbagai. Ada kelompok yang dilihat sebagai fundamentalis apabila tidak membenarkan sebarang percubaan mengubah suai ajaran dalam konteks yang lebih moden, mereka tetap mahu mempertahankannya. Kelompok lain yang bertentangan pula akan melihatnya sebagai sesuatu yang bersifat ortodoks, maka mereka perlu lakukan pentafsiran semula maksudnya agar lebih sesuai dengan keperluan semasa. Di antara dua kelompok berbeza ini, hadir sekumpulan yang cuba berada di persimpangan antara kontinum pemikiran dan mereka ini dikenali sebagai golongan sederhana.

Mereka yang memegang kuat kepada prinsip kesederhanaan ini yakin, keselesaan hidup dan ketenteraman hati akan muncul apabila tiadanya konflik di mana antara penganut intraagama dan antara agama tidak mengamalkan sikap buruk sangka. Atas dasar itu jugalah telah memberikan perspektif yang jernih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan gagasan kesederhanaan kepada masyarakat antarabangsa. Pada tahun lalu, beliau memperkenalkan kepada kelompok elit kuasa di Eropah dan Amerika Syarikat sehingga diberikan kepercayaan oleh masyarakat global untuk dikembangkan secara meluas. Tiga hari lalu, semasa menyampaikan syarahan di hadapan 600 orang ahli akademik, politik dan pemikir di Pusat Kajian Agama di Universiti Oxford mengingatkan sekali lagi betapa pentingnya sikap sederhana dalam menyelesaikan masalah dunia.

Dengan melatari pengalaman sejarah, Perdana Menteri memberikan beberapa pandangan mengenai sikap kesederhanaan yang pernah dilakarkan oleh Nabi Muhammad SAW, Mahatma Ghandi, Nelson Mandela dan Martin Luther King. Nabi Muhammad SAW telah berjaya menunjukkan teladan terbaik dan kesederhanaan baginda turut menjadi inspirasi kepada Ghandi. Prinsip kesederhanaan Ghandi mempengaruhi pula peribadi Mandela. Dan, tokoh-tokoh tersebut sehingga kini terus menjadi objek kajian bagaimana prinsip kesederhanaan berupaya melahirkan idealisme perjuangan yang agung dan besar. Teladan Nabi Muhammad SAW yang diancam oleh kaum Quraisy pada peringkat awal dakwahnya telah menjadikan baginda semakin kental dan mengambil langkah berhijrah ke Madinah. Penghijrahan tersebut menjadi titik kemenangan yang besar kepada Islam, bukan sahaja menambahkan bilangan penganut tetapi berjaya membentuk struktur masyarakat madani yang terangkum di dalamnya kepelbagaian kaum, keturunan dan kepercayaan agama.

Mereka hidup dengan aman dan saling memerlukan. Golongan minoriti tidak merasakan dirinya ditekan oleh majoriti, kehidupan mereka tidak mengalami ancaman dan terus diberikan kebebasan mengekalkan agama dan kepercayaan masing-masing. Kelainan ini membuktikan bahawa Islam tidak "memaksa orang lain menukarkan agama yang dipegang oleh seseorang" tetapi antara pelbagai penganut saling hormat menghormati. Tidak timbul rasa cemburu kelompok minoriti ke atas majoriti manakala majoriti tidak pula mengkhianati minoriti. Perubahan sikap telah menebalkan semangat permusuhan apabila lingkungan agama tercabar dengan pandangan anti-establishment yang hadir dalam bentuk sekularisme, liberalisme, globalisasi yang ikut menghadirkan keinginan membentuk hegemoni. Keinginan untuk menguasai telah menjadikan kumpulan pelampau agama semakin bersemangat melancarkan serangan dalam bentuk fizikal ataupun psikologi.

Serangan dalam bentuk fizikal ialah campur tangan di negara-negara tertentu manakala yang sedia berpihak kepadanya dibiarkan melakukan tindakan kekejaman secara meluas. Serangan dalam bentuk psikologi dilancarkan dengan menggunakan peralatan moden, antaranya media dengan menguasai dan menapis jenis-jenis maklumat. Maklumat yang menggambarkan keburukan tingkah laku segelintir penganut agama yang diandaikan sebagai musuh diperbesar-besarkan dalam konteks falsafah agama. Ia tidak dilihat dalam konteks sebenar, bahawa setiap agama mempunyai kumpulan ekstremis sedangkan prinsip sebenar agama-agama ialah menyemai budaya berbudi pekerti dan menjamin ketertiban individu sebagai lambang kehidupan bermasyarakat, bernegara dan berhubung antara satu sama lain. Secara literalnya, kesederhanaan itu dikaitkan dengan perlakuan tidak melampau, terlalu mendesak atau menekan dan tegar dengan pendirian peribadi.

Berdasarkan konsep itu, secara jelasnya wasatiyyah menolak sikap melampau tetapi bukan dalam konteks penerokaan ilmu, mencari rezeki dan beribadat. Dalam konteks penerokaan ilmu, Islam mengharapkan setiap penganutnya tidak berhenti belajar dan menggunakan akal fikiran untuk membentuk pengetahuan dan penemuan baru. Budaya menyelidik dan memerhati menjadi sesuatu yang teramat besar keperluannya, kerana dengan ilmu Islam dibangunkan, dari situasi jahiliyah kepada pemodenan. Bagi Perdana Menteri, konsep kesederhanaan akan membolehkan kita membangunkan masa depan yang lebih tenteram, aman dan adil. Untuk menzahirkan cita-cita itu, Malaysia telah meletakkan gagasan 1Malaysia sebagai acuan penyatuan antara kaum tanpa melihat perbezaan etnik, agama dan kepercayaan sebagai faktor permusuhan dan konflik. Dengan mempromosikan prinsip wasatiyyah, maka unsur-unsur fanatisme dan fundamentalis dalam beragama tidak dilihat dalam konteks negatif.

Keyakinan yang amat (fanatisme) adalah atas kedudukan Allah SWT sebagai penguasa seluruh kehidupan manakala fundamentalis ialah kembali kepada kejernihan sumber dan ajaran Islam. Konsep-konsep yang diperkenalkan dalam tradisi pemikiran rasional Barat melebarkan perbezaan dan membangkitkan kebencian terhadap Islam. Inilah yang harus diperbetulkan dan ia dapat dilaksanakan secara berkesan melalui aplikasi prinsip kesederhanaan. Ini sesuai dengan firman Allah dalam surah Al-Qasas ayat 77 yang bermaksud: "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah di kurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia". Pendekatan kesederhanaan membolehkan kita melihat sesuatu dalam konteks yang lebih luas dan objektif. Keluasan perspektif itu akan memberikan kita sumber dan semangat yang kuat untuk membangunkan peradaban di mana ketertiban perilaku mengawal keserakahan nafsu. Dari situlah peradaban yang bakal muncul akan menjadi lebih tenteram, mapan dan mampu kekal berpanjangan.

UTUSAN MALAYSIA
20 MEI 2011