JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



17 Mac 2011

ISU ALAM SEKITAR : TSUNAMI CETUS RISIKO BENCANA TEKNOLOGI BARU

Oleh Dr Ibrahim Komoo
bhnews@bharian.com.my
BERITA HARIAN, 17 MAC 2011


Gempa bumi Tohoku berukuran magnitud 9.0 berlaku pada 11 Mac 2011, jam 2.46 petang waktu tempatan yang berpusat di perairan timur laut kepulauan Jepun adalah suatu gempa mega luar dugaan, walaupun bagi masyarakat Jepun. Bukan kerana mereka tidak menduga, tetapi gempa bumi ini adalah yang terbesar pernah dialami Jepun sejak manusia mempunyai peralatan moden mengukur kekuatan gempa. Ia juga adalah gempa bumi keempat terbesar di dunia sejak 1900. Gempa bumi tercetus apabila kepingan Lautan Pasifik yang bergerak dengan kadar 83mm/tahun menusuk masuk ke bawah kepulauan Jepun sepanjang jalur pertemuan dua kepingan, iaitu zon subduksi. Pergerakan berterusan dan halangan oleh kepingan Eurasia menyebabkan patahan atau sesaran berlaku, membebaskan tenaga gempa (seismos) yang sangat besar. Patahan pada kepingan lautan yang menghasilkan gempa bumi ditafsirkan sepanjang lebih 500km dengan anjakan ke atas antara dua hingga tiga meter.

Pergerakan serta-merta kepingan lautan mengangkat badan air sehingga menghasilkan tsunami bersifat global. Oleh kerana, kedudukan punca gempa (epipusat) hanya sekitar 130km dari pantai, tsunami bergerak dan melanda pesisir Jepun kurang 30 minit selepas kejadian gempa bumi.  Melihat fotografi impak tsunami di persisiran pantai yang terhampir, seperti di bandar Sendai dan Minamisanriku, kemusnahan sangat dahsyat dan amat menyayat hati. Tinggi ombak tsunami dianggarkan mencapai 10 meter dan apabila bergerak di kawasan lembah, ia mampu menenggelami bangunan kurang daripada empat tingkat. Tsunami membawa bersama dan memusnahkan apa saja objek sepanjang laluannya.  Ke arah Lautan Pasifik, tsunami bergerak dengan kelajuan lebih 500km sejam. Dalam tempoh sekitar enam jam saja, ia sudah sampai di kepulauan Hawaii dengan ketinggian ombak sekitar 1.7 meter.

Laporan dari Taiwan dan kepulauan Filipina menjelaskan ketinggian ombak tsunami semakin mengecil dan impaknya sudah berkurangan. Walaupun, ombak tsunami sampai ke pesisiran Amerika Utara dan Selatan, Australia dan New Zealand, ombak tsunami semakin kecil dan tidak meninggalkan impak ketara. Malaysia bernasib baik, di samping terkawal kerana pentas Sunda yang cetek, kita turut dilindungi kepulauan Filipina.  Gempa bumi juga diikuti gegaran kuat, membabitkan bangunan tinggi di bandar besar, khususnya Tokyo dan bandar berhampiran epipusat. Bagi kebanyakan yang tinggal di Tokyo, ini adalah gegaran paling menakutkan pernah mereka alami. Walaupun, banyak kerosakan kecil seperti cermin dan hiasan bangunan pecah dan beberapa bangunan kecil runtuh, sebahagian besar bangunan tinggi yang dibina dengan mengambil kira impak gegaran gempa bumi, dapat bertahan tanpa kerosakan strukturnya.

Ini adalah satu kejayaan masyarakat moden Jepun yang beradaptasi dengan bencana alam. Gempa bumi sangat besar seperti ini turut diikuti gempa bumi susulan. Dalam masa 72 jam selepas gempa bumi ini, lebih 150 gempa bumi susulan berlaku dan yang terbesar direkodkan berukuran magnitud 6.8. Dalam keadaan biasa, ini adalah gempa bumi besar yang boleh mencetus bencana tersendiri. Kejadian gempa bumi susulan adalah maklumat sains penting dan lazimnya dikaitkan dengan keadaan kepingan lautan yang mengalami patahan masih aktif untuk mencari keseimbangan. Gempa bumi susulan boleh berlarutan beberapa minggu hingga bulan lamanya.  Gempa bumi yang diikuti tsunami ini mencetus risiko bencana teknologi baru, iaitu kerosakan dan letupan reaktor nuklear di Fukushima Daiichi. Empat daripada reaktor mengalami letupan kerana sistem penyejukan gagal. Gempa bumi menyebabkan bekalan elektrik terputus sehingga menjejas sistem penyejukan loji.

Tsunami pula merosakkan sistem penyejukan sokongan. Akibatnya reaktor menjadi terlalu panas, penghasilan hidrogen daripada wap air yang menjadi punca letupan. Ketidakstabilan reaktor nuklear di Fukushima masih pada tahap kritikal dan boleh mengundang bencana radiasi dahsyat. Pembinaan reaktor nuklear yang lazimnya mampu bertahan gegaran gempa bumi besar ternyata masih kurang selamat. Gempa bumi Tohoku ini ternyata meninggalkan impak sangat hebat kepada masyarakat Jepun, iaitu sebuah masyarakat yang sangat berpengalaman dan bersedia menghadapi bencana gempa bumi dan tsunami. Sehingga catatan ini ditulis, lebih 2,000 nyawa dilaporkan terkorban, lebih 10,000 orang hilang dan kemungkinan turut terkorban, lebih 500,000 penduduk dipindahkan dan lebih 1.5 juta penduduk dalam keadaan tertekan akibat ketiadaan bekalan elektrik dan air. Keseluruhan rakyat Jepun masih dalam keadaan bimbang sekiranya tragedi radiasi nuklear berlaku.

Ini tidak termasuk beberapa bandar di pesisiran pantai musnah dilanda tsunami. Bencana, kematian dan kerosakan harta masih terus meningkat. Anggaran awal menunjukkan kerugian harta benda melebihi RM500 bilion. Apa yang dapat kita pelajari daripada bencana gempa bumi ini? Walaupun bagi masyarakat Jepun yang berpengalaman menghadapi bencana alam gempa bumi masih dapat memberikan beberapa maklumat baru. Umpamanya:  Gempa bumi masih sukar diramal, khususnya magnitud, kedudukan epipusat dan bila akan berlaku. Gempa bumi mega berukuran 9.0 pada skala Richter memang tidak diduga. Ini pertama kali masyarakat Jepun berhadapan gempa bumi sebesar itu. Oleh itu, impaknya kepada komuniti, harta benda dan keselamatan awam adalah situasi baru yang mereka sedang hadapi; Ternyata tsunami besar, melebihi ketinggian 10 meter dan apabila bergerak di kawasan lembah yang dibangunkan sebagai penempatan, impaknya sangat luar biasa.

Tiada apa yang dapat bertahan daripada kemusnahan tsunami. Sebuah bandar seperti Minamisanriku musnah sama sekali dilanda tsunami;  Gempa bumi mencetuskan tsunami dan kedua-duanya pula boleh bertindak mewujudkan bencana teknologi seperti kegagalan reaktor nuklear dan kebakaran. Bencana alam lazimnya mencetus bencana lain – gempa bumi mencetus tsunami dan gegaran akibat gempa bumi serta tsunami menyebabkan kerosakan loji nuklear dan gegaran juga menyebabkan runtuhan bangunan, kebakaran dan kemusnahan pelbagai infrastruktur awam. Bagi masyarakat Malaysia, kita harus berdoa agar bencana ini dapat diharungi dengan tabah oleh masyarakat Jepun. Semoga tragedi ini diatasi segera, dapat mengurangkan risiko bencana sebaik mungkin dan membangun negara mereka ke arah masyarakat bersemangat kental. Bagi masyarakat Malaysia, jadilah rakyat yang sentiasa bersyukur kerana sentiasa dilimpahi rahmat dan dilindungi bencana alam.

Penulis ialah Pengarah, Institut Kajian Bencana Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tiada ulasan: