JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



17 Mac 2011

ISU ALAM SEKITAR : RISIKO KERACUNAN RADIASI GLOBAL

Oleh NURUL ANUAR KARI
UTUSAN MALAYSIA, 17 MAC 2011


Kerosakan reaktor nuklear di Fukushima, Jepun yang mula membebaskan bahan radioaktif ke udara pada minggu ini bukannya kemalangan pertama melibatkan loji tenaga nuklear dunia dan mungkin bukan yang terakhir. Walaupun telah banyak langkah pencegahan diambil, namun akhirnya benteng konkrit loji tersebut tewas di tangan alam semula jadi selepas gempa bumi dan tsunami membadai perairan negara itu, Jumaat lalu. Sungguhpun begitu, angka kematian yang dijangka jauh melangkaui 10,000 orang akibat bencana alam ini nampaknya tenggelam di sebalik bayangan bencana loji nuklear Chernobyl pada 1986. Letupan kuat loji nuklear Chernobyl di Ukraine pada 26 April 1986 menyebabkan 32 orang terbunuh akibat kesan langsung keracunan radiasi sementara 8,000 yang lain mengalami kesan pencemaran radioaktif akibat bahan radioaktif tersebar ke udara sehingga ke barat Eropah.

Jika perkara sama berlaku di Jepun, bencana yang jauh lebih besar melibatkan pencemaran dan keracunan bahan radioaktif bakal menimpa semua bentuk hidupan di rantau Pasifik, mungkin juga seluruh dunia. Bagaimanapun, kemungkinan itu disanggah Setiausaha Jawatankuasa Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Kesan Radiasi Atom, Malcolm Crick dengan alasan loji di Chernobyl dahulu tidak mempunyai sistem keselamatan moden terkini. Crick juga mendakwa Chernobyl menjadi padang jarak padang tekukur disebabkan loji tersebut sedang beroperasi ketika letupan berlaku seterusnya memudahkan penyebaran bahan radioaktif ke udara. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) buat masa ini melaporkan risiko kejadian di loji Fukushima ke atas kesihatan manusia masih rendah tetapi 140,000 penduduk di sekitar zon bencana telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut Profesor Fizik Perubatan, Jabatan Radiologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Ng Kwan-Hoong, penduduk dunia akan didedahkan kepada dua jenis bahan radioaktif jika loji nuklear itu meletup iaitu Caesium-137 (Cs-137) dan Iodine-131 (I-131). "Cs-137 dengan separuh hayat (half-life) 30 tahun, larut dalam air dan toksik (kepada hidupan) walaupun pendedahan dalam jumlah kecil. Selepas masuk ke dalam badan, bahan ini akan merebak, terutamanya berkumpul dalam otot. "I-131 pula mempunyai separuh hayat lapan hari dan boleh diserap melalui makanan yang tercemar. Bahan ini akan terkumpul di dalam kelenjar tiroid kerana diserap seperti iodin biasa," jelasnya. Tambahnya, secara biologi (dalam badan) Cs-137 akan mula mengurai selepas 70 hari sementara penguraian I-131 pula membebaskan radiasi yang boleh merosakkan kelenjar tiroid serta meningkatkan risiko kanser tiroid dalam jangka panjang.

Bagaimanapun, bukan sahaja warga Jepun dan penduduk negara jirannya cemas memerhatikan situasi di Fukushima, malahan rakyat Malaysia sendiri gempar apabila khidmat pesanan ringkas (SMS) mendakwa pencemaran radiasi akan sampai ke perairan kita mula disebarkan. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia telah memberi jaminan pembebasan bahan radioaktif di Jepun akan dipantau secara rapi melalui alat pengesan radiasi di Chuping, Ipoh, Kota Kinabalu, Kuantan, Kudat dan Senai sementara kebanyakan pintu masuk negara juga dilengkapi pengimbas radiasi. Namun, persoalan yang bermain di fikiran semua pihak kini adalah tentang sebaran bahan radioaktif melalui udara kerana ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan hanya dapat dirasakan selepas gejala keracunan mula timbul.

Orang ramai di negara ini sebenarnya tidak perlu panik dengan kebarangkalian tersebut kerana jika berlaku bencana kebocoran bahan radioaktif yang teruk, ia pasti dapat dikesan lebih awal dan akan diumumkan kepada penduduk seluruh dunia terutamanya penduduk Jepun yang tinggal berhampiran tempat kejadian. Pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa juga akan memaklumkan kepada orang ramai tentang langkah pencegahan yang perlu diambil bagi mengelak atau mengurangkan kesan pendedahan bahan radioaktif ke atas diri dan keluarga. Sementara usaha menghalang bencana ini masih dijalankan, semua pihak perlu bertenang dan tidak panik tentang sesuatu yang belum tentu akan berlaku. Untuk mengurangkan kebimbangan umum melibatkan situasi di Fukushima itu, adalah lebih baik jika orang ramai terlebih dahulu memahami gejala keracunan radiasi dan langkah yang perlu diambil dalam kecemasan.

Pening dan muntah merupakan gejala utama dikaitkan dengan keracunan bahan radioaktif yang bermula beberapa jam selepas seseorang terdedah kepada radiasi tahap rendah atau tinggi. Gejala ini diiringi pening kepala, cirit-birit dan demam jika terdedah kepada jumlah radiasi yang tinggi sementara kesan melibatkan sistem saraf badan seperti lumpuh atau sawan secara tiba-tiba menandakan kesan radiasi yang amat tinggi. Pendedahan secara berpanjangan akan menyebabkan sistem imuniti badan menjadi lemah, demam panas, serta muntah, pening kepala dan cirit birit yang teruk. Pendedahan kepada jumlah radiasi yang tinggi juga akan membawa maut dalam tempoh singkat tetapi mereka yang terdedah kepada radiasi yang rendah dalam jangka panjang atau pendek mungkin dapat diselamatkan jika menerima rawatan sewajarnya. Langkah pencegahan pula banyak bergantung kepada kemampuan kita untuk menjauhkan diri dari sumber radiasi dan mengurangkan tempoh terdedah kepada bahan tersebut.

Dari sudut jarak, kadar risiko kepada penduduk di Malaysia sebenarnya jauh lebih rendah berbanding penduduk di Jepun dan negara jirannya. Tempoh pendedahan pula dapat dikurangkan dengan menggunakan alat perlindungan khas serta mengikut arahan pihak berkuasa untuk berlindung di tempat khusus yang ditetapkan atau di dalam rumah dengan menghalang atau mengurangkan aliran udara masuk. Hakikatnya, jika bencana melanda loji nuklear Fukushima, tiada siapa di dunia yang dapat melarikan diri kerana hanya jarak yang membezakan bila sesebuah negara akan terdedah kepada bahan radioaktif yang dibebaskan ke udara. Selagi tragedi itu belum menjadi kenyataan, kita cuma mampu melihat serta mendoakan segalanya akan pulih dan semoga dunia diberi peluang mengambil iktibar daripada kejadian tersebut demi masa depan generasi berikutnya.

Tiada ulasan: