Kekurangan ilmu agama menjadi penyebab ramai gadis sanggup terbabit dalam gejala sosial semata-mata mengejar pendapatan lumayan, biarpun berpelajaran tinggi. Panel Sosial, Ahli Majlis Perunding Islam Malaysia, Dr Mastura Badzis berkata, gadis masa kini tidak mendapat pendidikan agama secukupnya daripada keluarga. Katanya, meskipun mempunyai segulung ijazah, ia belum menjamin masa depan mereka supaya tidak terbabit dengan gejala sosial. Ajaran ilmu agama lebih penting daripada segala-galanya. Sebab itu anak harus diajar mengenai agama sejak kecil. Selain itu, kesibukan ibu bapa yang bekerja siang dan malam juga menjadi punca mengapa anak mereka menjadi begini ketika meningkat dewasa. Seharusnya, ibu bapa menjadi kawan rapat kepada anak mereka dan berkongsi masalah serta memantau apa yang dilakukan mereka supaya tidak terbabit dengan gejala ini.
Menurut Mastura, ibu bapa juga harus mengawal penggunaan Internet kerana tanpa pengawasan, ia boleh membinasakan masa depan anak. Laman sosial kini memberi lebih banyak impak negatif kepada golongan remaja jika tidak dipantau. Jadi tidak hairan pelbagai masalah bangkit daripada penggunaannya. Penipuan dijalankan sesetengah gadis itu ibarat memakan diri sendiri. Mungkin pada mulanya mereka sekadar suka-suka, tetapi impaknya lebih teruk daripada itu. Pendidikan awal untuk remaja menjadi agenda penting dalam mendidik peribadi golongan itu. Sekurang-kurangnya, mereka dapat memahami bahaya atau ancaman akan datang. Kebanyakan ibu bapa membenarkan anak mereka menggunakan Internet tanpa had dan kawalan. Selain itu, terpengaruh dengan rakan juga menjadi sebab mengapa mereka berani melakukan penipuan seperti itu.
SUMBER :
METRO AHAD
06 BFEBRUARI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan