Jumlah kanak-kanak dan remaja yang hilang dari rumah dan gagal ditemui sejak dua tahun lalu sebanyak 1,383 orang seperti yang dilaporkan akhbar ini semalam adalah satu jumlah yang agak besar. Ini bermakna purata empat orang hilang setiap hari dan seperti yang dilaporkan, antara faktor kehilangan itu adalah disebabkan kecuaian ibu bapa, selain mengikut teman dan kemiskinan. Dalam hal ini, kita tidaklah mahu menyalahkan ibu bapa seratus peratus kerana dilaporkan 85 peratus mereka yang hilang itu sudah mampu berfikir walaupun tidak cukup matang tentang perkara baik dan perkara buruk. Majoriti mereka berusia antara 14 hingga 17 tahun dan usia itu sememangnya satu peringkat usia remaja yang sukar dikawal oleh ibu bapa. Namun, dengan bimbingan dan perhatian yang betul daripada ibu bapa, kita percaya remaja terbabit tidak akan mengambil jalan mudah untuk keluar dari rumah. Mungkin sudah tiba masanya, ibu bapa dan penjaga menukar kaedah atau pendekatan yang digunakan untuk mendidik anak-anak.
Membesarkan anak-anak sekarang tidak sama seperti 10 atau 20 tahun lalu. Anak-anak sekarang begitu terdedah dengan budaya seronok melayan laman sosial seperti Facebook atau Twitter. Jika di rumah tidak ada kemudahan Internet, mereka boleh singgah di mana-mana kafe siber untuk tujuan tersebut. Lebih daripada itu, telefon bimbit pintar yang ada 'segalanya' turut menjerumuskan anak remaja ke satu alam lain yang memerlukan mereka keluar dari rumah. Justeru, ibu bapa bukan sahaja perlu rajin memantau pergerakan atau aktiviti harian anak-anak, malah apa yang mudah dicapai oleh hujung jari anak-anak juga wajar diberi perhatian yang sama. Tidak ada salahnya, sesekali ibu bapa 'menceroboh' laman sosial anak-anak. Dari situ, banyak maklumat tentang diri anak-anak yang mungkin selama ini dirahsiakan daripada ibu bapa boleh diterokai dan difahami. Ada ibu bapa langsung tidak membenarkan anak-anak membuka akaun laman sosial berkenaan, dan ada juga yang menggunakan pendekatan memeriksa setiap hari aktiviti laman sosial anak-anak.
Apa saja cara yang dirasakan perlu dilakukan demi kebaikan anak-anak, maka ibu bapa perlu bertindak sedemikian. Bagi anak-anak yang lari kerana masalah keluarga dan kemiskinan, maka di sini pihak yang perlu memainkan peranan utama adalah kementerian dan jabatan berkaitan. Kerjasama para pegawai dari agensi-agensi terbabit amat diperlukan untuk menyelamatkan anak-anak yang runsing berada di rumah. Kita juga tahu bahawa ada anak remaja dari keluarga miskin terdorong melarikan diri kerana mahu mengejar sesuatu yang dijanjikan mewah buat hidup mereka. Ini juga satu penyakit yang memerlukan tindakan bersepadu pelbagai pihak. Sudahlah ibu bapa miskin, anak pula lari dari rumah. Tidakkah ini akan menambah beban ibu bapa yang terlibat? Sebagai masyarakat yang prihatin, kita juga mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan kepada pihak berkuasa tentang apa-apa perkara yang dilihat mencurigakan berlaku dalam sesebuah keluarga. Tidak ada salahnya, sesekali bersikap 'menjaga tepi kain orang'. Ambil tahu hal sekeliling dan hulurkan bantuan apa yang termampu untuk menolong mereka yang memerlukan.
SUMBER :
UTUSAN MALAYSIA
7 FEBRUARI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan