05 Februari 2011

ISU EKONOMI : AUSTRALIA DIANCAM INFLASI


Australia diancam inflasi dan kehilangan hasil eksport selepas mengalami kerugian pertanian berjumlah A$800 juta (RM2.48 bilion) berikutan Taufan Yasi, demikian menurut penganalisis. Kerosakan dua komoditi utama pertanian di Queensland iaitu tebu dan pisang membawa kepada kerugian berjumlah A$1.4 bilion (RM4.34) sejak bencana alam melanda negara ini enam minggu lalu. Queensland masih mengalami kesan akibat banjir terburuk yang memusnahkan tanaman dianggar bernilai A$600 juta (RM1.86 bilion) dan juga mengurangkan eksport arang batu kepada A$2.5 bilion (RM7.75 bilion). Kira-kira 20 peratus tanaman tebu di wilayah itu musnah akibat Taufan Yasi, kerugian kira-kira A$500 juta (RM1.55 bilion) yang memerlukan beberapa tahun untuk pulih, kata kumpulan industri, Canegrowers. Australia merupakan pengeksport gula ketiga terbesar di dunia dengan 85 peratus produknya dieksport ke Asia termasuk ke Jepun, China dan Korea dengan nilai tahunan berjumlah A$2 bilion (RM6.2 bilion).

Harga gula yang ketika ini tinggi ekoran kekurangan bekalan kerana bencana alam, terus meningkat apabila Taufan Yasi melanda kelmarin. Penganalisis Bank Commonwealth, Luke Mathews berkata, harga pada tahap tertentu akan mengimbangi pengeluaran rendah tetapi beliau memberi amaran pendapatan daripada eksport gula akan hilang sebanyak A$500 juta (RM1.55 bilion). Ketua Persekutan Petani, Dan Galligan berkata, sehingga 85 peratus tanaman pisang musnah akibat taufan berkenaan. ''Mereka masih mengira kerosakan yang berlaku, namun kami menganggar hampir semua musnah dan kerugian bernilai kira-kira A$300 juta (RM930 juta),'' katanya. Mathews berkata, bencana alam itu menyebabkan kadar inflasi meningkat kira-kira 0.5 peratus lagi. Setiausaha Perbendaharan, Wayne Swan memberi amaran inflasi akan meningkat pada bulan-bulan akan datang sekiranya kekurangan bekalan makanan akibat banjir meningkatkan harga barangan, manakala Canberra terpaksa berbelanja sebanyak A$5.6 bilion (RM17,36 bilion) untuk membersihkan kerosakan akibat bencana alam.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
5 FEBRUARI 2011
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...