JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



05 Februari 2011

ISU KRISIS TENAGA : ALTERNATIF HARGA BAHAN API PETROL


Malaysia kembali gamat apabila harga petrol RON97 meningkat 10 sen kepada RM2.50 seliter mulai 1 Februari 2011. Sedikit sebanyak, kesan ini dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia, tidak kira kaum, status dan umur. Impak terhadap kenaikan harga petrol ini pastinya membawa kepada kenaikan harga barang-barang mentah yang boleh membawa kepada inflasi negara. Perkara ini pastinya akan menyulitkan negara dalam merealisasikan Model Baru Ekonomi (MBE) menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015) yang mengaspirasikan status negara berpendapatan tinggi. Hakikatnyata, permasalahan ini berpunca daripada keadaan ekonomi global yang sedang meruncing akibat kenaikan harga minyak dunia. Kita perlu menyedari bahawa kebergantungan Malaysia terhadap minyak mentah dan gas asli untuk menjana pembangunan negara amatlah tinggi. Petrol digunakan secara meluas untuk pelbagai sektor yang melibatkan penggunaan tenaga yang besar.

Ini termasuklah pengangkutan industri dan penjanaan bekalan elektrik yang saling berkaitan dengan sub-industri lain, contohnya sektor pembinaan, pengangkutan awam dan bekalan bahan mentah yang memacu pembangunan negara. Justeru itu, apabila berlakunya kenaikan harga petrol dunia, negara turut merasakan impaknya. Selama ini, rakyat Malaysia begitu selesa dengan subsidi petrol yang melimpah ruah. Hasilnya, penggunaan kenderaan begitu tinggi di Malaysia dan ia pasti menuntut permintaan yang tinggi terhadap bahan bakar. Sektor-sektor pembinaan dan pengangkutan awam juga mengharapkan bekalan bahan bakar yang tinggi. Apabila wujud kemelut dalam kenaikan pasaran harga minyak, maka berlakulah sikap tuding menuding di antara satu sama lain. Ledakan kemarahan berlaku di kalangan pengguna. Kenaikan harga bahan-bahan mentah menyebabkan industri-industri lain turut terjejas.

Situasi ini sedikit sebanyak menuntut kepada pencarian alternatif lain bagi membekalkan tenaga dengan kadar segera. Terdapat pelbagai usaha untuk mencari penyelesaian bagi permasalahan ini. Antaranya, melancarkan secara meluas penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui (renewable energy). Menerusi Rancangan Malaysia ke-10, Polisi Tenaga Baru telah diperkenalkan yang antaranya adalah untuk memacu ke arah pembangunan strategik pelbagai sumber tenaga baru termasuklah tenaga yang diperbaharui. Rakyat harus diperkenalkan secara meluas menerusi media massa terhadap pelan tindakan dan usaha-usaha penyelidikan tenaga ini supaya mereka lebih memahami dan bersedia pada masa hadapan. Apakah ia tenaga boleh diperbaharui? Ia merupakan sejenis tenaga yang dihasilkan daripada janaan sumber semula jadi seperti cahaya matahari, angin, hujan, ombak dan geoterma, yang mana ia diperbaharui secara semula jadi.

Tenaga ini lebih bersih dan tidak akan pupus. Ia menghasilkan kuasa solar, hidro-elektrik, biojisim dan bahan bakar bio yang penting untuk industri. Gabungan penggunaan tenaga-tenaga ini dapat memberikan bekalan tenaga yang lebih lestari, konsisten, bersih dan menyelamatkan bumi dari kesan pencemaran. Negara-negara maju seperti Jepun, Korea dan benua Eropah sedang giat mengusahakan sektor tenaga boleh diperbaharui ini secara meluas di negara mereka. Negara jiran, Thailand walaupun dalam keadaan politik yang tidak stabil, begitu pesat membangunkan industri solar mereka. Semua negara ini mempunyai matlamat mencari sumber tenaga alternatif yang lebih lestari, selain daripada petrol. Malaysia semestinya bertuah kerana secara geografinya terletak di garisan Khatulistiwa yang memberikan kelebihan terhadap bekalan kuasa matahari dan air yang tinggi.

Kuasa solar yang selama ini mampu membekalkan bekalan sumber elektrik di kawasan-kawasan pedalaman di Malaysia, sepatutnya diperluaskan dengan lebih giat ke seluruh negara terhadap pelbagai sektor. Terdapat suntikan usaha-usaha penggunaan solar oleh organisasi-organisasi tertentu, namun masih di peringkat minimum. Manakala, hujan yang turun sepanjang tahun yang selama ini dibiarkan terbuang sebenarnya boleh dijana dan dibentuk menjadi sumber tenaga hidro. Selain itu, kelebihan industri kelapa sawit yang meluas di negara ini dapat memberikan impak menerusi bahan bakar bio. Kelebihan ini perlu dipergunakan sebaik mungkin dan usaha yang giat sepatutnya diperluaskan. Penyelidikan-penyelidikan berskala besar perlu diperuntukkan untuk sektor ini dan hasil penyelidikan sepatutnya telah mula dikomersialkan bagi penggunaan semua. Ramai berpendapat, penghasilan tenaga alternatif lebih tinggi daripada petrol.

Namun hakikatnya, adakah kita mempunyai pelan perancangan jangka panjang jika sesuatu berlaku kepada sumber asli ini? Apakah yang akan berlaku sekiranya kita terlampau bergantung terhadap satu sumber yang tidak lestari? Ini pastinya boleh menyekat pertumbuhan negara pada masa hadapan. Dengan kadar pertambahan bilangan rakyat Malaysia di masa hadapan, ia sedikit sebanyak bakal mempengaruhi permintaan tenaga yang tinggi. Usaha untuk menggalakkan rakyat berjimat cermat adalah baik, namun ia lebih bersifat sementara. Oleh itu, perancangan jangka panjang untuk penghasilan tenaga-tenaga lain merupakan satu tindakan bijak untuk kesejahteraan negara. Di Malaysia sendiri sebenarnya terdapat banyak pusat penyelidikan untuk tenaga yang boleh diperbaharui ini. Hampir semua universiti-universiti awam mempunyai pusat penyelidikan dengan kapasiti penyelidik yang ramai.

Kepakaran warga tempatan untuk menyalurkan khidmat nasihat kepada kerajaan dalam melancarkan Polisi Tenaga Baru amat signifikan dalam menjana pembangunan negara. Apa yang pasti, proses ini haruslah dijalankan secara berterusan dan sistematik. Antara yang patut dilakukan adalah mula mengorak langkah terhadap pemasaran hasil penyelidikan di dalam bidang ini dengan skala yang besar. Hasilan penyelidikan bahan bakar bio sepatutnya telah mula dikomersialkan bagi penggunaan pengangkutan awam. Ini akan mengurangkan kadar permintaan terhadap bahan bakar asli petrol. Permintaan seharusnya dihalakan kepada bahan bakar bio, yang akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat dan menjana pertumbuhan ekonomi baru. Pelan tindakan ini sekurang-kurangnya mampu memberi peluang kepada rakyat Malaysia merasai kelebihan bahan bakar bio, di samping terus menggunakan petrol sedia ada.

Bagi masa hadapan, potensi memasarkan bahan bakar bio ini akan lebih mudah diterima. Selain itu, bangunan-bangunan pentadbiran awam dan sekolah-sekolah di seluruh pelosok negara, sepatutnya sudah mula menggunakan sistem solar. Ini secara tidak langsung memperkenalkan industri solar dengan kadar lebih luas. Terdapat sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa harga pengaplikasian sistem solar adalah lebih tinggi, namun penggunaan kuasa solar untuk bangunan-bangunan ini akan menyebabkan berlakunya penurunan terhadap permintaan tenaga elektrik yang dijana melalui sumber bakar asli. Jadi, secara tidak langsung, ia memberi keseimbangan ekonomi negara pada masa hadapan. Peluang-peluang industri kecil di dalam bidang ini juga akan berkembang sekali gus meningkatkan pasaran kerja yang lebih banyak.

Kesimpulannya, melalui pelan tindakan dan pelaksanaan strategi yang betul, usaha-usaha memantapkan bidang tenaga yang diperbaharui ini boleh dipasarkan secara meluas. Semestinya, semua rakyat Malaysia mengimpikan kemajuan dan pembangunan negara yang stabil dalam suasana yang harmoni. Realitinya, untuk mencapai objektif ini, kita memerlukan pasaran tenaga dari sumber yang stabil. Melalui kapasiti tenaga yang stabil, ia akan membentuk pembangunan negara yang produktif dan berterusan.

OLEH :
NUR AZFAHANI AHMAD
Pensyarah Fakulti Senibina,
Perancangan dan Ukur,
UiTM Perak.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
05 FEBRUARI 2011

Tiada ulasan: