JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



13 Februari 2011

ISU UMUM : SUSAHNYA MAHU JADI PEGUAM?


Belum selesai kes sama ada bukan Islam boleh diterima sebagai peguam syarie, dunia perundangan kembali dipanaskan dengan isu kualiti peguam sivil pula. Kekhuatiran yang dibangkitkan oleh Majlis Peguam (sama ada bertempat atau tidak) sejak era 80-an adalah berasaskan fakta terkini. Majlis Peguam memetik angka lebih kurang 1,000 peguam baru diterima masuk setiap tahun. Oleh kerana jumlah yang besar, maka kemasukan mereka dalam bidang profesional ini dicadangkan supaya ditapis ketat untuk memastikan kualiti dan kecekapan kepeguaman terjamin. Lantas tercetus cadangan satu sistem proses penilaian iaitu dalam bentuk kursus dan peperiksaan yang sama (Common Bar Course and Examination-CBE). Walaupun pada dasarnya cadangan itu nampak murni dan baik, beberapa perkara perlu diteliti terutama dari aspek praktikal sebelum ia dilaksanakan. Cadangan ini walaupun dibantah universiti tempatan tetapi mendapat sokongan dari Lembaga Kelayakan.

Ini ditunjukkan melalui penubuhan satu pasukan penilai pada 2008 yang diketuai Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan. Ia bertujuan menilai sama ada graduan dari Universiti Utara Malaysia dan Universiti Multimedia boleh dikecualikan dari Sijil Amalan Guaman (CLP). Pengecualian itu hanya bagi tempoh dua tahun dan akan tamat sekiranya tidak diperbaharui pada 15 April ini. Kekhuatiran tersebut boleh bertukar igauan ngeri. Implikasinya, sekiranya tidak diperbaharui, graduan undang-undang dari kedua-dua universiti perlu lulus CLP sebelum boleh memulakan Latihan dalam Kamar (chambering). Boleh dikatakan dua kali rugi kerana pertamanya jangkamasa yang lebih panjang (empat tahun) berbanding dengan graduan undang-undang lulusan luar negara (hanya tiga tahun) dan kedua, “kesilapan” membuat pengajian di kedua-dua universiti ini. Cadangan Majlis Peguam ini perlu diteliti dari pelbagai sudut.

Pertama, isu masa depan sekiranya memilih kerjaya dalam bidang perundangan. Sekiranya, cadangan ini diterima, ramai pelajar tempatan akan merungut tentang jangkamasa yang perlu diambil untuk tamat belajar sebelum boleh beramal sebagai peguam iaitu secara dasarnya empat tahun untuk memperolehi Sarjana Muda Undang-undang dengan Kepujian - LL.B (Hons), setahun lagi untuk CBE (sekiranya diwajibkan), dan sekiranya lulus, baharulah boleh menjalani latihan dalam kamar selama sembilan bulan. Keseluruhannya, jangkamasa minimum adalah hampir enam tahun. Profesion ini akan menjadi semakin elit sekiranya cadangan Majlis Peguam untuk meningkatkan mutu kepeguaman adalah keperluan kepada penguasaan bahasa Inggeris yang baik. Aspek bahasa perlu dilihat dengan sangat teliti kerana kemampuan berbahasa terutama penguasaan Bahasa Inggeris yang baik tidak datang dalam waktu yang singkat dan pembelajaran semasa CBE.

Pada masa yang sama, penguasaan bahasa Melayu terutama di mahkamah perlu ditekankan juga. Ramai peguam terutama yang lama lebih fasih berbahasa Inggeris dari bahasa Melayu. Mereka juga lebih selesa menggunakan bahasa tersebut di mahkamah walaupun lahir dan telah lama tinggal di Malaysia! Antara aspek lain yang penting dan perlu diteliti adalah kelayakan akademik seseorang sebelum dikira sebagai orang yang “berkelayakan”. Pengajaran dan pembelajaran undang-undang di enam universiti tempatan dikawalselia oleh Lembaga Kelayakan Malaysia dan Lembaga Kelayakan Profesion Perundangan yang dipengerusikan Peguam Negara. Selain dari kelayakan dari Universiti Malaya, National University of Singapore dan Barristers dari England, sebarang perubahan status kelayakan yang telah ditetapkan oleh Lembaga hanya boleh dibuat melalui pindaan statut. Dengan adanya dua lembaga mengawal mutu pengajaran dan pembelajaran undang-undang, perlukah kita lagi kepada CBE atau cukup dengan beberapa latihan praktikal sahaja?

Dari segi jangkamasa pembelajaran, secara perbandingan dengan graduan undang-undang lulusan luar negara yang ingin beramal, mereka hanya perlu mempunyai kelulusan undang-undang tanpa kepujian (tiga tahun sahaja) dan lulus CLP sebelum menjalani latihan dalam kamar selama sembilan bulan. Mereka boleh menjimatkan setahun di situ. Graduan undang-undang luar negara mendesak supaya CLP dibatalkan kerana peratus yang gagal adalah tinggi. Sijil ini diperkenalkan pada tahun 1984 sebagai menampung keperluan sementara bagi membantu graduan undang-undang keluaran universiti British yang gagal mendapat markah baik (sekurang-kurangnya Kelas Kedua Rendah) dan tidak dibenarkan menduduki peperiksaan akhir untuk English Bar. CLP juga memperkenalkan pembelajaran terutama aspek prosedur yang telah pun diikuti oleh graduan undang-undang tempatan semasa di tahun empat dan aspek penyesuaian undang-undang seperti yang terpakai di Malaysia.

Sekiranya CLP dihapuskan, di manakah graduan undang-undang dari luar negara belajar tentang Sistem Perundangan Malaysia dan subjek-subjek prosedur? Sekiranya mereka ingin beramal sebagai peguam di Malaysia, mereka perlu memahami undang-undang Malaysia kalau tidak sistem perundangan kita akan menjadi porak peranda. Sekiranya CBE hendak diteruskan dan di situlah pengajian tentang prosedur diterapkan, maka pelajar tempatan sepatutnya hanya perlu mengikuti tiga tahun pengajian undang-undang sahaja. Desakan memansuhkan CLP perlu diteliti kewajarannya kerana terdapat beberapa isu penting seperti kelayakan akademik yang baik sebagai pra-syarat untuk mengikuti program undang-undang bagi pelajar di universiti tempatan. Seperti kata pepatah Melayu, “benih yang baik, campak ke laut menjadi pulau”. Dalam kebanyakan kes, pelajar undang-undang di tempatan biasanya adalah crème-de-la creme.

Bagaimanapun, peluang juga diberi kepada pelajar yang kurang baik prestasi akademik semasa peringkat kemasukan. Faktor ini sebenarnya memberi kesan kepada prestasi akademik. Perkara ini disokong oleh kenyataan para hakim dan peguam yang berpengalaman bahawa terdapat graduan undang-undang dalam kategori “from the good to the grotesque”. Dalam konteks ini, penyelesaian kepada masalah kualiti peguam bukannya terletak di hujung pengajian tetapi di awal pembelajaran itu sendiri. Sekiranya pelajar tersebut tidak sesuai mengikuti pengajian undang-undang (not wired-up for law), pelajar tersebut bukanlah bodoh tetapi potensinya boleh disalurkan kepada bidang yang diminati pelajar tersebut. Kita tidak perlu melayan kehendak ibubapa yang mahukan anak mereka mempunyai kerjaya yang dikatakan glamor. Jika kita serius tentang kualiti peguam yang bakal kita hasilkan, kita perlu menapis seperti tapisan di England.

Kenapa mereka yang gagal di sana diterima di sini? Jawapannya adalah kerana kita ingin memberi peluang kedua kepada pelajar kita. Kalau itulah semangatnya, maka dalam melaksanakan niat itu, kita perlu berlaku adil. Adakah adil mengadakan syarat yang sama kepada orang yang dalam kategori yang berlainan atas alasan mengawal kualiti? Tulisan ini saya akhiri dengan satu fakta paling menarik untuk direnung. Majlis Peguam dalam laporan yang dikemaskini pada 31 Disember 2010, menyatakan terdapat 13,350 peguam yang beramal di Malaysia di mana separuh daripada mereka berkelulusan dari luar negara. Dari segi pecahan kaum, peguam berbangsa Melayu adalah 5,190, Cina (5,025), India (2,517), Punjabi (485) dan 129 peguam dari bangsa-bangsa lain. Cabaran yang dihadapi oleh Majlis Peguam sebenarnya apa? Kuantiti atau kualiti? Cabaran yang dihadapi oleh universiti tempatan pula, kalau graduan tempatan bagus, kenapa perlu takut kepada CBE?

OLEH : DR. ZALEHA KAMARUDDIN
SUMBER : MINGGUAN MALAYSIA, 13 FEBRUARI 2011.

Tiada ulasan: