JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



28 Januari 2011

ISU SOSIAL : USAHA KURANGKAN KORBAN NAHAS TUNTUT TINDAKAN AGRESIF SEMUA PIHAK


Pelbagai langkah sudah diambil untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini, terutama sepanjang musim perayaan utama. Ops Sikap sudah masuk kali ke-23 dan pelbagai pendekatan sudah dicuba untuk mengurangkan kes kemalangan seperti itu, namun ia kurang berkesan. Tahun lalu saja, 6,872 kematian membabitkan 6,260 kes kemalangan maut dicatatkan, sekali gus mencatat rekod tertinggi dalam sejarah negara. Pendekatan kreatif polis melalui Ops Ke-23 selama 15 hari bermula Tahun Baru Cina, minggu depan sewajarnya dilaksanakan. Ini termasuk mengaktifkan semua 19 menara peninjau di lebuh raya dan laluan Persekutuan, menempatkan lebih ramai anggota dan menambahkan operasi rondaan serta sekatan jalan raya. Pemandu akan memperlahankan kenderaan sebaik memasuki kawasan yang dikenal pasti ada polis, termasuk di lokasi tetap menara peninjau. Di kawasan ini, biasanya tidak ada kemalangan berlaku kerana masing-masing berwaspada.


Antara faktor lain yang perlu diberi perhatian ialah melebarkan jalan, kualiti permukaan jalan, atau meningkatkan keupayaan jalan raya yang sedia ada untuk menampung bilangan kenderaan yang terlalu banyak pada satu-satu masa. Faktor ini ketika ini kurang diberikan perhatian oleh pihak yang mengendalikan sesuatu laluan atau lebuh raya. Sudah sampai masanya kerajaan mengkaji atau meneliti ciri keselamatan jalan raya di seluruh negara, sama ada jalan bandaran, jalan Persekutuan atau lebuh raya. Tidak dinafikan ada kes kemalangan maut yang membabitkan bas ekspres disebabkan kecuaian pemandu, namun ada kes kemalangan maut yang membabitkan jumlah yang ramai turut disumbangkan oleh keadaan jalan yang tidak rata, jalan dalam pembinaan atau menuruni puncak bukit yang tinggi. Iklim negara ini yang panas dan kerap hujan mempercepatkan jalan rosak, kegelinciran tanah, selain permukaan jalan licin. Sewajarnya faktor bukan manusia ini turut diberikan perhatian dalam mencari penyelesaian berhubung peningkatan kes kemalangan jalan raya di Malaysia. Kita akui kecuaian dan sikap pemandu menjadi punca utama kemalangan di jalan raya. Oleh itu Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) perlu mengambil peranan mendidik mereka supaya berhemah ketika memandu.


Sememangnya pendekatan sebegini sudah dilaksanakan MKJR, tetapi kita juga harus mengakui bahawa usaha untuk mengubah sikap manusia bukannya mudah dan tidak mungkin dapat dilakukan dalam tempoh singkat. Ia perlu dilakukan secara berterusan sepanjang tahun agar timbul kesedaran dalam kalangan pemandu kenderaan untuk berubah sikap dan mematuhi peraturan jalan raya. Jika sekatan jalan raya yang dibuat tidak memberikan kesan sepatutnya, sebaliknya hanya menambah kesesakan lalu lintas, pihak polis atau penguat kuasa boleh mengubah pendekatan seperti menempatkan anggota trafik di setiap plaza tol bagi mengingatkan pemandu mengenai soal keselamatan diri dan keluarga mereka ketika memandu pada musim perayaan. Kita memahami bahawa tindakan pihak berkuasa saja tidak mungkin dapat membendung kejadian tidak diingini di jalan raya tanpa kerjasama semua pihak.

RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
28 JANUARI 2011

Tiada ulasan: