JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



30 Januari 2011

ISU SOSIAL : NILAI SEBUAH TELEVISYEN


Bagaimana rasanya kehidupan jika tiada televisyen di rumah? Jika soalan ini ditanya pada 10 tahun lepas mungkin jawapannya berbeza. Tapi jika kita tanya pada orang muda sekarang, televisyen bukan lagi satu keperluan dalam kita memproses maklumat ataupun mencari hiburan. Sejak televisyen menjadi fenomena apabila ia dipasarkan secara besar-besaran pada hujung tahun 1920-an, peranannya memang tidak boleh dipertikaikan. Ia bukan sekadar informatif tetapi juga dalam banyak hal memainkan peranan membentuk pemikiran dan menyebarkan luaskan budaya baru. Malah adakalanya ia menimbulkan ketagihan yang agak melampau atau pun mungkin ramai juga yang pernah menangis ketika berada di hadapan televisyen.

Ada yang bersifat sentimental memandangkan ramai juga yang terpengaruh dengan rancangan-rancangan yang disiarkan yang mana ia turut membentuk sebahagian dari identiti diri. Dengan televisyen pemikiran orang muda di AS misalnya mula cenderung kepada penyebaran budaya-budaya yang sebelum ini dianggap tabu oleh masyarakatnya. Begitu juga dengan masyarakat di negara ini. Kebanyakan generasi yang ada sekarang boleh kita sifatkan sebagai “dibesarkan” dalam hidangan rancangan televisyen yang pelbagai sifat dan genrenya. Soal kualiti itu satu perkara lain, yang menjadi asasnya sejak televisyen wujud di negara ini, ia telah banyak berperanan dalam membantu, membentuk, mendidik mahupun merosakkan pemikiran rakyat dan masyarakat.

Selain itu juga, televisyen juga sudah melalui satu ledakan revolusi yang sarat sama ada dari segi rupa bentuk, saiz, kualiti serta warna. Dari hitam putih kepada bentuk digital, dari saiz yang berat kepada bentuk skrin besar berinci-inci tetapi ringan, semua ini merupakan antara perkara yang berubah mengikut peredaran zaman. Namun hakikatnya industri ini telah memberi keuntungan lumayan sejak berdekad lamanya. Ini kerana masyarakat sudah dibentuk bahawa televisyen adalah satu keperluan di rumah. Tanpanya seolah-olah mungkin boleh menimbulkan ketidakselesaan atau kemurungan. Tapi pada masa yang sama kita juga tidak boleh menidakkan jasa dan sumbangan televisyen dalam menjadikan siapa kita hari ini. Bukan semua yang disiarkan tidak elok. Ia terpulang kepada manusia itu sendiri untuk membuat penilaian apa yang boleh dan tidak ditonton.

Bagaimanapun akibat nafsu manusia yang senantiasa tidak pernah puas, televisyen juga dilihat semakin menghampiri “waktu puncaknya”. Akibat ledakan teknologi maklumat yang dilihat lebih bebas, terbuka dan tanpa sempadan, semua peranan yang sebelum ini banyak dimainkan oleh televisyen sudah semakin bertukar arah. Dengan kepesatan industri teknologi maklumat, semua peranan televisyen sudah beralih tangan, malah ia juga dilihat dimainkan lebih baik kerana sifatnya yang pelbagai pilihan, tanpa kawalan dan interaktif. Melihatkan keadaan semasa penjualan televisyen di peringkat global juga semakin meniti kejatuhan. Berdasarkan realiti, zaman emas yang pernah dilalui oleh syarikat-syarikat pengeluar televisyen sudah semakin ke penghujung.

Ia disandarkan kepada dua faktor utama iaitu persaingan sengit teknologi ICT dan juga ketandusan idea dalam teknologi terkini pembikinan televisyen. Malah bagi kebanyakan penduduk di Barat dan AS dan mungkin juga di negara ini, memiliki televisyen skrin rata adalah satu cerita lama. Walhal ia adalah antara teknologi terkini yang masih terdapat di pasaran. Oleh itu adalah bukan satu keperluan bagi pengguna untuk menukar kepada televisyen yang dilengkapi teknologi yang lebih baru. Melihat kepada penjualan televisyen di AS, sekitar tahun 2007 hingga 2009 penjualan televisyen skrin rata mencatat peningkatan rekod sehingga 20 peratus. Bagaimanapun ia merudum kepada hanya 2.9 peratus tahun lepas. Begitu juga penjualan televisyen di negara-negara Eropah yang merosot 8.6 peratus dengan penjualan sebanyak 16.4 juta sahaja. Penjualan televisyen di Eropah meningkat mendadak pada suku pertama dan kedua tahun lepas berikutan kejohanan Piala Dunia, namun ia merudum teruk kemudiannya.

Antara negara yang paling teruk merosot penjualannya adalah Sepanyol, Perancis, United Kingdom dan. Penjualan televisyen di Sepanyol saja merosot sehingga 40 peratus. Untuk meningkat penjualan, syarikat pengeluar telah menawarkan set televisyen yang lebih canggih dengan dilengkapi teknologi 3D dan penyambungan Internet. Namun ia gagal menarik minat berikutan harganya yang mahal. Hakikatnya, pengeluaran televisyen skrin rata merupakan antara kejayaan paling besar dalam teknologi televisyen tetapi akibatnya orang ramai masih belum dalam “mood” kepada yang lebih baru. Satu lagi masalah yang timbul adalah kerana penurunan harga yang terlalu mendadak. Jika tiga tahun lepas televisyen sebegini dijual pada harga yang mahal dan dilihat sebagai “eksklusif” namun ia semakin murah dari tahun ke tahun.

Keadaan yang sama juga berlaku di AS bilamana harga televisyen menurun agak mendadak sehingga 36.3 peratus dalam tempoh 2007 hingga 2010 bagi televisyen skrin rata dan 51.6 peratus bagi televisyen Plasma. Oleh itu melihatkan senario ini keadaan dilihat akan berubah. Penjualan televisyen dalam tempoh mendatang dilihat tidak lagi sama seperti sebelum ini, namun ada yang masih mengharap peranan televisyen masih lagi signifikan. Berdasarkan usia yang semakin menuju ke satu abad, adalah dilihat pasaran untuk jualan televisyen sudah sampai ke tahap matang dan stabil. Orang ramai juga tidak lagi seghairah dulu untuk memiliki set televisyen baru kerana persaingan sengit gajet-gajet terkini seperti iPad, iPhone dan sebagainya yang kelihatannya lebih menarik dan terkini. Belum lagi persaingan akibat dari kewujudan pelbagai laman web sosial yang lebih “menyelerakan” dan membenarkan perhubungan merentasi sempadan.

Mungkin dalam tempoh terdekat perkara ini belum begitu dirasai, namun apakah peranan televisyen ini masih lagi releven dalam tempoh 30 hingga 50 tahun akan datang. Apatah lagi dengan generasi yang membesar dengan televisyen juga sudah semakin mahir dalam Facebook dan twitter, maka jelaslah apabila sampai masanya kita tidak mampu menolak perubahan. Memandangkan semua peranan televisyen ini sudah diambil alih oleh gajet-gajet yang terkini, adalah tidak mustahil masa depannya akan menjadi seperti mesin taip yang kita lihat sekarang. Walaupun satu ketika ia dilihat sebagai satu fenomena namun dengan hadirnya teknologi yang lebih canggih, kini ia seolah-olah tiada lagi nilai dan harga, yang tinggal hanya memori yang semakin luput ingatannya.

Oleh HAFIZAHRIL HAMID

MINGGUAN MALAYSIA
30 JANUARI 2011

Tiada ulasan: