JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



09 Oktober 2010

YAKINLAH BAHAWA KEJAYAAN ITU AKAN MENJADI MILIKMU


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Selamat mengecapi hari-hari indah di hujung minggu. Cikgu Zul percaya banyak yang sibuk mengulangkaji pelajaran pada saat ini. Cikgu Zul juga tahu kebanyakan pelajar-pelajar sekalian sedar akan kepentingan pelajaran sebagai jaminan dan pelaburan untuk masa depan mereka. Namun begitu, masih ada segelintir pula yang seolah-olah hanyut di bawa arus kelalaian dan kealpaan. Mereka seolah-olah kehilangan rentak tari sewaktu menempuhi segala cubaan dan dugaan yang mereka depani. Setiap kali diadakan ujian dan peperiksaan di sekolah, markah yang diperoleh hanyalah sekadar cukup-cukup makan sahaja. Markah yang diperoleh hanya cukup untuk membeli sehelai baju. Nak beli seluar, tak cukup pula!

Anak-anak didik yang tersayang,

Jadikan kejayaan itu milik anda. Semua orang tidak berhak untuk menafikan hak anda memperoleh kejayaan. Alangkah indahnya hidup menjadi orang yang berjaya. Namun demikian, untuk memperoleh kejayaan bukannya semudah makan keropok lekor di Warung Tok Man. Kita kena berusaha dengan sedaya upaya. Jika masa dua jam tidak mencukupi untuk mengulangkaji pelajaran. Gandakan menjadi 4 jam sehari. Insya-allah, berkat doa ibu ayah, guru-guru, dan usaha berganda daripada diri anda sendiri, kejayaan itu pasti akan jatuh jua ke riba anda.

Pada saat-saat akhir ini, Cikgu Zul cadangkan supaya anda semua belajar secara berkumpulan. Teknik ini amat berkesan untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada. Anda juga akan lebih terpimpin dan terbimbing jika belajar secara berkumpulan bersama rakan-rakan yang tersayang. Jadikanlah kawan-kawan sekelas anda sebagai sahabat dan teman yang boleh membantu anda. Percayalah, jiwa anda akan lebih tenang dan keyakinan anda akan semakin bertambah berkat kerjasama yang terjalin antara anda dengan mereka.

Sekian untuk kali ini.

Selamat belajar.


Tiada ulasan: