JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



26 November 2010

ISU TENAGA : PERSEDIAAN HADAPI KRISIS TENAGA


"Negara mungkin akan berhadapan dengan krisis tenaga dalam tempoh kurang 10 tahun lagi." Kenyataan tersebut bukanlah suatu omongan kosong. Tetapi, ia merupakan hakikat yang mungkin bakal kita hadapi jika terus bergantung sepenuhnya kepada sumber bahan api fosil seperti arang batu, gas dan petroleum bagi menjana tenaga elektrik tanpa berusaha meneroka dan membangunkan alternatif lain sebagai penimbal kepada sumber tenaga berkenaan. Sehubungan itu, sudah tiba masanya kerajaan mempelbagaikan sumber tenaga dengan meneroka sumber-sumber tenaga lain yang lebih mesra alam bagi menggantikan sumber tenaga yang sedia ada. Kita seharusnya realistik bahawa penerokaan alternatif lain bagi menjana elektrik bukan lagi suatu pilihan, sebaliknya ia merupakan satu keperluan memandangkan sumber tenaga utama kita pada hari ini semakin menyusut. Bukan itu sahaja, bahkan bekalannya yang tidak menentu dan tertakluk kepada permintaan serta spekulasi pasaran akan menyebabkan tarif elektrik sentiasa berubah-ubah dan tidak stabil.

Selain itu, desakan untuk membangunkan sumber tenaga alternatif dengan kadar segera juga adalah rentetan daripada kesedaran bahawa sumber tenaga sedia ada telah banyak memberi dampak negatif terhadap alam sekitar. Antaranya, ia merupakan penyumbang terbesar kepada masalah pencemaran melalui pembebasan gas karbon dioksida dan monoksida yang seterusnya membawa kepada kecelaruan iklim dan pemanasan global pada hari ini. Lebih buruk lagi apabila situasi iklim yang tidak stabil memungkinkan berlakunya lebih banyak bencana alam di serata dunia yang akhirnya akan turut menggugat tahap keselamatan seluruh makhluk yang menghuninya. Jika negara masih terus bergantung kepada bahan api fosil semata-mata tanpa sebarang tindakan dilakukan daripada sekarang, kita pastinya sedang mengorak langkah untuk berhadapan dengan krisis tenaga bagi tempoh beberapa tahun akan datang. Ini memandangkan, pada hari ini didapati 100 peratus daripada bekalan arang batu untuk kegunaan Semenanjung Malaysia adalah diimport dari beberapa negara seperti Indonesia, Australia dan negara lain. 

Manakala, sebanyak 25 peratus bekalan gas pula adalah diperolehi dari Thailand dan Indonesia. Kebergantungan kepada negara lain untuk memperolehi sumber-sumber berkenaan sudah jelas memberi gambaran bahawa kita sedang menuju ambang kepupusan sumber fosil bagi penjanaan elektrik. Sampai bilakah kita ingin bergantung kepada negara-negara terbabit bagi mendapatkan sumber-sumber tersebut? Ini memandangkan, lama-kelamaan sumber berkenaan di negara terbabit juga akan kehabisan. Adakah kita hanya mahu menunggu dan melihat sahaja tanpa mengambil sebarang inisiatif dengan mempergiatkan lagi usaha ke arah meneroka sumber tenaga alternatif lain bagi menggantikan sumber berkenaan? Oleh yang demikian, persediaan bagi menghadapi krisis tenaga perlu dilaksanakan secara bersepadu agar satu keputusan dapat dicapai bagi mempelbagaikan sumber tenaga. Dari segi jenis tenaga apa yang praktikal untuk dibangunkan di Malaysia, ia memerlukan kajian yang lebih mendalam serta menyeluruh dan perlu diperhalusi sehingga ke akar umbi agar tenaga yang dibangunkan kelak tidak mengundang sebarang implikasi negatif di kemudian hari baik terhadap risiko keselamatan rakyat mahupun terhadap alam sekitar seluruhnya. 

Atau dengan lain perkataan, pertimbangan sewajarnya perlu diambil kira agar tenaga yang bakal dibangunkan dapat memberi impak paling minimum ke atas alam sekitar, risiko keselamatan yang rendah kepada rakyat dan kos yang harus ditanggung oleh setiap isi rumah juga adalah minimum. Misalnya, kerajaan sebelum ini ada mengumumkan akan membangunkan loji jana kuasa nuklear pertama negara pada tahun 2021. Pembangunan teknologi nuklear tersebut dijangka dapat menampung keperluan tenaga yang mencukupi bagi menjana pertumbuhan ekonomi dan negara pada masa akan datang. Namun demikian, pengendalian rektor nuklear yang begitu kompleks agak menggusarkan kita terutamanya dari segi risiko keselamatan rakyat. Ini memandangkan, banyak tragedi yang melibatkan kemalangan di loji nuklear telah berlaku sebelum ini.

Tragedi terakhir ialah letupan rektor nuklear yang berlaku pada tahun 1986 di Chernobyl, Soviet Union. Tragedi tersebut telah menyebabkan kehidupan 9 juta penduduk terjejas teruk. Justeru, kita seharusnya mengambil iktibar daripada tragedi-tragedi yang pernah berlaku sebelum ini agar satu keputusan yang tepat diambil bagi mengelakkan kemungkinan tragedi seumpama itu berulang. Memang tidak dinafikan bahawa keselamatan rektor nuklear boleh dipertingkatkan lagi tahap kecekapannya sehingga boleh mencapai 100 peratus. Bahkan, penyelidikan dari masa ke semasa telah dilakukan bagi mengurangkan risiko kemalangan di loji nuklear. Namun, kita harus akui bahawa kecekapan pengendalian peralatan oleh manusia tidak akan mampu mencapai 100 peratus. Oleh yang demikian, risiko berlakunya letupan atau kemalangan tetap ada walaupun kecil.

Justeru, dalam melaksanakannya ia perlu mengambil kira pertimbangan daripada semua aspek agar keputusan yang dibuat kelak tidak mengundang musibah kepada kita di kemudian hari. Sedangkan, langkah mempelbagaikan sumber tenaga tidak hanya terhad kepada opsyen nuklear sahaja. Sebaliknya masih banyak lagi kaedah-kaedah lain yang boleh dimajukan untuk menjana tenaga elektrik terutamanya tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) seperti tenaga solar, angin, kuasa hidro elektrik, bio-fuel, geo-terma, ombak dan sebagainya. Dalam situasi di Malaysia, tenaga solar juga dilihat mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan bagi menjamin keselamatan tenaga. Selain daripada selamat, sumber tenaga berkenaan juga bersih, banyak, berkekalan dan tidak dipengaruhi oleh politik antarabangsa. Oleh yang demikian, hasrat kerajaan untuk melaksanakan penggunaan sistem tenaga solar sebagai sumber tenaga alternatif untuk tempoh tujuh atau lapan tahun daripada sekarang merupakan usaha yang wajar diperhalusi dan difikirkan secara serius.

Walaupun pada masa ini kos membeli tenaga solar masih lagi tinggi, namun usaha ke arah itu masih boleh dipertimbangkan. Kajian dan penyelidikan secara terperinci terutamanya dari segi usaha mengurangkan kos pelaksanaannya perlu difikirkan. Ini bagi memastikan matlamat kerajaan untuk merealisasikan pembangunan tenaga berkenaan mampu dilaksanakan untuk tempoh tersebut tanpa mengabaikan kepentingan rakyat terutamanya dari segi kos yang harus dipikul oleh mereka. Ini penting kerana dalam membangunkan sumber tenaga alternatif, semua aspek perlu diteliti agar kemajuan yang dikecapi kelak turut mengambil kira kepentingan semua pihak, baik kepentingan rakyat, ekonomi mahupun alam sekitar. Pilihan sama ada baik ataupun sebaliknya adalah terletak di tangan kita. Justeru, 'tepuk dada, tanya selera'.

Utusan Malaysia
26 Disember 2010

Tiada ulasan: