Baru-baru ini Indonesia sekali lagi gempar dengan kejadian rakyatnya yang bekerja di Arab Saudi didera, bahkan terdapat satu lagi kes seorang pembantu rumah dibunuh dan mayatnya dibuang di kawasan pembuangan sampah di negara tersebut. Justeru, berbondong-bondong penduduk negara itu keluar rumah untuk mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Besar Arab Saudi di Jakarta. Selain itu, pelbagai pihak membuat kenyataan mengecam perbuatan tersebut. Wanita malang itu, Kikim Komalasari, 36, dipercayai telah didera dan dirogol beberapa kali oleh majikannya sebelum dibunuh. Satu lagi kes wanita malang, Sumiati Salan Mustapa, 23, dipukul sehingga hampir lumpuh, bibirnya digunting dan kini sedang dirawat di sebuah hospital di Arab Saudi.
Berita menyayat hati itu mendapat perhatian Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang menyarankan pembantu rumah negara tersebut dibekalkan dengan telefon bimbit supaya mereka mudah menghubungi pihak berkuasa, khususnya kedutaan jika mengalami masalah atau didera. Saranan itu walaupun wajar, tetapi masih banyak yang boleh diperdebatkan. Di Indonesia, pembantu rumah yang keluar negara untuk bekerja dianggap sebagai pahlawan. Ini kerana mereka keluar meninggalkan keluarga semata-mata untuk memperbaiki taraf hidup di kampung mereka yang sangat rendah dan daif. Rata-rata di kampung-kampung di Indonesia, rumah masih lagi beratapkan rumbia dan berlantaikan tanah. Pendapatan pula sekitar RM2 sehari yang diperoleh daripada aktiviti pertanian. Demi memperbaiki taraf hidup keluarga, mereka mesti keluar sama ada ke Jakarta atau luar negara untuk bekerja dan kemudian mengirim wang ke kampung.
Di Jakarta sendiri yang kini dipenuhi kira-kira 12 juta penduduk tidak lagi mampu menyediakan pekerjaan kepada mereka yang berhijrah dari luar bandar, apatah lagi tanpa pendidikan formal yang mencukupi, memang sukar untuk memulakan kehidupan baru di kota metropolitan itu. Dengan itu, berbekalkan sedikit wang dan semangat, wanita berkenaan bertebaran ke serata dunia untuk mencari peluang pekerjaan sebagai pembantu rumah. Apabila berlaku kes-kes penderaan sedemikian, apa yang seharusnya keluar dari mulut Susilo adalah menghentikan sama sekali penghantaran pembantu rumah ke luar negara. Dengan itu juga, kerajaan Indonesia perlu berusaha lebih gigih untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada kira-kira 230 juta penduduk Indonesia supaya mereka tidak perlu lagi meninggalkan kampung halaman untuk bekerja di luar negara.
Pastinya tidak ada pihak berani mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana ia bukan sahaja akan menimbulkan masalah pengangguran di dalam negara, tetapi juga akan menghentikan tukaran wang asing yang dibawa pulang ke Indonesia oleh para pembantu rumah tersebut. Begitu juga bayaran yang dibuat oleh agen-agen pekerja asing kepada kerajaan tentu akan terjejas. Sebenarnya, tidak ada undang-undang yang dapat melindungi pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Arab Saudi, mahupun di Malaysia, Singapura atau negara mana sekalipun. Ini kerana apabila pembantu rumah itu menjejakkan kakinya ke rumah majikan, dia tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh majikannya. Tidak ada konvensyen antarabangsa yang dapat melindungi mereka. Tindakan hanya akan diambil setelah berlaku penganiayaan dan sebagainya terhadap mereka.
Dengan gaji yang kecil dan jadual kerja seawal terbit matahari sehingga terbenam matahari yang belum selesai, pekerjaan sebagai pembantu rumah tidak ada bezanya dengan sistem perhambaan, namun mengikut versi yang telah dipermodenkan.Kalau hitam kata majikan, maka hitamlah ia. Jika pembantu rumah berani melawan mengatakan putih, maka sakitlah jiwa dan raga mereka untuk menanggungnya. Mungkin mereka yang bernasib baik dapat bekerja dengan majikan yang baik dan diberikan layanan seperti ahli keluarga sendiri. Tetapi itu tidak bermakna para pembantu rumah tersebut bebas daripada sistem perhambaan moden. Sebenarnya, golongan majikan memang sangat memerlukan pembantu rumah kerana cara hidup zaman sekarang memerlukan suami dan isteri bekerja, selain lebih banyak pasangan suami isteri menghabiskan masa di luar rumah.
Jika pembantu rumah pulang ke kampung berhari raya, para majikan akan merungut keletihan dan tidak dapat memberi tumpuan kepada kerja, bahkan ada yang duduk di hotel semata-mata tidak sanggup melakukan kerja-kerja di rumah. Bagi penulis, ia cukup menyedihkan apabila melihat situasi di Indonesia sendiri. Setelah Soekarno dan pejuang lain berjuang sehingga ke titisan darah terakhir untuk memerdekakan Indonesia daripada belenggu penjajah, tetapi selepas 64 tahun merdeka, sistem pendidikan Indonesia masih belum mampu melahirkan rakyat berpendidikan yang sewajarnya bagi membebaskan diri daripada terikat dengan sistem perhambaan. Lebih teruk, mereka juga dibelenggu dengan penjajahan minda, jiwa serta raga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan