JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



22 Oktober 2010

KEBAIKAN DAN KEBURUKAN KAD KREDIT

Tanpa disedari, kad kredit atau 'kad plastik' kian menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian. Kita bukan sahaja dapat membeli barangan keperluan harian atau barangan impian dengan sekelip mata, malah juga berpeluang membayarnya pada akhir bulan dan boleh membayar dengan amaun yang minimum iaitu lima peratus daripada jumlah keseluruhan hutang. Walau apa pun yang dikatakan tentang itu atau sekadar untuk menyedapkan hati, soal pinjaman, pembelian atau wang yang digunakan dengan kad kredit tetap dipanggil hutang. Oleh itu, apabila seseorang mencatatkan bajet bulanan atau merancang kewangan bulanan dan tahunan, amaun yang diambil daripada kad kredit akan dimasukkan ke dalam bahagian hutang.

Dalam keadaan ekonomi lembap yang bukan sahaja dihadapi di negara ini bahkan di seluruh dunia, anda hendaklah bijak menahan nafsu ketika membeli-belah. Apatah lagi apabila ingin membayarnya dengan menggunakan kad kredit. Paling penting, anda seharusnya memahami kebaikan dan keburukan kad kredit yang dibawa bersama di dalam dompet walau ke mana anda berada. Tujuannya, agar anda dapat memahami segala informasi dan tahu mengguna dan mengurusnya dengan baik.

Kebaikan dan keburukan kad kredit

Terdapat beberapa kebaikan atau faedah apabila seseorang mempunyai kad kredit. Faedah paling ketara ialah apabila kita menghadapi kecemasan. Contohnya, anda atau ahli keluarga sakit tenat pada waktu tengah malam, dan perlu dimasukkan ke hospital. Pada saat itu juga, anda tidak menyimpan wang dengan jumlah yang banyak di rumah. Tetapi apabila anda mempunyai kad kredit, masalah kemasukan ke wad dapat diselesaikan dengan sempurna. Bukan itu sahaja, disebabkan persaingan yang mendadak di antara bank-bank dan institusi kewangan, anda sebagai pengguna sememangnya beruntung kerana setiap kali ingin membuat pembelian atau pembayaran melalui kad kredit, anda juga dapat insentif atau perangsang. Di antaranya ialah ganjaran-ganjaran yang hebat daripada barangan elektrik sehinggalah baucer untuk percutian di dalam atau luar negara dan sebagainya. Satu lagi faedah yang dapat membantu anda pada waktu mencabar ini adalah dengan menggunakan kad kredit yang ditawarkan pada kadar faedah yang rendah dan kadar faedah sifar (0% interest). Hanya satu perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan, iaitu apabila kadar faedah rendah atau kadar faedah sifar telah ditawarkan, bayaran balik terhad kepada enam bulan, 12 bulan atau 18 bulan dengan jumlah bayaran ansuran telah ditetapkan.

Dalam kebaikan ada keburukannya. Apabila api itu kecil, ia akan menjadi kawan, apabila api menjadi besar, ia akan menjadi lawan. Begitu juga dengan penggunaan kad kredit. Apa yang penting ialah sebagai pengguna, baik pengguna yang baru ataupun yang lama, anda hendaklah mengetahui cara penggunaannya. Cara itu akan mendatangkan kebaikan kepada anda dan bukan menjahanamkan diri anda dan keluarga. Oleh itu, sebelum dilanda masalah besar, anda sebaik-baiknya mempelajari beberapa perkara mudah yang dapat membantu anda mengurus kad kredit. Kalau diberikan pilihan di antara kad kredit dan kad debit, pilihlah kad debit. Ini kerana, setiap kali anda membuat pembelian atau pembayaran, jumlah keseluruhan yang perlu dibayar pada hujung bulan akan ditolak daripada akaun simpanan atau semasa. Oleh itu, anda akan selalu berfikir sebelum membuat pembelian kerana anda tidak ingin semua wang yang disimpan itu habis ditolak pada hujung bulan.

Satu lagi cara terbaik untuk menyelesaikan masalah menyalahgunakan kad kredit adalah jangan sesekali menggunakannya. Walaupun bukan satu perkara yang realistik untuk kebanyakan orang tetapi jika anda tidak mempunyai kad kredit, anda dapat mendisiplinkan diri dan komitmen terhadap diri serta keluarga. Nasihat saya kepada pengguna kad kredit yang baru terutama mereka yang baru memulakan alam pekerjaan ialah sebelum menggunakan kad kredit, baca dan fahamilah kontrak yang dihantar dengan kad kredit. Sekiranya masih was-was, jangan malu dan segan, pergilah berjumpa dengan wakil bank atau institusi kewangan dan dapatkan penjelasan dengan terperinci. Jangan lupa, sebaik-baiknya apabila anda mula menggunakan kad kredit, perkara terbaik yang harus dilakukan adalah dengan membayar jumlah keseluruhan secara penuh pada setiap hujung bulan.

Katakan, anda tidak dapat membayarnya secara penuh, anda harus sedar bahawa bakinya akan dikenakan faedah sebanyak 18 peratus setahun atau 1.5 peratus sebulan. Kebanyakan bank dan institusi kewangan membenarkan anda membayar jumlah sebanyak lima peratus kadar minimum daripada jumlah keseluruhan. Apabila membuat pembayaran, cubalah sedaya upaya membayarnya lebih daripada lima peratus kerana ini akan mengurangkan lagi faedah yang akan dikenakan ke atas baki bulan hadapan. Dalam mendapatkan kesenangan dan kenikmatan hidup untuk hari ini dan esok, janganlah menyalahgunakan segala peluang yang boleh didapati di bank-bank tempatan dan institusi kewangan. Marilah kita menjadi seorang insan yang bijak dalam menguruskan wang.

Tiada ulasan: