04 April 2012

ISU IPT : BOLEH BERJAYA JIKA BUANG SIKAP MALAS

Oleh Ruhaiza Rusmin


Ketika terpilih menjadi warga institusi pengajian tinggi (IPT), pastinya tersemat azam dan semangat menggunung untuk mengapai kecemerlangan. Malangnya, belum pun berakhir sesi pengajian, ada yang ‘tersungkur’ atau hanya mampu mendapat keputusan cukup makan. Membimbangkan lagi, mereka bersikap acuh tidak acuh seperti tidak kisah dengan keputusan nyawa-nyawa ikan itu dan menganggapnya budaya normal. Malah, ada berfikiran dangkal mendakwa nilai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) bukan jaminan mendapat pekerjaan dan hanya menjadi pra syarat industri menilai kelayakan gaji. Persoalannya, sejauh manakah budaya dan fikiran dangkal ini membelenggu fikiran mahasiswa? Benarkah CGPA bukan lagi sandaran utama pemilihan majikan dalam menawarkan pekerjaan?

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Azni Zain Ahmed, berkata mahasiswa yang menganggap budaya cukup makan sebagai normal hanya menggadaikan masa depan dengan sia-sia. Beliau berkata, budaya itu perlu dikikis kerana hanya menjadikan golongan terbabit mudah berpuas hati dan tidak sanggup berusaha. “Ini memberi persepsi salah tiada bezanya nilai pencapaian antara seorang mahasiswa dengan yang lain. Sepatutnya zaman ini semuanya berorentasikan persaingan dan kesusahan. Jika terleka dan terlalai, orang lain dengan mudah memperoleh atau mengambil kesempatan. Jelas budaya ini tidak berfaedah dan harus dicantas segera dari minda mahasiswa,” katanya.

Lebih aib apabila mahasiswa Melayu dikatakan paling ramai terjebak dengan budaya ini hingga mencalarkan nama baik sesetengah pihak. Enggan menuding jari, beliau mengakui budaya itu sering dikaitkan dengan mahasiswa Melayu kerana tanggapan mereka istimewa berbanding bangsa lain. Rentetan itulah, mereka mudah bersikap lewa, gemar berfoya-foya serta tidak fokus pada pelajaran. “Diulit rasa istimewa itu, mereka lupa tujuan asal masuk universiti sementara momokan keistimewaan itu jugalah menjadikan mereka besar diri dan menganggap ada kelebihan dalam industri. Hakikatnya itu hanya angan-angan dan merugikan. Keistimewaan dalam sesuatu aspek bukan jaminan memperoleh layanan istimewa daripada orang lain.  Perubahan yang serba pantas menjadikan mereka yang beringat saja akan berjaya. Bagi yang alpa, tidak berdisiplin, tidak pandai merancang pasti akan berputih mata kelak. Apatah lagi ramai graduan dan bukan graduan juga bergelut mencari masa depan menjadikan hanya yang terbaik sebagai pilihan,” katanya.

Saban tahun ribuan graduan menamatkan pengajian namun graduan Melayu yang cemerlang boleh dibilang jari. Meskipun mewakili kelompok terbesar, mereka hanya mampu lulus cukup makan sekali gus menyumbang peningkatan kadar pengangguran semasa.  Situasi itu, katanya, mewujudkan persaingan tidak sihat kerana kemampuan akademik tidak boleh dinilai lebih tinggi.  “Hakikat pahit inilah juga terpaksa ‘ditelan’ dan diterima kebanyakan IPT setiap kali majlis konvokesyen. Bukan kemahuan institusi mengeluarkan sebahagian besar graduan cukup makan. Bukan juga tiada usaha dilakukan sebaliknya mahasiswa tidak pandai menggunakan kesempatan itu dengan belajar bersungguh-sungguh. Mereka meletakkan misi belajar di tempat kedua manakala kebebasan tempat pertama. Kesudahannya keputusan merudum,” katanya. Di kampus, kebergantungan terletak pada rakan dan diri sendiri. Sebab itu perlunya mempunyai prinsip hidup kuat bagi menangkis godaan. Malangnya pengaruh rakan menjadi parasit dan sukar dihapuskan. Akibat tidak beringat, keputusan hanya cukup makan dan melayakkan mereka tamat pengajian semata-mata,” katanya.

Beliau bagaimanapun kurang bersetuju dengan tanggapan mahasiswa Melayu tergolong pada tahap sederhana dan memasuki IPT kerana keistimewaan status. Menurutnya, pemilihan kemasukan adalah berdasarkan sistem meritokrasi dan bukan lagi kuota. “Mereka pandai, menepati syarat kelayakan dan diperakui mampu mengikuti kursus ditawarkan, justeru tiada sebab boleh memperoleh keputusan cukup makan. Masalahnya, mereka ada sifat malas. Bukan semua tapi jika malas, pelajar paling bijak pun akan gagal. Sikap inilah yang menjadi kayu pengukur pencapaian mahasiswa Melayu selain mentaliti ‘biar lulus cukup makan asalkan pinjaman tidak digantung,” katanya.

Beliau mengakui, mahasiswa Melayu sedikit “manja” dan semuanya perlu disuap dan dihidangkan di depan mata. “Rasionalnya, bukan orang lain yang membuatkan mereka kecundang tapi diri sendiri,” katanya, Beliau turut memberi contoh bagaimana mahasiswa Melayu di luar negara boleh cemerlang kerana mereka mempunyai pegangan jati diri yang kuat. “Bukan mahu mempersenda atau mengatakan di institusi tempatan tidak bagus, cuma inilah senarionya. Mereka berada dalam zon selesa. Kita ada mahasiswa cemerlang dan berwibawa cuma jumlahnya terlalu sedikit dan tidak nampak. Yang menjadi topik bualan ialah mereka yang ketara keterlaluan. Jangan perjudikan nama baik mahasiswa lain yang tidak bersalah. Berubahlah demi masa depan diri sendiri,” katanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Harian Metro
2 APRIL 2012

02 April 2012

ISU UMUM : SIAPA DALANG DI SELATAN THAI?

Oleh ZULKIFLEE BAKAR


Mungkin sudah ditakdirkan, selatan Thailand tidak akan sunyi daripada keganasan, keamanan seolah-olah masih jauh untuk menghampiri biar pun pelbagai usaha telah dilakukan bagi memastikan wilayah penduduk Islam itu kembali tenteram. Ternyata tahun 2012 masih meletakkan selatan Thailand dalam konflik tidak berkesudahan. Serangan bom dan serang hendap masih menyelubungi wilayah di selatan Thailand iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat. Apa yang berlaku, kelmarin dianggap terburuk apabila serangan bom berlaku di Yala dan Hatyai. Kejadian itu meningkatkan jumlah nyawa yang terkorban, mangsa yang cedera dan kemusnahan harta benda. Menurut angka terbaru Deep South Watch, badan yang memantau konflik di selatan Thailand, hampir 5,000 orang termasuk penduduk Islam dan penganut agama Buddha terbunuh dan 8,300 lagi cedera sejak kekacauan bermula pada 2004.

Persoalan yang bermain di fikiran kita kenapakah begitu sukar selatan Thailand hendak didamaikan? Siapakah yang sebenar bertanggungjawab? Sumber-sumber perisikan ketika dihubungi tidak menafikan bahawa serangan berkenaan mungkin ada kaitan dengan puak militan yang sememangnya berterusan ingin berkonfrantasi dengan pihak berkuasa Thailand. Menurut sumber itu, ketika ini Barisan Revolusi Nasional Koordinat (BRN-C) turut dikaitkan dengan keganasan yang berlaku di wilayah berkenaan. ''Mereka ini diketuai oleh ulama-ulama ekstrem yang bercita-cita untuk menuntut kemerdekaan atas nama Pattani Darussalam. Ia juga turut meliputi dua wilayah lain iaitu Yala dan Narathiwat,'' kata sumber itu ketika dihubungi. Sasaran kelompok ini kata sumber itu ialah golongan muda yang mudah dipengaruhi memandangkan golongan tua tidak mahu terlibat dalam konflik dengan kerajaan Thailand.

''BRN-C adalah kumpulan pertama yang disyaki terlibat dalam keganasan di selatan Thailand, bagaimanapun ada juga yang menyatakan apa yang berlaku adalah perbuatan agensi kerajaan Thailand sendiri,'' kata sumber itu. Mengulas lanjut sumber itu, berkata, tindakan agensi itu bagi memastikan bajet kewangan yang diperuntukan oleh kerajaan akan berterusan apabila pergolakan terus berlanjutan di wilayah itu. ''Difahamkan bajet berkenaan akan berakhir tempoh pada Oktober ini, oleh itu mereka didakwa tidak mahu bajet berkenaan diberhentikan kerana ia akan menyukarkan mereka membeli peralatan ketenteraan,'' kata sumber itu. Selain itu turut dikaitkan dalam usaha mencetuskan keganasan di selatan Thailand ialah kelompok yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah. Menurut sumber tersebut, kelompok yang terlibat dengan kegiatan itu tidak mahu wilayah berkenaan aman kerana ini akan menyukarkan aktiviti mereka. ''Golongan itu mahukan pihak berkuasa terus sibuk dengan usaha mengekang keganasan yang dicetuskan oleh pelampau dan melalui cara ini pihak berkuasa tidak ada masa memantau atau membanteras kegiatan pengedaran dadah,'' kata sumber tersebut.
Namun begitu semua itu setakat ini masih lagi menjadi teori dan jangkaan semata-mata, ia memandangkan belum ada mana-mana pihak yang mengaku bertanggungjawab. Tetapi apa yang pasti usaha perlu dilakukan untuk memastikan selatan Thailand tidak terus bermandi darah sehingga mengorbankan nyawa insan tidak berdosa. Dalam soal ini, tidak perlulah kita melayan pemimpin-pemimpin puak pemisah yang berada di luar negara yang akan mendakwa mereka bertanggungjawab dalam serangan. Hakikatnya, mereka ini menurut sumber-sumber perisikan tidak ada apa-apa kuasa pun tetapi sengaja membuat pengakuan demi kepentingan peribadi. ''Mereka tidak ada apa-apa pengaruh malahan masyarakat di selatan Thailand pun tidak mengenali siapa kelompok ini yang mengaku menjadi pemimpin pejuang kepada masyarakat Islam di wilayah itu,'' kata sumber tersebut.

Oleh itu adalah baik jika kerajaan Thailand menumpukan perhatian bagaimana hendak menamatkan konflik yang berlaku dengan memikirkan kembali kerjasama dengan Malaysia. Cadangan ini bukanlah bertujuan meminta Malaysia campur tangan dalam urusan dalaman Thailand tetapi sebagai negara jiran, Malaysia tidak terlepas daripada terkena tempias akibat kekacauan yang berlaku di negara Gajah Putih itu. Sebelum ini, Malaysia sudah pun menunjukkan kesungguhan membantu Thailand dalam mewujudkan perdamaian di selatan negara itu dengan menubuhkan Task Force 2010 yang dipimpin oleh bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Wan Abu Bakar Omar.

Task Force itu dikatakan berjaya memainkan peranannya dalam membantu masyarakat Islam mencintai perdamaian dan menolak sebarang bentuk keganasan. Ia dilakukan melalui pelbagai program dan pendekatan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat selatan Thailand serta berupaya memberi keyakinan kepada penduduk Islam untuk menyokong kerajaan mereka. Oleh itu adalah perlu demi kepentingan bersama kerajaan kedua-dua negara menimbangkan semula kewujudan Task Force tersebut bagi memastikan usaha membawa keamanan dan kedamaian di selatan Thailand akan tercapai. Ia memandangkan kerajaan Thailand tidak mampu berharap kepada golongan ulama di wilayah selatan untuk membantu kerana kelompok berkenaan berada di dalam dilema.

''Kelompok ini sememangnya diberi peluang mengembangkan syiar Islam secara bebas oleh kerajaan Thailand tetapi mereka tidak berani untuk menyokong kerajaan secara terbuka. Ia memandangkan dalam masa yang sama, mereka mendapat tekanan daripada puak militan yang sudah mengisytiharkan mana-mana ulama yang membantu kerajaan Thailand darah mereka halal untuk dibunuh,'' kata satu sumber perisikan kepada penulis. Justeru adalah perlu, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra meneruskan komitmennya untuk meminta Malaysia membantu mencari jalan penyelesaian berpanjangan terhadap pergolakan di selatan negara jiran itu. Permintaan Thailand itu sudah disampaikan oleh Yingluck kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mereka bertemu di Kuala Lumpur pada 20 Februari lalu. Apatah lagi Najib sendiri sudah memberi nasihat bahawa penduduk di selatan Thailand tidak harus mewujudkan negara berasingan. Mereka harus menolak keganasan dan setia kepada Raja Thailand.

''Di bawah prinsip ini kita mesti berusaha untuk mencari penyelesaian termasuk meningkatkan penyertaan ekonomi penduduk tempatan serta membolehkan mereka mempunyai suara lebih besar dalam perkara yang dekat di hati seperti pendidikan, agama dan hal ehwal budaya," kata Najib. Berdasarkan hasrat murni Malaysia itu, maka tidak keterlaluan jika kerajaan kedua-dua negara menimbang kembali kewujudan organisasi seperti Task Force 2010. Apa pun konflik di selatan Thailand harus ditamatkan kerana ia memberi kesan yang amat buruk kepada kehidupan masyarakat Islam di wilayah berkenaan. Semua itu hanya boleh dicapai jika ada keikhlasan di kalangan semua pihak terlibat untuk duduk semeja bagi menamatkan konflik. Serangan bom sehingga membunuh nyawa tidak berdosa tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya, hanya mencetuskan dendam berpanjangan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
2 APRIL 2012

ISU SOSIAL : BEBAN KEBANJIRAN WARGA AFRIKA DI MALAYSIA

Oleh Manja Ismail
manja@nstp.com.my


Tidak cukup dengan masalah pendatang dari Indonesia, Bangladesh dan China, kita kini dibebani dengan kebanjiran warga Afrika yang sejak akhir-akhir ini dilaporkan semakin berani melakukan jenayah. Kejadian kira-kira 200 lelaki Afrika merusuh apabila seorang rakan mereka mati dibelasah kerana mencabul wanita tempatan di Hulu Langat kelmarin, mengesahkan kebimbangan umum bahawa kehadiran semakin ramai golongan itu, seperti juga pendatang dari negara lain, bukan saja boleh mengganggu kehidupan rakyat tempatan tetapi mengundang tindak balas mereka. Dari sudut lain pula, kehadiran terlalu ramai warga asing tidak bermutu dan melakukan aktiviti negatif turut memberi gambaran ada sesuatu yang tidak kena dengan dasar imigresen atau penguatkuasaan membabitkan peraturan kemasukan rakyat asing Semakin banyak kawasan perumahan terutama pangsapuri sederhana di kawasan yang dulunya tidak didiami warga asing, menjadi tempat tinggal mereka.

Begitu juga dengan pusat hiburan dan pub tertentu yang bagaikan khusus untuk mereka pada malam hujung minggu. Tidak keterlaluan jika dikatakan, karenah mereka apabila bilangan bertambah ramai di negara ini sekarang, tidak banyak berbeza dengan rakyat keturunan Afrika Amerika di New York, Detroit atau Washington DC, seperti dilihat dalam filem Hollywood. Kita tidak pasti sama ada warga Afrika yang ditemui hampir di setiap ceruk di Lembah Klang sekarang masuk ke negara ini untuk belajar, melancong, bekerja atau melakukan jenayah seperti menipu dan mengedar dadah.  Walaupun tidak dinafikan sebahagian mereka memang menuntut di kolej dan universiti swasta, ramai juga yang dilaporkan hanya menjadikan kemasukan ke kolej sebagai alasan untuk tinggal di negara ini. Malah ada yang menjelaskan yuran pengajian untuk setahun tetapi tidak mengikuti pengajian, sebaliknya melakukan aktiviti lain berunsurkan jenayah.

Baru-baru ini Parlimen diberitahu, pelajar asing warga Afrika mencatatkan kes paling tinggi bagi kesalahan penyalahgunaan pas pelajar sejak 2009 hingga tahun lalu. Statistik Jabatan Imigresen menunjukkan 54 pemegang pas pelajar ditangkap dan daripada jumlah itu, 24 adalah warga Afrika. Itu yang dapat dikesan dan hanya membabitkan pemegang pas pelajar.  Laporan akhbar ini minggu lalu mengenai sindiket antarabangsa warga Afrika menjadikan wanita tempatan sebagai keldai internet untuk menipu, bukan sesuatu yang mengejutkan. Jika wanita boleh diumpan dengan kata-kata manis mereka untuk menjadi keldai dadah, tentulah lebih mudah menggunakan mereka untuk tujuan lain.  Kisah di YouTube mengenai seorang wanita Australia menjadi mangsa penipuan warga Afrika, sehingga polis negara itu datang ke sini untuk memerangkap suspek tidak lama dulu, sekali lagi meletakkan Malaysia di tempat yang salah di mata dunia.

Walaupun indeks jenayah negara ini dilaporkan semakin menurun dan Malaysia diuar-uarkan sebagai antara tempat paling selamat untuk dilawati, apa yang kita baca, dengar dan lihat setiap hari terutama membabitkan warga asing, cukup membimbangkan.  Hampir setiap hari kita mendengar kegiatan jenayah yang dilakukan oleh kumpulan ini, daripada pergaduhan sehingga penyalahgunaan dadah. Kalau dulu hanya pendatang dari Indonesia dan Bangladesh yang menghuni kawasan setinggan atau flat kos rendah di Subang Jaya, Damansara Utama atau Ampang, warga Afrika dilihat lebih mewah dengan menyewa pangsapuri atau rumah teres dua tingkat.  Jika pendatang Indonesia banyak menggunakan motosikal dan rakyat Bangladesh berbasikal, kebanyakan warga Afrika berkereta. Yang menimbulkan tanda tanya, di manakah mereka mendapat wang untuk gaya hidup yang agak mewah berbanding pendatang dari negara lain?

Memang dari satu sudut, negara yang menjadi tumpuan rakyat asing biasanya menawarkan kemakmuran, destinasi pelancongan atau pusat pendidikan seperti Amerika Syarikat, United Kingdom atau Australia.  Dari sudut lain pula, kehadiran terlalu ramai warga asing tidak bermutu dan melakukan aktiviti negatif turut memberi gambaran ada sesuatu yang tidak kena dengan dasar imigresen atau penguatkuasaan membabitkan peraturan kemasukan rakyat asing. Kita tidak tahu di mana silapnya Malaysia dalam hal ini. Bagaimanapun, anggapan banyak pihak termasuk agensi penguatkuasaan bahawa Pekeliling Imigresen 2006 yang tidak membenarkan pegawai imigresen di pintu masuk negara bertanyakan kepada pelancong asing berapakah jumlah wang mereka bawa, turut menyumbang kepada masalah ini, mungkin ada kebenarannya.

Pelawat ke kebanyakan negara maju bukan setakat ditanya berapa duit yang dibawa, diminta menunjukkan tiket balik dan memberikan alamat tempat tinggal di sana, malah diminta memberikan nama penaja atau kenalan. Sekurang-kurangnya cara mereka menjawab soalan itu boleh memberi bayangan kepada pegawai terbabit sama ada berbohong atau sebaliknya, sekali gus memudahkan mereka membuat saringan. Bagaimanapun, pekeliling itu mungkin faktor kecil tetapi banyak lagi faktor lain seperti penguatkuasaan dan pemeriksaan berkala oleh pihak berkuasa ke atas warga asing terutama yang masuk menggunakan pas pelajar.  Berbanding rakyat Indonesia, Bangladesh, China, Vietnam dan Filipina yang mudah menyamar sebagai penduduk tempatan, warga Afrika senang dikenali, sekali gus memudahkan pihak berkuasa.

Lebih penting lagi, tanggungjawab mengawal kemasukan warga asing ini tidak harus diletakkan di bahu Jabatan Imigresen semata-mata. Agensi lain yang terbabit di bidang pendidikan tinggi, pelancongan dan pekerjaan perlu sama-sama menangani masalah ini.  Janganlah kerana keghairahan kita menjadikan negara pusat pendidikan tinggi; meningkatkan kedatangan pelancong atau mengisi kekosongan di sektor pekerjaan, keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat tempatan menjadi taruhan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Berita Harian
2 APRIL 2012

01 April 2012

ISU UMUM : FENOMENA PERCANGGAHAN PEMIKIRAN MANUSIA

Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@nstp.com.my


Setiap hari berlaku percanggahan pemikiran sesama manusia di seluruh dunia, sebahagian besarnya mengenai persoalan agama, negara dan bangsa. Menonton berita dunia di televisyen atau membaca akhbar, percanggahan pemikiran ini, begitu nyata. Di Barat cara pelaporan beritanya adalah berbeza berbanding di Timur berikutan kecenderungan pemikiran yang berbeza meskipun daripada sumber berita yang sama. Percanggahan pemikiran juga berkisar kepada persoalan maruah, hak, hidup-mati dan maju-mundur sesuatu bangsa. Fenomena percanggahan pemikiran diwarisi pelbagai golongan manusia ini, jika dianggap penyakit, ia dikategorikan sebagai jenis kronik. Kebanyakan pemikiran manusia yang berbeza dari segi latar belakang ini tidak akan dapat disatukan untuk mencapai kesepakatan tulen – ibarat minyak dan air.

Semua ini juga berpunca daripada perbezaan tamadun dan akar umbi budaya, cara berfikir serta cara hidup, diperkuatkan lagi dengan kepercayaan beragama dan kedudukan sosio-ekonomi, selain pendedahan kepada dunia luar. Tentulah sukar menyamakan pemikiran anak-anak yang bergelumang dengan senjata dan melihat kematian di depan mata hampir setiap hari kerana berjuang bagi membebaskan negaranya dengan pemikiran anak-anak yang dibesarkan dengan permainan video, komputer canggih dan telefon bimbit.Percanggahan pemikiran sentiasa berlaku di kalangan pemimpin di dalam sesebuah negara dan organisasi atau ketua kerajaan berbeza negara dan agama, sesama golongan intelek, malah sesama rakyat atas isu ideologi dan isu besar dan kecil lain.

Pertelagahan pemikiran berlaku atas pelbagai faktor termasuk pertikaian atas sesuatu kepentingan, kesan kian ramai manusia berpelajaran atau juga disebabkan kebodohan yang tidak boleh diajar, mungkin disebabkan taksub. Ia berlaku atas kepentingan strategik, isu politik, ekonomi, agama, maruah, soal wilayah/sempadan dan sebagainya. Di Malaysia, percanggahan pemikiran juga wujud berikutan kesan kemasukan budaya luar sama ada dari negara maju atau daripada sistem ortodoks Islam. Tidak kurang juga percanggahan pemikiran berlaku akibat salah faham, kekeliruan tafsiran atau disengajakan. Pertelagahan pemikiran berlaku atas pelbagai faktor termasuk pertikaian atas sesuatu kepentingan, kesan kian ramai manusia berpelajaran atau juga disebabkan kebodohan yang tidak boleh diajar, mungkin disebabkan taksub. Ia berlaku atas kepentingan strategik, isu politik, ekonomi, agama, maruah, soal wilayah/sempadan dan sebagainya.

Di Makkah boleh dikatakan setiap masa menjadi tempat pertembungan pemikiran dan pendapat manusia membabitkan semua golongan umat Islam. Di situ mereka bertemu walau pun dari segi realitinya di kalangan umat Islam sendiri, masing-masing mempunyai pemikiran agama yang belum mampu dirungkai. Cuma, mereka tidak bertelagah secara terbuka, walaupun sesama mereka mempunyai pemikiran berbeza. Ini mungkin disebabkan matlamat mereka berada di Tanah Suci adalah sama iaitu untuk beribadat. Bagi jemaah Malaysia yang menunaikan ibadah haji atau umrah di Makkah, mereka juga mewakili pelbagai kelompok berbeza di segi pemikiran politik. Apa pun, pembentukan persepsi terhadap sesuatu bangsa yang menganut Islam yang dibentuk di Makkah menerusi pemerhatian sikap, perbuatan dan tingkah laku umat Islam ini, tetap tidak baik untuk Islam. Dalam politik, semua ini adalah ciri-ciri konflik yang lazim dalam sistem demokrasi. Dalam politik juga, konflik adalah percaturan individu atau kumpulan untuk sesuatu tujuan.

Disebabkan Malaysia diramal mengadakan pilihan raya umum ke-13, konflik menjadi alat politik. Dalam keadaan hari ini, konflik sengaja dicipta untuk menarik perhatian. Biasanya ia menjadi senjata parti pembangkang untuk meraih simpati. Cuma, perkara yang dibangkitkan pembangkang tidak mencapai tahap percanggahan pemikiran. Isu remeh temeh pembangkang berkisar kepada topik menghentam peribadi bukan soal idea. Setakat ini pembangkang tidak memberi idea kepada idea transformasi yang diutarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Idea transformasi ini jarang disentuh pembangkang atas beberapa alasan. Ia mungkin disebabkan pembangkang tidak dapat mencari kelemahan pendekatan itu, tidak faham terhadap transformasi kerajaan atau sukar mencari alasan untuk menghentam secara intelektual untuk membentuk percanggahan pemikiran.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Berita Minggu
1 APRIL 2012

ISU ANTARABANGSA : KRISIS DALAMAN ASIA BARAT HANYA UNTUNGKAN ISREAL

Oleh Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my


Tanggal 30 Mac 2012 dikatakan menjadi antara tarikh penting dalam kalendar dunia kerana pada hari itu, satu gerakan dipanggil Perarakan Global ke Jerusalem (GMJ) menjadikan hari itu sebagai acara antarabangsa bagi mengajak masyarakat dunia bersatu menuntut kebebasan untuk Baitulmaqdis dan masyarakat Palestin. GMJ juga bertekad untuk mengakhiri dasar aparteid dan dasar pembersihan etnik rejim Israel yang memberi kesan mendalam terhadap rakyat, tanah jajahan dan kesucian kota Baitulmaqdis yang mana satu jenayah, bukan saja terhadap rakyat Palestin, bahkan terhadap semua masyarakat diseluruh dunia. Tanggal 30 Mac 2012 dipilih kerana ia adalah simbolik bagi hari bersejarah yang terpahat di memori masyarakat Palestin iaitu ‘Palestine Land Day’. Pada Mac 1976, bermulalah titik hitam dalam kehidupan masyarakat Palestin apabila rejim Israel merampas tanah swasta dan awam di kebanyakan kawasan di bumi Palestin.

Rentetan daripada itu, rakyat Palestin mengisytiharkan mogok umum yang pertama kalinya dihadapi oleh pihak berkuasa Israel sejak pendudukan Palestin pada 1948, lalu mereka mula bertindak ganas dengan menakluki lebih banyak perkampungan Palestin, membunuh dan mencederakan ramai orang awam.  Banyak negara terutama negara Islam menyokong GMJ termasuk negara Arab yang berjiran dengan Palestin. Namun begitu, sokongan daripada negara Arab tidak begitu meyakinkan disebabkan majoritinya sedang menghadapi konflik dan krisis dalaman yang kronik.  Mesir, Syria dan Jordan antara negara yang amat diharap dapat membantu membebaskan Palestin, namun disebabkan krisis dalamannya, maka tiada harapan dapat disandarkan kepada pemerintah negara itu untuk mencapai cita-cita membebaskan Palestin yang terhalang sejak pendudukan rejim Israel pada 1967.

Di sebalik kerancakan dan kehebatan perancangan GMJ ini, penduduk dunia khasnya mereka yang menyokong usaha membebaskan Palestin pasti tidak dapat memaafkan tindakan seorang pemimpin politik dari Malaysia yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana secara terbuka menyatakan sokongan terhadap usaha melindungi keselamatan Israel seperti dilaporkan The Wall Street Journal untuk edisi 27-29 Januari lalu.  Pastinya, umat Islam di seluruh negara tidak akan melupakan kenyataan Anwar kerana ia bukan saja bertentangan dengan dasar luar Malaysia serta kehendak majoriti rakyat yang menyokong pembentukan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, malah mengguris hati penduduk Palestin.  Walaupun Anwar selepas itu bergegas ke Asia Barat untuk berjumpa dengan pemimpin utama Hamas dan Fatah termasuk ulama terkenal Mesir, Yusuf al-Qaradawi bagi menutup keterlanjurannya, namun ia tetap meninggalkan parut berbisa yang dalam bagi seluruh umat Islam dan Palestin.

Jika tidak, mengapa Ketua Bahagian Hubungan Antarabangsa Hamas, Osama Hamdan begitu kecewa sehingga berkata sokongan terhadap usaha melindungi keselamatan Israel bukan hanya mengecewakan rakyat Palestin, tetapi seolah-olah memberi gambaran membenarkan penjajahan rejim Zionis itu. Osama berkata, adalah kesilapan besar untuk mengiktiraf Israel, sebaliknya isu utama yang perlu dibincangkan ialah hak dan pengiktirafan terhadap rakyat Palestin ke arah pembentukan masyarakat serta negara makmur. Disebabkan kenyataan Anwar itu, umat Islam di negara ini berang dan marah kerana tidak menyangka pemimpin idola yang mereka puja itu menjadi penyokong kuat Israel sehingga sanggup mengetepikan nasib yang menimpa rakyat Palestin yang menjadi kekejaman rejim Zionis.  Berbalik kepada usaha GMJ ini, timbul persoalan di kalangan masyarakat dunia iaitu apakah signifikannya GMJ terhadap usaha pembebasan Palestin daripada cengkaman Israel dan melindungi serta membela penduduk Palestin.

Berdasarkan pengalaman lalu dan sejarah terhadap setiap usaha membebaskan Palestin, ia tidak lebih sekadar menjadi retorik politik semata-mata di antara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amerika Syarikat (AS), Israel dan Liga Arab.  Sejak 1967 sehingga sekarang, pelbagai usaha dan cadangan dikemuka, diusul dan dibentang di pentas PBB tetapi semua itu tidak memberi sebarang makna, seperti ‘mencurah air ke daun keladi’ kerana tiada apa perubahan positif dapat dilihat, sebaliknya Israel terus-terusan menindas dan membunuh penduduk Palestin yang tidak berdosa. Ada badan bukan kerajaan (NGO) yang menyuarakan pandangan supaya penduduk dunia bersatu dan ‘meracun daun keladi’ bagi menamatkan rejim Israel di Palestin tetapi soal kekuatan, ketenteraan dan penyatuan menjadi isu besar, sekali gus menyebabkan mereka terpaksa lupakan hasrat itu. Penganalisis strategi dan hubungan antarabangsa, Prof Dr Kamarulnizam Abdullah, menjelaskan usaha untuk membebaskan Palestin selama ini sebenarnya dipenuhi dengan ‘kepura-puraan’ politik kuasa besar dunia khasnya AS bagi melindungi Israel.

Masalah di Palestin tidak akan dapat diselesaikan jika tidak ada satu kekuatan masyarakat dunia untuk mendesak AS dan Israel mematuhi puluhan resolusi PBB supaya Israel menamatkan penguasaannya di Palestin dan menyerahkan kembali segala harta yang dirampas di bumi Palestin kepada rakyat Palestin. “Tidak banyak usaha yang kita boleh lakukan untuk membebaskan Palestin. Dalam isu Palestin, kita sebenarnya lebih mengharap negara Arab supaya bersatu bagi membantu, tetapi mereka tidak bersatu. Negara Arab kini menghadapi krisis dalamannya sendiri terutama negara dominan iaitu Mesir, Syria, Iran dan Iraq. Usaha dilakukan NGO tidak banyak membantu dan tidak dapat memberi tekanan apa-apa kepada AS dan Israel,” katanya. Namun, usaha untuk membebaskan Palestin daripada cengkaman Zionis tidak boleh dihentikan kerana ia membabitkan maruah agama dan umat Islam kerana di situlah terletaknya masjid ketiga paling suci iaitu Masjid al-Aqsa, yang juga menjadi tempat penting peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah SAW.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Berita Minggu
1 APRIL 2012

ISU EKONOMI : MENGHADAPI KENAIKAN HARGA MINYAK DUNIA

NAZZARY ROSLI
Perancang Kewangan Bertauliah dan
Pengarah Jupiter Research Sdn. Bhd.


Sekali lagi harga minyak di pasaran dunia telah naik di sekitar paras AS$100 setong. Dunia sebelum ini pernah melalui situasi dimana harga minyak mentah telah mencecah sehingga hampir AS$150 setong pada tahun 2008 yang lalu. Persoalannya sekarang adakah harga minyak mentah dunia akan terus naik dan kembali ke paras tertinggi sebelum ini? Apa yang berlaku sebelum ini kenaikan harga minyak dunia adalah disebabkan terdapatnya unsur-unsur spekulasi yang berlebihan di pasaran hadapan minyak mentah pada ketika itu sehingga menyebabkan harga terus melambung ke paras yang sangat tinggi sehinggalah kemudiannya harga minyak terus menjunam semula keparas sekitar AS$40 setong. Dapatlah kita rumuskan disini betapa aktiviti spekulasi boleh mengakibatkan kesan yang buruk kepada pasaran, seperti apa yang berlaku pada krisis kewangan Asia pada tahun 1997/1998 di mana aktiviti spekulasi mata wang telah menjejaskan kedudukan ekonomi negara-negara Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia dan termasuk Malaysia.

Tetapi apa yang berlaku pada kali ini dilihat lebih berpunca kepada kesan penawaran dan permintaan dunia ke atas minyak itu sendiri. Konflik yang berlaku keatas negara Iran sebagai pengeluar kedua terbesar minyak mentah dunia telah memberi kesan negatif kepada penawaran minyak mentah dunia. Tekanan dunia barat kepada Iran berpunca dari krisis pembinaan loji nuklear negara tersebut telah memberi tekanan secara langsung terhadap penawaran minyak mentah sedunia hingga menyebabkan harga minyak mula naik. Apabila harga minyak dunia terus naik sudah tentu ini akan memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi dunia secara keseluruhannya kerana pergantungan setiap sektor kegiatan ekonomi kepada penggunaan minyak sama ada secara terus atau sebaliknya.

Pertumbuhan ekonomi dunia boleh terjejas jika harga minyak terus melambung dipasaran dunia. Tekanan inflasi juga akan dirasai oleh kebanyakan negara terutama yang negara-negara perindustrian. Walaubagaimana pun bagi negara seperti Malaysia yang menjadi pengeksport minyak ini boleh memberi kesan yang positif kerana negara akan mendapat pendapatan yang lebih baik apabila harga minyak terus naik. Beberapa negara besar dunia yang menyimpan stok minyak mentah seperti Amerika, Britain dan Perancis telah pun mula mengeluarkan stok simpanan mereka untuk mengimbangi penawaran minyak dunia dan ini telah menyebabkan harga minyak mentah dunia berada di paras yang agak stabil semula ketika ini. Diharap juga kegiatan spekulasi yang berlaku dipasaran hadapan minyak mentah dunia tidak keterlaluan dan perlu dikawal oleh badan selia kewangan dunia agar ia tidak menjejaskan kestabilan harga sehingga ia mencapai kepada harga yang lebih berunsurkan spekulasi dan bukan harga sebenar pasaran seperti apa yang berlaku pada tahun 2008 yang lalu.

Subsidi

Bagi rakyat Malaysia kita berasa lega apabila kerajaan telah berjanji tidak akan menaikkan harga minyak buat masa ini walaupun ini bermakna kerajaan akan terpaksa berbelanja lebih dalam bentuk subsidi. Kita perlu benar-benar rasa bersyukur akan situasi ini berbanding beberapa negara lain yang telah berura-ura akan menaikkan harga minyak mereka sehingga mendatangkan kegelisahan kepada rakyat negara tersebut. Sebagai sebuah negara pengeluar minyak seperti Malaysia kerajaan dilihat boleh mengimbangi pendapatan negara kerana Malaysia akan mendapat pendapatan yang lebih apabila harga minyak dunia naik. Kecekapan kerajaan mengurus kewangan negara dan pengurusan profesional oleh syarikat gergasi Petronas sudah tentu dapat membantu rakyat agar tidak dibebankan dengan kenaikan harga minyak.

Untuk menjalankan perbagai aktiviti ekonomi yang lain demi pembangunan negara kerajaan dilihat akan terus memantau situasi semasa harga pasaran minyak dimana kajian "kos dan kebajikan rakyat" perlu diimbangi sebaik mungkin. Kerajaan dilihat perlu bertegas didalam sistem pemberian subsidi minyak agar tidak terdapat ketirisan dan penipuan kerana ini akan mendatangkan kerugian kepada negara dan menjejaskan niat murni kerajaan untuk membantu rakyat. Jika situasi sebegini dapat ditangani sebaik mungkin kerajaan dilihat boleh meneruskan pemberian subsidi minyak demi kesejahteraan rakyat secara am nya. Kerajaan sudah pasti akan mencuba sedaya mungkin untuk tidak menaikkan harga minyak agar rakyat boleh terus menikmati keselesaan hidup. Walaubagaimana pun, jika harga minyak dipasaran terus naik ke tahap yang jauh lebih tinggi, mungkin kerajaan akan terpaksa juga menaikkan harga minyak dimasa hadapan.

Cuma kita berharap kerajaan tidak akan menaikkan harga minyak secara mendadak kerana ini pasti akan membebankan rakyat. Kenaikan harga minyak sudah pasti akan membantutkan perkembangan ekonomi dunia secara keseluruhannya. Sektor-sektor seperti sektor pengangkutan, industri dan lain-lain sektor yang banyak bergantung kepada penggunaan minyak sudah tentu akan terjejas teruk kerana ini akan melibatkan kos yang bertambah. Subsidi yang diberikan kepada rakyat dilihat sebagai usaha kerajaan untuk cuba meringankan bebanan rakyat secara keseluruhannya kerana kesan kepada kenaikan harga minyak boleh menjejaskan kehidupan harian rakyat terutama kesan inflasi yang pasti akan berlaku sekiranya harga minyak terus naik. Dalam keadaan ekonomi yang terus berkembang pesat sebarang kenaikan kepada harga minyak akan meningkatkan harga barangan keperluan lain dan ini sudah tentu akan membebani rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan pertengahan.

Kenaikan harga barang sudah pasti akan berlaku jika harga minyak naik. Ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana penggerak utama setiap sektor utama ekonomi memerlukan penggunaan minyak. Walaubagaimana pun kerajaan dilihat telah pun mengambil beberapa langkah proaktif dengan menyediakan prasarana asas seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KRIM), Klinik 1Malaysia , pengangkutan awam yang baik dan efisyen serta kediaman mampu milik khas untuk golongan yang berpendapatan rendah dan pertengahan. Semua langkah-langkah kerajaan ini adalah dilihat sebagai usaha murni untuk memastikan keperluan asas rakyat disediakan dengan sebaik mungkin. Dengan adanya kemudahan-kemudahan ini rakyat boleh membuat pilihan terbaik untuk berbelanja secara berhemah dan tidak begitu tertekan dengan kos sara hidup yang terus meningkat.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Mingguan Malaysia
1 APRIL 2012

31 Mac 2012

ISU SOSIAL : BAYAR HUTANG SAMPAI MATI

Oleh HISHAM IDRIS dan NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR


Harga rumah di bandar raya Kuala Lumpur sekarang dianggap menakutkan. Kondominium One Menerung di Bangsar yang seluas 2,000 kaki (185 meter) persegi dijual pada harga RM2.4 juta seunit. Sebuah rumah semi-D di Sri Hartamas berharga RM1.5 juta manakala rumah teres dua tingkat di Cheras bermula dari harga RM500,000. Dengan harga yang begitu tinggi, ia bukan lagi merupakan rumah mampu milik khususnya bagi warga kota berpendapatan sederhana iaitu kira-kira RM6,000 sebulan. Malangnya, bukan ibu negara sahaja yang mengalami kenaikan melambung harga rumah dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. Malah, kawasan pinggir Lembah Klang seperti Kajang, Bangi, Sungai Buloh, Rawang dan Klang menunjukkan trend yang sama. Tinjauan Jurnal di beberapa lokasi seperti Semenyih mendapati harga rumah teres baharu dengan keluasan 24x70 kaki (7x21 meter) kini mencecah harga RM460,000. Di Kajang, rumah bersaiz 22x70 kaki berharga RM510,000, Rawang RM288,000 (20x65 kaki), Sungai Buloh RM398,000 (22x75 kaki) dan Klang RM335,000 (24x75 kaki).

Pada umumnya, rumah teres sering menjadi pilihan golongan berpendapatan sederhana kerana saiznya lebih luas serta memiliki laman dan tempat letak kereta yang mesra pengguna. Malangnya, masih ada satu lagi berita buruk iaitu rumah teres dijangka mencecah harga RM800,000 sebuah menjelang tahun 2020. Ini berdasarkan unjuran kenaikan purata harga sebanyak tujuh peratus setahun oleh syarikat perunding hartanah CH William Talhar & Wong Sdn. Bhd. (WTW) selepas mengambil kira harga purata terbaharu rumah teres di Selangor iaitu RM480,000 sebuah. Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (Macfea), Profesor Dr. Jariah Masud meramalkan bahawa harga rumah teres di Lembah Klang bakal mencecah RM1 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang. “Harga rumah di negara ini akan terus berkembang walaupun berlaku krisis ekonomi,” katanya. Pengarah Urusan WTW, Sr. Foo Gee Jen memberitahu, harga rumah teres di pinggir bandar bakal menjadi lebih kompetitif berikutan kenaikan harga rumah di pusat bandar Kuala Lumpur.

Pendapatan

Beliau memberi contoh rumah teres di Taman Tun Dr. Ismail yang kini bernilai RM1.5 juta bakal mencapai harga RM3 juta dalam tempoh lapan tahun lagi. “Untuk memiliki sebuah rumah teres pada tahun 2020 sekurang-kurangnya sebuah isi rumah perlu mempunyai pendapatan sebanyak RM12,000 sebulan. Secara purata pendapatan isi rumah sekarang ialah RM6,000 bagi golongan pertengahan. Jika harga rumah naik sekali ganda maka pendapatan isi rumah harus meningkat seiring dengan harga rumah,” terang beliau. Membeli rumah berharga RM500,000 dengan pendapatan bulanan RM6,000 bukanlah satu tindakan bijak. Menurut kiraan seorang pegawai bank, andaikan si pembeli meminjam RM400,000 sahaja daripada bank dengan purata kadar faedah enam peratus setahun, peminjam perlu membayar ansuran bulanan sebanyak kira-kira RM2,400 selama 30 tahun.

Ini bermakna peminjam yang membeli rumah teres pada usia 30 tahun hanya akan habis membayar hutang pada usia 60 tahun. Jika tidak bernasib baik, peminjam tadi mungkin meninggal dunia terlebih dahulu sebelum sempat melangsaikan hutang rumahnya. Persoalannya, berapa ramaikah orang muda memiliki pendapatan RM6,000 sebulan sekarang? Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Kuala Lumpur, NK Tong berkata, pelbagai faktor menyebabkan kenaikan harga hartanah termasuk pengumuman kerajaan untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur seperti pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) yang menghubungkan Sungai Buloh dan Kajang. “Dengan kemudahan seperti MRT, orang ramai akan mula keluar dari pusat bandar dan bertumpu ke kawasan pinggir Lembah Klang. Sehubungan itu permintaan terhadap rumah akan meningkat,” hujah beliau.

Menabung

Tambah Tong lagi, konsep bina dan jual yang suatu ketika dahulu hangat diperkatakan diramal dilaksanakan pada tahun 2015 dan ia pasti meningkatkan harga rumah. “Jika konsep itu dilaksanakan, pihak pemaju akan mengehadkan jumlah rumah yang dibina dan ini mengakibatkan terjadi situasi permintaan melebihi penawaran,” jelasnya yang tidak menolak spekulasi turut memainkan peranan rumah dijual pada harga yang lebih tinggi daripada nilai sebenar. Dalam situasi ini pasangan muda yang ingin memiliki sebuah rumah idaman pada masa hadapan disaran supaya menanam tabiat menabung sekurang-kurang 10 peratus daripada jumlah pendapatan isi rumah. Mentor kewangan, Azizi Ali berkata, senario sekarang menunjukkan kebanyakan pasangan muda bersikap sebaliknya. Mereka membelanjakan kesemua wang pendapatan dengan harapan akan ada lebihan untuk dijadikan simpanan.

Katanya, apabila menabung dulu sebanyak 10 peratus, pasangan masih mempunyai 90 peratus daripada jumlah pendapatan manakala jumlah hutang tidak boleh melebihi 40 peratus pendapatan. “Jumlah bayaran untuk kereta tidak patut melebihi 10 peratus atau maksimum 15 peratus,” katanya. Jelasnya, trend pasangan muda sekarang adalah mereka lebih cenderung memiliki kereta mewah hingga membebankan hutang isi rumah. “Kita tidak sepatutnya menjadi hamba kepada hutang sendiri dan terpaksa bekerja keras semata-mata untuk melunaskan hutang,” katanya. Bagaimanapun, kenaikan harga rumah mungkin memberi kebaikan kepada pemilik kediaman sedia ada. Penjawat awam, Ariffin Ahmad, 30, memberitahu beliau membeli sebuah rumah teres dua tingkat pada penghujung tahun 2009 pada harga RM167,000. “Tidak sampai setahun saya dan keluarga menetap di kawasan itu, harga rumah saya meningkat hampir sekali ganda menjadi RM288,000. “Membeli rumah adalah satu pelaburan yang baik untuk jangka masa panjang tetapi saya lihat kini harga rumah yang ditawarkan semakin mahal menyebabkan ramai orang tidak mampu membelinya. Jika ada pun, pasti lokasinya di luar Kuala Lumpur,” katanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Kosmo Online
31 Mac 2012

ISU PENDIDIKAN : JANGAN SALAH SISTEM KUOTA

Oleh
MUHAMMED ABDUL KHALID
Penulis ialah lulusan PhD dari universiti di Perancis
dan kini bertugas di Kuala Lumpur.


Persoalan kuota dalam pengambilan pelajar dan lantikan pensyarah serta penggunaan bahasa Malaysia dalam pendidikan sering dijadikan alasan terutama apabila sesebuah institusi pengajian tinggi itu jatuh merudum dalam kedudukan indeks universiti terbaik dunia. Seperti yang ramai sedia maklum, Times Higher Education (THE) sebuah majalah mingguan berpangkalan di London, menghasilkan senarai kedudukan universiti-universiti di dunia setiap tahun dan ia pertama kali dikeluarkan dalam tahun 2004. Kita dimaklumkan bahawa tidak ada sebuah pun universiti di Malaysia ini yang tersenarai dalam senarai 400 universiti terbaik dunia yang terkini. Ini cukup menyedihkan, walaupun penulis mempunyai pandangan kritikal terhadap metodologi yang digunakan dalam membuat penyenaraian ini yang lebih cenderung kepada universiti-universiti di United Kingdom dan Amerika Syarikat, namun pandangan tersebut adalah untuk artikel di lain masa.

Pada masa ini, THE adalah satu-satunya indeks yang menunjukkan ranking (kedudukan) universiti-universiti dunia dan dijadikan sandaran ukuran oleh banyak pihak. Dalam senarai yang terkini, daripada 20 universiti terbaik dunia, hampir kesemuanya daripada Amerika Syarikat dan United Kingdom, kecuali nombor 15, sebuah universiti di Switzerland dan kedudukan ke-19, sebuah universiti di Kanada. Persoalan yang lebih menyedihkan adalah apabila baru-baru ini seorang pentadbir salah sebuah universiti tempatan yang pernah berada dalam senarai THE, menyalahkan sistem kuota dan penggunaan bahasa Malaysia sebagai penyebab kenapa universiti yang dipimpin beliau terkeluar daripada senarai tersebut. Secara spesifiknya beliau mendakwa bahawa universiti beliau akan menjadi world class hanya sekiranya ia melupuskan pengambilan pelajar mengikut kuota.

Kita ingin tahu apakah asas kepada hujah pentadbir universiti tersebut dalam membuat andaian beliau bahawa sistem kuota dan bahasa Malaysia sebagai penyebab kejatuhan standard universiti yang beliau pimpin. Kita ingin tahu sekiranya beliau ada membuat kajian mengenai hubung kait di antara kualiti sesebuah universiti dengan sistem kuota. Setahu penulis tidak ada korelasi antara kuota dengan kualiti universiti. Sebaliknya, ada kajian yang menunjukkan bahawa kecemerlangan pelajar mempunyai hubung kait yang tinggi dengan pendapatan keluarga. Dalam erti kata lain, status ekonomi ibu bapa, bukannya etnik ataupun kaum yang memainkan peranan yang besar dalam menghasilkan pelajar cemerlang. Untuk pengetahuan pentadbir universiti tersebut, Malaysia sudah memulakan pengambilan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menggunakan sistem meritokrasi sejak tahun 2003 lagi.

Maknanya sejak THE mula menghasilkan ranking universiti pada tahun 2004 lagi, pengambilan pelajar di Malaysia sudah tidak lagi menggunakan sistem kuota. Jadi kenapa sistem kuota yang tidak lagi wujud dipersalahkan? Untuk pengetahuan pembaca, pada tahun 2004, dilaporkan hanya 39 peratus (%) daripada keseluruhan kaum bumiputera yang memohon diterima masuk ke IPTA berbanding 71% daripada keseluruhan pemohon kaum Cina dan 38% daripada keseluruhan kaum India. Dalam tahun 2008 pula peratusan yang berjaya bagi kaum bumiputera meningkat ke 53% daripada jumlah keseluruhan yang memohon, manakala kaum Cina pula meningkat ke 78% daripada keseluruhan dan kaum India mencatat peningkatan kepada tahap 51% daripada jumlah keseluruhan.

Untuk tahun 2011, daripada jumlah keseluruhan yang memohon daripada kaum bumiputera, hanya 75% yang diterima masuk berbanding dengan kaum Cina, di mana daripada jumlah keseluruhan yang memohon, 89% yang diterima dan daripada jumlah keseluruhan yang memohon dalam kalangan kaum India, 83% yang diterima masuk ke IPTA. Penulis juga belum pernah mendengar sistem kuota digunakan dalam pengambilan tenaga akademik. Jadi sistem kuota yang manakah yang dirujuk oleh pentadbir universiti ini? Ataupun adakah apa yang dinyatakan oleh pentadbir universiti ini menunjukkan bahawa selama ini beliau sendiri tidak yakin dengan kebolehan diri kerana mungkin beranggapan bahawa beliau dilantik bagi memenuhi kuota kaumnya? Cubalah untuk seketika kita andaikan bahawa kenyataan pentadbir ini betul-bahawa sistem kuota untuk pengambilan pelajar dan tenaga akademik memang wujud di universiti di bawah pimpinannya.

Seperti yang penulis sebutkan, bagaimanakah universiti yang dimaksudkan pernah menduduki ranking yang tertinggi (no. 89) pada tahun 2004 meskipun masih terdapatnya kesan kuota kaum pada masa itu? Menggunakan logik pentadbir ini sendiri, pencapaian cemerlang Universiti Malaya pada tahun itu adalah jelas kerana dasar kuota itu sendiri. Tambahan pula, sekiranya sistem kuota merupakan penghalang untuk menjadi universiti terkemuka dunia, bagaimana kita dapat jelaskan tentang pencapaian universiti-universiti terbaik di Amerika Syarikat ataupun di Eropah? Universiti-universiti ini pernah dan masih ada yang mengamalkan sistem kuota, walaupun tidak dengan nyata. Kita tahu di Amerika Syarikat umpamanya dalam usaha untuk mengimbangi masyarakat, sistem kuota digunakan bagi kemasukan kaum kulit hitam dan Latino. Ini bagi menentukan ada penyertaan kaum-kaum lain yang sebelum ini terpinggir daripada arus pendidikan tinggi negara mereka.

Dalam penggunaan bahasa pula, adakah sebelum ini, universiti tersebut menggunakan bahasa perantaraan lain daripada bahasa Malaysia? Kenapa bahasa Malaysia pula yang menjadi 'punching bag'? Tidakkah pentadbir ini tahu bahawa universiti-universiti di Jerman, Perancis, dan Jepun yang berdiri sama tinggi dengan universiti di Amerika Syarikat dan United Kingdom menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar? Fikirkanlah, sekiranya sistem kuota adalah penyebab kejatuhan kualiti universiti awam, kenapa universiti-universiti swasta yang tidak mengamalkan sistem kuota dan tidak menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar tidak pula berjaya dinobatkan antara universiti terbaik dunia? Metodologi THE dipersoalkan oleh ramai pihak. Kalau dilihat penjelasan mereka pun ada memberi maklumat bahawa pembinaan kayu ukurnya adalah berdasarkan pendapat pembaca majalah ini di United Kingdom dan lembaga editorial majalah tersebut.

Sebab itu daripada awal lagi, penulis sudah menyatakan pandangan kritikal tentang metodologi yang digunakan dalam mengukur kualiti sesebuah universiti. Seolah-olah universiti-universiti di luar United Kingdom dan Amerika Syarikat tidak berkualiti. Soalnya, adakah universiti-universiti yang tidak tersenarai tidak bagus dan berkualiti rendah? Kita harus melihat konsep kualiti ini dengan lebih menyeluruh sesuai dengan acuan kita. Adakah sama konsep pembinaan modal insan cara Malaysia dengan cara United Kingdom ? Mungkin ada kebenarannya bahawa kualiti universiti kita makin menurun seperti yang dikatakan oleh pentadbir tersebut, tetapi untuk meletakkan kesalahan ke atas sistem kuota yang sudah tidak lagi wujud dan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar, bukan hanya tidak wajar, tetapi adalah salah dan tidak berdasarkan fakta langsung.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
31 Mac 2012

29 Mac 2012

ISU ANTARABANGSA : TEKANAN KEPADA PYONGYANG

Oleh Borhan Abu Samah


Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear yang berakhir pada 28 Mac 2012 berjaya memberi tekanan kepada Korea Utara, supaya membatalkan rancangan untuk melancarkan roket kawalan satelit. Walaupun isu ancaman nuklear oleh negara komunis tidak dibincangkan secara langsung, tetapi pendirian tegas pada pemimpin yang menyertai persidangan itu menentang penggunaan nuklear untuk membina senjata pemusnah telah cukup untuk memberi tekanan kepada Pyongyang. Isu ancaman Pyongyang mahu melancarkan peluru berpandu jarah jauh yang dikawal dengan satelit pada pertengahan April, memang tidak terdapat pada agenda utama persidangan dua hari itu.

Bagaimanapun 53 pemimpin negara yang menyertai persidangan itu sebulat suara bahawa nuklear hanya digunakan untuk keamanan serta pembangunan dan bukan untuk dijadikan senjata pemusnah. Bahkan para pemimpin terbabit bersepakat untuk menggubal undang-undang demi memperketatkan kawalan pergerakan bahan plutonium dan uranium yang digunakan untuk membuat bom nuklear. Langkah itu diambil bertujuan mengelakkan daripada bahan berbahaya itu jatuh ke tangan pengganas atau dengan kata lain para peserta mahu melihat dunia bebas daripada rasa ketakutan kepada senjata nuklear, sebaliknya nuklear digunakan untuk kesejahteraan hidup.

Ini adalah kerana dianggarkan di seluruh dunia jumlah plutonium yang disimpan oleh pihak awam adalah cukup besar, iaitu jika disalahkan guna oleh pihak tertentu ia dapat menghasilkan lebih 30,000 senjata nuklear. Bayangkan jumlah yang begitu banyak plutonium jika tidak dikawal dengan ketat dan jatuh ke tangan pengganas, pasti akan memusnahkan bumi. Profesor Frank Hippel dari Universiti Princeton yang menyertai sidang kemuncak itu mendedahkan jumlah besar plutonium itu bukan disimpan oleh pihak tentera, tetapi sebaliknya oleh pihak awam. Hippel menjadi perhatian dunia apabila mengeluarkan statistik pada pertengahan tahun lalu bahawa terdapat 1,400 tan uranium diperkayakan di seluruh dunia yang mampu digunakan untuk membina 5,000 senjata nuklear.

Menurut beliau, 90 tan daripada keseluruhan bahan itu dimiliki oleh Rusia dan Amerika Syarikat, atau kurang daripada 1 peratus, tetapi cukup untuk digunakan bagi membina 400 bom nuklear. Persidangan pertama berkenaan diadakan di Washington dan dipelopori oleh Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang bertujuan untuk memastikan dunia bebas daripada ancaman senjata nuklear. Seoul yang melihat peluang untuk mengumpul para pemimpin dunia supaya turut berkumpul dan merasakan tekanan yang dihadapi mereka memilih menjadi tuan rumah persidangan kedua dan pemilihan Seoul sebagai tuan rumah memang bertepatan sekali.

Para peserta pastinya dapat merasakan perasaan rakyat Korea Selatan yang berada dalam kebimbangan akibat ancaman Pyongyang yang turut memberi amaran bahawa mana-mana negara yang memusuhi fahaman Stalin adalah musuh Korea Utara dan akan diserang. Walaupun negara fahaman komunis itu kini telah diperintah oleh pemimpin muda Kim Jong-un, tetapi nada keras negara itu tidak pernah berkurangan. Oleh itu pendirian tegas yang dicapai di hari terakhir persidangan pasti memberi tekanan kepada Pyongyang. Apatah lagi negara sekutu mereka Rusia dan China juga mahu Korea Utara membatalkan hasratnya. Kedua-dua buah negara blok komunis itu membuat pendirian sedemikian kerana situasi semasa, di mana majoriti negara di dunia menolak keganasan dan peperangan.

China dan Rusia juga bersetuju menjadi orang tengah bagi memujuk Korea Utara supaya membatalkan hasratnya. Kedua-dua buah negara itu juga menasihatkan Korea Utara supaya lebih menumpukan kepada pembangunan dan kesejahteraan penduduknya daripada membina kelengkapan peperangan. Obama yang turut menyertai persidangan itu menasihatkan Korea Selatan supaya mempersiapkan peluru berpandu penangkis serpihan peluru berpandu Korea Utara. Situasi itu meletakkan Korea Utara terpinggir daripada masyarakat dunia dan rakan sekutunya. Inilah matlamat jangka pendek yang mahu dicapai oleh Seoul iaitu memberi tekanan kepada negara jirannya yang cukup keras kepala itu.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
29 Mac 2012

ISU ANTARABANGSA : KESELAMATAN NUKLEAR : MALAYSIA LEBIH JAUH DI HADAPAN

Oleh Azmi Hassan
GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM
dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara


Amat mengecewakan. Begitulah agaknya harapan masyarakat global terhadap hasil Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear yang telah diadakan di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini. Kecewa bukan kerana Pyongyang tetap bertegas dengan rancangan untuk melancarkan satelit walaupun telah diberi amaran supaya membatalkan hasrat tersebut kerana ia boleh memburukkan lagi kestabilan di Asia Timur. Tokyo umpamanya telah memberi amaran akan memintas pergerakan roket tersebut jika melalui ruang udara Jepun dan ugutan tersebut bukan omong kosong kerana Jepun mempunyai sistem pertahanan peluru berpandu yang agak kental.

Masyarakat antarabangsa juga kecewa bukan kerana Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mempergunakan isu pemilihan presiden pada November sebagai kekangan perbincangan lanjut mengenai pengurangan senjata strategik dengan Presiden Rusia, Dmitry Medvedev. Walaupun kenyataan bersama dikeluarkan pada akhir sidang kemuncak tersebut yang antara lain memutuskan keganasan nuklear adalah satu ancaman global dan setiap negara perlu memastikan keberkesanan undang-undang dan peraturan dalam memastikan bahan nuklear tidak jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggung jawab, kesemua persetujuan tersebut bergantung kepada penerimaan oleh setiap negara.

Tiada kuasa perundangan diberi kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memaksa negara berkenaan menerima pakai perjanjian sedia ada seperti Konvensyen Perlindungan Fizikal Bahan Nuklear dan Konvensyen Mengekang Keganasan Nuklear yang bertujuan mengetatkan kawalan keselamatan nuklear supaya tidak jatuh ke tangan pengganas. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mewakili negara ke sidang kemuncak tersebut menegaskan semua negara perlu telus dan berterus terang dalam pelaksanaan program nuklear masing-masing dan dunia tidak perlu berteka-teki mengenai niat sebenar penggunaan kuasa nuklear sesebuah negara.

Korea Utara atau Israel umpamanya yang dikatakan mempunyai kemampuan senjata nuklear tetapi dunia masih sangsi dengan kedua-dua negara tersebut kerana pemantauan oleh IAEA tidak dapat dilaksanakan. Begitu juga dengan India dan Pakistan walaupun tidak menyembunyikan niat membangunkan senjata nuklear, pemantauan secara berkala dan efektif tidak dapat dilakukan oleh IAEA. Dalam hal ini Korea Selatan menjadi contoh yang baik kerana pada satu ketika dahulu negara tersebut pernah secara rahsia melaksanakan program pemprosesan uranium gred senjata sekitar tahun 2000 tetapi telah akur dengan kesilapan tersebut. Pada hari ini, Korea Selatan dianggap sebagai antara negara yang begitu telus dan bertanggung jawab melaksanakan program pembangunan nuklear.

Malaysia walaupun tidak mempunyai kemampuan nuklear tetapi mampu memberi contoh sebagai negara bertanggungjawab bukan sahaja kepada rakyatnya tetapi juga kepada masyarakat antarabangsa. Isu kilang nadir bumi di Gebeng, Kuantan adalah contoh ikutan terbaik walaupun tidak ada kena-mengena dengan pembangunan nuklear. Bukan sahaja Malaysia mempunyai peraturan mengenai radiasi yang agak ketat dan dipantau oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) untuk memastikan operasi kilang mengikut ketetapan yang telah disediakan, tetapi telah menjemput kumpulan pakar dari IAEA untuk menentukan operasi mengikut piawaian antarabangsa.

Malah tidak cukup dengan kumpulan pakar antarabangsa, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) untuk secara khusus menangani kesangsian rakyat terhadap tahap keselamatan kilang nadir bumi tersebut. Satu perkara yang begitu rumit mengenai nuklear adalah kerana teknologinya dianggap sebagai ‘dwi-penggunaan’ iaitu nuklear boleh digunakan untuk aplikasi seperti menjana tenaga elektrik atau penyelidikan perubatan tetapi juga untuk membangunkan senjata nuklear. Perlu diungkitkan kembali kerana pada 2004 Malaysia telah dituduh sebagai salah sebuah negara rangkaian pasaran gelap nuklear Abdul Qader Khan dari Pakistan. Kesemua kes tersebut berlaku kerana akta kawalan eksport sedia ada tidak mampu menangani isu nuklear yang agak kompleks terutama sekali yang melibatkan teknologi dwi-penggunaan.

Daripada pengajaran tersebut Parlimen Malaysia telah meluluskan Undang-Undang Perdagangan Strategik pada April 2010 khas untuk menangani isu dwi-penggunaan nuklear supaya Malaysia tidak dijadikan negara transit mengeksport bahan terlarang tersebut. Walaupun terdapat beberapa inisiatif antarabangsa yang serupa seperti Inisiatif Keselamatan Pengawalan Senjata (PSI) dan Rejim Kawalan Teknologi Peluru Berpandu (MTCR), tetapi kesemuanya dilaksanakan di luar struktur PBB yang membuatkan sukar bagi Malaysia untuk turut serta. Walaupun Washington mahu Kuala Lumpur menyertai kedua-dua inisiatif tersebut, tetapi Malaysia tetap dengan pendirian bahawa semua peraturan sepatutnya dilaksanakan dalam kerangka PBB dan bukannya dalam kumpulan negara yang berasingan.

Kepentingan rang undang-undang perdagangan strategik itu tidak dapat dinafikan kerana ia berperanan melindungi pengeksport Malaysia daripada diperalat dan dijadikan saluran haram untuk pembekalan barang strategik nuklear. Begitu juga dengan Akta Perlesenan Tenaga Atom (AELA) Malaysia sudah berada dalam proses penilaian terakhir sebelum dibentangkan di Parlimen yang akan menjadikan AELA sebagai akta komprehensif mengawal pembangunan nuklear mengikut peraturan yang telah disediakan oleh IAEA. Tidak dapat dinafikan walaupun Malaysia adalah sebuah negara kecil dan walaupun tidak mempunyai kemampuan nuklear, langkah yang telah diambil jelas menunjukkan rasa tanggungjawab yang tinggi apabila berhadapan dengan isu keselamatan nuklear. Bukan sahaja masyarakat antarabangsa perlu mengambil iktibar dengan langkah yang telah dilaksanakan oleh Malaysia, malah rakyat tempatan juga perlu memberi kepercayaan bahawa negara kita jauh berada di hadapan mengenai isu keselamatan nuklear.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
29 Mac 2012

ISU UMUM : KUASA BESAR MESTI BINA SIKAP BARU TERHADAP GOLONGAN ISLAMIS

Oleh 
Muhamad Razak Idris
Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
bhnews@bhraian.com.my


Minat masyarakat terhadap fenomena yang terjadi kesan revolusi Arab lebih setahun lalu makin memuncak. Kita tertarik apabila menelaah beberapa rencana yang menganalisis revolusi Arab oleh jurnal Foreign Affairs terbitan Mei/Jun 2011.  Dalam sejumlah pendapat terhimpun, The Rise of the Islamists tulisan Shadi Hamid menarik untuk dikongsi. Revolusi Arab memberi banyak kesan terhadap perkembangan sejarah masyarakat terutama sumbangannya kepada kelahiran dan kebangkitan kelompok pergerakan Islam yang sering dirujuk dalam wacana akademik di Barat sebagai golongan ‘Islamis’. Kelompok pergerakan Islam ini menjadi tumpuan penelitian ramai sarjana kerana ia bukan mewakili imej sebahagian masyarakat Muslim yang hanya melihat dan mengamalkan agama sebagai satu proses perhubungan kerohanian antara individu dengan Tuhannya.

Golongan Islamis melihat agama sebagai tenaga untuk kehidupan dan peradaban manusia seluruhnya. Di samping menghayati agama dalam kehidupan peribadi, mereka berusaha menterjemahkan doktrin, nilai dan gagasan keagamaan Islam dalam segenap spektrum kehidupan serta peradaban. Dalam kata lain, mereka golongan yang aktif dalam sejarah serta gigih pula berikhtiar merencana perubahan menerusi pelbagai saluran perubahan sama ada menerusi kesedaran pengetahuan atau kegiatan politik.  Shadi Hamid menjelaskan, nikmat di sebalik revolusi Arab ialah keterbukaan peluang kepada golongan Islamis mengisi ruang kekosongan politik yang wujud selepas kejatuhan beberapa pemerintah sebelumnya. Begitulah tabiat sejarah kemanusiaan yang perlu menjadi iktibar kepada semua.

Golongan Islamis di Asia Barat sebelum revolusi Arab ialah mangsa utama penindasan dan kezaliman, kini diberi kekuasaan politik yang amat luas oleh rakyat Arab bagi menentukan nasib dan masa depan mereka. Itulah yang tergambar dalam kemenangan besar diperoleh antaranya oleh pergerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir dan An-Nahda di Tunisia. Sehubungan itu, Shadi Hamid menjelaskan kebangkitan Islamis ini realiti yang tidak boleh dielakkan lagi. Ia bangkit di pentas kekuasaan serta pemerintahan dunia Arab bersandarkan mandat daripada rakyat terbanyak yang bosan di bawah pemerintahan menekan dan zalim berdekad-dekad.  Rakyat Arab berasakan pergerakan Islam adalah pilihan terbaik bagi mengisi kekosongan ruang politik yang diwujudkan revolusi dan Islamis wajar diberi peluang untuk menterjemahkan cita-cita serta gagasan politik yang mereka suarakan sejak sekian lama.

Apa yang menarik, tulisan Shadi Hamid ini ialah seruannya kepada kuasa besar dunia, terutama Amerika Syarikat (AS) supaya tidak takut dengan kebangkitan Islamis. Dalam kata lain, kuasa besar perlu membuka kotak pemikiran yang banyak dipengaruhi maklumat prejudis terhadap pergerakan Islam yang sering dikatakan sebagai kelompok yang menyeru kepada kekacauan atau bakal mencabar kepentingan AS di Asia Barat. Pemikiran ini tidak relevan lagi. Kuasa besar perlu membina sikap baru terhadap golongan Islamis bukan hanya kerana mereka sudah tiada pilihan dalam realiti baru kini, namun kerana Islamis ini juga sedang melalui perubahan baru dari segi pemikiran, nilai dan sikap. Perubahan pemikiran dan sikap mereka boleh ditanggapi menerusi beberapa tindak balas pemikiran dan politik terhadap persekitaran baru di rantau Arab dan dunia semasa.

Contohnya, perubahan pemikiran golongan Islam dalam wacana mereka mengenai kenegaraan Islam. Ikhwanul Muslimin sebagai contoh dilihat mula membuat anjakan dalam perbahasan mereka mengenai konsep ‘negara Islam’. Mereka tidak lagi terikat dengan istilah negara Islam, namun lebih menumpu kepada kandungan inti konsep negara itu dengan mengupasnya menggunakan terma moden seperti istilah sivil, atau negara sivil bercorak demokratik bersandarkan prinsip Islam.  Dalam urus tadbir politik, Ikhwanul Muslimin tidak akan memonopoli kerusi di Parlimen kerana memberi peluang kepada parti politik lain atas kesedaran pembinaan negara baru Mesir harus membabitkan seluruh dimensi rakyatnya yang majmuk.

Sikap keterbukaan dan kesediaan berkongsi kuasa dengan parti lain satu petunjuk bermakna mengenai realiti perubahan yang sedang berlaku dalam ruang pemikiran golongan Islamis. Jika Ikhwanul Muslimin menolak untuk mengisi calon Presiden Mesir, ia menjadi satu lagi petunjuk baru mengenai perubahan itu. Shadi Hamid menyeru kuasa besar terutama AS merangka dasar baru yang lebih mesra dalam mendepani realiti baru di Asia Barat. Salah satunya ialah menjadikan pergerakan Islam dan golongan Islamis sebagai rakan kerjasama bagi menjaga kepentingan mereka di rantau berkenaan. Dengan perubahan pemikiran dan sikap baru yang sedang dialami golongan Islamis, ruang kerjasama itu bukan lagi sesuatu yang mustahil.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Berita Harian
29 Mac 2012