09 Februari 2012

ISU KEWANGAN : KEKAL SYARAT PINJAMAN ASAL UNTUK KEBAIKAN SEMUA


Garis Panduan Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk kelayakan permohonan pinjaman perlu berdasarkan pendapatan bersih dijangka memberi kesan tidak langsung kepada penjawat awam. Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman berkata, garis panduan berkenaan dijangka memberi kesan baik kepada penjawat awam untuk jangka masa panjang, namun dalam masa sama ia boleh memberi tekanan sekiranya ada di kalangan mereka yang benar-benar memerlukan pinjaman. Kita tahu langkah BNM adalah untuk mendidik orang ramai daripada membuat pinjaman melebihi kemampuan kewangan mereka, namun ia seharusnya diperhalusi dan sepatutnya diguna pakai hanya untuk segelintir kumpulan saja. Ini kerana ada di kalangan penjawat awam yang menerima gaji bersih sekitar RM200 hingga RM400 saja dan berapa pula pinjaman yang mereka boleh dapat daripada jumlah berkenaan sedangkan ia perlu untuk menampung perbelanjaan lain,” katanya.

Menurutnya, garis panduan berkenaan sesuai diguna pakai untuk individu yang mempunyai pendapatan tinggi sebaliknya ia tidak sesuai untuk mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Mana-mana individu pasti akan berhutang dan ia bergantung kepada usaha mereka untuk melunaskan hutang berkenaan walaupun terpaksa mencari pendapatan sampingan bagi menampung hutang itu. Pada pendapat saya, pihak bank seharusnya kekal dengan kelayakan pinjaman mengikut gaji kasar kerana ia lebih relevan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya. Omar berkata, sekiranya syarat kelayakan itu tidak dikaji semula, pihaknya bimbang lebih banyak individu akan beralih kepada pemberi pinjaman tidak berlesen yang menawarkan pinjaman lebih mudah tanpa syarat ketat. Kita bimbang lebih ramai akan memilih pinjaman tidak berlesen yang menawarkan pelbagai pinjaman mudah hanya kerana mahu membeli kenderaan untuk ke tempat kerja kerana gagal membuat pinjaman melalui institusi kewangan berlesen,” katanya.

BNM mengumumkan bahawa berkuat kuasa 1 Januari lalu, pihaknya menetapkan Garis Panduan Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab yang menetapkan kelayakan permohonan pinjaman bank perlu berdasarkan pendapatan bersih dan bukan lagi pendapatan kasar pemohon. Dalam usaha mengurangkan hutang isi rumah di negara ini yang masih terkawal, BNM juga mengehadkan tempoh pembiayaan pinjaman kenderaan hanya selama sembilan tahun berbanding 11 tahun sebelum ini. Di bawah garis panduan tanggungjawab pembiayaan baharu itu, permohonan pemohon juga dinilai berdasarkan potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan cukai serta mengambil kira semua tanggungan hutang semasa. Bagaimanapun, permohonan itu hanya membabitkan segmen runcit seperti pembiayaan kediaman, kenderaan, kad kredit dan kad caj, pinjaman peribadi termasuk kemudahan overdraf serta pembiayaan bagi pembelian sekuriti kecuali pembiayaan margin saham.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
HARIAN METRO
9 FEBRUARI 2012

ISU UMUM : INSENTIF KHAS UNTUK GALAK DOKTOR PAKAR BERKHIDMAT DI PEDALAMAN


Antara inti pati penting terkandung di dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tahun lalu ialah ‘Mentransformasi Penjagaan Kesihatan Untuk Mempertingkat Kualiti dan Menyedia Aset Sejagat’. Menerusi proses transformasi itu, penjagaan kesihatan yang bertambah baik diharap akan menyumbang kepada tenaga kerja lebih produktif, yang juga teras menjadikan Malaysia sebagai tempat lebih baik untuk didiami. Dalam RMKe-10 itu juga, kerajaan mahu penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan sekunder dan tertiari diperkukuh, manakala perkhidmatan penjagaan primer akan diperluas ke kawasan yang kurang mendapat liputan perkhidmatan. Untuk itu, kerajaan menyediakan Klinik 1Malaysia dan Inisiatif Klinik Bergerak 1Malaysia bagi memberikan perkhidmatan kesihatan asas yang pantas dan murah kepada golongan berpendapatan rendah. Langkah Kementerian Kesihatan mewajibkan doktor pakar berkhidmat di luar bandar dan pedalaman, termasuk Sabah dan Sarawak selama enam bulan sebelum dihantar bertugas di kawasan lain seperti dilaporkan akhbar ini kelmarin memperlihatkan kerajaan benar-benar mahu setiap rakyat menerima perkhidmatan perubatan terbaik dan pada masa sama dapat mengimbangi penempatan doktor di kedua-dua kawasan berkenaan. Kita percaya langkah itu selain meningkatkan mutu perkhidmatan perubatan di pedalaman, ia juga memberi pengalaman dan pendedahan berharga kepada doktor pakar. Kesediaan mereka berkhidmat di mana saja, walaupun sudah bergelar pakar menaikkan imej profesion itu.

Oleh itu adalah wajar pengorbanan doktor pakar itu dihargai. Kerajaan patut menyediakan insentif perkhidmatan dan keistimewaan lain kerana bukan mudah bagi mereka mengharungi cabaran apabila berada di pedalaman. Selain berkemungkinan terpaksa bertugas lebih masa setiap hari merawat pesakit dan menempuh pelbagai dugaan seharian kerana kekurangan kemudahan infrastruktur, tidak mustahil mereka juga mudah mengalami tekanan emosi sehingga boleh menjejaskan perkhidmatan. Kita berharap kerajaan dapat menimbang mewujudkan insentif atau elaun tertentu kepada mereka yang dihantar bertugas di pedalaman sebagai tarikan untuk menabur bakti di sana. Pada masa sama, kita berharap tidak berlaku ‘pembaziran tenaga doktor pakar’ di kawasan tertentu jika nisbah jumlah pesakit yang mendapat rawatan di luar bandar lebih rendah berbanding di bandar. Kerajaan juga perlu membekalkan kelengkapan perubatan moden di hospital atau klinik tempat doktor terbabit bertugas bagi memastikan mereka dapat memberikan perkhidmatan sebaik mungkin. Tanpa peralatan yang baik, matlamat menghantar mereka bertugas di pedalaman tidak mungkin tercapai.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
BERITA HARIAN
Ruangan Minda Pengarang
9 FEBRUARI 2012

ISU UMUM : BERHATI-HATI DENGAN AGENDA NGO PRODEMOKRASI

Azmi Hassan
GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM 
dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara


Mungkin ramai masyarakat antarabangsa terpinga-pinga dengan keputusan Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF) Mesir untuk mengenakan tuduhan kesalahan jenayah ke atas 43 pekerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana ia bertentangan dengan aspirasi revolusi rakyat yang mahukan Mesir ditadbir secara demokrasi. Menjadi kemusykilan adalah ke semua NGO tersebut sedikit sebanyak terlibat dalam usaha memperkenalkan demokrasi kepada rakyat Mesir dan secara dasarnya SCAF sepatutnya menerima baik kehadiran mereka. Menjadi lebih menarik lagi adalah 19 daripada yang dituduh terdiri daripada rakyat Amerika Syarikat (AS) yang bertugas dengan empat NGO Amerika iaitu Institut Demokrat Kebangsaan (NDI), Institut Republikan Antarabangsa (IRI), Pusat Pemberita Antarabangsa (ICJ) dan Freedom House (FH). Tidak menghairankan jika tuduhan tersebut berlaku sama ada di Rusia, China atau Venezuela kerana beberapa NGO terutama sekali seperti NDI dan IRI dipandang serong tentang niat sebenar mereka menabur bakti demokrasi di negara asing.

Sememangnya kedua-dua NGO ini telah beroperasi di Mesir sejak dari era Hosni Mubarak lagi tetapi inilah kali pertama pekerja NGO tersebut dituduh melakukan kesalahan jenayah yang antara lain beroperasi tanpa permit dan membantu rakyat Mesir untuk kepentingan asing. Tuduhan kedua dianggap begitu sensitif kerana inti patinya ada kena-mengena dengan kegiatan subversif yang boleh menggugat kedaulatan sesebuah negara. Perlu ditekankan bahawa syak wasangka sebegini sebenarnya yang menjadi masalah utama dengan kehadiran NDI atau IRI di negara luar AS. Perlu diingatkan kembali pada tahun lepas beberapa parti politik dan NGO Malaysia telah disyaki ada menerima dana kewangan dari NDI dan IRI untuk menjalankan aktiviti harian mereka. Tindakan SCAF Mesir dianggap begitu terdesak kerana Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton telah memberi amaran bahawa bantuan ketenteraan AS$1.3 bilion dan ekonomi berjumlah AS$250 juta yang telah diperuntukan oleh Washington akan ditarik balik jika tuduhan tersebut tidak dibatalkan.

Jika kedua-dua bantuan tersebut ditarik balik, maka tentera Mesir bakal menerima kesan yang paling ketara kerana selama lebih dari tiga dekad organisasi tentera tersebut amat bergantung kepada dana Amerika. Untuk menyelami mengapa SCAF mengambil tindakan begitu drastik yang boleh memudaratkan diri sendiri adalah dengan meneliti agenda NDI dan IRI itu sendiri. Kedua-dua NGO tersebut mempunyai kaitan yang agak rapat dengan parti politik Demokrat dan Republikan AS dan sudah pastinya setiap agenda akan menjaga kepentingan Amerika. Tetapi apa yang lebih penting adalah kedua-dua NGO tersebut yang ditubuhkan pada 1980an oleh pentadbiran Presiden Ronald Reagan adalah untuk mengambil alih peranan aktiviti politik negara asing yang dipelopori oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA). Pada 1960an dan 70an agensi tersebut bergiat aktif untuk mewarnai suasana politik negara asing dengan memberi sogokan wang kepada ahli politik yang boleh dibeli. Setelah kegiatan CIA itu terbongkar, Reagan mengambil keputusan menubuhkan NDI dan IRI untuk melakukan tugas yang agak selari dengan CIA tetapi secara terbuka dan mengikut lunas undang-undang tempatan.

Kegiatan aktiviti demokrasi NDI dan IRI di Mesir bukan calang-calang kerana mereka mempunyai dana yang begitu lumayan untuk diagihkan kepada NGO lain di Mesir. Pada Mac lepas, Washington memperuntukan geran sebanyak AS$65 juta untuk NGO Mesir dan sebahagian besarnya adalah untuk NDI dan IRI. SCAF merasa begitu curiga terhadap kegiatan NDI dan IRI kerana begitu percaya ia boleh menggugat kestabilan Mesir. Sebabnya demonstrasi yang berterusan masih berlaku terutama sekali di Dataran Tahrir disyaki angkara dan dorongan kedua-dua NGO ini. Terdapat tuduhan bahawa operasi NDI dan IRI adalah begitu licik sehinggakan mampu mencetuskan huru-hara atau menjatuhkan sesebuah kerajaan negara asing. Tumbangnya pemerintahan Yugoslavia Slobodan Milosevic pada tahun 2000 disyaki didalangi oleh NDI dan IRI. Begitu juga dengan meletusnya Revolusi Mawar rakyat di Georgia pada 2003 dan Revolusi Orange rakyat Ukraine pada tahun berikutnya, ramai yang menuduh NDI dan IRI menjadi dalang di sebalik tabir. Sebab itu pada 2006, Presiden Rusia pada ketika itu Vladimir Putin memperkenalkan undang-undang mengekang NGO asing yang berkait dengan aktiviti demokrasi.

Ada yang menuduh tindakan SCAF adalah kerana pertembungan kuasa dengan kumpulan Ikhwan Muslimin yang mengusai sebahagian besar Parlimen Mesir. Mungkin SCAF ingin mempamerkan bahawa mereka tidak mengikut telunjuk Washington dan berani mengambil tindakan menongkah arus. Tetapi mungkin ada juga kebenaran kebimbangan SCAF terhadap aktiviti NDI dan IRI kerana di Mesir terdapat 69 NGO antarabangsa dan 23 daripadanya adalah berpengkalan di AS dan tindakan undang-undang hanya dikenakan pada empat NGO Amerika iaitu NDI, IRI, ICJ dan FH yang dikatakan beroperasi secara haram. Apa yang dilakukan oleh SCAF adalah mengikut lunas undang-undang Mesir dan sebab itu pekerja NGO tersebut bakal dibawa ke pengadilan mahkamah. Adalah begitu ironis sekali jika NDI dan IRI begitu gah dengan aktiviti demokrasi mereka tetapi menjalankan aktiviti mereka secara tidak sah di Mesir. Adalah begitu mengaibkan sekali jika NGO Amerika itu cuba memberi tunjuk ajar demokrasi kepada rakyat Mesir sedangkan pertubuhan tersebut langsung tidak menghormati kehendak undang-undang Mesir.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
9 FEBRUARI 2012

08 Februari 2012

ISU UMUM : CINTA PENSYARAH KOREA TERHADAP TULISAN JAWI


Ketika budaya K-pop popular dan diminati kalangan generasi muda negara ini, seorang ahli akademik Korea Selatan pula mengakui beliau menyukai tulisan jawi. Prof. Dr. Kang Kyoung Seok dari Busan University of Foreign Studies, mempunyai pandangan tersendiri mengenai tulisan jawi dan budaya Melayu. Dr. Kang, 57, yang fasih berbahasa Melayu, begitu meminati semua perkara mengenai tulisan jawi yang disifatkannya begitu indah. “Budaya Melayu ini, daripada lagunya, bahasanya, semua amat halus dan lembut membuatkan saya jatuh cinta terutama lenggok tulisan jawi,” katanya. Cinta Dr. Kang kepada tulisan jawi berputik pada tahun 1974 ketika belajar di sebuah universiti di Korea Selatan. “Pensyarah saya masa itu beritahu bahawa Malaysia memiliki tulisan unik diberi nama tulisan jawi. Bila saya tanya apa itu tulisan jawi, pensyarah saya tidak tahu. “Di Korea masa itu tiada buku tulisan jawi, rujukan mengenai jawi pula amat kurang. Namun itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus mengkaji tulisan ini,” katanya.

Pada 1982, pertemuan Dr. Kang dengan seorang pendakwah Islam bernama Abdul Ghani yang berasal dari Pattani, Thailand di Busan, merupakan titik penting percintaannya dengan tulisan jawi. Melalui Abdul Ghani, Dr. Kang mengenali huruf jawi dan sistem penulisan itu. Buku tulisan jawi bertajuk Sejarah Melayu Pattani, menjadi kegemarannya pada masa itu. Dr. Kang membulatkan tekadnya untuk pergi ke Malaysia bagi mendalami tulisan jawi. Pada tahun 1984 impiannya menjadi kenyataan apabila mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Malaya. Namun persepsi rakyat Korea Selatan terhadap Malaysia pada masa itu menjadi cabaran besar bagi Dr. Kang dalam merealisasikan impiannya. “Masa itu Korea Selatan tidak mengenali Malaysia seperti sekarang. Kita sekarang kawan baik. Dulu orang Korea tengok Malaysia sebuah negara yang mundur, miskin dan banyak masalah. “Ibu bapa saya masa itu menangis tidak mahu benarkan saya pergi Malaysia. Tetapi saya sudah cintakan tulisan jawi. Saya mahu pergi belajar tulisan itu di Malaysia,” katanya.

Setelah melakukan kajian terhadap tulisan jawi sejak sekian lama, Dr. Kang mengakui amat tertarik dengan kitab al-Quran yang disifatkanya sebagai anugerah paling bernilai buat umat Islam di seluruh dunia. “Paling menarik perhatian saya bagaimana tulisan jawi dalam kitab al-Quran mampu menghasilkan cara bacaan yang amat indah sekali. Saya selalu dengar orang baca di tilawah al-Quran, amat indah dan buat jiwa saya tenteram,” katanya. Dr. Kang berkata generasi muda Malaysia sekarang tidak menyedari betapa bertuahnya mereka memiliki sebuah warisan unik yang menjadi identiti dan penyambung legasi bangsa. “Tulisan jawi sekarang sudah tenat. Tidak ramai generasi muda tahu membaca dan menulis jawi. Bilangan pakar jawi juga semakin berkurangan kerana ramai pakar yang saya kenali telah bersara tanpa ada pengganti,” katanya. Dr. Kang menyertai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai pensyarah pada 2010. “UPSI sebuah universiti yang mendidik guru. Jadi bila saya ajar guru ini tulisan jawi, mereka akan ajar tulisan jawi ini kepada anak murid mereka, yang juga generasi muda negara ini. Maka semakin ramai tahu tulisan jawi,” katanya.

Beliau berkata pelbagai langkah perlu diambil oleh pihak berkuasa pendidikan supaya kembali kepada sistem ejaan jawi Za’ba yang lebih ringkas dan mudah difahami. Media memainkan peranan penting dalam memastikan tulisan jawi digunakan secara lebih meluas. Dr. Kang berharap akhbar yang menggunakan bahasa jawi seperti Utusan Melayu diberi nafas baru untuk menarik minat rakyat Malaysia. Selain itu, pihak terlibat seperti Institut Terjemahan Negara Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka perlu memainkan peranan dalam menterjemah lebih banyak buku ke tulisan jawi.



Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 FEBRUARI 2012

ISU KESIHATAN : HADAPI TEKANAN SECARA ISLAM

Oleh Profesor Dr. Osman Che Bakar


Ramai yang tertekan serta menderita apabila mengalami peristiwa atau musibah seperti kerosakan harta benda, kehilangan atau kegagalan dalam kerjaya, percintaan atau rumah tangga dan sebagainya. Musibah atau tekanan adalah satu peristiwa yang ditakuti dan tidak dikehendaki oleh mana-mana individu di dalam kehidupan seharian. Majoriti daripada kita akan bertindak-balas secara spontan sama ada mengeluh, memaki-hamun dan marah terhadap seseorang malah ada pula yang marah kepada takdir Tuhan. Individu yang terbabit dengan musibah mengalami gejala-gejala tekanan seperti bimbang, hilang tumpuan, cepat marah, tidak dapat tidur, hilang selera makan dan lain-lain lagi. Berdasarkan personaliti serta cara seseorang menangani sesuatu tekanan, ada yang merasakan kehidupannya sudah tidak bererti, menjadi panik dan merasakan yang dunia ini kejam terhadapnya. Situasi ini akan lebih menyakitkan apabila ada pula insan sekeliling yang memberi ulasan-ulasan negatif.

Sering dikatakan musibah didatangkan sebagai hukuman atau peringatan daripada Allah SWT tetapi hakikat dan tujuan yang sebenar, hanya Allah yang maha mengetahui. Bolehkah kita mentakrifkan apa yang ditentukan Allah SWT mungkin benar atau sebaliknya. Lupakah kita ujian-ujian yang dilalui oleh para sahabat Rasulullah dan para nabi jauh lebih hebat dan apakah mereka ini melakukan banyak kesalahan serta kita lebih baik daripada mereka? Tetapi sebagai seorang Islam, kenapa kita tidak melihat dan pelajari akan apa yang difirmankan Allah SWT di dalam al-Quran serta sunah Rasulullah melalui hadisnya. Allah SWT menegaskan dalam surah al-Baqarah ayat 286, bahawa Dia tidak memberatkan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ini bermakna setiap individu yang mengalami musibah tersebut akan mampu mengatasinya . Kerap seseorang individu menjadi kecewa, marah dan susah hati apabila sesuatu hajat yang diingini tidak berjaya atau sesuatu perkara lain pula yang berlaku.

Mereka lupa akan firman Allah SWT; ”Adakalanya sesuatu itu tidak baik bagimu meskipun kamu begitu menghendakinya dan adakala pula sesuatu itu baik bagimu meskipun kamu tidak menyukainya, sesungguhnya aku mengetahui tetapi kamu tidak mengetahuinya”. Kita terlalu mengharapkan keseronokan, kemudahan serta kenikmatan dunia, sudah tentu ia tidak salah kerana itu adalah sifat naluri seseorang manusia. Allah SWT juga menyuruh kita berbuat demikian seperti firmannya; “Dan hendaklah kamu mencari kebaikan akhirat dan jangan lupa habuan kamu di dunia.” Masalahnya, ramai di antara kita tidak mempedulikan janji Allah SWT tentang kehidupan akhirat yang mana ia adalah kehidupan yang kekal sebenarnya dan lebih baik. Jika kita benar bertakwa dan yakin, majoriti daripada tekanan yang kita alami tidak memerlukan kita bersedih dan merasa kecewa yang melampau bahkan dapat melihatnya secara lebih positif.

Pun begitu, janganlah ada antara kita beranggapan kita tidak memerlukan rawatan dan ubat-ubatan bahkan menasihati ahli keluarga atau rakan yang mengalami tekanan untuk tidak mendapatkan rawatan memadai hanya dengan reda. Ramai antara kita yang tersalah faham mengenai konsep reda dalam Islam. Reda pada Islam bukan bererti menyerah bulat-bulat kepada takdir tanpa disusuli dengan usaha dan ikhtiar. Ubat-ubatan dan kaunseling akan melengkapkan proses pemulihan emosi seseorang individu. Dapatkan nasihat daripada mereka yang mempunyai pengalaman mengatasi masalah tersebut, berkongsilah masalah anda dengan saudara-mara atau rakan karib atau mana-mana individu yang anda percaya dapat membantu. Cubalah amalkan mengambil sikap terbuka dan fikirlah secara positif dan objektif dalam usaha menyelesaikan sesuatu kesulitan.

Bermula sekarang, kita harus mengambil pendekatan tidak mengeluh bahkan banyakkanlah menyebut Allahuakbar, Subhanallah, Astaghfirullah berulang-kali kerana jika kita mengeluh, memaki hamun contohnya apabila terpijak paku, kita meneriak celaka sambil memaki hamun, percayalah kita akan lebih merasa sakit. Tetapi jika kita ingat dan yakin akan apa yang diberitahu Allah SWT dan ajaran Rasulullah, kita akan merasa kurang sakit, reda serta mendapat limpahan keampunan dan rahmat Allah SWT. Kita hendaklah bersabar dan banyak berdoa serta dapatkan rawatan dan pertolongan supaya kita beroleh kejayaan, di dunia apalagi di akhirat.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
8 FEBRUARI 2012

ISU KESIHATAN : KEBAIKAN DAN KEBURUKAN YOGA PADA KESIHATAN


Jika sebelum ini ketika yoga difatwakan haram untuk diamalkan oleh umat Islam ia telah mencetuskan isu dan polemik di negara ini. Kini, perkara yang sama juga berlaku di New York, Amerika Syarikat (AS). Tetapi, bagi masyarakat barat isunya tentu bukan soal halal haram atau yang berkaitan akidah tetapi yang membabitkan kesihatan. Para pengamal yoga di kota raya itu ada yang tersinggung, terkejut malah akan yang terus menghentikan amalan itu apabila satu artikel yang disiarkan dalam seksyen majalah akhbar New York Time edisi Ahad mendakwa aktiviti yoga memudaratkan tubuh pengamalnya. Sedangkan di New York, sudah menjadi pemandangan biasa bagi golongan wanita profesional muda dan langsing ke pejabat sambil mengepit tikar yoga di ketiak mereka. Mereka berpusu-pusu menyerbu pusat yoga sama ada sesudah subuh sebelum waktu bekerja bermula atau ketika masa rehat makan tengah hari. Matlamatnya ialah untuk kekal langsing, cantik dan sihat.

Di AS, malah di Britain jutaan penduduknya mengamalkan yoga setiap hari. Tetapi artikel dalam New York Time menyatakan yoga boleh merosakkan badan mula mencetuskan keraguan di kalangan para pengamal terbabit dan dikatakan akan menjejaskan industri itu secara keseluruhannya. Artikel yang bertajuk Bagaimana yoga boleh merosakkan tubuh anda itu dikatakan telah menyebabkan pengamal-pengamal senaman itu di AS berfikir dua kali. Rencana yang dimuatkan dalam beberapa muka surat dalam seksyen majalah akhbar New York Time keluaran hari Ahad itu ditulis oleh penulis sains kanan akhbar itu, William Broad. Dalam artikelnya Broad mendakwa para pelajar dan juga para jurulatih yoga mencederakan diri mereka apabila terlalu didorong oleh cita-cita melampau dan kurangnya pengetahuan terhadap sesuatu pergerakan yoga. Dia memetik pandangan bekas pengamal yoga veteran Glenn Black, yang mengalami kecederaan belakang serius selepas beberapa tahun mengamalkan amalan yoga.

Black berkata: "Orang ramai sepatutnya meninggalkan amalan yoga kerana ia cenderung untuk mendatang kecederaan yang serius." Sudah tentu artikel Broad dan pandangan Black itu mendapat tentangan dan kritikan daripada wakil-wakil dari industri yoga yang membabitkan AS$5 bilion setahun dan kira-kira 20 juta pengikutnya - bertambah lima kali ganda berbanding 10 tahun lalu. Sensasi, memalukan dan mengelirukan itu antara reaksi terhadap artikel itu daripada para pengamal dan pengikut yoga. "Saya terperanjat. Yoga telah mengubah hidup saya dan saya suka berlatih yoga - ia menjadikan saya lebih sihat dan lebih tenang. Badan saya terasa lebih segar," katanya Jurutera Sistem, Susan Davies, 28, yang menyertai kelas di Central Park dua kali seminggu. Katanya, dengan mengamalkan yoga hidupnya lebih seimbang, yakin dan lebih berkesan di tempat kerja. "Kawan-kawan saya yang melakukan yoga juga berkata demikian," kata Davies.

Paula Tulsi yang mengendalikan pusat yoga di Manhattan berkata, kontroversi itu cukup besar kesannya. "Mereka yang berada di keliling saya menjadi gila kerana ramai yang mahu mencuba yoga. Tetapi sekarang mereka takut kerana fikir yoga memberikan kesan buruk. Ia sesuatu yang tragik dan menyakitkan hati. "Ini merupakan satu penghinaan kepada komuniti yoga," katanya. Terapi urut Eddie Rodriguez, yang mengendalikan pusat terapi fizikal pula berpendapat kebanyakan pusat yoga terlalu sesak. Orang ramai pula katanya, tidak sedar bahawa kebanyakan jurulatih yoga tidak terlatih walaupun mereka kelihatan seperti berpengalaman. "Saya menggalakkan pelanggan saya mencuba yoga. Tetapi hanya setelah dicadangkan oleh orang lain. Bukannya terus ke studio yoga disebab tawaran tertentu," katanya. Namun cerita mengenai kesan buruk yoga tidak sukar untuk ditemui di New York.

Pengurus Seni, Elizabeth Bennett, 45, memberitahu cakera lehernya terseliuh selepas didakwa dibuli oleh jurulatih yoga di sebuah studio di New York. "Apabila saya teragak-agak malakukan sesuatu posisi, dia mengatakan saya pondan. Terdapat ramai pengajar yang terlalu mendesak pelajar melakukan sesuatu di luar kemampuan hanya untuk menjaga ego mereka," katanya. Walaupun memiliki insurans kesihatan, dia terpaksa membelanjakan duit sendiri AS$8,000 untuk rawatan akupuntur dan fisioterapi selama sebulan bagi menghilangkan kesakitan yang ditanggung. Bennett menambah, mereka yang mempercayai bahawa yoga adalah sumber untuk menyembuhkan bukannya mencederakan kini tentunya was-was dan mula berhati-hati dalam memilih pusat yoga. Pakar anatomi juga memberi amaran - seperti mana rencana Broad - tentang risiko melakukan aksi luar biasa ketika yoga yang boleh menjejaskan tulang belakang dan menghalang aliran darah ke kepala sama ada secara drastik atau beransur-ansur.

Pakar Anatomi, David Patane telah berhadapan dengan kira-kira 10 pesakit yang berhadapan dengan kecederaan akibat yoga. Katanya, zaman komputer telah memberikan banyak masalah penyakit membabitkan bahagian belakang. Katanya, duduk terlalu lama misalnya sudah cukup untuk memberikan tekana kepada tulang belakang. Katanya, ini kan pula posisi-posisi sukar dalam yoga terutama yang membabitkan leher. Perkara itu katanya, bukan sahaja melemahkan leher tetapi juga tulang belakang. Pembantu Eksekutif, Megan Branch, 22, mengalami ketegangan bahagian belakang tahun lalu hanya kerana melakukan aksi superman - iaitu meniarap sambil mengangkat tangan dan kaki serentak. Disebabkan dia berada dalam kelas yang terlalu sesak - kira-kira 70 pelajar - dia terpaksa berbaring di tempat yang kurang selesa. "Saya rasa sesuatu berlaku pada belakang saya. Kemudiannya saya terus sukar bergerak," katanya. Masalahnya, terdapat banyak kelas yoga di New York tidak memiliki tenaga pengajar bertauliah. Kelas yoga komuniti yang menawarkan harga AS$5 antara yang mempunyai ramai pengikut. Tetapi ia tidak mempunyai pakar untuk membetulkan posisi pelajar atau memberi amaran kemungkinan apa yang mereka lakukan boleh mendatangkan kecederaan.

Di New York, yoga kini menjadi satu industri ekoran permintaan yang meningkat. Sijil untuk menjadi jurulatih atau tenaga pengajar yoga pula boleh didapati dengan mudah. Tidak perlu lesen rasmi untuk mengendalikannya. Pengajar-pengajar yoga boleh mendapat tauliah hanya dengan mengikuti kursus secara online selama 200 jam. Ramai pengajar yang sudah tamat latihan tidak tahu antara otot dan hamstring," kata Emilia Conradson yang menukar daripada mengajar yoga kepada perniagaan terapi badan yang turut merawat kecederaan akibat yoga. "Pemahaman mereka mengenai tubuh badan kurang. Sedangkan yoga ialah tentang fizikal dan spiritual dan ia perlu selamat," katanya. Salah seorang pengajar yoga Even Tulsi yang marah dengan artikel Broad itu bagaimanapun mengaku bahawa pengajar tidak berpengalaman punca pelajar yoga mengalami kecederaan. "Bukan yoga yang tidak elok, tetapi cara mengajar yoga yang mencetuskan masalah," katanya.

Jurugambar profesional, Naomi Harris, 38, sebelum ini teruja dengan pas tanpa had untuk menyertai kelas yoga berhampiran rumahnya di Manhattan. "Ia bercadang untuk mengamalkannya betul-betul. Selama enam bulan saya pergi lima kali seminggu dan merasa cukup baik," katanya. Tetapi, satu hari dia terjatuh ketika di rumah yang menyebabkan lututnya bengkak. Namun dia terus juga ke kelas yoga untuk beberapa hari, tetapi lututnya bertambah buruk. Imbasan mendapati berlaku koyakan teruk pada tisu yang menyambung dua bahagian lututnya yang memerlukan pembedahan. Katanya, pakar bedah bertanya apa yang dia lakukan, dan sebaik dia memberitahu melakukan yoga lima kali seminggu doktor itu berkata: "Itulah dia!" Doktor tersebut memberitahu, dia melihat banyak kecederaan akibat yoga yang kemungkinan berpunca daripada posisi lutut dilipat ke bawah badan yang di kenali sebagai pigeon pose. Selepas melakukan pembedahan, Harris terpaksa bertongkat. Suatu hari dia terserempak dengan pengajarnya dan bertanya apa sudah jadi. Harris memberitahu yang doktor berkata ia berpunca akibat terlalu banyak melalukan yoga. Tetapi pengajar itu berkata, dia cedera ketika melakukan yoga kerana karmanya buruk. "Kini saya antiyoga," kata Harris.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
8 FEBRUARI 2012

ISU ICT : TIGA PERATURAN INOVASI

Oleh Eric Schmidt
Penulis ialah Pengerusi Eksekutif Google Inc.


Adalah satu kesilapan jika ada yang merasakan untuk melakukan sesuatu inovasi memerlukan teknologi. Tanggapan itu sebenarnya tidak benar. Jika dilihat kepada sejarah inovasi yang mengubah dunia, semuanya bukan bersandarkan kepada teknologi. Inovasi seperti peluru berpandu balistik pertama dari India, jam matahari pertama dari Korea, percetakan pertama di China, sehinggalah walkman di Jepun - teknologi hanya sampingan. Bukan punca utama. Manusia dapat mencapai inovasi dengan atmosfera keterbukaan - terbuka kepada idea baru, terbuka tanpa mengira sempadan dan terbuka untuk bekerjasama. Agak sukar untuk mendefinisi akan keterbukaan. Lebih mudah mendemonstrasikannya yang mana apabila anda mencuba sesuatu atau sebarang perkara yang difikirkan, anda boleh mengatasinya. Izinkan saya mulakan dengan apa yang dimaksudkan dengan keterbukaan untuk bekerjasama. Apabila ramai bertanya apakah produk Google kegemaran saya, ia bukan Gmail atau Maps atau YouTube. Ia adalah Google - syarikat tersebut sendiri.

Untuk dekad yang lepas, keutamaan adalah membangunkan masyarakat dengan menggunakan bakat mereka yang menakjubkan. Matlamatnya supaya ia boleh bertahan lama setelah saya pergi. Malah semua produk semasa kami akan digantikan dengan gelombang inovasi yang baru. Semua ganjaran, cabaran dan tanggungjawab dikongsi untuk membolehkan kami mengimpikan pelbagai perkara besar dan bersama-sama dengan masyarakat untuk mencapainya. Internet memperluaskan konsep komuniti ini melangkaui batasan syarikat, atau sempadan negara. Android merupakan contoh yang baik. Ia merupakan platform perisian untuk telefon pintar yang digunakan lebih 190 juta peranti mudah-alih hari ini. Ia adalah sumber terbuka - yang bermaksud orang ramai boleh mengambil kod kami, mengubahnya, dan mengeluarkan produk mereka mengikut cita rasa mereka - yang mana dilakukan oleh syarikat seperti Samsung, LG, Sony Ericsson dan HTC. Kerana itu, terdapat lebih banyak pilihan untuk pembangun dan juga pengguna. Komuniti pembangun aplikasi dan usahawan seluruh dunia telah menghasilkan lebih 500,000 aplikasi dan menjadikannya satu industri.

Dengan keinginan dalam Google untuk bekerjasama, ia membolehkan kami bekerjasama bersama setiap pembangun Android dari seluruh dunia. Contoh lain bagaimana keterbukaan untuk bekerjasama membawa kepada sebuah perubahan yang besar ialah beberapa tahun yang lepas jurutera kami di India kecewa dengan sistem pemetaan di negara tersebut. Lalu dia memperkenalkan sebuah aplikasi ringkas yang membolehkan semua orang bersama-sama membangunkan peta digital menggunakan gambar satelit. Sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Sukarelawan bekerja bersama dalam mempertingkatkan lebih 180 peta pada aplikasi MapMaker. Di Pakistan sahaja, pengguna menandakan lebih 25,000 kilometer jalan yang sebelum ini tidak pernah ditandakan. Kita perlu membangunkan perkara seperti ini dalam masyarakat bukan hanya pada peringkat korporat. Kita perlu membolehkan para pengguna bersatu supaya mereka boleh pelajari, kerjasama dan berinovasi dalam keadaan terbuka. Ini bermakna, kita juga perlu terbuka kepada seluruh dunia.

Terima kasih kepada web, kini tiada had untuk cita-cita. Sempadan geografi tidak mempunyai persamaan digital. Jadi tiada perkara seperti perniagaan dan organisasi tempatan lagi. Pasaran anda, pelanggan anda, rakan kerjasama anda, pengedar anda, semuanya adalah global. Jadi persoalannya - adakah anda terbuka? Pada abad ini, dunia semakin mengecil. Kita dapat melihat kebangkitan kuasa ekonomi baru di Asia, termasuk di Brazil, Rusia, dan Timur Tengah. Kita juga melihat kelahiran pengguna global dari kelas pertengahan dengan kuasa membeli yang tinggi. Internet akan menjadi salah satu cara baru untuk berhubung dengan dunia baru. Kita tahu lebih tiga billion pengguna akan berhubung secara atas talian pada penghujung dekad ini. Kebanyakannya daripada negara membangun. Pada tahun lepas, apa juga jenis perniagaan akan dapat menggunakan peluang tersebut. Perkara tersebut adalah benar termasuk salah satu syarikat perkhidmatan editorial di Malaysia. Hanya setahun yang lalu, Dr. Yeang Hoong Yeet dan isteri beliau Helen Chew, mengambil keputusan menjalankan perniagaan atas-talian - menyediakan khidmat pengeditan dan pembacaan untuk bahan akademik dan perniagaan.

Dengan umur melebihi 60 tahun, mereka membuktikan usia bukan penghalang untuk memulakan perniagaan atas talian. Melalui pengiklanan atas talian, mereka berjaya memperluaskan perniagaan dari Malaysia ke negara lain di rantau berdekatan. dan kini gembira dengan pulangan mereka. Terima kasih kepada Internet, itu merupakan salah satu contoh ringkas bagaimana sebuah idea baru kini boleh dibawa ke konteks global. Dengan merentasi Asia, kita tahu terdapat jutaan orang daripada pelbagai latar belakang kini menggunakan Internet sebagai salah satu platform untuk peluang dan kebaikan - untuk membangunkan jutaan idea baru milik mereka. Mereka adalah pemilik kedai, pengeluar dan mungkin juga artis. Mereka mencuba pelbagai cara untuk mencapai pasaran baru, dengan kaedah baru dan bersama rakan kerjasama baru. Sebahagian daripada mereka takut dengan kesan daripada keterbukaan, lebih-lebih lagi apabila Internet telah mengubah beberapa industri. Bagimanapun, kebaikan daripadanya adalah amat menakjubkan.

Di Australia, Internet menyumbang kepada 3.6 peratus Keluaran Dalan Negara Kasar KDNK) negara - lebih daripada eksport bijih-besi. Di Jepun, ia menyumbang 3.7 peratus lebih daripada industri pengeluaran automotif. Setiap perniagaan mendapat kebaikan daripada peningkatan Internet. Dianggarkan untuk setiap pekerjaan yang hilang disebabkan Internet, 2.6 lagi dihasilkan. Tetapi nombor tersebut hanya boleh digunakan kepada Internet terbuka yang kita kenal pada hari ini. Ia tidak dijamin akan terus kekal sebegitu. Cara untuk memaksimumkan kebaikan ekonomi daripada Internet adalah dengan membiarkannya terbuka. Lagipun, keterbukaan hadir untuk kekal. Tanpa keterbukaan, pengguna akan hilang pilihan. Syarikat akan berpuas hati. Masyarakat akan kehilangan dinamik yang membawa kepada inovasi. Ini adalah salah satu sebab mengapa kami komited untuk menjadikan Android itu terbuka. Ia merupakan mesej ringkas yang dihantar kepada semua rakan kerjasama di seluruh Asia. Keterbukaan bukan hanya sekadar prinsip, ia merupakan salah satu strategi kemenangan bagi kita semua.

Kejayaan Android di Asia memperlihatkan perkara tersebut. Google telah berjaya kerana dasar terbuka kepada rakan kerjasama baru, rantau dan juga idea. Kejayaan telefon pintar, merupakan kejayaan Google. Kejayaan pelbagai perniagaan juga bergantung pada platform terbuka - Internet - yang mana ia bukan milik sesiapa. Oleh kerana tiada sesiapa yang memilikinya, Internet adalah milik semua orang dan berjaya apabila ia adalah terbuka. Malaysia dianugerahkan dengan populasi yang kreatif dan berbakat serta ramai pembangun perniagaan dan usahawan yang pintar. Ia penting untuk sesuatu perniagaan dan ahli politik meneruskan imaginasi mereka di Malaysia yang membolehkan kita semua bersama mendapat kebaikan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
8 FEBRUARI 2012

07 Februari 2012

ISU KENEGARAAN : KEKEBALAN RAJA-RAJA MELAYU

TAN SRI DR. NORDIN KARDI,
Penyandang Kursi Za'ba,
Universiti Pendidikan Sultan Idris.


Pada minggu lepas, saya dan kawan-kawan melepak di Balai Seni Lukis Negara. Kawan-kawan itu termasuk Dato' Seri Helmi, Dato' Seri Anwar Zaini, Dato' Kamarudin, General Dato' Yunus Long, Tan Sri Kamal Salleh, Dr. Hasan Mad, Roslan dan Faridah, dari USAHANITA. Selain bertanya khabar kami berbual mengenai banyak perkara mengenai Melayu. Kecuali saya, kawan-kawan saya itu rupanya sangat cergas bergerak dalam pelbagai badan bukan kerajaan mengikut kecenderungan dan latar belakang pendidikan masing-masing. Dalam perbincangan itu seperti ada persetujuan antara kami bahawa ada beberapa tunggak yang jika salah satu daripadanya diusik, maka keseluruhan Melayu itu terusik. Tunggak-tunggak itu adalah bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu dan agama Islam, hak Istimewa orang Melayu (termasuk tanah simpanan Melayu) di dalam Perlembagaan. Antara beberapa perkara yang menarik perhatian saya adalah mengenai kekebalan Raja-Raja Melayu dalam konteks undang-undang.

Pada 1993, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda bagi membolehkan prosiding undang-undang diambil terhadap mana-mana Raja Melayu di dalam Mahkamah Khas. Sebelum pindaan itu baginda semua adalah kebal daripada apa-apa prosiding mahkamah. Perbualan kami bertukar serius apabila disentuh mengenai wasiat Raja-Raja Melayu semasa menandatangani watikah kemerdekaan pada tahun 1957 seperti yang dititahkan semula oleh Raja Muda Perak, Dr. Raja Dr. Nazrin Shah di dalam suatu majlis dan disiarkan di Utusan Malaysia pada 23 Ogos 2009. Wasiat itu dicatat begini: 'Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia). Ke-dua: Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

Ke-tiga: Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara. Ke-empat: Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini. Ke-lima: Kami isytiharkan Islam adalah Agama Persekutuan. Ke-enam: Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Ke-tujuh: Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak). Disebutkan juga bahawa pada tarikh 5 Ogos 1957, Duli-Duli Yang Maha Mulia sembilan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Pemerintah dari empat 'Negeri Melayu Bersekutu' dan lima 'Negeri Melayu Tidak Bersekutu' telah memberikan perkenan menurunkan tanda tangan persetujuan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dengan memahat Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu tersebut.

Jika demikian keadaannya, Raja-Raja Melayu yang sebelumnya memerintah secara kuasa mutlak telah berkenan menyerahkan kuasa baginda-baginda itu kepada apa yang dipanggil sebagai "Perlembagaan Persekutuan" yang boleh ditambah atau dipinda melalui kuasa yang dipilih rakyat di rumah yang mulia dinamakan Parlimen. Disebutkan juga bahawa beberapa fasal dalam perlembagaan hanya boleh dipinda oleh Parlimen jika mendapat persetujuan Raja-Raja Melayu. Fasal-fasal tersebut adalah perkara 3 (1), (2), (3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12, Perkara 38 (5); Perkara 152, Perkara 153 dan Perkara 181 (1). Dalam hal inilah, wajar diteliti semula sama ada parlimen boleh meluluskan penubuhan Mahkamah Khas bagi membolehkan sesuatu prosiding diambil terhadap Raja-Raja Melayu tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan Raja-Raja Melayu.

Jika jawapannya boleh, maka fasal tersebut di dalam perlembagaan adalah halal dan jika tidak maka fasal berkenaan adalah sebaliknya. Selain dari melihat aspek teknikal yang menyentuh kekebalan Raja-Raja Melayu itu elok juga dilihat apakah doktrin yang boleh diguna pakai sama ada untuk mempertahankan kekebalan Raja-Raja Melayu atau yang sebaliknya. Jika kuasa Parlimen menambah atau meminda perlembagaan itu asalnya diberikan oleh Raja-Raja Melayu, adakah wajar parlimen yang diberi kuasa itu kemudiannya membuat peraturan mengatasi dan melebihi kehendak kuasa yang memberi? Demikianlah dalam kes Bropho melawan State of Western Australia (1972), Ketua Hakim Mason dan Hakim-hakim Deane, Dawson, Toohey, Gaudron and McHugh mengeluarkan pernyataan bersama yang menentang sebarang statut yang akan mengikat 'Crown' (sebagai ingatan, Ketua Negara bagi Australia masih lagi Raja Inggeris).

Dalam konteks 'English Common Law' dikatakan bahawa oleh sebab sumber undang-undang itu datangnya daripada kedaulatan raja, maka raja tidak boleh dipertanggungjawabkan di mahkamah yang dicipta dengan kuasanya. Jika mahkamah atau undang-undang itu hendak diadakan juga maka raja hendaklah memberi persetujuan atau 'consent'. Di Amerika Syarikat (AS) suatu ketika dahulu kekebalan turut diberi kepada negara daripada sebarang tindakan undang-undang dengan menggunakan doktrin yang sama. Kes Gibbons melawan United States (1986) Mahkamah Agung memutuskan bahawa Kerajaan Pusat tidak boleh disaman tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan Kongres. Hal ini ditegaskan lagi di AS dalam kes Alden v. Maine (1999). Di England dikatakan walaupun Crown Proceedings Act 1947 seperti memberi kelonggaran dalam kes 'tort' dan kontrak tetapi Raja tetap kebal daripada prosiding jenayah.

Kekebalan Raja yang menjadi ketua sesebuah negara bukan sahaja wujud dalam negara-negara berkenaan tetapi juga pada peringkat antarabangsa. Dalam hal ini, duta-duta, yang mewakili negara atau ketua negara juga mendapat perlindungan daripada kekebalan ini. Daripada prinsip 'customary international law' negara itu kebal daripada sebarang prosiding di negara lain. AS sendiri mengiktiraf konsep ini di bawah akta Foreign Sovereign Immunities (1976). Apa yang kelihatan daripada contoh-contoh ini adalah, secara konvensyennya, sumber kuasa sesuatu undang-undang itu diberi kekebalan. Doktrin memberi kekebalan ini nampaknya dihormati di banyak negara termasuk Singapura yang memberi kekebalan kepada Presidennya. Di Itali pula, percubaan mempertanggungjawabkan Presiden ke mahkamah adalah suatu jenayah. Di Malaysia pada keseluruhannya, Raja-Raja Melayu masih kelihatan kebal daripada prosiding undang-undang tetapi penubuhan Mahkamah Khas seperti 'precedence' kepada sentuhan kepada kekebalan itu.

Rakan saya Azam menghujah kepada saya bahawa Mahkamah Khas itu adalah untuk kes-kes peribadi Raja. Saya pula bertanya bagaimana hendak memisahkan yang peribadi dengan yang bukan peribadi seperti yang saya pernah alami di mahkamah dalam menanggung beban 'vicarious liability'? Adakah terdapat konsep 'mutlak' separuh-separuh? Ada pula yang menjawab 'apa salahnya'. Seperti persetujuan rakan-rakan yangmelepak di Balai Seni Lukis Negara itu, kami sebutkan sekali lagi bahawa mengusik mana-mana tunggak yang telah dinyatakan bererti mengusik keseluruhan yang berkaitan dengan Melayu.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 FEBRUARI 2012

JADIKAN MOTIVASI DIRI : PELAJAR TERMUDA AMBIL PHD, UMUR 23 TAHUN SAHAJA


Nurliyana Mohd. Yusoff, 23,  merupakan pelajar termuda yang berjaya menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang ekonomi di Universiti Utara Malaysia (UUM). Nurliyana dari Kampung Charuk Semeliang, mukim Siong dan juga graduan ijazah Ekonomi UUM, meraih pencapaian membanggakan kerana menjadi antara pelajar termuda yang dipilih mengikuti PhD dalam bidang sama. Anak kepada pesara tentera itu amat gembira dengan tawaran pengajian PhD tersebut kerana tidak menyangka diterima melanjutkan pelajaran ke peringkat tersebut dalam usia seperti itu.  Nurliyana anak kedua daripada tiga beradik kepada pasangan Mohd. Yusoff Hussin, 49, dan Norsiha Amir, 48. Bekas pelajar Sekolah Agama Yan dan Sekolah Agama Baling yang bercita-cita menjadi penganalisis ekonomi terkenal itu berkata, semangatnya untuk menyambung pengajian amat tinggi dan sumbangan tersebut memberi inspirasi kepadanya untuk membawa pulang kejayaan suatu hari nanti. Menariknya, sepanjang menjadi penganggur selama lebih tujuh bulan selepas mendapat ijazah, Nurliyana membantu anak-anak kampungnya dengan memberi tuisyen secara percuma. Dia mengajar subjek Matematik dan Sains untuk pelajar yang akan menduduki Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia. Dalam usia muda dan tinggal di kampung, ia bukan penghalang untuk seseorang berjaya dalam pelajaran.

06 Februari 2012

JADIKAN MOTIVASI DIRI : ELLEN JOHNSON SIRLEAF IBU REVOLUSI LIBERIA


Wanita ini pernah dipenjarakan pada tahun 1985 oleh diktator Afrika paling kejam, Samuel Doe selama sedekad. Sengsara itu berterusan apabila pengganti Samuel, Charles Taylor menuduhnya sebagai penderhaka dan mengheretnya sekali lagi ke penjara. Sesungguhnya, perjalanan karier Ellen Johnson Sirleaf, 74, sebelum dilantik menjadi Presiden Liberia tidak mudah. Beliau meniti cabaran yang bukan calang-calang. Menjadi satu cabaran sangat hebat kepada wanita itu apabila beliau bukan sahaja mentadbir sebuah negara yang berusia 166 tahun tetapi baru sahaja bertemu keamanan setelah bergelut dengan perang saudara. Perang itu, kata Sirleaf, telah merencatkan pembangunan ekonomi dan kemajuan Liberia. Di saat negara lain meniti arus kemodenan, rakyat Liberia masih menyalakan pelita minyak tanah dan mengangkut air dari telaga. Kemudahan lain seperti hospital, klinik dan sekolah usah ditanya. Semuanya punah dilanda badai perang. Canda tawa keluarga dan kanak-kanak sudah hampir tidak kedengaran. Memetik laporan AP, lebih 250,000 nyawa terkorban impak daripada perang saudara negara itu. BBC News pula melaporkan, kadar pengangguran di negara Afrika itu cukup tinggi iaitu mencecah 80 peratus.

Melangkau tahun 2005, ia menokok kepada 85 peratus dan prestasi itu dikatakan terburuk pernah dicatatkan dunia. Pendapatan rakyat Liberia pula hanya berjumlah RM3.80 sehari. Bayangkan bagaimana kesengsaraan penduduk negara di pesisir Barat Afrika itu. Senario itu sememangnya telah memberi tekanan hebat kepada seluruh penduduk. Jadi tidak hairanlah orang muda di sana sering bergelumang dengan dadah sehinggakan penjara di ibu negara Liberia, Monrovia, sesak dengan banduan. Dalam hal ini, kata Sirleaf, semasa baru memegang tampuk pemerintahan: "Keutamaan saya adalah untuk mendidik orang muda dan memberi mereka peluang untuk penyatuan." Rasuah turut memeningkan kepala Sirleaf kerana ia telah menghancurkan sistem kehakiman dan perundangan Liberia. Namun, yang paling menyulitkan pentadbiran Sirleaf ialah bagaimana beliau harus menghentikan praktik amalan ritual Liberia iaitu perbicaraan berasaskan keseksaan. Ia merupakan hukuman yang dikenakan menggunakan sama ada minyak atau logam panas dan air mendidih untuk menghukum tertuduh. Jika, individu itu berjaya menyempurnakan seksaan tanpa sebarang kecederaan, individu itu akan dianggap tidak bersalah.

Diceraikan

Sirleaf tidak hanya berdepan dengan masalah negaranya yang kucar-kacir. Aturan kehidupan peribadinya juga tidak seindah seperti pemimpin-pemimpin dunia lain. Lelaki yang dikahwininya pada usia 17 tahun menceraikannya. Mengapa? Itu semua kerana mantan suaminya, James Sirleaf dikatakan tidak dapat menerima kelebihan isterinya yang dikatakan lebih bijak daripadanya. Barangkali kenyataan itu ada kebenarannya. Berasal daripada suku kaum Americo-Liberian di Monrovia, Sirleaf ialah graduan daripada Madison Business College, Madison, Amerika Syarikat (AS) dalam bidang ekonomi dan perakaunan. Pencarian ilmunya tidak terhenti setakat di situ. Pada tahun 1971, wanita itu memperoleh Ijazah Pentadbiran Awam daripada Universiti Harvard dan kemudian dilantik sebagai Menteri Kewangan sewaktu era pemerintahan William Tolbert. Sepanjang hayatnya, Sirleaf telah menumpahkan jiwa dan raganya berkhidmat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Bank Dunia termasuk dengan institusi kewangan persendirian Citibank di New York. Profil kerjayanya semakin memuncak apabila memenangi kerusi Presiden Liberia pada tahun 2006. Sirleaf mencatatkan sejarah tersendiri apabila menjadi wanita pertama di benua Afrika menyandang jawatan Presiden. Pada pilihan raya Presiden pusingan kedua tahun lalu, wanita itu dengan mudah menewaskan bekas pemain bola sepak kelab terkenal Itali, George Weah. Atas kredibiliti Sirleaf, tidak hairanlah apabila beliau diceraikan oleh suaminya. Kini, beliau yang bergelar janda melayari bahtera kehidupannya di samping empat anak dan enam cucunya.

Kejayaan

Meskipun bergelar janda, rakyat Liberia tetap yakin dengan keupayaan Sirleaf. Mereka juga percaya bahawa Liberia tidak akan jatuh ke dalam satu lagi krisis yang akan mengancam penduduk pada masa akan datang. Ya, sememangnya Sirleaf bukan sebarangan wanita. Latar belakangnya dikatakan banyak membantunya memacu ekonomi negaranya. Pada awal pemerintahannya, Global Post melaporkan, Sirleaf berjaya mengurangkan kadar hutang kebangsaan yang dianggarkan bernilai RM15 bilion. Liberia juga berjaya mempengaruhi AS untuk mendapatkan hutang geran bernilai hampir RM1 bilion. "Orang luar pasti tidak menjangkakan perubahan Liberia kerana kami miskin. Negara perang seperti kami biasanya memerlukan lelaki yang gagah untuk mentadbir tapi wanita telah menunjukkan sisi lain dan perlu saya katakan bahawa saya telah membuktikan pandangan orang luar itu sama sekali salah," tegasnya. Bagaimanapun, ujar Presiden ke-24 Liberia itu, kancah politik yang dinaunginya mendedahkan dirinya dengan banyak musuh. Sirleaf sememangnya telah dikecam hebat oleh kepimpinan lalu apabila beliau dikatakan gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai Presiden pada penggal pertama lalu. "Sirleaf menunjukkan prestasi mengecewakan, dia gagal membendung gejala rasuah dan mendamaikan negara," selar bekas Presiden paling lama memerintah Liberia, Winston A. Tubman.

Kata-kata Tubman itu sedikit pun tidak mengurangkan sokongan ke atas Sirleaf. Sebaliknya, para penyokongnya berpendapat, wanita besi mereka telah melakukan revolusi paling hebat. Antara anjakan paradigma awal anak kelahiran Monrovia itu ialah menjalin hubungan diplomatik dengan beberapa negara kuasa besar dunia seperti Republik China selain AS. Dua tahun lalu, Sirleaf telah bertemu dengan Barack Obama di White House dalam usahanya meraih sokongan negara Uncle Sam itu. Kerajaan Liberia juga menjalin kerjasama dengan Malaysia apabila Sime Darby Bhd. dilaporkan telah melabur dalam projek perladangan di sana. Paling menggembirakan Liberia semasa era pemerintahan Sirleaf adalah peningkatan pendapatan rakyat Liberia daripada RM114 ke RM243 sebulan. Namun, semasa wawancara eksklusif bersama New York Times, beliau melontarkan kebimbangan terhadap ancaman rogol dalam kalangan wanita. Jenayah rogol, katanya, merupakan endemik yang masih berleluasa dan menakutkan. "Ia masih menjadi masalah besar bagi Liberia dan berlarutan kerana masing-masing mendiamkan diri kerana rasa malu," katanya.

Beliau juga sedang berusaha meningkatkan kadar literasi rakyatnya yang tidak sampai 30 peratus itu. Kepada mereka yang tidak yakin dengan kebolehan Sirleaf dulu, barangkali perlu membuang persepsi itu jauh-jauh. Obama pada Mei 2010 memuji pentadbiran wanita itu dengan berkata: "Liberia kini bebas daripada kemelut yang berpanjangan. AS sangat berbangga dengan usaha luar biasa beliau." Dalam perutusan tahun baru lalu, Sirleaf yang hanya digaji sebanyak RM22,800 sebulan dengan wajah kelegaan berkata: "Selepas enam tahun, kita bangga melihat kemajuan negara kita, kita berjaya membangunkan ekonomi, prasarana, keselamatan, undang-undang dan keamanan. Liberia di bawah pentadbiran saya diharapkan akan terus aman dan makmur."

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
HARIAN KOSMO
6 FEBRUARI 2012

ISU PENDIDIKAN : "SIAPA KATA KAMI TIDAK BANTU?"

Susunan Ruhaiza Rusmi


Biarpun diasak dengan pelbagai isu dan pandangan skeptikal serta tohmahan negatif, dunia pendidikan global tetap utuh memperjuangkan haknya kepada masyarakat dunia yang memerlukan. Memegang prinsip berani kerana benar, pihak yang terbabit menyalurkan bantuan terus bangkit membantu kanak- kanak keciciran pendidikan terutama di negara dunia ketiga di samping tidak melupakan keperluan pendidikan sejagat di seluruh dunia. Walaupun masih terus dipertikaikan, usaha itu tidak pernah terhenti dan dakwaan negatif dilemparkan disangkal keras. Kenyataan apakah itu? Ia umpama ingin menyatakan kami langsung tidak melakukan tindakan dan membiarkan nasib mereka tercicir tidak terbela. Sudahkah mereka melihat apa yang sudah kami lakukan? Adakah kritikan ini bermotifkan sesuatu? Ini sesuatu yang tidak boleh diterima,” tegas pengasas MIT D- Lab, Amy Smith yang bersuara lantang untuk menyangkal kata tidak berasas dilemparkan. Sambil menyanggah dan menyatakan itu sebagai perkara mengarut, dia berkata sudah banyak usaha dilakukan bagi membantu golongan terbabit melakukan transformasi pendidikan.

Menurutnya, tidak pernah sekelumit mereka duduk diam atau menutup mata untuk menghulurkan bantuan sebaliknya menggembleng tenaga dan usaha membantu mereka yang memerlukan. “Kami tidak pernah berpeluk tubuh atau menutup mata malah sudah berusaha pada tahap tertinggi untuk memastikan mereka yang memerlukan mendapat pendidikan sempurna. Kami juga tidak berseorangan dan turut mendapat sokongan badan sukarelawan global lain bagi melaksanakan misi itu. Pendidikan diberikan adalah adil dan saksama tanpa diskriminasi. Sasaran kami adalah untuk mengeluarkan golongan itu daripada kepompong kemiskinan dan tradisi berat sebelah. Kami mahu semua kanak-kanak dan masyarakat mendapat peluang pendidikan sempurna serta terbaik,” katanya. Isu keciciran pendidikan global sering dimanipulasi pihak berkepentingan yang melihatnya sebagai mudah ‘dicerobohi’ manakala golongan tidak bernasib baik sebagai mangsa keadaan. Dijolok dengan pelbagai taktik, alasan dan sebab, isu berkenaan dianggap antara paling sensitif selain bajet dan campur tangan politik.

Mengulas sama ada dakwaan itu benar, dia berkata setiap isu ada masalah dan kekurangannya sendiri namun tidak bermakna pihak lain boleh mengambil kesempatan. “Setiap usaha dijalankan mengikut kesesuaian, kewangan, sokongan serta standard sudah ditetapkan. Ia tidak boleh dilakukan sewenang - wenangnya walaupun keadaan sangat memerlukan. Malangnya, di tengah kekalutan kami menyelesaikan masalah itu, ada pula pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan. Atas alasan apa sekali pun campur tangan negatif hanya akan menggagalkan usaha,” katanya yang berpendapat sekiranya mempunyai pandangan harus disalurkan mengikut saluran tersedia. Misi sukarelawan ini bukan mudah. Setiap aspek perlu diambil kira sebelum melaksanakannya. Jika ada pandangan, sila ikut saluran tertentu, jangan semudah itu membidas kami dengan tanggapan tidak bertanggungjawab. Itu tidak boleh membantu,” katanya.

Bagaimanapun, Smith kelihatan ceria dan seronok apabila diajak bercerita mengenai cara dilakukan bagi membantu golongan tercicir itu. Dia berkata, langkah pertama adalah menggunakan cara penyelesaian kreatif untuk mengetahui apakah masalah dihadapi. “Penyelesaian paling bersesuaian adalah memberitahu mereka betapa pentingnya ilmu. Berikan sehelai kertas dan biarkan mereka menceritakan apa saja diingini selepas itu barulah kami menjalankan tugasan yang perlu. Buat permulaan, hasilnya memang mengecewakan. Mereka senang menolak dan enggan berkongsi tapi kami faham kerana kebanyakannya mangsa trauma daripada peperangan serta keluarga. Kami turut memberi sokongan menggunakan pendekatan psikologi bagi memastikan mereka tidak ketinggalan, berseorangan atau merasa dipinggirkan,” katanya yang juga menyifatkan penerimaan masyarakat di Uganda, Zambia, Ghana, Tanzania dan Haiti juga sangat baik. Respons sangat memberangsangkan menjadikan kami yakin mereka juga mahukan sokongan pendidikan untuk keluar daripada kepompong kemiskinan juga buta huruf. Apa kami cuba lakukan ialah membantu mereka menjadi lebih berani, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran seterusnya biarpun dengan hanya memberi pendidikan secara asas,” katanya.

Dibantu barisan tenaga pengajar berdedikasi, corak pendidikan itu lebih menekankan penggunaan beberapa mekanisme sebahagian besarnya adalah hasil penyelidikan di beberapa universiti terkemuka dunia. Sukarelawan merangkap mahasiswa Massachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat, Kofi Taha, berkata mekanisme itu digunakan mengikut keperluan permasalahan di negara terbabit. “Kami hanya memberi panduan untuk berdepan masalah kemudian mereka harus menyelesaikannya mengikut cara sendiri. Daripada memberikan mereka ikan untuk meneruskan kelangsungan hidup lebih baik mengajar bagaimana menangkap ikan untuk terus hidup. Kejayaan bukan hanya kerana bantuan teknologi semata - mata namun perlu dirangkumi dengan sokongan emosi. Ajarlah untuk menghormati dan menghargai antara satu sama lain, justeru mereka akan bangkit dengan semangat dan cita - cita baru,” katanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
HARIAN METRO
6 FEBRUARI 2012