29 November 2011

ISU BAHASA : NILAI BAHASA MELAYU DI IBU KOTA KUALA LUMPUR


Usaha kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu nampaknya tidak begitu dipedulikan oleh sesetengah kelompok di ibu negara yang lebih mengagungkan bahasa asing, terutama bahasa Inggeris. Kuala Lumpur merupakan lokasi terpenting bagi negara ini, jadi sudah sewajarnya ia menjadi tempat untuk menggambarkan identiti sebenar Malaysia dan rakyatnya, tetapi itu tidak berlaku apabila kita melihat kepada nama-nama tempat atau bangunan komersial yang kebanyakannya dalam bahasa Inggeris. Keadaan ini dapat dilihat apabila semakin banyak projek komersial yang menggunakan bahasa asing bagi menamakan tempat serta projek mereka yang sekali gus menafikan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini. Tinjauan di sekitar ibu negara mendapati banyak projek komersial yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai nama bangunan dan kawasan komersial yang dimajukan oleh pihak swasta.

Hinggakan kadang-kadang terasa kita seperti berada di United Kingdom, Itali, Sepanyol mahupun Hong Kong. Selain itu, beberapa papan iklan atau sepanduk iklan bersaiz gergasi turut sama ‘bersekongkol’ dengan perbuatan mengagungkan bahasa Inggeris ini. Antara tempat yang dapat kita lihat nama-nama asing ini adalah sekitar Jalan Chan Sow Lin, Jalan Duta, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Sultan Ismail, Jalan Loke Yew dan Lembah Pantai. Nama-nama dalam tempat dalam bahasa Inggeris ini dapat dilihat pada beberapa bangunan baru seperti Southgate, Viva Home, The Reef dan projek pembangunan Bangsar South. Walau apa pun alasan yang diberikan oleh pihak-pihak terbabit, sedar atau tidak mereka sendiri telah meletakkan bahasa rasmi negara di tempat yang lebih rendah berbanding bahasa asing. Adakah mereka yang memajukan projek-projek ini malu untuk menggunakan bahasa kebangsaan atau mungkin juga mereka menganggap bahasa Melayu tidak mempunyai nilai komersial.

Atau mereka sebenarnya tidak kreatif untuk mencari perkataan-perkataan yang enak didengar dan bernilai komersial untuk menamakan projek dimajukan mereka. Sebenarnya, dengan sedikit kreativiti dan memerah akal maka dapatlah kita nama-nama indah seperti Suria KLCC, Menara Dayabumi, Mutiara Damansara, Aman Suria Damansara atau Awana Genting Highlands contohnya. Seorang jurutera ukur tanah, Nashrul Adiey Habib, 33, berkata, semakin pesat pembangunan di negara ini, semakin terhakis identiti rakyat dan budayanya. Katanya, banyak tempat yang menggunakan bahasa asing yang menyebabkan kita umpama berada di negara luar dan bukan di bumi sendiri. Kerajaan haruslah memainkan peranan dengan mewajibkan projek-projek komersial ini menggunakan bahasa Melayu supaya bahasa ibunda ini dapat diperkasakan. Benar kata Nashrul Adiey, kerajaan melalui agensi-agensinya yang sepatutnya memainkan peranan dan menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk memastikan bahasa Melayu berada pada tempatnya.

Sementara itu, seorang pemandu teksi, K. Parameswaran, 40, pula berpendapat, nama-nama tempat tersebut haruslah dibuat dalam dwi bahasa. Ini adalah bagi memudahkan pelancong-pelancong dari luar untuk memahami nama tersebut supaya mereka tidak keliru atau sesat dan sekali gus dapat menarik pelancong ke dalam negara. “Pengalaman saya apabila melancong di satu tempat di India yang hanya mempunyai papan tanda dalam bahasa tempatan di situ memang menyusahkan saya sebagai pelancong. Jadi saya berharap agar di Malaysia kita dapat buat dalam dwibahasa untuk memudahkan pelancong luar,” ujarnya. Seorang guru, Siti Nor Hamizah Hashim, 26, berkata, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi haruslah diutamakan dalam pemilihan nama projek komersial untuk menunjukkan identiti negara. Menurutnya, kita tidak sepatutnya menggunakan terlalu banyak bahasa Inggeris kerana negara lain seperti Thailand, Korea Selatan dan Jepun juga tetap berjaya walaupun masih mengekalkan serta mengutamakan bahasa kebangsaan mereka. “Mungkin pemaju-pemaju projek ini mahukan nilai komersial yang tinggi sehingga menyebabkan mereka memilih bahasa Inggeris bagi menarik pelabur dari luar negara. “Namun, pihak luar apabila datang ke negara ini perlulah mengikut cara kita dan bukan kita mengikut mereka pula,” tegasnya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
18 NOVEMBER 2011


ISU IPT : PELAJAR YANG GIAT BERPOLITIK, HARUSLAH BERILMU DAN MATANG

Oleh Shamrahayu A Aziz
bhnews@bharian.com.my


MUZIUM BABA NYONYA DI MELAKA

Ramai graduan terbabit politik cetek pengetahuan, gagal berhujah secara ilmiah

Adakah  pelajar universiti berhak untuk bebas berpolitik; berhak untuk menyertai, memegang jawatan politik atau bergiat aktif dalam politik di dalam atau di luar kampus? Sebagai seorang yang agak lama dalam profesion pendidikan di universiti saya berasakan satu keperluan untuk saya berkongsi dengan pembaca mengenai pembabitan pelajar dalam politik. Saya melihat perkara ini daripada kaca mata seorang pendidik, tanpa sebarang kecenderungan atau prejudis kepada mana-mana parti politik. Apa yang ingin saya kongsi ialah pengamatan dan pendapat saya. Kebebasan berpolitik di universiti tidak boleh menjanjikan pencapaian yang baik dalam apa juga bidang, termasuk politik Disebabkan kursus yang saya mengajar membabitkan persoalan umum yang berkisar mengenai pentadbiran negara dan penguatkuasaan undang-undang, perbincangan dalam kelas memerlukan pemikiran kritis. Sudah tentu perbincangan sebegini menjadi hangat dengan pandangan, sokongan atau hentaman kepada pandangan ahli politik atau falsafah perjuangan parti politik.

Dalam proses ini, pelajar bukan saja perlu mengetahui undang-undang yang tertulis semata-mata, tetapi mereka juga hendaklah sentiasa sedar dan memahami salasilah dan falsafah undang-undang itu, seperti memahami persoalan kenapa sesuatu undang-undang itu diwujudkan. Kedua-dua perkara ini memerlukan perhatian pelajar kepada apa yang tertulis dalam undang-undang dan juga apa yang tidak tertulis. Melalui pengalaman saya, pelajar tidak begitu sukar untuk memahami atau mengingati apa yang tertera. Ia senang untuk dibaca dan dihafal.  Namun, pelajar sukar memahami falsafah di sebalik kewujudan sesuatu undang-undang. Bagi memahami falsafah itu, pelajar bukan saja mesti merujuk kepada penulisan dalam bidang kursus yang dipelajarinya, tetapi ia juga memerlukan pelajar mendalami apa yang tidak terdapat dalam buku rujukan utama. Pelajar harus membaca material di luar bidang.

Ramai pelajar sebenarnya gagal membaca buku atau terbitan di luar bidang kursus yang diambil, bahkan ada pelajar yang tidak membaca buku dan kes wajib dibaca dalam kursus yang diambil. Hakikatnya ramai pelajar yang hanya membaca nota yang dibuat oleh senior atau rakan sekelas. Ada juga yang hanya merujuk kepada nota power point yang disediakan pensyarah. Ramai antara mereka hanya menghafal dan mengeluarkannya kembali ke atas kertas jawapan dalam dewan peperiksaan. Selain itu, ada segelintir pelajar yang tidak menghadiri kuliah kerana aktiviti di luar. Dalam banyak keadaan pelajar ini gagal membahagikan masa dengan baik. Walaupun keadaan ini bukan saja berlaku kepada pelajar yang aktif berpolitik, mereka adalah sebahagian daripadanya. Saya tidak nafikan bahawa ada pelajar yang begitu berwibawa dan matang dalam melihat dan membuat penilaian berkaitan politik serta bijak membahagi masa, tetapi bilangan pelajar seperti ini amat sedikit.

Bagi pelajar yang terbabit dengan politik, bilangan yang lebih ramai ialah mereka yang taksub berpolitik, tetapi tidak begitu suka membaca dan tidak begitu bijak membahagi masa. Sekiranya pelajar mahu bergiat aktif menyertai parti politik di luar kampus, ia memerlukan kematangan dan kefasihan serta kebijaksanaan. Pelajar juga bukan saja perlu mengetahui sesuatu atas apa yang tertera dalam bentuk tulisan, tetapi juga harus dapat menilai dan memahami hasrat dengan ilmu pengetahuan. Mereka harus berbeza daripada orang lain yang tidak berpeluang menuntut di menara gading. Kualiti ilmu mereka harus lebih tinggi. Sudah tentu setiap individu, termasuk pensyarah di universiti yang sayangkan generasi muda dan masa depan mereka, tidak mahu melihat generasi akan datang berterusan berpolitik separa matang. Ini adalah untuk negara, bukan untuk diri sendiri. Kita memerlukan ahli politik yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, banyak membaca, bijak dan memahami serta mempunyai falsafah yang tepat mengenai sesuatu perkara.

Selepas berkhidmat kira-kira 20 tahun di universiti, saya fikir, penuntut universiti masih lagi belum bersedia menghadapi sepak terajang arena politik sebenar. Dalam jangka itu juga saya melihat pelajar yang aktif dalam politik ketika di universiti menceburi politik selepas tamat pengajian. Ada di antara mereka menjadi wakil rakyat. Secara peribadi, saya masih belum berpuas hati dengan pencapaian mereka di bidang politik walaupun sudah lama berkecimpung dalam alam politik. Mereka masih gagal berhujah secara ilmiah atau menghulur pandangan bijaksana. Bukan tujuan saya merendahkan kebolehan pelajar universiti. Ini realiti. Oleh kerana putihnya kanvas kehidupan pelajar dan hijaunya pengalaman mereka, mereka begitu rapuh. Hakikatnya di sini, walaupun bermula cepat di dalam politik, ia tidak menjamin pelajar menjadi ahli politik yang hebat atau bijaksana apabila benar-benar terbabit dalam politik selepas tamat pengajian nanti. Kebebasan berpolitik di universiti tidak boleh menjanjikan pencapaian yang baik dalam apa juga bidang, termasuk politik. Apa yang terlebih utama ialah ilmu pengetahuan – pelajar akan lebih bijaksana.

SUMBER
BERITA HARIAN
29 NOVEMBER 2011


28 November 2011

ISU IPT : GELAP MATA TENGOK DUIT ... MASYARAKAT TIDAK BOLEH MENEGUR ... BERBELANJA HAK MEREKA

Oleh Ruhaiza Rusmin


FILEM BUNOHAN 
PEMENANG ANUGERAH NETPAC
FESTIVAL FILEM GOLDEN HORSE TAIPEI 


Seorang  rakan penulis hampir pengsan melihat jumlah pinjaman berjumlah puluhan ribu ringgit yang terpaksa dibayar sepanjang tiga tahun belajar di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan. Dengan nada kesal dia berkata; “Jika aku tahu, pasti duit pinjaman itu dibelanjakan dengan bijak supaya tidak sengsara kemudian hari.” Senario menimpa rakan penulis itu bukanlah luar biasa kerana sebahagian besar mahasiswa gelap mata apabila menerima wang pinjaman setiap semester. Biarpun tujuan utama pinjaman itu untuk meringankan bebanan sepanjang pengajian terutama membayar yuran, penginapan dan makanan, ramai tersasar dengan membeli barangan peribadi. Akibat terlalu boros berbelanja dan mengikut hawa nafsu, ramai yang menderita kerana terpaksa membayar balik pinjaman. Mahasiswa Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Zalikha Ismail, 22, berkata bukan tidak bijak merancang perbelanjaan namun godaan luar menyebabkan mereka hilang pertimbangan.

Menurutnya, sebagai orang muda, mereka tidak dapat menolak keinginan terhadap sesuatu sehingga gelap mata melihat wang. “Sikap ini menyebabkan kami terjerumus kepada sikap boros hingga mengabaikan kepentingan sebagai pelajar. Pada masa sama, terlalu banyak sangat godaan yang menarik untuk berbelanja. “Kami orang muda, sudah tentu mahu kelihatan cantik dan hebat di mata orang lain biarpun terpaksa berhabisan menggunakan pinjaman pendidikan,” katanya. Bukan isu besar apabila mahasiswa mahu membelanjakan wang diterima namun menjadi sebaliknya jika membazir. Antara faktor mengapa mereka boros berbelanja kerana pengaruh rakan dan persekitaran selain iklan yang menggoda di media massa. Disajikan dengan kisah kehebatan, kewajaran dan keistimewaan menyebabkan golongan itu mencuba biarpun kemampuan membeli sangat terbatas. Selain itu, pujukan atau ‘promosi hebat’ rakan juga pasti menggamit keinginan mahu mencuba biarpun terpaksa membelanjakan pinjaman atau meminta bantuan keluarga.

Dia berkata, meskipun ada kesedaran, sukar menepis godaan kerana tarikan lebih hebat daripada berfikir secara wajar. “Setiap hari kami disogokkan dengan pelbagai kisah menarik dari pelbagai arah, bukan saja kami boleh kalah, malah orang lain yang mempunyai pendapatan tetap juga kecundang. “Kekurangannya ialah kerana kami tidak mempunyai pendapatan tetap, itu yang memperlihatkan keburukan lebih ketara berbanding kelompok lain. “Kami dilabelkan boros biarpun apa yang dibeli itu tidak mahal atau mampu dimiliki bersesuaian dengan bajet kewangan,” katanya mengakui kebanyakan mahasiswa juga sering berhabis untuk membeli keperluan belajar. “Biarpun memperoleh pinjaman, ada kalanya ia tidak mencukupi terutama membiayai keperluan kursus tertentu. Itu juga salah satu sebab kewangan tidak mencukupi hingga terpaksa meminta dari ibu bapa. “Namun, adakah masyarakat tahu keperluan kami? Saya percaya hanya sedikit yang memahami sedangkan lain beranggapan kami boros berbelanja dan menghabiskan wang sesuka hati. “Biarpun mengakui ada yang terlebih boros, bukan semuanya untuk keseronokan semata-mata kerana lebih kepada keperluan pengajian,” katanya.

Adakah ini bermakna masyarakat tidak boleh menegur? Katanya, mereka perlu lebih bersikap adil dan tidak terlalu prejudis apabila melihat mahasiswa membelanjakan duit. “Bukanlah masyarakat tidak boleh berbuat demikian namun ada kalanya ia cukup tidak adil dan mengguris hati dengan tanggapan kurang benar. “Adakah membazir membeli pakaian baru sedangkan ia satu keperluan. Percayalah, sebahagian besar kami tidak akan sewenang-wenangnya menghabiskan duit. “Kebanyakan hanya membeli jika ia murah namun ada yang terlebih boros semata-mata untuk kepuasan diri atau tidak pandai menghargai duit,” katanya. Mengenai gender pula, dia mengakui wanita lebih boros berbanding lelaki namun tertumpu pada pembelian tertentu seperti aksesori, tekstil dan kasut. “Semuanya lebih menjurus untuk kelihatan bergaya dan cantik pada pandangan orang lain. Mungkin tidak kena pada masanya namun ini salah satu cara untuk tampil lebih berkeyakinan. “Berbanding lelaki yang sukakan gajet terkini, apa yang dibeli wanita masih berpatutan dan tidak boleh dipersoalkan keterlaluan,” katanya.

Rakannya, Mohd Ilham Ahmad, 23, dari Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, berkata menyekat kemahuan mahasiswa daripada terus berbelanja pasti tidak berguna kerana mempunyai sikap mahu mencuba dan bersaing. Menurutnya, biarpun teguran masyarakat berniat baik, segelintir mahasiswa pasti tidak selesa dan menganggapnya sebagai hak individu. “Duit diperoleh adalah hak masing-masing, justeru hujah mereka kukuh untuk mempertahankan tindakan itu tidak salah biarpun akibatnya buruk bagi jangka panjang. “Ada kalanya, mentaliti mahasiswa ini dikongkong dengan rasa ego dan beranggapan sudah dewasa untuk mencorakkan kewangan sendiri, jadi tidak mahu masyarakat campur tangan. “Mereka hanya akan tersedar jika akibatnya sudah buruk, pada masa itulah sedar bahawa nasihat diberikan bertujuan baik,” katanya.

SUMBER
HARIAN METRO
28 NOVEMBER 2011



ISU IPT : AUKU : SEKSYEN 15(5), MANA SILAPNYA?

Oleh
MOHD. SHAHAR ABDULLAH
Presiden, Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia.


Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) mula kembali mendapat perhatian umseiring dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang akan diadakan bila-bila masa. Pelbagai ramalan mengenai tarikh sebenarnya PRU-13 dibuat oleh setiap parti politik bagi mengatur strategi yang ampuh dalam memastikan kuasa pemerintah dapat dimiliki untuk kira-kira lima tahun lagi. Dalam pada itu, demi memastikan kesinambungan survival parti, Sudah pasti, mahasiswa adalah kumpulan yang tepat untuk memberi sumbangan dalam jentera pilihan raya bagi meraih undi daripada pengundi. Kita sedar bahawa mahasiswa telah dilatih bijak dalam berkomunikasi dan memiliki kematangan diri yang tinggi. Maka, tidak hairanlah ramai pemimpin politik berlumba-lumba mencari jalan membolehkan mahasiswa terlibat dengan dunia politik secara terang-terangan. Natijahnya, ia menjadi isu perdebatan sejak beberapa bulan lalu sehingga membawa kepada pengumuman bahawa Seksyen 15 AUKU akan dipinda pada 24 November 2011 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang Dewan Rakyat tempoh hari.

Pindaan itu dijangka menukar landskap politik negara dan tiada siapa boleh memberi jaminan ia akan dapat membantu meningkatkan kecemerlangan mahasiswa khususnya pencapaian akademik mereka. Jika kita menyorot kembali sejarah penggubalan AUKU, sudah pasti kita memahami tujuan dan semangat ia diwujudkan dan mengapa pemimpin kita yang lalu bersusah payah menggubal akta ini? Persoalannya, adakah akta ini terutamanya Seksyen 15 menyekat kebebasan mencipta kreativiti dan inovasi dalam dunia kepimpinan? Apa yang pasti seksyen ini sebenarnya menghalang pihak tidak bertanggungjawab memanipulasi mahasiswa demi agenda politik masing-masing. Banyak percubaan dilakukan dalam usaha memansuhkan akta ini dengan mengerakkan kumpulan mahasiswa yang menamakan mereka sebagai Gerakan Mansuhkan AUKU. Kononnya, akta ini menyukarkan mahasiswa menyuarakan pandangan dan suara terutamanya penglibatan secara langsung dengan parti politik kerana perlu mendapat kelulusan Naib Canselor.

Pihak kerajaan menerusi Kementerian Pengajian Tinggi telah membuktikan sikap keterbukaan kerajaan dalam menghurai kemelut ini dengan membuat pindaan terhadap AUKU ini pada 2009. Pindaan baru ini juga diyakini akan mampu menjaga kepentingan mahasiswa secara keseluruhan dan bukannya hanya tertumpu kepada golongan minoriti yang juga mempunyai agenda tertentu demi kepentingan peribadi atau parti politik. Apa yang menyedihkan, ramai pihak ingin turut serta berdebat atau berbicara dalam isu AUKU ini tetapi hanya segelintir yang memahami secara mendalam mengenainya. Kesannya, situasi ini mengelirukan ramai pihak terutamanya mahasiswa dan warga kampus. Seolah-olah AUKU ini penyebab utama terhadap mahasiswa lesu dan kurangnya keyakinan diri, yang akhirnya mendorong kepada peningkatan kadar pengangguran di kalangan mahasiswa. Masyarakat harus memahami dan menghayati peranan penubuhan sesebuah universiti yang bukan hanya melahirkan golongan intelektual yang memiliki kematangan berpolitik tetapi tanggungjawabnya lebih menjurus kepada melahirkan graduan yang memenuhi aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah.

Hakikatnya, dunia kemahasiswaan ini berbeza. Mereka memerlukan masa memberi tumpuan kepada proses pemahaman terhadap kursus diikuti terutamanya mahasiswa perubatan dan kejuruteraan. Kadang-kala, masa untuk bersukan dan berkokurikulum agak terhad. Ini adalah suatu kebiasaan untuk mahasiswa memiliki pencapaian akademik yang cemerlang. Pembinaan mahasiswa secara holistik juga dituntut bagi memastikan graduan yang terhasil kelak memenuhi kehendak pasaran pekerjaan. Persoalannya, adakah pihak industri mahukan mahasiswa yang hanya aktif berpolitik sahaja atau mereka yang bagus dari segi bidang akademik serta mempunyai nilai tambah dalam pelbagai bidang kokurikulum diambil sebagai pekerja? Inilah cabaran yang harus ditempuhi sekiranya pindaan ini diteruskan dengan membenarkan mahasiswa berusia 21 tahun menyertai parti politik dan kebanyakan mahasiswa yang berumur tersebut berada di pertengahan tempoh pengajian yang menuntut mereka lebih fokus agar dapat menghabiskan pengajian dalam masa yang ditetapkan oleh universiti dengan baik.

Satu perkara harus dipertimbangkan, walaupun, sekatan diwujudkan terhadap parti politik daripada memasuki kampus dan mahasiswa tidak dibenarkan menjawat apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik. ika difikirkan kembali, adakah sekatan ini boleh dipatuhi? Bolehkah parti politik dihalang masuk ke dalam kampus? Sedangkan tanpa kebenaran pun parti politik sudah menyelinap ke dalam kampus menerusi agen di kalangan warga kampus. Inilah yang harus diterima oleh semua bahawa AUKU pindaan 2009 memang tiada silapnya tetapi ia mampu membendung dan menyekat parti politik untuk mengambil peluang ke atas mahasiswa untuk menjadi kuda tunggangan bagi mencapai agenda politik rakus mereka. Mahasiswa harus didekati dengan memberi peluang menjadi golongan pengimbang kepada sistem politik negara. Biarlah air mata ibu bapa yang mengiringi mahasiswa adalah air mata kegembiraan dan bukannya kesedihan kerana tiada satu pun, ibu bapa yang menghantar anak mereka ke universiti semata - mata mahukan anak mereka berpolitik berbanding menjadi anak yang berbakti dan merubah nasib keluarga. Kematangan mahasiswa haruslah dinilai secara 360 darjah bukannya hanya dilihat dari segi umur mereka semata-mata. Jatuh bangun negara di masa hadapan terletak di tangan golongan muda hari ini yakni mahasiswa.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
28 NOVEMBER 2011


27 November 2011

ISU KESIHATAN : KEGUNAAN HIDROGEL DALAM FARMASEUTIKAL


Meskipun hidrogel berdepan dengan reputasi buruk di media massa berikutan kejadian-kejadian yang mengancaman nyawa, namun Naveed Ahmad, 27, tetap meletakkan kepercayaan terhadap sebatian kimia yang mampu menyerap dan menampung air dalam jangka masa panjang itu. Pelajar lepasan sarjana muda jurusan farmasi itu yakin bahan yang menjadi tesis doktor falsafahnya itu mempunyai masa hadapan cerah. Kini, beliau sudah berada pada peringkat akhir kajian dan artikel penerbitan sainsnya bakal diterbitkan. "Bahan utama yang digunakan sangat murah iaitu kelapa yang bersifat natural dan diyakini selamat untuk penggunaan manusia," ujarnya ketika ditemui di makmal Fakulti Farmasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), cawangan Kuala Lumpur. Ujar lelaki dari Pakistan itu, hasil kajiannya membolehkan pesakit diabetes tidak perlu menggunakan kaedah suntikan untuk mendapatkan insulin tetapi boleh diambil secara oral.

Berbeza dengan hidrogel untuk pertanian yang berasaskan polimer sintetik dan telah terbukti merbahaya jika masuk ke dalam sistem badan manusia, kelak hasil kajian Naveed membolehkan ia ditelan tanpa memberi efek buruk pada kesihatan.Penyelidikan Naveed adalah rentetan daripada kajian yang telah dan sedang dijalankan oleh pensyarahnya iaitu Timbalan Dekan (Siswazah, Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Dr. Mohd. Cairul Iqbal Mohd. Amin, 39. Hidrogel adalah bahan yang ditemui secara tidak sengaja oleh kumpulan penyelidik diketuai oleh Cairul untuk merubah keadaan fizikal penemuan pertama mereka iaitu bahan salutan tablet. Bahan itu dihasilkan daripada komposisi sejenis bakteria selulosa yang diekstrak daripada nata de coco dan asid akrilik berada dalam keadaan cecair. Menurut Cairul, ia tidak mungkin dapat dikomersialkan.

CIPTAAN PERTAMA

"Cahaya elektron yang dipancarkan terhadap bahan ini (komposit enzim selulosa dan asid akrilik) telah menyebabkan molekulnya bertaut silang dan menghasilkan hidrogel," terangnya. Fizikal asalnya kelihatan seperti sekeping pepejal yang nipis tetapi selepas beberapa kali penyelidikan terhadap komposisi bahan dan jumlah cahaya yang dipancarkan, rupanya kini agak tebal dan keras. Apabila disentuh selepas mengembang dalam rendaman, ia agak sedikit melekit tetapi kenyal dan keras sesuai dengan kajiannya untuk dijadikan sebagai tampalan (patch). Hidrogel yang dihasilkan oleh kumpulan penyelidik UKM itu boleh mengembang sehingga 1,000 peratus dan apabila sampai pada satu tahap ia akan pecah. Ia merupakan ciptaan pertama bahan jenis itu di Malaysia. Ciri-ciri permukaan bahan tersebut mempunyai liang-liang yang boleh dimasukkan ubat. Sesuai digunakan pesakit yang demam kerana boleh memberi kedinginan melalui simpanan air. Pada masa yang sama proses penyerapan ubat boleh berlaku. Tembakan sinaran elektron yang berbeza kuantiti boleh menentukan saiz liang pada permukaan hidrogel. Menurut Cairul, hidrogel berasaskan bakteria selulosa itu boleh mengembang melalui tindak balas dengan dua unsur iaitu pH dan suhu. "Apabila berada dalam suhu badan iaitu 37 darjah Celsius, ia akan mengecut.

Selain daripada suhu itu, ia akan mengembang. "Untuk cecair pula, apabila direndam pada pH tujuh iaitu pH neutral, ia akan berkembang secara maksimum berbanding pada pH cecair lain," terangnya sambil memegang sampel hidrogel. Jadi, ia amat sesuai untuk rawatan kaedah tampalan (patch) seperti koyok manakala bagi perubatan yang lebih moden, ia boleh diimplan dalam badan. Untuk uji kaji ubat insulin menggunakan kaedah oral pula, mereka menggantikan bahan tersebut dengan protein yang dikenali sebagai bovine serum albumin (BSA). Pelbagai eksperimen telah dijalankan dengan menentukan kestabilan ubat dalam hidrogel apabila dipanaskan selain menentukan kesesuaian saiz bulatan untuk dijadikan ubat oral. "Sehingga kini, eksperimen menunjukkan ubat yang terkandung dalam hidrogel adalah stabil dan perubahan suhu tidak memberi kesan kepada bahan tersebut," kata Cairul. Menariknya, salah satu uji kaji yang dijalankan oleh Naveed dengan menyejukkan hidrogel secara paksa melalui kaedah dingin kering telah menukarkan bahan tersebut menjadi seakan-akan gabus.

PASARAN LUAS

Antara penemuan lain mereka ialah ketika hidrogel tersebut berada dalam organ perut manusia. Kajian itu mendedahkan, ia akan membesar pada tahap maksimum tetapi ia sangat lembut seperti lengkong. Bagaimanapun, ia mudah pecah apabila ada pergerakan dan secara semula jadi otot-otot perut akan sentiasa bergerak untuk menolak makanan yang dihadam ke dalam usus. Pasaran hidrogel pada masa hadapan dalam bidang perubatan dan farmaseutikal diyakini amat cerah kerana ia mampu merubah kaedah rawatan yang diamalkan oleh pengamal-pengamal perubatan sekarang. Sehingga kini, tidak ramai pemain industri yang menjadikan hidrogel sebagai produk utama mereka kecuali syarikat pengeluar produk membalut luka, Smiths & Nephews dan terbaru, sebuah syarikat tempatan, Icon Pharma Sdn. Bhd. juga fokus untuk menembusi pasaran tersebut. Syarikat tersebut tidak menyasarkan penjualan secara kecil-kecilan seperti pembalut luka yang terdapat di rak-rak kedai farmasi tetapi ia bakal dijual secara pukal di institusi-institusi perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pharma Sdn. Bhd., Mohamad Faizal Abu Bakar, 26, berkata, luka terbakar, luka akibat terlantar terlalu lama atas katil, venous stasis dan semua jenis luka-luka sukar dirawat akibat diabetes bakal mendapat manfaat daripada kajian yang sedang dijalankan. "Sebagai contoh, terutama di institusi-institusi perubatan kerajaan mereka masih lagi mengamalkan kaedah kering dan potong iaitu menukar balutan luka sehingga luka kering," ujarnya. Namun, kaedah tersebut tidak praktikal kerana proses penyembuhan luka menggunakan konsep kelembapan untuk sembuh manakala rawatan luka terbakar pula adalah dengan memotong kulit pada bahagian lain untuk ditampal pada bahagian yang terlibat. Para pengamal perubatan kini mahukan satu rawatan yang efektif tanpa pesakit perlu melalui kesakitan sebanyak dua kali ganda. Hidrogel pula bahan yang mampu menyalurkan kelembapan berterusan supaya luka dapat disembuh tanpa balutan ditukar secara kerap. Ia juga mampu menjadi pemegang sel kulit yang dihasilkan di makmal untuk dilekatkan pada kulit.

Perkara tersebut diakui oleh Perunding Dermatologi dari Hospital Pantai, Dr. Steven Chow bahawa hidrogel memberikan perlindungan yang terbaik pada bahagian luka dan mengekalkan kelembapan. "Ia mengurangkan kadar kekeringan dan pembentukan kuping pada bahagian yang cedera. Ia sekali gus meningkatkan proses penyembuhan," terang Steven. Bahan yang selalu digunakan untuk mengubat luka adalah sintetik polimer dalam bentuk gel pelekat yang mengandungi air atau helaian pembalut. Tegasnya, penggunaan hidrogel tiada efek buruk yang ketara dan selamat digunakan.

SUMBER
HARIAN KOSMO ONLINE

ISU KESIHATAN : BAYAR CUKAI JIKA MAHU GEMUK. BAYARAN IKUT LEBIHAN SETIAP KILOGRAM DARIPADA BERAT IDEAL ANDA

Oleh KUMARA SABAPATTY


Denmark muncul sebagai negara pertama yang mengenakan kutipan cukai lemak terhadap barangan berasaskan lelemak seperti minyak sapi, mentega, minyak masak dan produk susu. Tujuannya murni, memastikan kesihatan rakyat negara itu terjamin. Cukai yang dilaksanakan bermula pada 2 Oktober lepas itu bertujuan menjadikan makanan berlemak tidak ekonomikal kepada 5.6 juta penduduk negara itu setelah 19 peratus dari jumlah penduduknya kini obes. Kadar cukai yang dikenakan ialah 16 kroner (RM8.90) untuk setiap sekilogram lemak tepu dalam setiap produk yang mempunyai kandungan lemak melebihi 2.3 peratus. Secara tidak langsung, cukai ini menyumbang kepada peningkatan harga setiap 250 gram mentega. Pelaksanaan cukai tersebut bagi mengurangkan pengambilan makanan berasaskan lemak di kalangan penduduk negara itu. Idea pengenalan cukai itu juga diikuti oleh negara-negara Eropah yang lain seperti Hungary. Hungary dengan 9.9 juta penduduk, mengenakan cukai lemak 0.37 euro (RM1.58) ke atas makanan siap diproses yang mempunyai kandungan gula, garam serta karbohidrat melebihi sukatan ditetapkan. Ini bertujuan untuk mengurang kadar obesiti di negara itu yang berada pada tahap 18.8 peratus.

CUKAI LEMAK RELEVAN DI MALAYSIA?

Menurut bekas Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican, cukai lemak yang dilaksanakan di Denmark dan Hungary belum tiba masanya untuk dikuatkuasakan di negara ini. Jika kita mengikuti langkah Denmark mengenakan cukai ke atas barangan mengandungi lemak, ia tidak mengubah keadaan sebaliknya akan mencetus kemarahan pengusaha industri makanan tempatan. Mereka (pengusaha) pasti akan meminta kerajaan mengemukakan bukti kukuh produk lemak ialah penyumbang utama masalah obesiti,” katanya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini. Katanya, langkah pelaksanaan cukai lemak dianggap tidak relevan, sekurang-kurangnya buat sekarang. Andai kata kerajaan menaikkan cukai dan hasilnya kadar obesiti berkurangan, itu boleh diterima dan bukan semata-mata ingin mengikuti jejak langkah Denmark dan Hungary. Cukai lemak di Denmark memang relevan kerana negara itu maju selangkah ke hadapan dan perlaksanaan undang-undang selain turut dipersetujui oleh rakyat negara itu sendiri.

TERTINGGI DI ASEAN

Ismail berpendapat, implikasi cukai lemak tidak akan berjaya di negara ini dan langkah terbaik yang perlu dibuat ialah peningkatan dari sudut pendidikan serta maklumat lanjut termasuk kempen-kempen berkaitan kesihatan secara efektif. Namun, hakikatnya tanpa pelaksanaan cukai lemak tersebut penduduk negara ini sedang berhadapan dengan majoriti penduduk menghadapi masalah obesiti. Baru-baru ini media melaporkan, Malaysia menduduki tempat pertama di kalangan negara-negara ASEAN dan kedudukan keenam di rantau Asia Pasifik yang berhadapan masalah obesiti penduduk. Fakta itu didedahkan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin di Parlimen. Jelas Ismail Merican, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, beliau sering menasihatkan pesakit dan kakitangan hospital kerajaan supaya mengamalkan pemakanan seimbang dan berkualiti tetapi hakikatnya kurang dua peratus kakitangannya mengikut nasihat tersebut. Menurutnya, kita harus makan nasi lemak sehingga hari ini tetapi dalam kuantiti sedikit dengan tambahan sayur-sayuran. Tidak perlu nasi lemak itu ditambah dengan telur goreng, ayam goreng, sotong dan sebagainya.

Katanya lagi, beliau juga gemar berjoging selain sering naik turun tangga sehingga berpeluh. Akan Tetapi, para ramai orang suka menggunakan perkhidmatan lif walaupun menuju ke tingkat pertama. Jelas beliau, obesiti kini menjadi suatu ancaman di peringkat global menyaksikan trend masalah obesiti kian meningkat setiap tahun bukan sahaja melibatkan golongan muda dan tua malah juga kanak-kanak. Sepertiga daripada penduduk negara mengalami masalah berat berlebihan atau obesiti. Kita belum mencapai ke tahap di mana rakyat kita tahu sepenuhnya mengenai masalah obesiti. Rakyat kita tahu akan kebaikan amalan pemakanan sihat dan senaman namun hanya 15 peratus rakyat mengamalkannya manakala 75 peratus lagi tidak mempraktikkannya. Katanya, negara masih kekurangan kemudahan taman rekreasi yang lengkap dengan peralatan senaman dan trek joging. Tambahnya, beberapa taman rekreasi yang mempunyai kemudahan itu tidak sempurna dan selamat untuk digunakan kanak-kanak. Ada ibu bapa memilih untuk mengunjungi pusat senaman atau gim untuk bersenam namun berapa ramai antara kita yang mampu membayar yuran perkhidmatan setiap bulan.

DIBUANG KERJA

Realitinya di negara ini, terdapat ramai lelaki yang mempunyai berat badan melampau. Tidak terkecuali Balaji Muniandy, 44. Dia pernah mencecah 280 kilogram (kg) sehingga menyebabkan tahap kesihatan lelaki berasal dari Farlim, Bandar Baru Air Itam, Georgetown, Pulau Pinang ini dalam keadaan amat teruk. Semuanya disebabkan dia diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan sebuah syarikat swasta. Akibat tekanan selepas dibuang kerja, Balaji bertindak mengurung diri dalam rumah. “Saya tertekan selepas dibuang kerja dan terus mengurung diri tanpa berbual dengan sesiapa pun,” katanya. Bagaimanapun, fizikal Balaji sedikit berubah selepas menerima rawatan dan kawalan pemakanan yang diselia sepasukan pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang. Diet makanan yang hanya berasaskan jus buah-buahan susu rendah lemak serta bijirin berjaya mengurangkan berat badan Balaji sebanyak 80 kilogram dalam tempoh setahun lalu. “Saya berputus asa pada mulanya kerana tidak yakin untuk mengurangkan berat badan, tetapi hasil rawatan serta nasihat doktor, saya berjaya mengurangkan berat badan daripada 280 kg kepada 200 kg sahaja. “Dulu saya tidak boleh berdiri dengan baik selain memerlukan bantuan emak, tetapi kini saya boleh berdiri sendiri dan boleh berjalan dengan bantuan tongkat,” katanya.

SUMBER
HARIAN KOSMO ONLINE



ISU ANTARABANGSA : TAHUN BARU HIJRAH : KEMANAKAH NEGARA ARAB BERHIJRAH?

Oleh Zin MAhmud


Hari ini (27.11.2011) dunia Islam menyambut tahun baru Hijrah sempena perpindahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah yang telah merubah peta politik dunia zaman purba. Kemunculan kekuasaan Islam di Madinah di bawah pimpinan Rasulullah SAW mencabar keunggulan empayar Rom Bizantin dan Parsi pada zaman itu. Kedua-dua kuasa besar itu kemudian tumbang apabila pemerintahan Islam mengambil alih kuasa mereka dari Asia Barat hinggalah ke Afrika Utara. Malah memasuki Eropah melalui Andalusia. Cabaran kuasa Islam terhadap Rom Bizantin bermula di Syam, yang kini merupakan wilayah-wilayah Syria, Lebanon, Palestin, Israel dan Jordan. Damsyik ketika itu adalah ibu kota wilayah Syam di bawah pemerintahan Rom Bizantin yang berpusat di Constantinople, kini dikenali sebagai Istanbul. Bukan saja Syam menjadi sebahagian daripada dunia Islam, malah Damsyik dipilih sebagai ibu kota pemerintahan Islam iaitu semasa Umayah bagi menggantikan Madinah. Ibu kota pemerintahan Islam kemudiannya berpindah, dari Damsyik ke Baghdad iaitu semasa Abbasiah. Pada zaman Uthmaniah pula, ibu kota khalifah adalah Istanbul.

Selepas kejatuhan Uthmaniah dan muncul negara-negara bangsa, Kaherah di bawah kepimpinan Gamal Nasser menjadi bukan saja ibu negara Mesir tetapi juga dunia Arab. Walaupun cita-citanya untuk mewujudkan Republik Arab Bersatu yang menyatukan dunia Arab gagal tetapi Kaherah tetap dipandang sebagai ibu kota dunia Arab. Maka awal tahun Masihi 2011, dunia menyaksikan kebangkitan rakyat Mesir yang memperoleh ilham dari Tunisia dengan mereka berhimpun di Dataran Tahrir. Apa yang berlaku di Mesir turut terjadi di banyak negara-negara Arab lain yang mana ia dinamakan oleh pihak Barat sebagai Arab Spring atau Musim Bunga Arab. Gugatan Dataran Tahrir berjaya menjatuhkan rejim lama pewaris Nasser iaitu Hosni Mubarak. Ketika mana Tunisia telah selamat mengadakan pilihan raya umum yang menyaksikan kemenangan Parti Annahdha pimpinan Raschid Gannouchi, di Mesir pula, golongan tentera masih menguasai institusi negara. Maka Jumaat lalu, satu perhimpunan besar-besaran diadakan semula di Dataran Tahrir menuntut pihak tentera melepaskan kuasa mereka supaya Mesir dapat mengamalkan demokrasi dan melaksanakan pilihan raya umum.

PERTEMBUNGAN

Pertembungan pihak tentera dan kumpulan pro-demokrasi ini akan menjadi sengit dan apa yang berlaku pada masa akan datang adalah kritikal bukan saja bagi Mesir, malah dunia Arab dan rantau Timur Tengah. Ketika dunia Islam menyambut Awal Muharam ini, Mesir pula di ambang untuk berhijrah ke sistem demokrasi tetapi mendapat halangan dari pihak tentera. Dalam pada itu, minggu lalu lawatan Perdana Menteri Turki, Reccep Tayyip Erdogan ke Kaherah mendapat sambutan hangat di lapangan terbang. Para pengkagum beliau di kalangan aktivis Mesir menyambutnya dengan menjulang gambar-gambarnya. Ada satu poster bertulis "Turki dan Mesir adalah satu genggaman tangan". Adalah jelas mereka mahu mengikuti model pentadbiran Erdogan yang melalui Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) melaksanakan fahaman apa yang disebut Barat sebagai "Islam sederhana beserta demokrasi sekular". Selepas Kaherah, Erdogan melawat Tripoli, Libya dan Tunis, Tunisia, dua negara yang mana rejim lama ditumbangkan.

Di Rabat, Maghribi, kelmarin pilihan rayanya menyaksikan kemenangan Parti Keadilan dan Pembangunan (PJD) yang juga bersefahaman dengan AKP. Dapat dikesan dari awal bahawa Amerika Syarikat (AS) menyokong kebangkitan rakyat ini. Bukan itu saja, majalah Time terbaru yang sedikit sebanyak mencerminkan sikap dasar luar AS memaparkan gambar Erdogan di kulit muka depan dengan ceritanya memuji beliau. Antara perkara yang dipaparkan ialah kebangkitan Turki sebagai kuasa berpengaruh di rantau itu. Bagi AS, sokongannya terhadap kebangkitan ini adalah mudah difahami. Walaupun ia bimbang bahawa demokrasi akan membawa kepada peningkatan pengaruh golongan politik Islam dan mencabar kedudukan Israel, tetapi menyokong mereka adalah lebih baik daripada alternatifnya. Musuh utama AS dan Israel adalah Iran pimpinan Mahmoud Ahmadinejad dan Al-Qaeda. Maka lebih baik bagi AS menerima Erdogan dan negara-negara Arab demokratik untuk berdepan dengan Iran dan Al-Qaeda.

Hanya Israel perlu mengubah suai kepada realiti baru ini. Semuanya kena berubah, Israel, Palestin, Hamas, Fatah, Hizbullah, Lebanon dan Syria. Erdogan pun sudah memberi amaran pada presiden Syria, Bashar Assad supaya menerima perubahan dunia Arab. Kalau dibandingkan dengan 1,432 tahun lalu, pusat-pusat pengaruh di Timur Tengah tidak banyak berubah, walaupun bangsa dan agama sudah berkembang menjadi pelbagai. Sebelum Hijrah Rasulullah SAW, Madinah hanyalah penempatan kecil. Di dalamnya ada suku kaum Yahudi dan suku kaum Arab. Apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, suku kaum Arab ini menjadi Ansar sementara orang Mekah yang datang dipanggil Muhajirin. Ansar dan Muhajirin ini menjadi umat Islam awal. Madinah berpengaruh pada zaman Rasulullah SAW dan Khulafah Rasyidin. Tetapi selepas itu kuasa Islam berpindah ke Damsyik. Kini Madinah tidak berpengaruh politik tetapi adalah kota suci untuk ziarah umat Islam. Kuasa politik bagi orang Arab berpecah-pecah: Riyadh, Kaherah, Damsyik, Baghdad dan lain-lain ibu kota Arab.

Namun Kaherah dan Damsyik mempunyai kedudukan tinggi kerana bukan saja penduduknya yang ramai tetapi dari segi budaya politik, mereka adalah penting. Kalau pada zaman nabi dahulu, Constantinople adalah kota Kristian Ortodoks dan Parsi adalah kuasa Majusi, kini Istanbul serta Teheran ialah kuasa-kuasa Islam walaupun berlainan mazhab dan fahaman politik. Kuasa paling penting di Timur Tengah ialah AS walaupun negara itu tidak terletak di situ. Sekutunya, Israel adalah kuasa tersendiri di situ. AS menghadapi tamparan hebat ketika takwim Hijrah masuk ke abad baru iaitu 30 tahun lalu semasa berlakunya Revolusi Iran. Pada masa itu, Teheran menganggap dirinya seperti Madinah yang baru muncul. Sementara AS dianggap sebagai Rom dan Kesatuan Soviet adalah Parsi. Kedua-dua dipandang sebagai kuasa yang akan tumbang. Kini Soviet sudah tiada. Sementara AS dalam keadaan terencat kerana keadaan ekonominya. Washington sering dilihat oleh pihak Barat sebagai pewaris Rom. Tetapi jika diteliti dari segi tamadun, dan bukan agamanya, pewaris Rom ialah Umayah di Damsyik dan Uthmaniah di Istanbul. Kini yang mewarisi Uthmaniah ialah Turki dan Erdogan.

Parsi diwarisi Abasiah yang pusat kotanya di Baghdad. Kini Baghdad diwarisi oleh Teheran. Kebangkitan rakyat Arab dilihat sedang berusaha menjadikan negara-negara mereka mengikut cara Ankara iaitu "Islam sederhana dan demokrasi sekular". Walaupun mereka akan mempunyai ciri-ciri Islam tersendiri, lebih daripada ketika di bawah rejim-rejim autokratik nasionalis sekular sebelum ini, tetapi dari segi hubungan antarabangsa, mereka akan bersekutu dengan AS. Seperti Turki di bawah Erdogan, mereka akan lebih berani dan kritikal terhadap Israel. Tetapi hubungan mereka dengan AS tetap terpelihara. Maka dari Maghribi ke Teluk Parsi, dunia Arab dan Turki bersahabat dengan AS. Demokrasi akan melemahkan ancaman Al-Qaeda. Juga, keadaan ini akan memberi tekanan pada Iran supaya berubah, dengan sokongan akan diberikan kepada golongan Islam pro-demokrasi bukan saja dalam Iran tetapi juga di Syria dan Lebanon, termasuk Hizbullah. Ketika mana kemungkinan dunia Arab berhijrah ke arah demokrasi, AS dan Eropah pula sedang melalui zaman dugaan ekonomi mereka yang boleh dianggap sebagai krisis kapitalisme. Melihat kembali hijrah Rasulullah SAW ke Madinah, apa yang baginda lakukan ialah mewujudkan model baru berpolitik, berbeza dengan apa yang diamalkan oleh Rom dan Parsi

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
27 NOVEMBER 2011



25 November 2011

ISU IPT : MEMBENTUK JATI DIRI MAHASISWA

Oleh Ruhaiza Rusmin


Segelintir mahasiswa apabila tidak berjaya memperoleh tempat di kolej kediaman, pasti merasa gundah dan bimbang serta dihantui pelbagai persoalan sama ada mampu atau tidak hidup berdikari. Selepas selesa tinggal di kolej dengan segala kemudahan, kemudian terpaksa pula keluar, tentunya banyak cabaran menanti, sekali gus menguji kekuatan emosi dan fizikal berdepan kerenah persekitaran baru. Bagaimanapun, ada yang melihat peralihan ini sebagai cabaran dan lumrah bagi mahasiswa selain menganggapnya sebagai langkah pertama berdepan realiti dunia kehidupan. Malah, ada gembira dengan alasan tiada kongkongan, dapat menyelia kehidupan mengikut acuan sendiri dan merasai kehidupan berdikari dengan rakan sebaya. Persoalannya, benarkah tinggal di luar lebih selesa dan sering menjadi pilihan mahasiswa? Atau mereka terpaksa melakukannya kerana tidak mempunyai pilihan lain? Mahasiswa Fiqh dan Fatwa, Fakulti Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, Wan Haizum Wan Hamzah, berkata dia lebih selesa tinggal di luar kerana tidak terikat dengan pelbagai peraturan selain bebas mengurus kehendak peribadi tanpa menyalahi undang-undang kolej.

Menurutnya, tinggal di luar bukan saja membantunya berdikari, malah memperoleh pelbagai pengalaman baru yang silih berganti hasil pergaulan dengan masyarakat sekitar. “Pilihan ini memang tepat dengan kehendak hati saya kerana berasakan lebih mudah membuat keputusan sendiri tanpa mengganggu rakan atau peraturan kolej.  Bagaimanapun, bukan bermakna saya boleh bebas semahunya kerana yang penting masih ada ruang peribadi. “Keseronokannya juga berlainan kerana ada perbezaan hidup bersama rakan sebaya dengan masyarakat pelbagai latar belakang. Di luar, kami perlu lebih toleransi, menjaga tatasusila selain nama institusi diwakili. “Dengan kata lain, meskipun ada kebebasan, ia perlu dibayar dengan harga lain, jadi terpulanglah untuk memilih sama ada hidup di kolej atau di luar kerana kehendak sendiri pasti berbeza,” katanya. Bagi mahasiswa, bukan sesuatu yang janggal apabila terpaksa menyewa di luar kampus apatah lagi bukan semua institusi mampu menyediakan kolej kediaman sepanjang tempoh pengajian.

Hanya mereka yang memenuhi kriteria kelayakan saja memperoleh keistimewaan itu menyebabkan sebahagian besar terpaksa mencari rumah sewa. Berkongsi pengalaman awalnya, dia berkata terpaksa berhempas pulas mencari rumah sewa yang mampu dibayar selain mengeluarkan lebih belanja untuk membeli peralatan rumah. “Tinggal di kolej semuanya tersedia tapi di luar, semuanya sendiri. Bagi yang bernasib baik, mendapat rumah sudah ada kelengkapan, namun sewanya pula mahal. “Memang janggal apabila terpaksa menguruskannya sendiri apatah lagi dengan rakan yang juga tidak mempunyai pengalaman. Bagaimanapun, ia tetap menyeronokkan kerana kami berkongsi pendapat dan pandangan selain rasa teruja menjalani kehidupan bujang,” katanya mengakui keseronokan tambah berganda apabila memperoleh rakan baru yang tinggal berdekatan. “Jika di kolej, kebanyakannya jarang bertegur sapa dan kurang mengenali satu sama lain kerana terlalu ramai, sebaliknya tinggal di luar pula kerap bertemu.  Secara tidak langsung menjadi rakan merangkap jiran.

“Perhubungan juga lebih mesra kerana boleh berkongsi suka duka dengan rakan ‘sekepala.’ Selalunya, kebanyakan rakan penyewa adalah mereka yang sudah lama dikenali, jadi kurang masalah,” katanya. Bagaimanapun, dia mengakui ada juga kekurangan tinggal di luar terutama dari segi keselamatan dan peningkatan perbelanjaan bulanan atau harian. Menurutnya, tinggal di kolej kediaman, keselamatan terjamin kerana ada yang memantau tapi di luar, semuanya bergantung pada diri sendiri selain terpaksa menanggung kos luaran yang meningkat. “Sewa perlu dibayar setiap bulan selain tambahan pelbagai kos sampingan. Bagi kami yang masih tidak mempunyai pendapatan tetap, ia menyeksakan selain menyusahkan ibu bapa. “Soal keselamatan juga sangat minimum, masing-masing perlu menjaga diri sendiri terutama perempuan. Inilah antara cabaran getir terpaksa dihadapi apabila tinggal di luar walaupun tetap ada keseronokannya. Mahasiswa Pengurusan Industri Kreatif, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Rohaida Abdul Manaf, turut berpendapat hidup di luar lebih membentuk kekuatan diri selain menjadikan mahasiswa berdisiplin.

“Bayangkan, segala kesusahan perlu ditanggung sendiri, tiada yang mengambil berat. Bukankah itu satu pelajaran baik untuk membentuk jati diri? “Kami juga perlu bijak membahagikan masa kerana kebanyakan rumah jauh dari kampus, justeru sesiapa yang beringat pasti berjaya, namun jika sebaliknya berlaku,” katanya. Persoalan golongan mahasiswa yang tinggal di luar kolej mudah terbabit dengan gejala sosial bagi Rohaida semuanya atas kehendak dan kawalan diri masing-masing. Pengaruh itu, katanya boleh menular di kepada sesiapa saja tanpa mengira latar belakang, pangkat, status atau usia. “Jadi terpulanglah pada individu untuk mencegah diri sendiri daripada menjadi mangsa. Tidak bermakna apabila tinggal di luar, mudah terbabit dengan gejala itu biarpun tidak menafikan ia masih berlaku. “Paling penting, bagaimana cara mengelaknya seperti pemilihan rakan serumah dan pemantauan jiran atau keluarga. Tinggal di luar bukan bermakna bebas sepenuhnya. “Bagi saya, sama ada tinggal di luar atau kolej, ada kekurangan dan kelebihannya. Perjuangan paling utama adalah menamatkan pengajian, sekali gus memulakan kehidupan sebenar selepas itu,” katanya.

SUMBER
HARIAN METRO
14 NOVEMBER 2011